Patut atau tidak Husna telefon Kak Jun sekali lagi. Sudah pukul dua petang sudah tamat waktu rehat. Husna juga sudah menunaikan solat Zuhur di surau rumah mayat HKL. Dia segan untuk menelefon sekali lagi kerana Kak Jun berpesan menyuruhnya hanya menunggu sahaja panggilan daripada wanita itu.
Husna merasa sangat letih. Tok Udin meninggal subuh tadi. Dia tidak dapat makan untuk bersahur hanya sempat minum air dari penapis air yang hospital sediakan untuk kakitangannya mungkin. Waktu buka puasa maghrib semalam dia hanya makan tiga keping roti terakhir yang dia ada. Roti itu pun sudah sedikit berkulat di kulit tepinya.
Malam tadi dia tidak dapat tidur lena. Dia takut untuk tidur. Husna takut jika dia tertidur dia tidak sempat mengucapkan selamat jalan kepada Tok Udin. Dia bersyukur ada bersama-sama Tok Udin ketika malaikat menarik pergi roh datuknya itu.
Tapi sekarang ini Husna sangat letih. Letih sehingga apabila berdiri dia rasa lantai yang di pijaknya menjadi tinggi rendah. Dia rasa badannya melayang-layang.
Husna duduk di tepi tembok yang ada sebatang tiang di tepinya. Tujuannya mahu bersandar kepala ke situ. Dia mahu memejam mata sebentar. Mudah-mudahan dia akan terjaga kerana panggilan bantuan daripada Kak Jun.
"Dik..."
Sayup-sayup Husna terdengar suara seorang lelaki. Mahu membuka mata sahaja dia rasa tidak larat.
"Dik... Nama adik Siti Husna kan?"
Husna duduk tegak daripada posisi menyenget kepala ke tiang kaki lima. Husna kebil-kebil matanya supaya rasa melayang itu dapat di kawalnya.
Di hadapan Husna seorang lelaki kurus memakai songkok hitam dengan wajah yang bersih air mukanya.
"Ye Encik. Saya masih tunggu panggilan kawan saya." Cepat-cepat Husna memberitahu kerana takut di minta beralih ke tempat lain. Dia terlalu letih untuk bergerak.
"Bukan... urusan dah selesai kat dalam. Jenazah dah dimandikan dikafankan, solat jenazah pun dah sudah. Tinggal tunggu van jenazah aje ni. Adik nak ikut ke kubur ke?"
Oh! dia bermimpi rupanya. Husna kebil-kebil mata. Semuanya nampak seolah nyata. Mungkin kerana dia terlalu letih.
"Adik... awak okay tak? Nak ikut van jenazah ke kubur?" Soal lelaki itu sekali lagi.
"Tapi saya belum bayar apa-apa lagi. Kawan saya belum telefon." Husna menjawab perlahan apabila seorang lelaki di hujung kaki lima bersin sehingga terjatuh beberapa keping duit syiling yang dipegangnya. Ya dia tidak bermimpi. Kak Jun sudah datang ke untuk memberi sokongan kepadanya? Menemankannya untuk urusan pengebumian ini.
"Ada kawan saya dah datang tolong bayarkan ke?" Lama benarkah Husna terlena sehingga dia tidak sedar masa.
"Ye. Ada majikan awak datang. Dia dah uruskan semuanya." Oh! memang betul mimpi. Mana mungkin majikannya lelaki kacak berwajah Latin itu akan menolongnya.
Husna toleh ke kiri apabila terdengar derap langkah dan kelibat seseorang datang menghampiri. Lelaki bersongkok hitam juga turut menoleh.
"Tak pe Ustaz. Dia naik kereta saya. Van jenazah dah sampai. Kita kena cepat, mesti selesai sebelum buka puasa."
"Baik Encik Idris. Saya naik van jenazahlah. Kita jumpa kat sana nanti." Idris tersenyum kepada lelaki itu dan mengangguk. Kemudian mengiringi langkah kaki lelaki itu sehingga hilang di hujung kaki lima.
"Bangun!"
Bagai disampuk Husna terus berdiri tapi melayang-layang hampir terjatuh. Mujur sahaja Idris cepat pantas menyambar tubuh kecil itu kemudian menyandarkan ke dadanya. Sedikit lagi Husna jatuh tertumus menghentam tembok batu dan tiang besi.
Idris cengkam lengan Husna membantu gadis kecil itu stabil berdiri. Idris pandu Husna dari belakang supaya maju berjalan ke hadapan. Husna sekadar menurut. Dia benar-benar letih.
Idris bukakan pintu kereta, membantu Husna duduk dan memakaikan tali pinggang keselamatan. Husna sekadar diam. Dia tiada daya membantah.
*****************
Jalan sesak teruk. Sudah pukul empat petang, hari Jumaat dan bulan puasa. Penduduk kota dan mereka yang berkerja buru-buru keluar dari pusat bandar Kuala Lumpur. Sama ada mahu pulang ke rumah sendiri atau pulang ke kampung atau mencari port terbaik untuk berbuka puasa yang tinggal beberapa jam sahaja lagi.
Idris memandu perlahan mengikut di belakang van jenazah yang cuba mencelah dikesibukan jalan yang semakin ketat.
Idris toleh ke sisi kiri. Husna di sebelahnya sudah tertidur. Nampak gadis itu sangat kepenatan. Sangat letih dan nampak tidak bermaya. Sakitkah dia? Eh! peduli apa aku kalau dia sakit!.
Idris mengeluh. Dia rasa seolah ada tanduk mula tumbuh di dahinya umpama anak kecil keluar sedikit-sedikit gigi susu.
Mata dengan alis terbentuk cantik, bulu mata yang hitam lebat melentik, hidung yang comel dengan bibir yang mugil itu dirasakan mengurangkan pahala puasanya. Idris beristighfar dalam hati beberapa kali. Fahamlah dia kenapa kalau Bong sanggup terjun kerana gadis ini.
Dada gadis itu berombak perlahan. Nampak lena pulas Husna tertidur. Ditambah suhu pendingin hawa di dalam kereta yang amat selesa untuk melelapkan mata.
Bagaimana caranya untuk dia memiliki gadis ini tapi dalam masa yang sama mendominasi hidup Husna. Dia mahu dengan perkahwinan itu gadis yang berhutang nyawa dengan Bong ini menjadi hambanya.
Satu yang pasti dia harus mengeraskan hatinya untuk kekal dengan rancangannya. Sekuman sekalipun dia tidak boleh jatuh kasihan kepada Husna. Dia juga harus memastikan Tok Ibu dan Ummi tidak tahu tentang pernikahan itu kerana dia sangat kenal dengan dua wanita kesayangannya itu yang sentiasa memaafkan semua orang di sekelilingnya. Dengan alasan tidak mahu berjumpa dan berurusan lagi dengan mereka di padang akhirat.
Sebelum ini dia juga begitu.
Tapi gadis ini silap besar kerana menginaya orang yang paling Idris sayang. Orang yang pada mata Idris sangat kasihan perjalanan hidupnya. Bong yang trauma, Bong yang dibuli, Bong yang pernah dimalukan tanpa belas kasihan.
Pukul lima petang.
Mereka baru tiba ke tanah perkuburan.
******************
Sudah lebih 36 jam dia tidak melihat nasi. Dia bersahur nasi sebelum subuh kelmarin. Nasi berlauk kicap dan bawang mentah. Alhamdulillah dia masih ada sedikit beras. Kicap juga masih ada setengah botol saiz sederhana. Bawang yang di makan mentah itu sebiji terakhir.
Dalam akaunnya masih ada beberapa ratus lebihan selepas tolak pembayaran bill hospital Tok Udin. Tapi Husna takut mahu menggunakannya kerana dia sudah tiga minggu bercuti tanpa gaji. Bercuti untuk urusan pembedahan Tok Udin dan selepas pembedahan menjaga pula Tok Udin di hospital.
Duit itu sudah di asingkan untuk membayar sewa bilik. Tuan rumah yang baru ini tidak semesra Aunty Mary. Tiada tolak ansur dalam urusan kutipan sewa bilik. Tiba-tiba Husna teringat Kak Badriah. Sudah dapatkah Kak Badriah mengumpul duit untuk membayar sewa bilik yang tertunggak.
Tadi di tanah perkuburan selepas selesai semua urusan pengebumian sama seperti dia datang, pulang juga dia menumpang Idris. Oleh kerana urusan selesai ketika hampir Maghrib majikannya tidak terus bergerak pulang. Sebaliknya dia berhenti di sebuah masjid. Azan berkumandang sahaja Idris hulur kepadanya sebuah beg kertas kecil. Di dalamnya ada sebotol kecil air mineral dan sepeket kecil berisi lima biji buah kurma untuk berbuka puasa kemudian terus menunaikan solat maghrib.
Selepas solat maghrib barulah mereka bergerak masuk semula ke pusat bandaraya. Husna curi-curi memandang Idris di sebelah yang diam sahaja memandu. Pandang dari sisi sahaja sudah kacak apatah lagi memandang lelaki ini berhadapan. Tapi dia tidak pernah dapat memandang lelaki ini sepenuhnya. Aura lelaki ini sangat menyeramkan. Renungannya mampu membunuh.
Idris belok masuk ke dalam sebuah masjid. Husna kenal masjid ini. Dia pernah sampai ke sini dengan Mek untuk mengambil bantuan makanan daripada NGO. Bangunan kediamannya sudah tidak jauh dari sini. Pasti Idris sekadar mahu menghantarnya sampai di sini sahaja.
Idris terus keluar kereta tidak menunggu Husna. Kelam kelibut Husna buru-buru turun juga. Idris yang sudah agak jauh terus menekan alarm kunci kereta apabila dilihatnya Husna sudah keluar. Terbit rasa sedih dalam hati Husna. Sampai begitu sekali bencinya Idris kepada dia.
Husna letih. Perutnya lapar dan dia harus berjalan lagi dalam lebih kurang sepuluh minit untuk sampai ke bangunan kediamannya. Husna fikir ada baiknya dia solat isyak dahulu jadi bila sampai di rumah dia tinggal mandi dan terus tidur. Atau mungkin singgah membeli sebiji burger berharga rm3.50 dalam perjalanan pulang nanti.
Husna masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat Isyak. Ruang solat penuh dengan jemaah kerana solat Terawih sudah bermula. Di masjid yang Husna singgah solat maghrib tadi ada disediakan juadah berbuka tapi Husna takut turut serta. Dia bimbang jika Idris meninggalkan dia. Bagaimana dia mahu pulang ke rumah kerana tidak tahu arah.
Di masjid ini pula solat Terawih sudah bermula. Segan pula dia mahu ke ruang dapur masjid untuk bertanya makanan. Tak mengapalah bukan rezekinya. Balik sahajalah. Tiba-tiba baru Husna teringat beg pakaiannya masih di dalam kereta majikannya itu.
Husna keluar masjid dan segera ke tempat meletakkan kenderaan. Allahuakbar! Alhamdulillah! kereta Idris masih di situ dan ada Idris berdiri menyandar di pintu keretanya sambil melihat telefon bimbit.
"Maaf Tuan... beg baju saya tertinggal dalam kereta." Takut-takut Husna menegur Idris yang sedang ralit dengan telefonnya.
Idris angkat kepala memandang Husna. Comot pun comel detik hati Idris memandang Husna yang sudah tidak kemas ikatan rambutnya. Baju T-shirt berlengan panjang yang dipakainya juga sudah berkedut seribu. Budak ini tiada seluar lain agaknya. Husna mesti dengan seluar hitam berpinggang getah.
"Masuk!"
"Ha!..."
Idris buka pintu kereta sebelah penumpang menunggu Husna masuk. Husna ramas jari-jemarinya sebelum lambat-lambat masuk ke dalam kereta Idris.
Idris pandu kereta keluar kawasan masjid dan berhenti di hadapan sebuah restoran tomyam. Husna tidak tahu kawasan ini dia tidak pernah sampai ke sini walaupun ketika ada Ehsan. Husna yakin kawasan ini sangat jauh dari bangunan kediamannya.
Idris keluar dari kereta dan masuk ke dalam restoran tomyam. Tapi Idris terpaksa keluar semula menuju kereta apabila Husna tidak turut serta.
"Keluar!"
"Maaf Tuan, saya tak tahu kawasan ni kat mana. kalau dari sini saya tak pandai cari jalan balik rumah" Husna terangkan masalahnya tergigil-gigil.
"Saya tunggu Tuan dalam kereta ye. Tuan pergilah makan dulu nanti tumpangkan saya sampai bangunan pejabat pun tak pe. Dari situ saya tahu jalan balik rumah."
"Keluar! Aku nak makan."
Apa maksud Idris. Adakah Idris mahu Husna membelanjanya makan malam kerana pertolongannya menguruskan pengebumian Tok?
"Tu...Tuan... boleh tak saya belanja tuan lain kali. Kat... kat tangan saya sekarang ada lima ringgit je." Husna sudah mahu menangis ketika menerangkan kepada Idris jumlah wang yang dimilikinya ketika itu.
Dan sekarang Husna di sini menikmati makanan yang sangat diharapkannya. Nasi putih lauk tomyam campur dan telur dadar. Bukan dia yang memesan makanan ini tapi majikannya.
Share this novel