"Na bangun!"
Husna gosok-gosok matanya. Cuba mengecam suasana sekeliling. Dia dekat mana ni. Tempat ini bukan asing tapi Husna cuba mengingat tempat ini. Bilik siapa ni.
"Eh! cepatlah bangun. Lambat karang habis. Kita kena cepat Na. Cepat! Cepat!".
Siapa yang sedang menyarung baju di sebalik pintu almari itu. Sesudah siap menyarung baju pintu almari di tutup dan dia berpaling menghadap Husna.
"Mek!".
"Eh! Kau ni kenapa? Kita kena cepat nanti makanan percuma NGO tu habis. Asyik makan biskut aje nanti kau lambat besar."
Mek tarik tangan Husna agar bangun dari berbaring di atas sehelai toto yang dihampar di atas lantai.
"Dah jom. Aku dah cakap jangan tidur lepas solat asar. Tengok ni kau mamai macam ni."
Husna genggam kuat tangan Mek. Sambil berjalan Husna dongak memandang wajah Mek yang sedang laju mengheretnya ke pintu utama. Rindunya kat Mek!.
Eh! Kenapa dia harus mendongak untuk memandang wajah Mek. Bukankah dia lebih tinggi daripada Mek. Husna nampak jarinya yang menggenggam jari Mek. Kenapa?...
Husna tunduk memandang badannya. Eh! baju ni masih ada. Baju ni Mak jahit untuk Husna. Mak bagi Husna baju ni masa...
Mak dah tak ada. Bulan lepas Husna ikut Mek dan jemaah surau di selekoh sana jalan, hantar Mak ke kubur. Mek pesan jangan nangis. Mek cakap itu rumah baru Mak. Dekat rumah baru tu Mak tak akan rasa sakit lagi dan Mak juga tak akan sedih lagi. Husna budak baik sebab tu Husna tak menangis. Lagipun Husna ada Mek. Mek tak akan biarkan perkara buruk jadi kat Husna. Mek sayang Husna sama macam Mak sayang Husna. Husna boleh rasa kasih sayang Mek. Rasanya sedap macam coklat yang plastik bungkusnya warna purple tu.
Seronoknya dapat berjalan pimpin tangan dengan Mek. Walaupun Mek jalan laju tapi tak apa. Mek cakap kena cepat nanti makanan habis. Kalau ada Aunty Mary tentu tak payah kejar makanan NGO. Tapi Aunty Mary ikut Uncle John kerja dekat Kem Terendak Melaka.
Sampai di hujung jalan Husna nampak ramai dah beratur. Panjang!
"Beratur Na. Sini cepat beratur takut makanannya tak cukup. Hari ni macam ramai je ambil makanan." Mek tarik tangan Husna supaya beratur di hadapan Mek. Mek beratur sambil pegang bahu Husna supaya Husna tidak kena rempuh orang yang lebih besar.
Sampai giliran Husna kakak yang kerja NGO jaga makanan minta maaf pada Mek sebab tinggal satu mangkuk sahaja. Mek ambil makanan dan ucap terima kasih. Mek heret lagi tangan Husna bergerak ke tepi dinding bangunan.
"Duduk sini!" Mek tarik tangan Husna supaya duduk di sebelahnya yang duduk bersila menyandar di dinding bangunan.
"Buka mulut." Husna ikut cakap Mek. Nganga mulut besar-besar supaya senang Mek nak suap Husna.
"Mek tak makan?" Soal Husna bila selepas dua tiga kali menyuapnya Mek masih tidak menyuap mulutnya sendiri.
"Aku dah gemuk. Kalau aku makan, makin gemuklah aku. Nanti aku tak cantik."
"Na dah kenyang".
"Eh! belum habis ni." Husna nampak nasi yang masih berbaki separuh dalam mangkuk tipuware itu. Tapi Husna Sayang Mek macam Husna Sayang Mak.
"Na dah kenyang. Boleh Mek tolong Na habiskan."
Mek pandang muka Husna lama. Tangan kiri Mek pegang mangkuk tipuware sebelah lagi tangan kanan kotor kerana menyuap Husna. Dengan tangan Kanan Mek raih Husna masuk dalam pelukannya dari sisi. Bila Mek lepas, Husna nampak mata dan puncak hidung Mek yang merah. Mek menyandar ke dinding kembali dan menyuap baki nasi dalam mangkuk tipuware. Mek diam sahaja menyuap makanan sampai habis.
Mek guna air minum dalam botol yang Mek bawa dari rumah untuk basuh tangan. Mek buang mangkuk tipuware dalam tong sampah yang disediakan majlis bandaraya.
"Dah jom balik."
Husna suka bila Mek pimpin. Rasa tangan Mek hangat macam tangan Mak. Husna rindu Mak. Mek cakap kalau rindu Mak jangan lupa hadiahkan Mak Al Fatihah. Mek cakap Husna kena cepat-cepat khatam mengaji nanti boleh hadiahkan Mak lagi banyak. Nanti kata Mek rumah baru Mak terang bederang macam lampu majlis bandaraya pasang masa hari raya.
Mek kata kalau dah pandai mengaji boleh baca Al Quran. Cahaya Al Quran terang seluruh alam. Mek cakap lagi nanti kalau Mek dah pindah rumah baru macam Mak punya rumah baru Husna kena bacakan Al Quran macam Husna bacakan untuk Mak. Husna sayang Mak dan Husna Sayang Mek. Husna nak rumah baru Mek terang bederang macam rumah baru Mak yang ada lampu majlis bandaraya pasang masa hari raya.
"Dik! dik!... awak okay tak. Bangun dik! Doktor! patient ni dah sedar tapi dia meracau!"
Siapa jerit-jerit tu.
*********************
Husna duduk berjuntai kaki di katil hospital. Kekura tangan kirinya bercucuk jarum yang bersambung tiub panjang sampai pada sebotol drip yang tergantung pada sebatang tiang beroda di kakinya.
Tengah hari tadi Husna bangun kerana dikejut kakak nurse beruniform serba putih. Kata kakak nurse Husna demam dan terlalu panas sehingga pengsan. Lebih 24 jam Husna tidak sedar. Aunty Mary yang panggil ambulan untuk membawa Husna ke hospital.
Kenapa Husna mesti terjaga lagi. Husna nak tidur terus. Nak mimpikan Mek, dan kalaulah mimpi itu babaknya awal lagi sikit mesti ada Mak. Husna rindu Mak dan sekarang rasa rindu pada Mek dah jadi macam Husna rindu Mak. Mak dan Mek dah bersama. Bersama-sama tinggalkan Husna. Ini semua tak adil!.
Semua yang sayang Husna dah pergi tinggalkan Husna. Mak, Mek, Abang Ehsan. Kenapa mesti Husna yang terpilih?. Husna dah ikut cakap Mak dengan Mek supaya jadi budak baik. Kata Mak dan Mek kalau jadi budak baik nanti tak ada masalah. Sekarang semua tinggalkan Husna. Tau tak semua ni sekarang dah jadi masalah pada Husna.
"Husna Sayang..."
Husna toleh bila dengar suara lemah-lembut itu. Nampak Aunty Mary senyum sedih pada Husna. Aunty Mary bawa mangkuk tingkat warna kuning cair ada gambar Ikan Mas sedang berenang. Mangkuk tingkat Aunty Mary letak atas kabinet sebelah kepala katil.
"How are you feeling today dear?"
Husna diam sahaja memandang wajah Aunty Mary yang sayu. Setitik air mata Husna jatuh menimpa kekura tangan di atas riba yang bercucuk jarum.
Aunty Mary tarik bangku plastik dan duduk menghadap Husna. Tangan Husna di atas riba, Aunty Mary ambil yang sebelah kanan yang tidak bercucuk jarum. Menggenggam dengan lembut dan membelai perlahan kekura tangan kanan itu dengan ibu jarinya.
"Aunty minta maaf Sayang... I'm sorry for your lost."
"Na nak peluk."
"Sorry Sayang..."
"Boleh Aunty tolong peluk Na?"
Aunty Mary tergamam seketika dengan permintaan Husna. Bangun dari duduk Aunty Mary raih Husna masuk ke dalam pelukannya. Memeluk seeratnya tubuh kecil molek Husna seolah berharap dapat menyalurkan seberapa banyak kekuatan dan rasa kasih sayang kepada gadis kecil yang kasihan ini.
"Of course Sayang. Of course!"
Lama mereka berpelukan begitu. Husna menangis senyap tapi bahunya terhinggut-hinggut mengawal bunyi tangisan. Basah baju Aunty Mary di bahu kerana Husna menyembam mukanya di situ. Aunty Mary juga sudah lencun dengan airmata.
Husna regangkan pelukan kemudian duduk tegak kembali di birai katil. Aunty Mary juga meniru gaya Husna duduk. Berjuntai kaki di birai katil.
"Bahari call Aunty. Dia kata dia call Na banyak kali tak dapat.
"I told him you have emergency and you forgot to bring your handphone.
"That Friday morning Mek selling nasi lemak at stall like usual. When they finished selling, suddenly she fell and she bleeding. Bahari told me...A lot! everyone panic!"
"They bring her to hospital but they lost her and... the baby."
"I'm chicken to tell you right away. I don't know how because I know how much you love her. She's like a mother to you."
"Terima kasih Aunty tolong jagakan Tok. Na dah banyak susahkan Aunty dengan Sam".
"No sweat. Small matter Sayang. Kita kan keluarga."
Menitik-nitik airmata Husna dengan kata-kata Aunty Mary. Dia bukan sesiapa pada Aunty Mary dan Sam malahan dia banyak menyusahkan mereka dua beranak. Sepanjang tinggal di situ sudah banyak kali Husna tidak mampu membayar sewa bilik. Lebih-lebih lagi ketika Tok Udin dengan sikap kaki botol dan tahi judinya itu. Tapi Aunty Mary melindunginya bagai anak.
Sejak Aunty Mary pulang semula tinggal di situ selepas kematian Uncle John keselamatan Husna terjamin. Walaupun Husna tiada duit dia tidak pernah berlapar jika ada Aunty Mary. Kerana Aunty Mary juga Mek dapat berkerja sebagai tukang masak sebab untuk pekerjaan itu Mek harus tinggal di rumah yang disediakan bersama kakitangan restoran yang lain. Mek boleh tinggalkan Husna sebab Mek yakin keselamatan Husna terjamin di bawah jagaan Aunty Mary.
"Kita yang hidup mesti teruskan perjalanan ini ye. Ada sebab Tuhan belum panggil kita balik. Mesti ada tanggungjawab kita di dunia yang belum selesai. Lagipun kalau tiada Na siapa akan doakan untuk Mak dengan Mek dengan Encik Ehsan. Mek dulu ajar Na macam tu kan".
Husna angguk. Ye betul apa kata Aunty Mary. Selagi hayat di kandung badan dia harus menolong Mak, Mek dan Ehsan. Mendoakan kesejahteraan roh mereka. Melepaskan mereka pergi ke alam sana dengan reda. Supaya mereka baik-baik sahaja. Dan supaya Husna juga baik-baik sahaja.
Share this novel