Husna turun dari teksi setelah membayar harga tambang. Melangkah perlahan-lahan menuju pintu naik ke rumah Aunty Mary. Di hospital tadi nasibnya agak baik ketika turun sahaja di pintu keluar hospital kebetulan ada seorang lelaki keluar daripada teksi. Dapatlah dia pulang awal ke rumah.
Badannya masih agak melayang apabila berdiri atau berjalan, tapi digagahkan juga dirinya untuk melangkah. Ada tanggungjawab yang dia lepaskan kepada Aunty Mary dan Sam dan dia sangat malu kerana terpaksa bebuat begitu.
Empat hari di hospital di tambah lagi dua hari sebelum itu berada di rumah Hajjah Hassanah bermakna hampir seminggu dia membiarkan tanggungjawabnya. Mujur sahaja doktor yang bertugas pagi tadi melepaskan Husna pulang ke rumah walaupun tekanan darah rendahnya masih belum normal sepenuhnya.
Husna harus sedar diri. Dia mesti masuk bekerja pada esok hari. Ehsan sudah tiada untuk membela dirinya. Walaupun Ummi dan Tok Ibu berjanji dia akan baik-baik sahaja di situ tapi dia tahu tak mungkin mereka dapat membela dirinya seperti mana Ehsan lakukan. Dan dia benar-benar perlukan pekerjaan yang ada sekarang untuk dirinya dan Tok Udin.
Ketika Husna mahu membuka pintu dari luar sudah ada tangan yang membuka dari dalam. Anak Kak Badriah penghuni bilik nombor satu sudah siap berpakaian baju melayu dan bersongkok hitam. Pasti sudah sampai masa mahu ke sekolah kafa.
"Kak Na dah sihat?" sapa Faiz anak sulung Kak Badriah yang paling cekap menolong ibunya dalam semua perkara.
"Alhamdulillah Faiz. Dah sihat."
Budak lelaki berusia sebelas tahun itu tersenyum dengan jawapan Husna.
"Faiz pergi sekolah dulu Kak Na."
"Okay Faiz. Baik-baik jalan."
Husna tutup pintu setelah kelibat Faiz hilang di balik tangga. Rumah senyap sahaja kerana penghuni lain biasanya masih berada di tempat kerja pada jam sebegini.
Kelibat Aunty Mary juga tiada. Waktu ini biasanya waktu tidur petang Aunty Mary selepas makan tengah hari. Husna tolak daun pintu biliknya yang tidak berkunci. Tok Udin duduk bersandar badan dan berlunjur kaki di atas katil bujang di tepi tingkap Nako. Matanya pejam sebentar tadi tapi terus terbuka apabila pintu bilik di tolak dari luar.
"Tok..."
"Naaa..." Tok Udin terjebik bibirnya menangis melihat susuk Husna di depan matanya. Dia rindu yang amat pada cucunya seorang ini.
"Tok okay? Tok sakit ke? tak selesa ke?" soal Husna cemas bila melihat Tok Udin yang menangis.
Dengan susah payah Tok Udin cuba angkat sebelah tangannya. Husna capai tangan yang semakin hilang dagingnya itu. Husna genggam jari-jemari tua yang berkedut kulitnya itu.
"Naaa..lik... dah ehat ke?" (Na balik dah sihat ke?)
"Alhamdulillah Tok. Na dah sihat. Sebab tu doktor bagi balik."
Tok Udin angguk-angguk kepala memegang kuat tangan dan jari Husna. Menitis air matanya dapat memegang Husna lagi. Dia amat takut jika ketika Husna tiada Allah jemput pulang nyawanya.
"Tok indu Na" (Tok rindu Na)
"Na pun rindu Tok".
"Tok ntak aap Mek ah ak de. Tok ntak aap San ah ak de... Tok ntak aap Mak Na ah ak de, an Tok ntak aap sal yah Na." (Tok minta maaf Mek dah tak ada, Tok minta maaf Ehsan dah tak ada... Tok minta maaf Mak Na dah tak ada dan Tok minta maaf pasal ayah Na)
Mengongoi-ngongoi Tok Udin menangis mengungkapkan kata maaf dan ralat perasaannya atas kehilangan mereka yang penting dalam hidup Husna cucunya. Dia harus bercerita sekarang ketika hayat masih di kandung badan. Dia tahu gilirannya pula selepas ini meninggalkan cucu seorang yang kasihan ini. Dia tak rela tapi dia tahu itu akan berlaku. Dia sangat menyesal untuk seluruh masa yang telah tertinggal bersama sikap buruknya dahulu.
"Tok janganlah macam ni. Nanti Tok sakit. Tok kena sihat. Na ada Tok aje sekarang ni." Menitis-nitis air mata Husna memujuk Tok Udin bertenang. Sedangkan hatinya juga sangat remuk mendengar luahan hati Tok Udin sekejap tadi. Dia juga sangat takut, dia faham maksud di sebalik ungkapan kata-kata maaf dari Tok Udin.
"Tok dah solat?" Soal Husna untuk mengalih perhatian Tok Udin daripada ketakutannya dengan masa depan Husna.
"Dah."
"Siapa tolong Tok ambil wudhuk?" risau juga Husna jika Aunty Mary yang menolong Tok Udin.
"a iz"
"Faiz?"
Tok Udin angguk dua kali. Alhamdulillah Husna bersyukur Allah datangkan pertolongan untuk beberapa permasalahan mereka.
"Na nak basuh baju kejap. Tok ada nak apa-apa? Tok nak makan ke? Nak pergi tandas?" Tok Udin geleng kepala. Jika terlalu mencuba untuk lebih bercakap dia akan merasa amat letih. Dia mengensot cuba menurunkan badannya. Husna sudah faham segera menolong Tok Udin untuk baring lurus di atas katil bujang itu.
"Na pergi basuh baju ye." Husna toleh dalam bakul baju di tepi pintu yang ada beberapa pasang baju Tok Udin. Di dalam begnya yang di bawa ke hospital juga ada baju kotor. Sengaja dia menyorokkan baju itu daripada Aunty Mary kerana bimbang Aunty Mary mengambilnya dan tolong basuhkan. Cukuplah dia menyusahkan Aunty Mary dengan urusan kebajikan Tok Udin.
Husna tunggu sehingga Tok Udin berjaya lelapkan mata. Husna tarik nafas panjang kemudian lepas perlahan-lahan. Itu yang selalu Mek pesan kepadanya kerana dia mudah gugup. Sekarang Mek dah tak ada untuk memberi pesanan begitu atau begini dalam hidupnya.
Dadanya sempit kerana dia benar-benar rasa kecewa yang amat. Sekarang dia faham untuk segala rasa berdebar sebelum-sebelum ini. Dia tidak pernah tersilap dengan ketakutan perasaannya.
Cuma kali ini ujian yang datang tiada cara baik pulih. Ujian yang datang bukan bergaduh dengan duit, bukan bergaduh dengan Rock si lintah darat, bukan bergaduh dengan masa yang suntuk untuk membayar hutang. Ujian yang datang membawa pergi sangah-sangah yang sentiasa menyokong dirinya jangan rebah.
Husna duduk menyandar di dinding bilik memeluk lutut. Memandang Tok Udin yang lena tidur. Mudah-mudahan Allah pinjamkan Tok Udin selama yang boleh. Supaya menjadi semangat untuk dirinya bangkit. Supaya menjadi penanda aras yang dia harus bangkit setiap hari menjalankan tanggungjawabnya.
Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
*****************
Idris kacau perlahan kopi ais di dalam gelas tinggi di atas meja. Encik Salim yang baru sahaja duduk di hadapannya sedang sibuk mengeluarkan beberapa dokumen daripada beg bimbit yang diletak di atas ribanya.
"Tuan Ehsan dah minta saya siapkan beberapa perkara ni. Bila saya kata macam wasiat dia kata bukan... lebih pada macam pre wedding agreement yang orang putih selalu buat tu."
Encik Salim berhenti bercakap dan mendongak memandang Idris memastikan lelaki kacak itu sedang memberi perhatian dengan kata-katanya. Satu hal yang selalu buat dia gugup dengan pelanggan terbesar firma guamannya ini kerana lelaki ini tidak banyak bercakap dia lebih suka mendengar penjelasan sehingga habis kemudian barulah dia bersetuju atau tidak.
Walaupun lelaki ini memiliki wajah yang kacak tetapi air muka yang sentiasa serius dan renungannya yang tajam boleh mengganggu penyampaiannya. Tetapi pelanggan yang satu ini melantiknya sebagai peguam rasmi untuk semua perniagaannya dan satu-satunya yang membayarnya dengan konsisten.
"Teruskan Encik Salim." Arah Idris bersuara datar. Dia menelefon Encik Salim untuk beberapa urusan melibatkan perundangan untuk syarikat apabila Encik Salim pula memberitahunya tentang Bong yang ada memintanya menguruskan hibah untuk beberapa aset dan simpanan. Dan lagi nama Siti Husna Binti Abdullah itu juga disebut Encik Salim dalam perbualan awal mereka di telefon. Maka dia di sini petang ini untuk mendengar sendiri penjelasan Encik Salim.
"Saya cerita pada Tuan Idris perkara ni sebab arahan ni tak legal lagi. Sebabnya saya baru buat draft seperti arahan arwah tapi arwah belum sempat tandatangan."
"Memandangkan arwah rapat dengan Tuan Idris dan hampir semua perkara melibatkan aset dan kewangan dia akan minta pendapat tuan jadi saya cerita dekat Tuan, seperti saya cakap tadi sebabnya semua ni tak legal lagi."
"Arwah minta saya uruskan pertukaran namanya kepada nama tunangnya Cik Siti Husna Binti Abdullah sebagai pemilik sebuah rumah flat di Puchong. Rumah itu aset pertama arwah beli sekarang sedang di sewakan."
"Lepas tu dia ada minta saya draftkan satu hibah untuk sejumlah simpanan tetapnya di CIMB Bank kalau umurnya tak panjang di hibahkan kepada Cik Siti Husna. Fixed deposit tu berjumlah rm50K berserta dividennya sekali."
"Oleh sebab arwah belum turunkan tandatangan jadi dokumen ni tidak valid in legal action jadi sekarang... rumah flat dan apartment tu seperti wasiat awal sebelum arwah kenal Cik Siti Husna dia letak nama Hajjah Hassanah sebagai pemilik rumah tu. Tapi saya ada jumpa Puan Hajjah masa hari kebumi arwah tu dia suruh saya bincang dengan Tuan Idris nak buat macam mana. Kalau ikut kata Puan Hajjah dia nak wakafkan harta arwah supaya dapat manfaat pada arwah mudah-mudahannya."
Idris diam sahaja. Sedang menimbang tara. Bagaimana besar pengaruh Siti Husna dalam kehidupan Bong. Hinggakan belum sah urusan nikah sudah Bong fikirkan penyediaan hibah untuk perempuan itu. Adakah kerana kekurangannya dari segi fizikal dan segala macam trauma buli yang dilalui dahulu sehingga rendah diri yang melampau maka Bong sanggup melakukan apa sahaja supaya seorang perempuan kekal bersama dengannya.
Adakah Siti Husna ini sedang mengambil kesempatan daripada rasa kasih Bong yang melampau. Berjumpa dengan Firdaus semalam dia dapat rasakan perempuan ini sangat besar duduknya dalam hati Bong. Mendengar pula cerita daripada Sheila maka itu kesimpulan yang dapat di rumusnya.
Semalam Idris dengar pula beberapa kakitangan yang bergosip tentang kematian Bong. Mereka yang bergosip sambil menghisap rokok di balkoni besebelahan tandas lelaki tidak sedar dia berdiri di balik dinding. Mereka percaya kematian Bong kerana membunuh diri apabila Siti Husna memutuskan pertunangan. Mereka mengutuk pula Bong sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki cinta gadis bawah umur secantik Siti Husna. Lebih menyakitkan hati Idris apabila mereka mengatakan Bong itu tidak sedar diri menggunakan wang ringgit memancing Siti Husna, berpadanan dengan Husna yang mengambil kesempatan untuk hidup senang.
"Tuan..."
Idris kembali ke alam nyata. Di hadapannya Encik Salim yang memandangnya dengan raut wajah hairan.
"Awak ada dengar apa-apa cerita dari polis pasal kematian Bong?"
Encik Salim tersentak. Lain yang dibincangkan lain pula yang ditanya lelaki kacak berwajah dan bewarna kulit Latin ini.
"Errmm... memang ada keluarga Tuan lantik saya berurusan dengan pihak polis tapi kes masih dalam siasatan. Saya tahu ramai yang cerita arwah bu..bunuh diri tapi sebab masih dalam siasatan jadi... hasil siasatan memang diperlukan sebab arwah ada insuran untuk dituntut."
"Saya berurusan dengan Doktor Hasry pakcik Tuan sebab ayah Tuan masa tu sakit lutut. Encik Hasman pula dia duduk Muar kalau ada urusan berbangkit payah nak follow up."
"Tuan dah ada bercakap dengan Doktor Hasry?"
"Ye. By phone masa saya di UK. Tok Ibu dan Ummi cakap jangan dipanjangkan lagi cerita Bong ni. Biarkan arwah berehat. Mereka yakin arwah kemalangan. Acu Hasry juga cakap macam tu jangan di panjangkan. Doakan sahaja untuk arwah."
"Saya cuma nak tahu kalau betul arwah bunuh diri apa yang menyebabkan dia ambil keputusan macam tu."
Melihat isi dokumen yang Encik Salim sediakan draftnya seperti kehendak Bong maka Idris simpulkan di sini Siti Husna itu sememangnya pisau cukur yang memudaratkan hidup Bong.
Idris kepal tangan. Ada hutang yang harus gadis itu bayar atas kematian Bong. Dia silap orang mengambil kesempatan atas Bong yang naif dengan cinta!
Share this novel