Bab 1

Drama Series 136280

Panas berdenting!

Jam baru menunjukkan pukul 10 pagi tapi bahangnya sudah terasa menggigit kulit.

Husna duduk bersila di atas sekeping potongan kotak yg dihampar di atas lantai deretan lot kedai. Sebelum ini dia di hadapan sebuah bank tapi tempat itu di ambil penjaja lain bila Husna tidak berjualan selama dua hari.

Husna memilih untuk berjualan di hadapan sebuah lot kedai insuran. Di hadapan Husna bersusun berbagai jenis kerepek dan makanan ringan tempatan seperti dodol dan jeruk. Husna tidak mengeluarkan semua dari beg kanvas besar yang diletakkan rapat di sebelahnya. Tujuannya supaya apabila pihak penguatkuasa bandaran membuat gerak gempur senang untuk Husna menyelamatkan barang jualannya dan melarikan diri.

Selama Husna berjualan seperti ini sudah dua kali Husna tertangkap kerana berjaja tanpa lesen. Tapi dua kali itu Husna dan barang jualannya selamat dan dilepaskan atas ihsan penguatkuasa yang bertugas. Mungkin kerana tangisannya yang teresak-esak dengan juraian airmata di wajah comelnye membuatkan penguatkuasa itu tidak sampai hati untuk menahan Husna.

Tapi Husna masih ingat amaran mereka tidak ada ihsan lagi jika tertangkap buat kali ke tiga. Husna ambil berat amaran tersebut.

Sebuah kereta mewah berhenti di pakir hadapan Husna. Turun seorang lelaki kemas berkemeja warna biru langit. Lelaki tersebut memandang Husna pada tolehan kali ke dua dan menghadiahkan senyuman yang tampak manis dan ikhlas.

"Kerepek encik... tiga sepuluh ringgit" Husna menyapa serba salah. Tiba-tiba teringat saranan kak Intan tuan punya barang-barang jualan Husna agar memanggil pelanggan lelaki dengan panggilan abang supaya mereka lebih mudah terpujuk untuk membeli. Husna sudah guna pakai saranan kak Intan tetapi berakhir dengan masalah apabila ada yang bertindak lebih dari sekadar membeli. Seolah-olah panggilan abang itu signal Husna berminat kepada mereka.

Lelaki yang Husna sapa sekadar tersenyum dan mengangkat tangan kemudian terus berlalu masuk ke dalam lot pejabat insuran di belakang Husna. Tak apa... Husna memujuk hati. Masih awal lagi.

Lalu pula sepasang suami isteri pertengahan umur. Husna sapa lagi dan mereka berhenti membeli tiga bungkusan kerepek. Apabila mereka berlalu pergi Husna senyum suka. Satu suntikan semangat untuk Husna terus duduk di situ.

Datang lagi dua orang wanita beruniform koperat membeli jualan Husna. Makin lebar senyuman Husna melawan bahang matahari yang menggigit kulit.

Husna terdengar bunyi pintu pejabat insuran di belakangnya terbuka. Kedengaran suara berterima kasih dan berpamitan. Husna mendongak toleh apabila perasan kelibat seseorang berdiri di sebelahnya.

Husna sua senyum comelnya. "Kerepek encik, tiga sepuluh ringgit".

Lelaki itu bertinggung di sebelah barang jualan Husna supaya tidak mengganggu laluan awam di kaki lima lot kedai tersebut. Agak rapat dengan Husna sehingga boleh terbau kuat haruman mahal yang diguna lelaki itu.

Husna tahan nafas. Rasa segan menyerbu hingga ke muka Husna. Nampak kulit pipi Husna bertukar merah. Husna senyum canggung. Dia yang risau kalau lelaki yang berminyak wangi mahal ini terhidu bau yang tidak enak darinya kenapa dia yang tahan nafas.

Husna mengesot sedikit dari silanya agar sedikit berjarak dari lelaki itu.

"Ada kerepek apa ni?" soal lelaki itu ramah dengan nada yang mesra. Matanya melihat ke arah jualan dan Husna bersilih ganti.

"Macam-macam ada. kerepek ubi pedas, ubi biasa, ubi cheese pedas, kerepek Pisang, bawang, popia cheese pedas. Macam-macam ada. Dodol dan jeruk pun ada" Husna jawab sopan.

Lelaki itu terangguk-angguk faham. "Adik sekolah petang ke?" Tiba-tiba lelaki itu bertanya soalan lari dari tajuk.

Husna tersentak dan senyumnya semakin canggung. "Saya dah tak sekolah" Husna jawab perlahan.

"Ooo ye ke? ingatkan adik masih sekolah. Nampak macam budak-budak lagi. Umur berapa? lelaki segak kemas itu menyoal ramah.

"15 tahun" Husna jawab ringkas dan perlahan.

"15 tahun? betul la abang agak budak lagi" teruja suara lelaki itu kerana tekaannya betul. "Awal sangat dah berhenti sekolah kenapa?

Husna tunduk wajah menyembunyikan air muka yang dia pasti sudah ketara mendung.

Lelaki segak itu seolah-olah dapat memahami kesedihan Husna . "Abang minta maaf. Kepochi pulak abang hari ni"

"Tak pe". Dengan wajah yang masih menunduk Husna jawab perlahan.

"Nama adik siapa?"

"Husna"

"Nama abang Firdaus. Boleh panggil Daus atau Aus je"

Husna senyum tayang gigi putih yang bersusun cantik.

"Ce Husna kira semua sekali berapa"

Bulat mata Husna memandang Firdaus. Husna salah dengar ke?

"Kot ye pun abang ni hensem jangan la pandang macam tu" Firdaus berseloroh sambil tergelak kecil.

"Semua sekali?" Husna soal polos

"Ye"

"Yang dalam beg ni sekali ke?"

"Ye" Firdaus masih tersenyum menjawab.

"Kejap ye..." Husna mencongak dalam hati. Pagi tadi dia ambil stok dari kak Intan total harga barang rm300. Lepas buka jualan ada berapa pelanggan ye... terkebil-kebil mata bulat Husna mengingat dan mencongak.

"Dua ratus tiga puluh ringgit abang Daus".

"Ok. Ni tiga ratus ringgit. Masuk semua dalam beg Husna tu abang Daus beli dengan beg sekali" Firdaus hulur not ungu dan hijau muda dengan tangan kanan.

"Eh! banyak sangat ni bang. Beg ni kat DIY baru tujuh ringgit" Husna tolak segan.

"Tak pe. Abang baru dapat bonus" Firdaus bohong sunat.

Merah pipi Husna menyambut duit Firdaus. Segan.

"Abang Daus dah tolong saya beli semua lepas tu bagi lebih pulak. Segan saya" Husna jawab perlahan.

"Tak pe la. Ni rezeki Husna. Petang ni abang nak pergi main futsal jadi nak agih kat kawan-kawan sebab baru dapat bonus" Firdaus terangkan niatnya yang betul nak main futsal dan agih makanan pada kawan-kawan, yang tak betul dia bukan baru dapat bonus.

"Alhamdulillah. Terima kasih abang Daus sebab beli semua jualan saya" Husna senyum dengan wajah yang benar-benar terharu.

Husna susun cantik-cantik semua makanan ke dalam beg kanvas dan menolong memasukkannya ke dalam bonet kereta mewah Firdaus.

Husna ucap terima kasih sekali lagi kepada Firdaus yang tersenyum menurunkan cermin tingkap kereta sambil berlalu memandu pergi.

Husna tarik nafas panjang perlahan-lahan dan lepas pantas seperti orang bersenam. Senyum suka. Mudah-mudahan hari ini bergerak baik-baik sahaja. Perkara baik seperti ini bukan kebiasaan dalam hidup sehari-hari seorang Husna jadi dia berharap sangat impian untuk hidup yang normal seperti orang lain bermula hari ini.

Husna kepit celah ketiak kanan kotak lapik duduknya. Masih awal lagi. Biasanya jualan kerepeknya memang tidak pernah habis tapi Husna akan berhenti berjualan apabila jam menunjukkan pukul dua petang. Kemudian dia akan mencari surau terdekat untuk menunaikan solat zuhur.

Tapi jam sepuluh ringgit di pergelangan tangannya menunjukkan baru pukul 11:30 pagi. Ke mana dia harus pergi. Dia bukan seperti remaja lain yang boleh ada waktu senggang.

Husna bergerak melintas jalan yang sibuk menuju ke restoran tomyam. Restoran itu tempat Husna bekerja selepas habis berjaja kerepek. Husna akan bekerja di situ dari petang hingga ke malam.

Husna harap sangat Mek sudah berada di restoran bolehlah Husna minta untuk masuk bekerja cepat dan dibayar ikut jam.

Kalau Husna masuk pukul tiga petang dan balik pada tengah malam atau awal pagi seperti selalu, Mek membayarnya rm70 sehari.

Kedengaran bunyinya lumayan kan. Hakikatnya tidak. Duit itu sekadar lalu di tangannya. Betul-betul macam berhantu. Tok nek saya tumpang lalu. Husna garu pangkal kening yang tidak gatal. Apa jugak yang kau mengarut ni Husna.

Husna ambil laluan belakang deretan lot kedai. Unit yang ke lima. Husna nampak pintu kedai yang sudah terbuka. Lebar senyuman Husna.

"Assalamualaikum..." Husna jengah kepala ke dalam kedai. Nampak Mek sedang duduk mengadap longgokkan bawang besar dan bawang putih di atas meja.

"Waalaikummussalam. Eh! Na jam kamu rosak ke?" Mek menyoal pelik.

Husna tayang sengih.

"Tak de lah Mek... arini Na kena jackpot!" Husna jawab sambil ketawa geli hati dengan lawak sendiri.

"Ye ke?! Kau jangan nak mula jadi tahi judi Na. Contoh buruk dah ada" Lawak Husna Mek jawab dengan peringatan tegas.

Mati terus ketawa Husna. Husna melangkah mendekati meja yang penuh dengan bawang kemudian menarik bangku plastik berdekatan dan duduk berhadapan dengan Mek.

Keruh air muka Husna memandang Mek yang sudah terhenti dari mengupas bawang. Mek tatap wajah cantik anak gadis di depannya.

"Malam tadi atok kau balik tak?" soal Mek.

"Tak"

"Masa kau keluar pagi tadi atok kau dah balik". Soal Mek lagi.

"Belum"

"Malam semalam... lepas kau balik atok kau datang sini, mintak aku bayar dulu gaji kau untuk bulan ni" Mek sambung cerita sambil capai sebiji bawang dan mula mengupasnya.

Husna diam mendengar dan ikut mencapai sebilah pisau berdekatan dan sebiji bawang di depannya lalu mula mengupas seperti Mek.

"Aku cakap tak boleh sebab Mary dah pesan gaji kau kena terus masuk akaun dia untuk tolak sewa bilik dengan tunggakkan sewa bilik yang dulu tak habis-habis lagi" Mek bersungguh bercerita.

Husna kebil-kebil mata yang bergenang air mata. Pedih mata kupas bawang dia dah biasa sebenarnya. Pedih lagi rasa hatinya dengar cerita Mek.

"Orang tua tu tak puas hati. Habis ditendangnya tong sampah kat luar tu. Berterabur habis semula. Padahal dah kemain cantik sebelum kau balik kau kemas semalam kan. Aku memang takjub betul macam mana kau boleh tahan dengan perangai orang tua tu" Mek bercerita dengan memek muka geram.

"Aku apa lagi... dia ingat dia sorang ada angin gila. Aku ambik beluti sendal pintu tu aku hayun-hayun depan dia, maki-maki dia. Menggigil-gigil aku semalam geram sangat" Mek bercerita sambil mengupas lapisan bawang bukan kulit bawang dek kerana terlalu marah.

"Tapi aku berani sebab ada si Sukri... lepas tu si Sukri pun aku nampak dah genggam pisau daging tu. Berani la aku" Terjuih muncung mulut Mek menunjuk pisau pemotong daging di atas sinki.

"Na minta maaf Mek" Husna bersuara sayu akhirnya.

"Eh! apasal pulak kau yang nak minta maaf. Bukannya salah kau. Orang tua taik judi pemabuk tu yang gila, yang salah!" Mek pangkah pantas.

"Kau Na... kalau hal duit jangan nak lurus bendul sangat dengan orang tua tu ye. Kau ingat aku tak tau duit dalal jual kerepek si Intan semua kau bagi orang tua tu!" Mek sembur lagi rasa geram pada Husna. Dia ingat lagi Intan bercerita padanya tentang duit dalal Husna yang semuanya sudah ditagih dulu oleh Tok Udin.

Sudahnya Mek minta tolong Intan agar duit dalal Husna itu jika untungnya rm50 bagi rm25 sahaja kepada Tok Udin dan lebihnya tolong 'kelepetkan' untuk Husna.

"Belajar bekeras Na... belajar melawan. Sekarang aku ada boleh la aku tolong simpankan duit kau. Nanti-nanti kalau aku dah tak ada kat sini kau macam mana?" Mek bersuara risau. Budak bendul macam Husna memang senang-senang dibuli orang.

Bukan banyak duit Husna yang dapat Mek tolong selamatkan. Tolak sewa bilik, makan, 'ubat Tok Udin' dan sebahagian 'baki tipu' yang kena diberi kepada Tok Udin supaya Husna dapat bekerja dengan tenang di restoran miliknya berapa sangat yang tinggal.

Itupun sebab ihsan si Mary duit gaji Husna masih berbaki. Mary kata tidak perlu Husna membayar sewa bilik yang tertunggak angkara Tok Udin. Husna cuma perlu bayar sewa bulan-bulan yang sekarang sahaja.

Tok Udin pemabuk itu tidak bekerja tapi berhutang minuman keras di kedai judi tempat dia suka melepak dan Husna terpaksa membayar bulan-bulan duit 'ubat' Tok Udin.

Mek masih bising menasihatkan Husna tentang duit. Husna yang masih mengupas bawang hanya diam. Fikirannya melayang jauh. Betul cakap Mek bagaimana nanti kalau masanya sudah tiba dan Mek tiada lagi di sini untuk mempertahankan Husna. Pada Husna Mek itu umpama benteng dalam hidupnya yang sentiasa dilanda badai.

Mek dah nak kahwin. Pejam celik pejam celik dah tak jauh lagi harinya. Sampai masanya Mek akan berpindah ke Labuan Sabah mengikut bakal suaminya seorang anggota polis yang bertugas di sana.

Husna itu umpamanya macam bakal pengantin juga menghitung hari... bukan teruja gembira tapi sentiasa dalam ketakutan dan kerisauan.

Tapi Husna tidak boleh tinggalkan Tok Udin. Satu-satunya saudara yang Husna ada. Saat arwah mak masih ada ketika Husna masih kecil Tok Udin yang menjaga mereka. Ketika itu penyakit 'tahi judi dan pemabuk' Tok Udin tidak seteruk sekarang.

Tok Udin pernah berberapa kali berusaha untuk berubah tetapi setiap kali itu juga gagal.

Impian Tok Udin untuk mengubah nasib dengan berjudi itu salah besar. Akibatnya Husna terpalit sama. Tok Udin kalah judi kemudian mabuk kemudian berhutang akhir sekali segala hutang Tok Udin jadi tanggungjawab Husna.

Husna lelah tapi selagi ada kudrat Husna tak akan biarkan Tok Udin sendirian. Bila Husna fikir lebih jauh ianya bukan untuk Tok Udin tapi untuk dirinya sendiri.

Ye! untuk dirinya sendiri sebab dia tak akan dapat membayangkan dirinya hidup sebatang kara tanpa ada sesiapa lagi di dunia ini.

Sambil mengupas bawang Husna menyanyi lagu pilu dalam hatinya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience