Bab 31

Drama Series 136190

"Sebab dia ada banyak penyakit... kita dah cuba sebaik mungkin. Tapi seperti saya beritahu tadi Cik bersedialah untuk kemungkinan lain. Sekarang Atok Cik dekat ICU dah seminggu. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa lagi. Hanya Allah lebih berkuasa, mudah-mudahan keadaan lebih positif selepas ini. Cik sabar dan terus banyakkan berdoa ye"

Husna raup muka dengan kedua tapak tangan. Kemudian meraup lagi. Kebiasaan Husna apabila di serang kebuntuan tak bertepi.

Masih terngiang lagi kata-kata doktor di hospital siang tadi. Tok Udin kemungkinan besar harapan untuk sembuh amat tipis. Penyakitnya berangkai-rangkai. Walaupun Tok Udin sudah sedar tapi baik Tok Udin dan juga Husna mereka tahu mereka bakal berpisah dalam kehidupan ini.

Pembedahan Tok Udin sebelum bulan puasa. Sekarang sudah puasa. Selama seminggu ini Husna bersahur dan berbuka puasa di hospital. Hari ini baru dia berpeluang pulang ke rumah. Tiada apa dapat dilakukannya. Tok Udin juga menangis sahaja apabila melihat wajahnya.

Husna duduk di ruang dapur seorang diri memegang cawan yang sudah habis isinya. Termenung dan merenung nasib diri. Selepas ini dia tahu hidupnya akan sendiri. Sesuatu yang sangat dia takuti itu akan berlaku juga.

"Kak Na..."

Husna angkat kepala. Memandang Faiz yang berdiri di tepi meja makan.

"Ye Faiz."

"Faiz nak minta maaf."

"Kenapa?"

"... kalau tak sebab Faiz... bagi Pakcik tu masuk mesti Tok tak kena heart attack."

"Pakcik mana?"

"Pakcik yang badan besar tinggi, yang suka pakai jaket jeans tu, yang tepi muka dia ada parut tu."

Rock! Husna tersentak. Kenapa?

"Pakcik tu cakap dia kawan Tok. Dia nak lawat Tok. Faiz bagilah dia masuk. Mana Faiz tau lepas tu Tok marah-marah dia. Tok marah sebab dia cakap suruh Tok kahwinkan Kak Na dengan dia. Faiz minta maaf Kak Na."

Tiada kata-kata mampu keluar dari ulas bibir Husna. Tiba-tiba dia rasa otaknya tepu.

"Faiz minta maaf Kak Na."

Menitik air mata Faiz ketika memohon maaf sekali lagi kepada Husna. Dia sangat menyesal kerana membenarkan Pakcik yang memberinya rm20 itu masuk ke rumah. Hanya selepas Tok Udin marah-marah lelaki itu barulah dia sedar kesilapannya. Lelaki itu terus keluar bila Tok Udin sudah menekan dada dan tercungap-cungap menarik nafas. Mujur Ibunya ada di dalam bilik ketika itu.

Faiz tunggu di situ bersama Husna. Sama-sama diam membisu. Husna dengan akalnya yang sudah tidak mampu berfikir dan Faiz dengan rasa sesal atas tindakannya menyebabkan Kak Na yang baik ini dalam kesusahan dan kesedihan.

*******************

Seminggu!

Seminggu musuhnya yang cantik itu tidak datang kerja. Masalahnya dia diserang penyakit. Penyakit entah apa. Penyakitnya buat dia tercari-cari wajah gadis berbibir mugil itu. Bibir mugil yang pandai terketar sendiri apabila menyahut soalannya atau mahu memberitahunya kopi yang di minta sudah dihantar.

Daripada Kak Jun dia diberitahu Husna mengambil cuti kerana menjaga datuknya yang masih di hospital selepas pembedahan pintasan jantung.

Gembirakah dia dengan berita sedih gadis itu. Dia tidak tahu. Perasaannya berlibang libu. Dia cuba untuk melupakan kaitan gadis itu dengan kematian Bong tapi dia total gagal. Separuh akal warasnya memujuk dirinya untuk menerima kematian Bong sudah ditakdirkan. Separuh lagi akalnya menidakkan perkara itu dan tetap menuding punca kematian Bong kerana cinta dusta gadis cantik itu.

***************

Husna duduk di birai katil Tok Udin. Mengelus perlahan dengan ibu jarinya kekura tangan Tok Udin yang bercucuk jarum. Genggaman tangan Tok Udin lemah tapi tidak melepaskan jari jemari Husna.

Renungan Tok Udin sangat sayu. Sangat-sangat sayu. Ketika Tok Udin masih mampu bercakap tiada lain yang diucapnya melainkan maaf.

Husna sudah reda. Reda untuk melepaskan Tok Udin pergi meninggalkan dirinya. Dia tahu dia tidak ada daya menahan takdir. Takdir kali ini amat mudah di baca. Tok Udin akan tinggalkan dia keseorangan di dunia ini.

"Tok... Tok ikut Na baca dalam hati ye."
"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".
"Baca ye Tok... jangan fikir yang lain lagi."

Menitik-nitik air mata Husna sehingga basah dada baju T-shirt yang dipakainya. Walau bagaimana sekalipun dia memujuk hatinya supaya bersabar tapi air matanya tetap merembes keluar. Ye, hatinya sabar dalam hiba yang tak terbendung.

"Baca Tok La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".

Husna elus lagi kekura tangan Tok Udin sambil berzikrullah perlahan-lahan di hadapan wajah Tok Udin yang kekal merenungnya dengan genangan air mata paling sayu sepanjang 16 tahun dia bersama Tok Udin.

Tiada lagi wajah bengis, tiada lagi air muka pemarah tiada lagi suara kasar dan keras bak gempita. Di hadapan Husna hanya wajah tua yang penuh penyesalan.

"Tok... Husna Sayang Tok dunia dan akhirat. Demi Allah Na Sayang Tok. Maafkan semua dosa Na pada Tok. Terima kasih sebab Tok sudi terima Na masa Na lahir... Na maafkan semua salah silap Tok. Na maafkan. Tok tak ada buat salah pada Na. Na maafkan Tok."

"Baca Tok dalam hati jangan fikir lain lagi Tok"

Tidak berhenti Husna memimpin Tok Udin berzikrullah. Husna tahu masanya sudah tiba.

"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".
"La ila ha illallah".

Genggaman tangan Tok Udin longgar perlahan-lahan dan akhirnya terlerai dari jari jemari Husna. Husna pejam mata rapat-rapat. Memerah air matanya agar putus habis tapi apabila dia celik kembali air mata itu tidak berhenti mencurah.

Tok pergi juga akhirnya. Tok pergi macam Mak, macam Mek dan macam Ehsan. Pergi yang tak akan kembali. Tinggalkan seorang Siti Husna tak bersaudara di dunia ini.

Husna duduk merenung jasad kaku Tok Udin. Husna raup perlahan mata Tok Udin yang separuh terbuka. Husna merapat ke katil dan memeluk jasad Tok erat-erat. Husna sangat perlukannya sekarang ini. Buat bekal kesedihannya yang akan datang. Dia sangat pasti selepas ini hidupnya akan lebih sedih lagi.

Husna lepaskan Tok Udin bila masuk seorang jururawat untuk memeriksa keadaan Tok Udin. Jururawat genggam jari jemari Husna setelah memeriksa jasad Tok Udin.

"Sabar ye dik. Atok awak dah tak ada."

***************

Husna duduk di situ. Di bangku kaki lima rumah mayat HKL. Melihat beberapa orang yang lalu lalang dengan urusan masing-masing. Cuaca panas berdenting. Hawa panas terasa menggigit kulit. Tapi Husna tetap masih berada di situ.

"Macam mana dik? dapat tak? Kami cuma nak tolong aje. Tapi itulah semua sekali rm6K. Itu dah harga kesian kami bagi. Sebenarnya lagi mahal tau. Itu untuk semua kos dik. Mandi, kafan, daftar keluar, liang lahad, kebumi... semualah."

Lelaki itu memandang Husna yang terdiam bak patung cendana. Hanya mata Husna yang terkebil-kebil mencerna kata-kata lelaki bermisai tebal itu.

"Okay. Adik cari dulu kawan, tanya siapa boleh pinjamkan duit. Tapi kena cepatlah. Hari dah tinggi ni."

Lelaki itu masih ingat yang Husna memberitahunya dia tiada duit sebanyak itu. Duitnya sudah habis untuk urusan pembedahan Tok Udin dan beberapa urusan berkaitan sebelum dan selepas pembedahan.

Mahu ke mana dia mencari duit. Mahu ke mana dia boleh mendapatkan pertolongan. Mereka yang rapat dengannya sudah pulang ke negeri abadi.

Patutkah dia menelefon Ummi. Bagaimana jika Ummi memang sebenarnya tidak tahu cerita cincin tunang yang di tanggalkan dahulu dan sekarang bagaimana jika Ummi sudah tahu dan membencinya. Bersediakah dia untuk di benci oleh orang yang kali terakhir dia jumpa sangat baik dengannya. Besediakah dia bersedih dengan hatinya yang terlalu rapuh ketika ini.

Kak Badriah...
Tapi dia ingat lagi dua hari lepas sebelum keluar rumah mahu ke hospital dia mendengar tuan rumah baru meminta Kak Badriah membayar sewa bilik yang tertunggak.

Siapa?

Husna keluarkan telefon. Memandang skrin telefon lama. Memikir-mikir nama yang sesuai. Ijal? Ijal menanggung empat orang adik yang masih sekolah, ibunya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah. Bapanya sudah meninggal. Mereka yang lain sudah memandangnya sinis sejak kematian Ehsan.

Husna pekap telefon ke telinga. Menunggu orang di sebelah sana menjawab panggilannya.

"Kak Jun!"

********************

"Berat! berat! berat!... Eh! eh! telefon ni. Time ni le kau nak bunyi ye!"

Kelam kelibut Kak Jun meletakkan beberapa fail tebal berkulit keras di atas meja kerja Idris. Dia terperanjat kerana telefonnya di dalam kocek yang diletakkan dalam mod getaran menerima panggilan.

"Hati-hati Kak Jun. Fail jatuh tak apa. Kenapa bawak banyak-banyak? Takut terseliuh ke patah ke. Tu yang tak nak."

"Kak Jun jawab telefon kejap Boss." Terburu-buru tangan montel Kak Jun kelam kelibut mahu menjawab panggilan yang diterimanya. Dan selamba sahaja Kak Jun menjawab panggilan di hadapan Idris. Idris sekadar menggeleng kepala.

"Na! Na kenapa? Na okay tak?"

Tegak telinga Idris mendengar Kak Jun menyebut sepotong nama itu.

"Jangan nangis Na. Cakap pelan-pelan Kak Jun tak dapat faham."
"Aha"
"Aha"
"Allah kesiannya"
"Aha.. OkOk"
"Ye OkOk. Na tunggu situ ye. Na tunggu situ aje... Kak Jun cuba cari cara. Nanti Kak Jun telefon Na semula. Okay bai."

"Kenapa Kak Jun?" Idris sudah tidak sabar mahu mendengar cerita tentang musuhnya itu.

"Husna Boss..."

"Kenapa dengan dia?" Laju jantung Idris berdegup. Ah! jantungnya juga sudah menderhaka kepadanya disebabkan sepotong nama itu.

"Atok Husna dah meninggal subuh tadi. Husna dekat rumah mayat HKL."

"Jadi siapa tolong dia?"

"Tak ada orang tolong dia. Dia tak ada duit nak uruskan jenazah. Duit dia semua dah habis untuk operation hari tu."
"Saya nak buat kutipan derma kilatlah Boss. Boleh ye?"

"Tak payah!"
"Jangan!!!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience