Bab 8

Drama Series 136190

Hari Jumaat satu haribulan selepas solat Jumaat Mek selamat dinikahkan dengan Bahari. Malamnya diadakan jamuan makan di rumah Bahari yang selama dia sekeluarga berpindah ke Labuan dijadikan homestay.

Hari Sabtu Husna tolong Mek berkemas-kemas serba sedikit barang-barang akhir yang akan dibawa ke Labuan, Sabah.

Baik Mek mahupun Husna bagai tidak mampu berkata. Mata Mek dan Husna yang sembab menceritakan rasa hati ke duanya.

Hari Ahad Mek raih Husna dalam pelukan erat dan seperti hari-hari terakhir sebelum ini dalam tangisan senyap tak berlagu. Tiada kata mampu diucap untuk perpisahan ini. Mek tahu sukar untuk mereka bertemu lagi. Semestinya wang masalah utama. Besar belanja untuk perjalanan Kuala Lumpur ke Labuan buat mereka yang biasa-biasa sahaja pendapatannya itu.

Walaupun Bahari berpendapatan tetap tanggungannya ramai. Anak Bahari bersama arwah isterinya seramai lima orang. Semuanya masih belajar di menengah atas dan di pusat pengajian. Kini bertambah lagi.

Ketika Bahari menuntun Mek, Sukri dan ke dua ibu bapa Mek ke balai berlepas, hampir sahaja Husna rebah di situ. Mujur sahaja Ehsan tidak membiarkan Husna berdiri tidak di sanggah. Berjalan keluar ke tempat letak kereta Ehsan terpaksa memaut bahu Husna agar tidak tumbang merintang jalan. Sekali lagi mujur juga Husna itu kecil sahaja orangnya.

Ketika menghantar Husna ke tingkat lima di hadapan pintu rumah Aunty Mary, Ehsan lihat Husna itu umpama orang sakit yang harus di rukyah. Mata celik kuyu tapi menembusi setiap dinding. Kehilangan besar yang tidak mampu Husna tangani dengan mudah. Anak yang kehilangan ibu.

Ehsan tinggal pesan supaya Husna lapor diri ke pejabatnya pada hari Selasa. Ehsan mahu Husna menenangkan dirinya terlebih dahulu. Biarlah Husna meraih kembali semangatnya sebelum memulakan langkah baru.

*********************

"Assalamualaikum"

"Waalaikummussalam... ye cari siapa dik"

"Boleh saya jumpa Encik Ehsan?"

"Adik siapa ye? anak saudara Tuan Ehsan ke?"

"Bu..bukan.. nama saya Husna. Sa..saya masuk kerja hari ni"

"Oooo...ok ok sekejap ye.."

Husna pandang si penyambut tetamu yang manis bertudung jingga mengangkat ganggang telefon di atas meja.

"Cik Sheila orang yang ditunggu dah sampai...ye ye..ok ok...baik...bye" Husna pasang telinga pada biji butir perbualan penyambut tetamu.

"Husna ambil kad ni. Masuk lif sana tekan butang empat. Keluar lif pergi kanan masuk pintu tu cari cik Sheila ok. Boleh faham tak?" terang si manis bertudung jingga ramah. Husna senyum dan mengangguk dua tiga kali.

Husna capai kad yang dihulur kepadanya kemudian bergerak menuju lif. Melalukan kad seperti tertera arahan di dinding lif kemudian menekan butang empat. Pintu lif tertutup perlahan dan terasa lif bergerak ke atas.

Tertera di pintu hadapan Husna Jabatan Pentadbiran dan Jabatan Akaun. Husna tolak daun pintu. Tiada sesiapa di ruangan hadapan tetapi di belakang kaunter di balik dinding kaca kelihatan kakitangan sedang sibuk dengan tugas masing-masing.

Husna tunggu di hadapan kaunter. Tidak berani untuk masuk ke ruangan belakang dinding kaca walaupun ada pintu masuk di sebelah kiri kaunter hadapan.

Husna toleh ke belakang apabila pintu utama dibuka dari luar. Seorang wanita sedikit gempal seusia Mek masuk membawa beberapa buah bungkusan kertas A4.

Wanita itu tersenyum mesra memandang Husna sambil meletakkan barangan yang dibawanya ke atas meja kaunter.

"Cari siapa? Anak siapa awak ni?" soal wanita itu sambil ketawa kecil.

"Nama saya Husna puan. Tuan Ehsan minta saya datang hari ni mula kerja" Jawab Husna selesa kerana perwatakan wanita itu yang nampak ramah dan mesra.

"Oooo... ye! ye!. Jom! Jom!" cepat-cepat wanita itu membalas jawapan Husna.

"Tadi Cik Sheila dah pesan kat Kak Jun pasal Husna. Lama dah ke Husna tunggu kat depan tu tadi? Kak Jun pergi tingkat dua ambil stationary. Minta maaf ye Husna" bagai peluru penabur wanita itu mengenalkan dirinya dan menceritakan keberadaannya.

"Eh! tak pe, tak lama pun. Saya pun baru sampai" Canggung nada Husna membalas kerana dilayan sebegitu mesra oleh Kak Jun. Umpamanya mereka telah kenal lama.

"Kak Jun ingat awak anak siapalah tadi Na. Sebab ramai aje staff yang kadang-kadang anaknya datang office. Betulah Cik Sheila cakap awak budak" sambil menolak pintu kaca ke ruangan Pentadbiran Kak Jun bercerita. Dalam kepala Husna memikirkan siapalah gerangan Cik Sheila yang namanya disebut sejak dari Husna sampai di aras bawah sehingga ke aras ini.

"Cik Sheila! Ni Husna dah sampai" langkah Kak Jun berhenti di hadapan pintu sebuah kubikel yang dindingnya sebelah tinggi dan sebelah rendah. Di belakang kubikel itu ada sebuah bilik berdinding kaca tetapi bertutup dengan bidai seakan warna buluh.

"Assalamualaikum Cik Sheila. Nama saya Husna, saya lapur diri hari ni untuk jawatan tea lady" Sambil tersenyum Husna memperkenalkan dirinya kepada wanita cantik berkemeja ungu.

Wanita itu berdiri membetulkan skirt lurus berwarna hitam separas lutut. Memandang Husna sekilas kemudian memandang Kak Jun.

"Thank you Kak Jun, you boleh balik tempat you"

"Oh! ok. Nanti kita jumpa lagi ye Na"

"Ok Kak Jun. Terima kasih ye" Husna cuit sedikit jari Kak Jun ketika berterima kasih kerana menolongnya. Kak Jun senyum, kenyit mata dan berlalu pergi.

"You tengok jam sekarang pukul berapa? soal Cik Sheila sambil tunjuk jam besar berbingkai hitam di dinding atas pintu masuk.

9:50 pagi.

Melihat raut wajah Cik Sheila yang ketat Husna tahu dia dalam masalah. Husna ramas jari-jemarinya. Tindakan biasa jika dia resah atau ketakutan. Husna hanya mampu terdiam dan gagal memikirkan ayat untuk membela diri.

"Sheila can you come in, please" kedengaran suara Ehsan dari interkom yang berbunyi di atas meja. Serentak pandangan Husna dan Sheila terarah ke interkom itu. Kemudian saling berpandangan sesama sendiri semula.

"Ikut saya" Sheila capai fail merah jambu di atas meja dan bergerak keluar dari kubikel menuju ke bilik belakang dinding kaca yang tertutup bidainya.

Husna mengekor Cik Sheila yang berlengok cantik mengetuk sekali daun pintu dan memulas tombol.

"Oh! Na dah sampai rupanya. Abang dah risau ke mana Na sesat" Ehsan terus bersuara apabila nampak kelibat Husna di belakang Sheila yang menolak daun pintu.

"Na minta maaf sebab lambat. Tadi pukul lapan Na dah nak keluar rumah tapi atok buang hajat pulak jadi Na uruskan atok dulu" keruh air muka Husna menerangkan kepada Ehsan sebab kelewatannya. Husna rasa bersalah lebih-lebih lagi melihat air muka Sheila yang ketat.

Dengan gerak tangan Ehsan pelawa Husna duduk di bangku hadapan meja kerjanya. Sheila berdiri rapat sebelah Ehsan menghulur fail merah jambu yang dibawa bersamanya tadi.

"Agreement dengan company Cool and Cold Store tu you print ye. Diaorang baru call I nak hardcopy and you boleh keluar dulu Sheila. Nanti I panggil you untuk tolong briefing Husna kerja dia" Sheila angguk sekali. Sebelum keluar Sheila melirik tajam ke arah Husna membuatkan Husna tertunduk takut.

Ehsan selak dua tiga muka surat kertas di dalam fail merah jambu, menyemak ringkas untuk terakhir kali kemudian meletakkannya di hadapan Husna.

"Ye Abang tahu. Na tak sampai-sampai dah pukul sembilan, Abang telefon Kak Mary... Ni letter offer Sheila dah draft dalam bahasa Melayu. Na baca dulu fahamkan. Dah faham baru sain kat muka surat last tu. Tapi setiap muka surat Na kena initial bukti Na dah baca dan faham".

Husna tarik fail merah jambu rapat ke dadanya. Diam membaca setiap helaian muka surat. Sesekali melirik Ehsan yang sibuk menulis sesuatu pada dokumen di hadapannya.

"Na dah sarapan?"

"Dah. Abang?"

"Dah juga"

Sambil Husna membaca dan Ehsan melakukan tugasnya sambil juga dia berbasa basi dengan Husna. Ehsan curi-curi pandang Husna yang seakan tidak selesa. Tapi gadis kecil itu kelihatan lebih sihat berbanding hari Ahad ketika Mek terbang ke Labuan.

"Boleh Na pinjam pen?"

Ehsan tarik laci meja kerjanya mencari pen dakwat kering. Kemudian menghulur kepada Husna sebatang pen berdakwat hitam.

Husna turunkan tandatangan ke atas setiap muka surat tawaran kerja itu. Ehsan sekadar memandang dan membiarkan sahaja Husna menandatangan setiap muka surat.

"Nanti tengah hari makan dengan Abang ye. Tapi lambat sikit la dalam pukul dua baru Abang free"

Semerta Husna terbayang wajah ketat Cik Sheila sebentar tadi. Dia bukan terlalu naif untuk memaham sebab disebalik raut wajah yang sebegitu.

"Tak pe lah Abang. Na ingat nak balik kejap masa rehat nanti... nak tengok atok ok ke tak Na tinggal kerja." Husna beralasan tapi benar itulah dalam perancangannya.

"Okaylah kalau macam tu. Lain kali Abang belanja Na."

Terdengar ketukan dari luar daun pintu kemudian masuk Sheila merapati meja kerja Ehsan "Boss... appointment you at eleven am. Takut jam"

"Oh! ok. Thank you Sheila. You briefing Husna kerja dia ye. Tunjukkan all levels this office and introduce her to our colleagues" Sambil tangan Ehsan mengambil segala dokumen yang harus dibawa sambil dia memberi arahan kepada Sheila.

Husna segera berdiri melihat Ehsan yang bergerak pantas meninggalkan meja kerjanya. Husna turut keluar dari pejabat Ehsan di ikuti Sheila di belakangnya.

Husna berdiri di hadapan kubikel ruang kerja Cik Sheila menunggu arahan selanjutnya. Sebaik kelibat Ehsan hilang di sebalik pintu Cik Sheila pusing badan menghadapnya. Terkulat-kulat Husna kerana mati tingkah. Awat ketat sangat muka tu.

"This is office! It's so unprofessional to address him Abang! After all he hold most high position in this company!" terjegil mata dan terketap gigi ketika Cik Sheila menuturkan ayat itu.

"You tak faham? lepas ni tolong panggil Tuan Ehsan, jangan nak berabang dengan boss. Ini pejabat bukan warung!" Husna rasa mesti Cik Sheila fikir dia tak faham sebab tu Cik Sheila ulang keterangan dalam bahasa Melayu.

"Baik Cik Sheila. Saya minta maaf"

"Follow me!"

Husna mengekor Cik Sheila keluar dari bahagian Pentadbiran menuju ke satu ruang kerja yang luas tetapi ruang kerja setiap kakitangan dipisahkan kubikel-kubikel kecil setinggi dada orang dewasa berdiri.

Hujung dinding ruang luas mereka melalui satu lorong panjang. Cik Sheila berhenti di hujung lorong.

"Ni pantry! you can put your bag in that drawer below there" mencokeng jari telunjuk Cik Sheila yang bercat merah menunjuk ke arah kabinet aras bawah. Garangnya!

"Make sure you datang eight sharp as per show in letter offer. Office hours will be start at nine, at that time make sure area kerja dah siap kemas. Jangan orang nak kerja you baru terhegeh-hegeh nak menyapu nak mengelap. Don't disturb people working. This is office not a playground!"

Omak ai! terkulat-kulat Husna mendengar penerangan Cik Sheila dengan suara yang melengking-lengking kuatnya.

Terjongol tubuh seseorang di muka pintu dengan tiba-tiba.

"Opss... sorry Kak Jun ingat something bad happens. Cik Sheila tengah briefing ye. Ok bye!" pantas Kak Jun memusingkan badan mahu meninggalkan ruang pantry.

"Kak Jun!"

Kak Jun tidak jadi melangkah. Memusingkan semula badannya menghadap Cik Sheila dan Husna.

"Kak Jun tolong beritahu tugas dia apa. Then tunjukkan setiap floor to her. And introduce her to our colleagues. I ada kerja nak settled" Kak Jun sekadar mengangguk menerima arahan daripada Cik Sheila.

Sebaik Cik Sheila menghilang di hujung lorong panjang perlahan-lahan Kak Jun pusing badan menghadap Husna. Kak Jun pincing mata memandang Husna.

"Husna dengan Cik Sheila dah kenal ke sebelum ni?".

Pantas Husna geleng kepala menidakkan soalan Kak Jun.

"Habis tu kenapa cara dia dengan Na macam ada dendam kesumat je?".

"Saya tak tahu. Saya ingat cara Cik Sheila memang tegas macam tu" Husna buntu untuk menjawab soalan Kak Jun.

"Apa kena minah tu? Period ke?" Kak Jun ketuk-ketuk jari telunjuk ke dagu seperti orang yang memikirkan masalah sebesar masalah negara.

"Whatever lah... Ok jom! Kak Jun mula dulu dari urusan kat pantry ni".

********************

Kak Jun terangkan kepada Husna bahawa jawatan Husna sebagai tea lady merangkap tukang cuci dan merangkap pembantu pejabat.

Husna harus datang satu jam lebih awal daripada kakitangan operasi yang lain. Tugas Husna harus menyediakan minuman pagi dan minuman petang untuk semua staff. Pantry berada di tingkat empat dan tingkat dua.

Untuk kerja pembersihan sudah ada dua kakitangan lain. Seorang bertugas untuk tingkat satu dan dua, manakala seorang lagi untuk tingkat tiga dan empat. Tetapi kedua mereka khas untuk kerja pembersihan sahaja. Oleh kerana itu Husna hanya perlu bertugas sepenuhnya untuk kerja pembersihan di tingkat empat sahaja dan tugas Husna juga untuk menyediakan minuman di pantry tingkat dua.

Kak Jun juga kenalkan Husna dengan semua kakitangan yang ada pada hari itu di semua tingkat.

Oleh kerana Husna termasuk dalam kategori pekerja bawah umur jadi dia hanya perlu berkerja tujuh jam sahaja sehari jadi waktu bekerja Husna tamat pada jam tiga petang. Pada perkiraan Husna pasti dia boleh mencari kerja part time seperti mencuci pinggan atau sebagainya pada sebelah malam.

Husna bersyukur kerana Allah menemukan dia dengan insan sebaik Ehsan yang seikhlas hati menolongnya. Memberinya peluang pekerjaan yang membolehkan Husna menyara dirinya dan Tok Udin. Alhamdulillah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience