Bab 66

Drama Series 136190

"Dia balik!"
"Dia balik!"
"Dia balik!"

**************

Idris turun daripada pintu kereta. Pelik rumah tiba-tiba gelap kerana perasan dia tadi, lampu dalam rumah terang menyala.

Marah sangat Ummi pada dia. Sudahlah tidak berapa mahu bercakap dengan Idris, kalau bercakap sekadar perkara penting sahaja dan sekarang Idris balik sahaja terus dipadam lampu rumah.

Idris tertunduk lemah. Mengaku sahajalah Idris memang kau yang paling bersalah. Bodoh macam batu!.

Idris pergi semula ke dalam kereta mengambil kunci rumah. Malas mahu buat Ummi bertambah marah dengan bermanja-manja mahu minta bukakan pintu rumah pula.

Lagipun dia sangat penat. Dari tengah hari keluar mencari Husna dan anak-anak. Hari ini Idris luaskan kawasan pencarian sehingga masuk ke negeri Perak pula. Kuala Lumpur dan Selangor sudah habis Idris jelajah.

Dia tiada hati mahu balik ke apartment. Ummi juga melarang sejak dia pengsan tempoh hari. Dia tidak mahu lagi buat sesuatu yang boleh menyebabkan dia semakin berjarak dari Ummi.

Baik dia jangan buat apa-apa drama. Pujuk sahaja hati sendiri sebab dia harus kekal sihat dan bersemangat selagi Husna dan anak-anak belum di temui.

'Bismillah'
'Assalammualaikum'

Idris buka pintu utama rumah banglow dua tingkat Ibu bapanya. Dalam rumah gelap. Hanya lampu dari ruang dapur menyala tapi cahaya yang ada amat malap mesti Ummi sekadar membuka lampu kecil di dinding dapur.

Tiba-tiba ada bunyi di belakang Idris.
Dan...

"Allah selamatkan kamu"
"Allah selamatkan kamu"
"Allah selamatkan Muhammad Idris Muhammad Idham"
"Allah selamatkan kamu"

Kak Izzah memegang sebiji kek keju dengan sebatang lilin di atasnya.

"Dah tiup cepat. Tak payah nak buat muka terperanjat sangat. Guna muka tu untuk kejap lagi."

Kak Izzah sua kek keju ke hadapan wajah Idris. Idris terharu. Dia fikir semua orang tidak ingat kerana marahkannya. Kerana yang sebenarnya Idris sendiri sudah lupa hari lahirnya dengan masalah yang berlaku.

Habis meniup lilin Idris pandang sekeliling. Baru perasan ada Kak Izzah anak beranak, Abang Idrus juga anak beranak, Ummi dan Walid. Juga ada Acik Enon dan Acik Yem.

Lampu kemudiannya menyala terang.

Idris ucap terima kasih sambil tersenyum lemah. Dia terharu ahli keluarga masih ingat tapi dia sedih mengenangkan Husna dan anak-anak di luar entah bagaimana keadaannya.

"Nak hadiah tak?"

Tanya Kak Izzah. Idris sekadar tersenyum.

"Ris balik lambat sangat dah pukul satu lebih. Esok aje makan kek ni. Kitaorang dah letak hadiah atas katil Ris. Jangan seronok sangat dengan hadiah tu. Handle with care."
Kak Izzah masih tidak berhenti menyakat Idris.

Idris tuju pada Ummi dan Walid. Menyalam tangan tua Ummi dan Walid sambil tidak henti-henti mengucapkan kata-kata memohon maaf. Dia terkhilaf.

Ummi peluk Idris. Anak ini paling mudah dijaga sejak lahir dan apabila dia terkhilaf Ummi marah yang amat. Ummi rasa berdosa juga buat Idris sedih begitu, tapi dia sebenarnya hanya rasa bersalah dan risau yang amat dengan keselamatan Husna dan cucu berdua yang entah di mana.

Selepas Ummi dan Walid, Idris tuju pula kepada Acik Enon dan Acik Yem. Mereka yang banyak menolong Husna dan anak-anaknya sebelum ini. Memohon maaf dan berterima kasih.

Kemudian baru memeluk Kak Izzah, Abang Anuar dan Abang Idrus. Dengan Kak Roza isteri Abang Idrus juga Idris ucap terima kasih. Anak-anak saudara seramai enam orang itu ramai-ramai memeluk Idris bergilir-gilir akhirnya.

"Kitaorang masuk tidur dulu ye dah lewat sangat. Kek makan esok. Hadiah atas katil elok-elok jaga. Mahal sangat harganya. Kitaorang share ramai-ramai dapatkan hadiah tu. Hargai sikit ye."

Kali ni Abang Anuar pula bercakap mengulangi lagi kata-kata Kak Izzah sebentar tadi. Idris sekadar mengangguk.

Selepas itu seorang demi seorang tinggalkan ruang tamu. Akhirnya hanya tinggal Idris. Lambat-lambat Idris memanjat tangga. Lemah yang amat. Hari lahirnya dia masih kehilangan Husna dan anak-anak.

Mahu memulas tombol pintu pun Idris rasa tak berdaya. Hatinya lemah amat, menjangkit hingga ke tenaga. Tidak bersemangat langsung di hari lahirnya yang ke 31.

Seseorang berdiri di tepi katil. Bilik yang gelap hanya cahaya samar dari lampu jalan jauh di luar rumah tidak membantu pandangan Idris mengecam susuk tubuh itu.

Itu...
Adakah dia berhalusinasi?

Idris mara lebih dekat. Dan susuk tubuh badan itu semakin jelas pada pengetahuan Idris.

Akhirnya Idris berdiri di hadapan buah hati pengarah jantung yang di rindui setengah mati.

Husna ku Sayang.

Idris paut Husna masuk dalam pelukannya dengan linangan air mata. Tersedu-sedu menangis tanpa kata-kata. Husna benar-benar hilang dalam pelukan Idris. Susuk tubuh Idris yang tinggi sasa dan lebar itu bagai mahu menyatukan tubuh Husna yang kecil molek menjadi satu dengannya.

"Abang..."
"Abang..."
"Sayang! Na tak bernafas!"

Idris lepaskan Husna.

Mengundur sedikit kemudian terus sujud syukur.

Apabila Idris bangun semula segera Idris mendapatkan Husna kembali. Kali ini menyatukan pula dahinya dan dahi Husna. Memegang erat lengan Husna tidak mahu dilepas.

"Ampunkan Na"

Idris tidak menjawab masih menangis tanpa suara. Husna jatuh kasihan. Tidak sangka Idris jadi begini dengan tindakannya yang difikirnya paling betul untuk keselamatan mereka sekeluarga.

"Kita kena tidur kat lantai, kat toto. Anak-anak dah conquer katil."

Idris toleh atas katil. Ibrahim dan Ismail baring melintang dan menyenget di tengah katil. Idris ketawa suka berlinang air mata. Menggebu rasa bahagia melihat anak-anak yang sudah hampir dua bulan hilang dari pandangan.

Idris raih kembali Husna ke dalam pelukan. Kali ini menyatukan pipi ke pipi walau dia terpaksa sedikit membongkok, dengan pandangan menghala ke tengah katil melihat anak-anak yang tidur pulas.

"Abang mandi kejap. Nak solat Isyak".
"Tolong jangan tinggalkan Abang lagi Sayang. Abang janji Abang akan jaga Sayang dan anak-anak baik-baik."

Teresak-esak Idris berjanji. Husna sudah lencun dengan air mata sejak tadi melihat susuk Idris sebegini rapuh kerana kehilangannya dan anak-anak.

"Na tunggu Abang solat."

Idris terangguk-angguk. Husna pergi ke almari mengambilkan Idris sehelai tuala dan Idris hilang di sebalik pintu bilik air.

***************

Mereka baring berhimpit di atas katil. Mujur katil saiz king dan Husna, Ibrahim dan Ismail kecil sahaja. Anak berdua di tengah-tengah, Idris dan Husna di kiri kanan tebing katil. Tangan bertaut, anak berdua diapit rapat tidak bergerak.

Bahagia!
Bahagia yang tiada tara.
Tiada apa yang dapat di bandingkan dengan kebahagiaan yang dirasa sekarang ini.
Berjaya mendapatkan kontrak tender jutaan ringgit pun tidak sebegini rasa bahagia dan gembiranya.
Dia akan ingat dan mengenang perasaan kali pertama untuk yang ini dengan memahat kukuh dalam hatinya sebagai pengajaran hidup paling mahal dan terhebat.

Sebegini payah cabaran untuk dia membina sebuah keluarga!

****************

"Mak... ada Pakcik Ayah."
"Pakcik Ayah Mak..."
"Pakcik Ayah tidur dengan kita"
"Mak tengoklah ni. Ada Pakcik Ayah tidur dengan kita."

Husna terpisat-pisat cuba mencelikkan mata. Rasanya dia baru sahaja terpejam. Tautan tangannya dan Idris sudah terlepas dan sekarang jari-jemari tangan kanan dan kirinya digenggam anak berdua seorang sebelah sambil digoncang perlahan.

Husna angkat badan dan duduk bersandar di kepala katil.

"Mak tengok ni..."
"Ada Pakcik Ayah."
"Rupanya Pakcik Ayah ada kat rumah atok Ummi."

Tersimpul-simpul senyuman anak berdua bergilir-gilir memberitahunya tentang susuk Pakcik Ayah yang nyenyak tidur baring mengiring menghadap mereka.

Husna tarik kembar berdua masuk dalam pelukan dan mencium pelipis tepi kepala berulang kali. Suka dengan bau anak-anak ketika baru bangun tidur.

"Lepas ni Ibrahim dengan Ismail tak boleh panggil Pakcik Ayah lagi."

Beritahu Husna dengan suara berbisik.

"Kenapa?"

"Panggil Ayah je. Tak payah Pakcik Ayah."
"Ayah je ye."

"Kenapa Mak?"

"Sebab ni memang Ayah Ibrahim dengan Ismail."

"Ye ke Mak?" berkaca mata Ismail bagai tidak percaya.

"Ye. Aritu Ayah balik tak jumpa Mak dulu. sebab tu Ayah tak tau nak kena panggil apa?"
"Mak belum cakap Ayah masa tu."

Mudah-mudahan anak-anak percaya dan tidak bertanya lagi. Dia tiada jawapan untuk semua kebetulan ini.

Terkebil-kebil mata bulat kedua kembar memproses maklumat yang Mak beritahu.

Apa-apa ajelah! janji ada Ayah!

"Pukul berapa sekarang?"

"5:30 Mak!"

"Oh! Patutlah Sayang berdua dah bangun. Dah! jom mandi!"

Kembar berdua sudah di didik kebiasaan tidur sebelum jam sepuluh malam dan bangun untuk solat subuh dan bersiap ke sekolah jam 5:30 pagi. Maklumlah Husna harus bersiap menghantar mereka ke sekolah dan menunggu bas ke tempat kerja berjalan kaki. Jadi mata mereka semua sudah auto set kebiasaan sebegitu.

Husna bantu anak-anak turun katil perlahan-lahan dengan bunyi seminima mungkin. Tidak mahu mengganggu Idris yang sedang lena tidurnya.

Apabila mereka tiga beranak sudah siap mandi dan berpakaian barulah Husna beri kebenaran kembar berdua mengejutkan sang Ayah. Tersipu-sipu senyum kembar berdua tidak sabar mahu melihat reaksi si Ayah ketika nampak mereka.

"Kejutlah! Ismail dengan Ibrahim cium aje Ayah banyak kali. Nanti Ayah bangun."

Husna memberi cadangan dengan berbisik ke telinga kembar berdua.

Ibrahim ke kiri dan Ismail mengambil tempat di kanan Idris kemudian memulakan serangan ciuman bertubi-tubi ke wajah Idris.

Idris buka mata yang bengkak sembab kerana banyak menangis malam tadi.

Allah! Allah!

Nikmat Allah yang mana dapat dia dustakan. Melihat wajah kembar berdua yang tersimpul-simpul senyuman gembira mengejut dia bangun daripada tidur adalah pengalaman paling indah.

Idris paut keduanya masuk dalam pelukan. Mencium wajah kedua mereka berulang-ulang kali silih berganti. Husna yang duduk di birai katil memerhati ketiga kesayangannya sudah lencun dengan air mata gembira.

"Okay semua,... Azan dah habis tu. Jom siap solat dulu. Lepas ni cium Ayah lagi."

Idris turun dari katil. Berdiri di tepi katil melihat anak-anak yang duduk di atas katil mendongak kepala melihatnya dengan senyuman. Husna pula di birai katil juga dengan senyuman.

Idris tadah tangan.

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Rabbana hablana min azwaajina wa dzurriyyatina qurrata a’yuniw waj’alna lil muttaqiena imaamaa.

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al Furqan ayat 74).

Aamin ya rabbal alamin.

Hadiah paling indah, paling mahal, paling beharga yang pernah dia dapat untuk ulang tahun kelahirannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience