"Kenapa la kau tak cari aku dulu, bincang dulu dengan aku Na" Mek bersuara ralat. Dia bersimpati dengan apa yang terjadi kepada Husna tapi dia risau apabila mengetahui ada seorang lelaki secara sukarela mahu membayar hutang Husna.
Pada fikiran Mek tak mungkin di zaman sekarang akan ada orang yang begitu mulia mahu terjebak dalam masalah orang lain. Lebih-lebih lagi melibatkan wang ringgit.
Mek risau kalau-kalau Husna itu akan keluar mulut buaya masuk pula ke mulut singa. Masalah anak gadis itu bukan kecil dan bukan juga sedikit. Mana mungkin ada Robin Hood seperti cerita dongeng yang akan datang saja-saja untuk menyelamatkan gadis senaif Husna.
Sejak Husna datang ke restoran sekitar jam tiga petang tadi Mek tak berhenti membebel. Dia bising sebab dia sayang dan risaukan Husna. Anak gadis malang itu membesar di hadapan matanya, ditangannya. Daripada Mek masih bergelar isteri hinggalah memegang gelaran janda berhias sekarang ini, dan akan pula menamatkan gelaran itu dalam waktu terdekat.
Mek pandang Husna yang duduk menyandar tepi kepala ke dinding ruang dapur restoran. Dengan dahi kiri yang benjol, bibirnya pecah dan kedua tangan dari tapak ke siku berbalut dengan kain kasa. Sedih sungguh!
"Orang tu cakap nak datang pukul berapa Na?" Mek turunkan nada suara menegur Husna yang sepertinya berada di alam lain.
Tegak badan Husna mendengar soalan Mek. "Dalam pukul lima" jawab Husna lemah. Sesungguhnya kalaulah Mek tahu libang libunya dalam hati dan fikiran Husna sekarang ini.
Mek toleh jam bulat di muka dinding. 4:20 petang.
Belum sempat Mek menambah soalan soal selidik, datang Sukri dari ruang hadapan restoran memberitahu kedatangan Ehsan dan Firdaus. Mek arah Sukri menjemput mereka ke luar ruang belakang kedai. Pada fikiran Mek di situ lebih sesuai untuk berbincang kerana tiada pelanggan makan di ruang itu.
Di luar itu memang Mek letak sebuah meja dan beberapa kerusi untuk pekerjanya berehat jika tiada pelanggan. Ruang luar itu juga tidak mengganggu pekerjanya untuk bekerja.
Mek raih tangan Husna untuk mengikutnya ke ruang belakang. Kemudian datang Sukri memandu arah Ehsan dan Firdaus pula.
Mek perhati kedua lelaki itu. Raut wajah keduanya sekitar seusia dengan Mek, lebih kurang di awal atau pertengahan 30an. keduanya tinggi lampai. Rupa paras yang boleh dikategorikan tampan. Seorang memakai baju jersi Manchester United berjalan di hadapan manakala lelaki yang di belakang berbaju tshirt kolar berwarna merah hati itu jalannya sedikit capek dan tangan kirinya di dalam kocek seluar. Di atas bibirnya pula ada sedikit parut yang kelihatan samar namun tidaklah sampai mengurangkan paras rupanya.
Husna sambut keduanya dengan senyum senang. Bersyukur dan sangat berterima kasih kerana Ehsan dan Firdaus benar-benar datang seperti dijanji.
Sebentar tadi Husna bagai terlupa cara bernafas yang betul kerana susah hati kalau-kalau Ehsan tidak menunaikan janjinya. Dari celah mana Husna mungkin dapat adakan rm63K itu dengan serta merta bagai dijanji. Kalaupun Mek dapat menolong, pasti Mek perlukan sekurang-kurangnya lima ke enam bulan masa untuk bergolok gadai mengumpul wang sebanyak itu.
"Mek... yang ni abang Firdaus..." Husna tunjuk ke arah Firdaus yang berbaju jersi Manchester United.
"...yang ni abang Ehsan" Husna tunjuk pula ke arah Ehsan yang berbaju merah hati.
Mek angguk kepala dua tiga kali dengan senyum nipis. Menyambut mereka dengan senang hati tapi berwaspada. Mek tidak mahu menunjukkan lebih-lebih keterujaan. Bimbang akan keselamatan Husna di kemudiannya.
"Ni majikan saya, mak angkat saya pun ye juga...Sabariah" Husna tunjuk ibu jari kanan ke arah Mek. Mek angguk lagi kepala dua tiga kali.
Ehsan dan Firdaus juga angguk kepala sekali dengan senyum kecil.
"Kita tunggu lawyer saya kejap, dia dah on the way" Ehsan bersuara memandang Mek.
"Bagus juga ada lawyer, ada hitam putih... Boleh Encik Ehsan tunjuk dulu kat saya kira-kiranya macam mana nak Husna bayar balik?" Mek soal Ehsan pantas. Mek fikir dia perlu tahu perkara itu dahulu sebelum wakil lintah darat itu datang.
"Eh! bukan macam tu Puan Sabariah... hitam putih itu untuk Husna dengan lintah darat tu" pintas Ehsan.
"Dengan saya tak ada kira apa-apa, duit ni ada hamba Allah ikhlas derma untuk selesaikan masalah Husna" sambung Ehsan.
"Tapi memang adalah hitam putihnya antara Husna dan penderma bagi tujuan audit akaun. Faham-faham ajelah LHDN". Ehsan terangkan dengan cermat supaya Mek faham dan tidak curiga.
Ehsan benar-benar ikhlas untuk menolong Husna membayar hutang Tok Udin. Lagipun bukan duitnya dan Idris pula memang mahu mencari asnaf untuk tujuan menderma.
"Saya buat hitam putih antara Husna dengan lintah darat itu supaya lepas ni mereka tak akan ganggu Husna dan Tok Udin lagi". Terang Ehsan satu persatu.
"Cuma tulah... harapnya lepas ni Tok Udin dah tak meminjam lagi" Ehsan sambung kata sambil mengibas tangan menghalau lalat yang hinggap ke pipinya.
"Mudah-mudahan macam tulah" jawab Husna lemah. "Tapi saya rasa memang atok tak kan buat lagi... saya lawat atok tengah hari tadi... atok kena serangan angin ahmar lepas kita balik subuh tadi, kata doktor sebelah badan atok dah lumpuh" menitis airmata Husna bercerita.
Semua yang berada di situ terdiam tak bersuara. Semuanya bersimpati dengan nasib Husna. Tapi Allah lebih mengetahui mudah-mudahan ada kebaikan atas apa yang terjadi. Lagi pula jika ditimbang dengan akal yang waras, dengan sikap Tok Udin itu lebih elok dia tidak bergerak ke mana-mana. Selangkah Tok Udin itu ke depan satu masalah jatuh ke riba Husna.
Kemudian semua di situ menoleh ke ruang dapur restoran apabila kelibat Sukri datang bersama seorang lelaki di belakangnya.
"Maaf lambat... jem gila, time orang balik kerja kan" sambil ketawa janggal lelaki di belakang Sukri bersuara termengah-mengah.
"Tak pe Encik Salim, lanun tu pun belum sampai" jawab Firdaus ketawa kecil cuba menceriakan suasana. Sedari sampai dia tidak menyampuk perbincangan dan menyerahkan segala urusan kepada Ehsan. Lagipun bukan duitnya dan tuan punya duit juga tidaklah rapat dengannya. Dia berada di situ hanya sahaja Ehsan itu adalah sahabat baiknya. Best Friend Forever!.
Lelaki yang dipanggil Encik Salim itu juga ketawa kecil mendengarnya. "Meja ni boleh guna ye" soal Encik Salim seraya mengangkat beg bimbitnya yang kelihatan agak berat.
"Boleh... boleh" pantas Mek menjawab sambil tangannya mencapai kain lap berdekatan dan segera mengelap permukaan meja itu yang sebenarnya sudah kelihatan bersih.
Sesudah Mek mengelap meja, Encik Salim letak beg bimbit yang dipeluknya sedari tadi. Dari dalam beg itu Encik Salim mengeluarkan beberapa keping kertas bersaiz A4 yang kosong, mesin pencetak kecil dan komputer riba.
"Ada extension tak?" soal Encik Salim. Mek panggil pekerjanya yang bernama abang Man untuk mengambilnya dan menyambungkan pada soket terdekat. Semua yang berada di situ sekadar memerhati Encik Salim menyudahkan kerjanya satu persatu.
"Ok... Cik Husna saya perlukan IC Cik Husna" Encik Salim yang sudahpun duduk di hadapan komputer ribanya memandang Mek yang sedang berdiri di muka pintu belakang kedai.
Serentak semua yang berada di situ tertawa kecil. Encik Salim yang tidak memahami duduk perkara kelihatan terpinga-pinga.
"Saya Husna Encik, ni majikan saya Sabariah" Husna terangkan kepada Encik Salim duduk perkara.
"Oh! ye ke? maaf ye... sebab awak nampak macam budak lagi itu yang tak target awak orangnya" Encik Salim bersuara ralat sambil memandang Mek dan Husna bersilih ganti.
"Ok bagi IC Husna dan IC Tok Udin ye"
Mek dan Husna sekadar tersenyum. Husna keluarkan dari beg silang di badannya kad pengenalan dirinya dan Tok Udin. Husna keluarkan juga resit perjanjian pinjaman wang antara Tok Udin dan lintah darat itu.
"15 tahun!" Encik Salim terperanjat besar ketika melihat nombor di kad pengenalan yang dihulur Husna. Zalimnya lintah darat, anak seumur ini juga tidak dikecualikan menerima akibat dari berhutang dengan mereka.
Merah pipi Husna yang tersenyum kelat. Malu dengan nasib yang menimpa perjalanan hidupnya. 15 tahun itu pada orang lain baru benar perjalanannya, tapi bagi Husna yang berjalan di atas trek itu sudah mula lelah dan goyah. Sudah mula bunga-bunga mahu beralah dengan ujiannya. Lebih-lebih lagi dengan pengalaman ngeri adegan kejar mengejar malam tadi. Kalau sahaja tiada Ehsan malam semalam adakah malam ini malam pertama mimpi paling sadis sejarah 15 tahun hidupnya.
"Belum siap lagi ke draft perjanjian Encik Salim?" soal Ehsan berbunyi ralat.
"Dah siap Tuan... tapi sebab pagi tadi Tuan kata tak tahu nama penuh Husna dan Tok Udin serta nombor IC semua, jadi saya belum print lagi" Encik Salim jawab soalan sambil menaip sesuatu ke dalam komputer ribanya.
"Oh! ye... ye... saya lupa" Ehsan termalu sendiri. Bagaimana boleh dia lupa tentang itu. Sepontan tangan naik mengusap tengkuk. Firdaus di sebelah menyenggol lengannya sambil tersenyum tapi tangan dan matanya tetap tak beralih dari permainan ML di telefon bimbitnya.
Kedengaran mesin pencetak kecil itu berbunyi. Beberapa keping kertas masuk dan keluar darinya. Semua di situ tiada siapa yang berbual-bual. Semuanya seolah-olah berperang dengan fikiran masing-masing. Hanya Firdaus yang berperang dalam permainannya di alam maya.
Suara bercakap-cakap hanya datang dari arah dalam kedai di antara pekerja Mek yang sedang memasak dan menghantar pesanan pelanggan.
"Encik semua nak minum apa ye?" soal Mek tiba-tiba. Apabila semua senyap baru Mek perasan dia tidak mempelawa tetamu yang datang dengan minuman atau kudapan.
"Mek Yah offer diaorang je ke? Untuk abang tak de ke Mek Yah" tiba-tiba satu suara asing menyampuk. Semua di situ menoleh dari arah datangnya suara itu. Kelihatan lintah darat semalam masih dalam jumlah dan orang yang sama semakin menghampiri dari hujung jalan di ruang luar belakang lot kedai itu. Sambil tersenyum-senyum miang.
Husna bergerak ke belakang Mek yang berdiri di muka pintu belakang restoran. Terbayang-bayang lagi tindakan ganas mereka malam semalam membuatkan Husna gugup dan ketakutan.
"Alahai... hei budak! kau tak payah la over acting sangat. Berbulu biji mata aku tahu!. Dengan kitaorang kau tak nak ye dengan mat smart kau nak. Cakap la semalam kau nak jadi sugar baby kan senang" Lelaki yang paling banyak bercakap dari semalam menyergah Husna. Koncu-koncunya yang bertiga lagi serentak ketawa galak.
Husna cengkam lengan Mek dari belakang. Mohon Mek melindungi dia dari lintah darat itu. Tidak berani Husna mengangkat kepalanya memandang mereka berempat.
"Hei Rock! kau datang sini nak duit kau aje kan! Kau jangan nak usik-usik anak aku ye!" Mek menengking marah.
"Hek eleh! anak?... Mek Yah kau tu mandul mana datangnya anak kau" sahut lelaki yang Mek panggil namanya Rock.
"Kau...kau.." tergigil-gigil Mek menahan marah mencari ayat untuk memaki hamun Rock.
"Bro... aku dah sediakan duit hutang tu. Black and white pun dah ada ni" Ehsan pantas masuk campur apabila dilihat keadaan semakin tidak terkawal. Bagai terlihat asap keluar dari hidung Mek yang merah padam mukanya memandang Rock.
Rock yang sedang beradu pandangan amarah dengan Mek menoleh ke arah Ehsan. Rock tarik sebuah bangku dan duduk di hadapan Encik Salim yang terperanjat menonton aksi langsung bunga-bunga keganasan lintah darat.
Ehsan yang duduk di sebelah Encik Salim memegang kemas dokumen yang telah disediakan.
"Sebelum tu boleh tolong serahkan dulu jam tangan aku?" Ehsan memulakan mukadimah, Rock angkat tangan kirinya sambil tersengih-sengih, kemudian membuka jam itu dan menyerahkannya kepada Ehsan.
"Kat sini dah tulis kau tak akan ganggu lagi Husna dan Tok Udin, kau boleh baca dulu" Ehsan hulur dokumen kepada Rock.
"Cerita banyak!... duitnya mana?"
Ehsan keluarkan sekeping cek yang baru ditulisnya sebentar tadi semasa Encik Salim sedang menyediakan dokumen. Ehsan tolak cek di atas meja itu dengan jari telunjuk kepada Rock.
"Atas nama 'company pinjaman berlesen' kau tu" Rock angkat kepala yang sedang tunduk membaca muka cek dan menyeringai seram ke arah Ehsan. Dia tahu Ehsan sedang menyindirnya. Ehsan juga tayang senyum sinis supaya Rock faham dia tidak terkesan dengan memek muka Rock.
Rock sambung baca dokumen yang disediakan. Melihat pada susuk kemas Ehsan dan Firdaus serta dokumen yang lengkap disediakan seorang peguam bertauliah dia tahu lebih baik dia ambil duit dan tutup kes. Urusan yang penting hutang Tok Udin berjaya dikutip.
"Kau sure ye dalam kertas ni ada duit" Rock kebas-kebas cek di tangan ke depan muka Ehsan dengan mata mencerlung garang.
"Kau percayalah cakap aku kalau orang ada pilihan dia mesti tak nak berurusan dengan kau dua kali" bunyi cakap Ehsan sopan sahaja tapi membakar hati Rock. Tapi Rock sebolehnya buat muka bersahaja meniru cara Ehsan yang santai sahaja berurusan dengannya.
"Ok! ok!... sini budak! kau sain dulu" Rock toleh Husna yang masih menyorok di belakang Mek. Husna lambat-lambat berjalan ke arah meja, menarik perlahan kertas dokumen kemudian menandatanganinya. Sesudah itu Rock rampas kertas dan turut menandatanganinya juga.
"Malam ni sugar daddy kau dah boleh guna kau la ye?" sambil berdiri Rock sergah Husna yang masih kalut.
"Kau jangan nak kurang ajar ye Rock... urusan kau kat sini dah selesai. Kau boleh blah sekarang!" Mek yang sememangnya sedang panas hati menyembur Rock.
" Relax la Mek... ke sebenarnya kau yang servis malam ni" Rock bidas cakap Mek sambil ketawa mengejek. Mek yang panas hati mencapai sebatang penyapu yang bersandar di dinding mahu melibas Rock. Tindakan Mek terhenti apabila salah seorang pengikut Rock mengeluarkan sebilah pisau dari kocek jaket yang dipakainya.
Ehsan, Firdaus dan Encik Salim sepontan berdiri. Rock angkat tinggi sebelah tangan, arahan senyap anak buah dia menyimpan kembali pisau tersebut. Rock lipat dua cek yang diterimanya kemudian memasukkan ke dalam kocek jaket denim yang pakainya.
"Kalau kau nak guna duit cari aku ok. Bagus berurusan dengan orang macam kau ni. Ok la aku blah dulu" Rock berpamitan tapi tiada seorang di situ menjawab kata-katanya.
Semua di situ sekadar memerhati kesemua lintah darat itu hilang di hujung bangunan sana.
"Alhamdulillah dia dah balik... seram saya" kata Encik Salim tiba-tiba.
"Sekarang bolehlah Husna sain dokumen yang ni pula" sambung Encik Salim.
"Yang ni bagi tujuan audit akaun. Sebab nanti nak declare LHDN dia cek duit masuk dan keluar. Keluar pula sebab apa..." Encik Salim terangkan sambil menolak dokumen tersebut ke arah Husna yang sudah duduk di tempat Rock duduk sebentar tadi.
Husna tidak bersoal jawab dia ambil dokumen dan mula membacaanya. Mek segera menghampiri Husna dan membongkok di belakang Husna untuk sama-sama membaca isi dokumen. Selepas kedua mereka berpuas hati tiada yang diragui, Husna capai pen dan menurunkan tandatangan.
"Terima kasih Encik Ehsan" ucap Husna serentak dengan Mek.
"Minta maaf saya berperasangka tak baik pada Encik Ehsan mula-mula tadi. Saya cuma risaukan Husna kalau-kalau dia ditipu. Husna ni dia punya lurus bendul pun kalah" Mek sambung kata mengundang senyum semua di situ.
"Saya dah sediakan dinner. Tunggu kejap ya staff saya hidang" Mek yang sudah boleh tersenyum menggamit pekerjanya untuk mula menghidang jamuan untuk mereka yang telah menolong Husna anak angkatnya itu.
Mudah-mudahan semua baik-baik sahaja selepas ini.
mse Sy publish yg memula dlu dh rmai follow sy. tak pasti sb mslh sistem yg dlu smpi coin pn hilang tu sb follower pn hilang. atau mmg cara biasa LPs dh abis cite dh tk follow. mohon kwn2 yg sdg bce tlg follow Sy ye. tqvm kwn2
Share this novel