Bab 30

Drama Series 136190

Husna menunggu nombor gilirannya naik. Ini pertama kali dia datang sendiri ke sini. Sebelum ini dia datang bersama Mek. Menemankan Mek, kerana itu dia tahu bagaimana caranya untuk bergadai. Tapi hari ini dia bukan mahu bergadai dia mahu menjual terus kesemua barang kemas hadiah Ehsan kepadanya.

Dia tidaklah dungu sangat. Husna cuma tidak dapat melanjutkan pelajaran menengah tapi banyak juga ilmu hidup yang dia faham walaupun tidak se arif orang lain. Barang kemas ini mungkin tidak cukup untuk membayar seluruh hutang yang majikannya katakan hutang yang Ehsan sepatutnya bayar kerana menolong melepaskan dirinya dari lintah darat tapi sekurang-kurangnya mengurangkan total rm63K itu.

Semalam Husna pulang lewat kerana majikan barunya mengeluarkan arahan jika dia pulang untuk menguruskan Tok Udin maka dia harus pulang lewat menggantikan seberapa lama masa yang diambil untuk urusannya itu. Husna tidak membantah kerana arahan itu logik untuknya yang hanya berjawatan kuli sahaja.

Dan lagi oleh kerana Aunty Mary telah tiada dia harus pulang ke rumah pada tengah hari bagi memastikan kebajikan Tok Udin terjaga. Sebelum ini dia hanya perlu menunggu panggilan daripada Aunty Mary. Hanya jika Tok Udin membuang air besar sahaja dia perlu pulang untuk menguruskannya.

Ketika pulang lewat Husna bersaing dengan Kak Jun yang menunggu suaminya datang mengambil. Sebelum ini selepas ketiadaan Ehsan, Husna takut untuk berbual dengan rakan sekerja. Pertama jika tertangkap oleh Cik Sheila atau majikan barunya tiada siapa yang akan membelanya seperti dahulu. Keduanya dia merasakan mereka di pejabat memandangnya dengan satu prasangka yang tidak dapat Husna pastikan mengapa.

Duduk berbual dengan Kak Jun di tangga hadapan luar pejabat barulah Husna faham cerita sebenarnya. Tok Ibu dan Ummi tidak memberitahunya. Mereka sekadar mengatakan Ehsan kemalangan. Sedangkan mereka di pejabat sepakat mengatakan dari sumber yang mereka ketahui bahawa Ehsan itu terjun membunuh diri.

Mereka di pejabat percaya bahawa Ehsan mengambil keputusan begitu kerana kecewa Husna menanggalkan cincin pertunangan. Mereka fikir dia telah membatalkan pertunangan yang membawa kepada Ehsan mengambil keputusan menamatkan hidupnya.

Husna hanya mampu mendengar cerita Kak Jun dengan linangan air mata. Dia tiada daya membela dirinya. Setahunya kali terakhir dia berbincang dengan Ehsan mereka setuju hubungan itu diteruskan atas landasan persahabatan. Sehingga suatu masa yang akan mereka putuskan nanti.

Ehsan juga tidak menunjukkan tanda orang yang akan mengambil tindakan sedemikian kerana Husna yakin Ehsan bersungguh-sungguh mahu bertaubat meninggalkan segala kemungkaran yang pernah dilakukannya. Adakah kerana Ehsan tertangkap terakhir kali oleh Husna itu yang menyebabkan matlamat taubatnya berubah.

Adakah Tok Ibu dan Ummi melayannya dengan baik kerana mereka tidak tahu cerita dia menanggalkan cincin pertunangan itu maka mereka tidak ada kesimpulan seperti rakan pejabat yang lain. Adakah Tok Ibu dan Ummi akan membencinya jika tahu cerita itu. Bagaimana harus Husna bertemu mereka lagi selepas ini. Mungkin ketika itu Tok Ibu dan Ummi tidak tahu dan sekarang selepas beberapa lama pasti cerita itu telah sampai kepada mereka.

Husna sudah mengalah dengan hidupnya dia tiada daya untuk membela diri. Husna pegang sahaja kata-kata Mek untuk jalan sahaja mengikut takdir hidupnya. Dia tidak boleh ke mana-mana lagi. Ada hutang yang harus di bayar di sini. Dia tidak boleh lari kerana ada kebajikan Tok Udin yang harus dijaga. Dan seumur hidupnya dia tidak pernah meninggalkan Kuala Lumpur. Ketika Ehsan ada paling jauh dia pernah pergi hanya ke Bangi menemankan Ehsan minum cendol.

Harapan juga dia telah tiada. Kak Jun sudah bercerita selengkapnya nasib dirinya disalah erti dan Kak Jun cerita juga kemusykilannya tentang majikan barunya itu. Tuan Idris itulah anak saudara kesayangan Ehsan yang sangat dibangga-banggakan kerana sifat baiknya yang suka bersedekah. Melihat layanan lelaki itu Husna faham dia sudah hilang peluang membela diri walau apa cara sekalipun. Jika lelaki itu telah menghukumnya begitu, sekarang keluarga Ehsan yang lain yang melayannya dengan baik pada hari kematian Ehsan pasti akan begitu juga jika bertemu lagi dengannya.

Husna keluar dari bank yang menawarkan perkhidmatan ar rahnu itu sekitar jam satu petang. Kertas di tangannya menunjukkan dia memperolehi rm32k untuk semua barang kemas itu.

Semalam dia menjual barang hantarannya hadiah dari Ehsan seperti minyak wangi, sepasang kasut, seutas jam tangan, beg tangan dan persalinan kepada penghuni bilik nombor dua, seorang pegawai pemasaran di sebuah hotel dengan nilai rm2k. Total semuanya campur hari ini dia masukan dulu ke dalam akaunnya di bank itu.

Telefonnya berbunyi. Melihat pada nombor yang tertera dia segera menjawab.

"Ye Faiz. Kak Na dah sudah ni. Kejap lagi akak sampai rumah."

"Na... ni Kak Yah. Tok Udin kat hospital. Akak telefon ambulan ambil Tok. Medical Assistant tu cakap Tok kena heart attack. Na terus ke HKL ye. Tok kat emergency sana."

"Terima kasih Kak Yah."

Lemahnya seluruh tubuh Husna.

***************

"Pembedahan ni kena segera dilakukan. Cik ada waris dewasa yang lain tak untuk kami dapatkan keizinan operation procedure ni?"

Husna geleng kepala. Dia tinggal berdua sahaja dengan Tok di dunia ini. Baik Tok ataupun arwah Mak tidak pernah mengenalkan dia dengan ahli keluarga yang lain. Bercerita juga tidak pernah.

"Cik turunkan tandatangan di sini."

Doktor yang memberi penerangan menolak sekeping fail nipis yang terisi beberapa helai kertas dokumen kebenaran. Husna turunkan tandatangannya.

"Berapa kos untuk pembedahan ini doktor?"

"Cik pergi bahagian Hasil hospital bawa surat ini. Nanti awak boleh bincang untuk minta pengurangan bayaran atau bantuan asnaf. Jumpa mereka dahulu ye. Kami kena uruskan segera pembedahan ini."

Semakin lemah Husna menganggukan kepalanya. Dia tidak boleh kehilangan Tok Udin. Itulah sahaja semangatnya yang tinggal. Husna tidak mahu tinggal seorang di muka bumi ini tidak bersaudara. Walaupun dia tidak pernah mengenali siapa bapa kandungannya tapi dengan adanya Tok Udin dia tahu dia berketurunan juga walau tidak sempurna galurnya.

***************

"Sheila, minta tea lady hantar kopi susu kurang manis."

"Tea lady cuti boss. If you don't mind I can prepared for you." Sheila bertanya dahulu kerana dia pernah membancuhkan untuk Idris. Lelaki itu sekadar menyisipnya sekali kemudian air itu terbiar sejuk. Ehsan dahulu juga begitu.

"It's okay."

Idris matikan intercom. Dia bukanlah terlalu dahaga. Cuma sepagi yang telah tinggi ini dia tidak nampak si manis itu ketetel ke hulu ke hilir seperti selalu. Dia marahkan kepalanya yang mencari kelibat gadis putih melepak dengan mata bulat itu memandangnya takut-takut.

Tidak dinafikan juga dia sukakan air tangan si cantik berhidung comel itu. Kopi susunya manis secukup rasa seperti gadis itu. Sekarang dia bergaduh dengan perasaannya sendiri. Dia marahkan gadis itu tapi ada satu perasan lain untuk gadis itu yang akan memudaratkan rancangannya.

Tidak! tidak! tidak!

Dia harus kukuhkan rasa amarah. Harus pasakan tunjang amarah itu ke dasar hatinya.

Rancangannya dia harus memiliki gadis itu. Gadis itu berangan untuk berkahwin dengan orang senang untuk hidup mewah. Dia akan pastikan impian gadis itu tercapai dengan perkahwinan impiannya tapi bukan mewah yang akan gadis itu dapat. Dia mahu gadis itu merana di alam sini seperti Bong yang merana di alam sana.

Idris tekan link HRIS mencari maklumat pekerja. Nama Siti Husna Binti Abdullah... nombor telefon... yes! dia dapat. Idris simpan nombor telefon gadis itu dalam senarai kenalannya sebagai 'Jaga Kau!'.

***************

Husna menangis teresak-esak di susur gajah bangunan Jabatan Hasil Hospital menuju ke bangunan utama HKL.

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!

Selepas jenuh merayu dengan pegawai bertugas kos pembedahan pintasan jantung Tok Udin berjaya dirunding untuk dikurangkan kepada rm30K. Alhamdulillah! kerana kos asal berjumlah rm50K++.

Maha suci Tuhan sekelian alam. Allahuakbar! syukur Allah menolongnya. Dia ada simpanan untuk sejumlah bayaran itu. Duit jual barang kemas pemberian Ehsan itu akan Husna gunakan untuk membayar bill pembedahan pintasan jantung Tok Udin.

Hutang dengan majikannya itu akan difikirkan kemudian. Lagipun majikannya sudah memberitahu dalam perjanjian bertulis kelmarin bahawa gajinya akan dipotong rm500 sebulan. Buat masa sekarang Husna ambil nasihat arwah Mek buat satu-satu. Maka itulah yang akan Husna lakukan, dia akan menyelesaikan masalahnya satu per satu. Ikut sahaja takdirnya.

Dia muda lagi. Jauh lagi perjalanannya. InsyaAllah bahagia menantinya selepas selekoh. Seperti kata Mek, hari ini masalah belum tentu esok lusa masalah tidak selesai. Apa yang penting Husna jangan mengalah. Husna mengaku dia lelah tapi dia tidak boleh mengalah. Husna masih ada kasih dari Tok Udin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience