"Boss panggil!."
Terkeluar semula air kosong yang sudah Husna minum. Dia yakin Cik Sheila sengaja mahu dia tersedak ketika minum, dia sangat yakin untuk sergahan-sergahan sebelum ini juga Cik Sheila sengaja lakukannya.
Husna tidak menjawab. Sambil mengelap dagu yang berleleh air kerana terperanjat tadi dia terus berdiri dan melangkah mengekori Cik Sheila yang berlengok penuh gaya di hadapannya.
"Tunggu nasib kau ye. Dengan Ehsan bolehlah kau jual minyak urut kau. Kau tak kenal lagi Idris ni macam mana!"
Sebelum memulas tombol pintu Cik Sheila berpaling dan berbisik perlahan di hadapan mukanya. Husna rasa perutnya bersimpul tiba-tiba. Rasa gerun yang tidak pernah dia alami sebelum ini. Digertak lintah darat ketakutannya cara lain dan diugut Cik Sheila dengan nama majikan baru ini rasa gerunnya seperti dia akan dijatuhkan hukuman berat.
Mungkin kerana renungan lelaki itu yang nampak sangat ada dendam kesumat pada Husna. Lelaki itu memandangnya umpama dia pesalah hukuman mati.
"Boss... tea lady here." Bunyi suara Cik Sheila seperti sangat jijik untuk menyebut namanya.
Idris yang sedang duduk menyandar di bangku meja kerja memandang mereka berdua di hadapan pintu dengan kesukaannya yang sama iaitu memusing-musing pen di jari.
"Thank you Sheila. You boleh sambung kerja."
Sheila angguk sekali kemudian keluar dan menutup pintu di belakang Husna. Jantung Husna sekarang umpama ada pertandingan gendang Cina di tahun baru.
"Sit."
Husna mahu bergerak dan mengikut arahan lelaki itu tapi entah mengapa dia sendiri tidak tahu kenapa kakinya terpaku di hadapan pintu bilik yang tertutup.
"Sit!"
Suara Idris naik satu oktaf. Hasil tindakan refleks Husna terus tarik bangku di meja kerja berhadapan Idris. Badannya mengeletar teruk. Boleh nampak pipi dan bibirnya bergetaran.
Idris tolak sekeping fail nipis. Husna faham Idris mahu dia mengambil fail itu dan membaca isi dalamnya. Adakah dia akan dibuang kerja. Ikut akal logiknya yang tidak bersekolah tinggi bukankah apabila seseorang itu dipecat hanya akan menerima sepucuk surat yang berupa sehelai kertas.
Husna bukan mahu melawan Idris tapi seluruh sendinya rasa tidak berdaya walaupun untuk menarik fail yang nipis itu. Bulat matanya memandang fail itu tanpa berbuat apa-apa.
"Ehsan pinjam duit I untuk bayar your debt. Memandangkan dia dah tak ada jadi you harus bertanggungjawab untuk bayar hutang tu. rm63K!. Mulai bulan ini your salary will be deducted rm500 per month until your debt finished."
Hujung minggu lepas sepatutnya majlis perkahwinan Husna dan Ehsan. Sepatutnya juga ini minggu bulan madu yang pernah diangankan Ehsan, yang Husna sekadar mendengar sambil tersenyum. Sekarang sudah menjadi apa semua ini. Bagaimana dengan tiba-tiba dia kembali dibalut hutang sebegini banyak.
Husna tiada simpanan. Selama ini Ehsan memberinya bantuan rm2000 sebulan digunakan sepenuhnya untuk urusan kesihatan Tok Udin. Fisioterapi di hospital, ubatan yang pelbagai. Ada yang dapat percuma dari hospital kerajaan, ada jenisnya yang harus dibayar dan ada jenisnya harus di beli sendiri di farmasi. Susu khas, lampin pakai buang dan Husna juga memberi sedikit imbuhan setiap bulan kepada Aunty Mary kerana menolong menguruskan Tok Udin ketika dia keluar bekerja. Manakala duit gajinya habis untuk sewa bilik, makanan dan beberapa bill yang lainnya.
Bukankah dahulu Ehsan kata hutang itu tidak perlu dibayar kerana anak saudaranya ikhlas mahu menolong. Siapa anak saudara Ehsan itu? Patutkah Husna menerangkan kepada majikan barunya ini. Dia percaya sepenuhnya kepada Ehsan untuk menguruskan segalanya tentang hutang itu sementelah dia tidak berapa faham urusannya. Patutkah dia mencari Tok Ibu dan Ummi untuk bertanya tentang anak saudara Ehsan itu.
Tapi Husna amat malu untuk melakukan begitu. Tak mungkin dia mencari mereka semata-mata kerana duit hutangnya. Apa kata mereka nanti? Dia akan kelihatan seperti orang yang mengambil kesempatan atas kebaikan layanan Tok Ibu dan Ummi kepadanya.
"Sign and you good to go." ayatnya baik tapi bunyinya datar.
Husna terkaku di situ. Tiba-tiba di paksa menerima hakikat dia adalah pihak yang berhutang. Husna tersentak apabila Idris mencampak sebatang pen berdakwat hitam di hadapannya. Dengan tangan mengeletar Husna tarik pen dan kemudian fail nipis itu. Husna turunkan tandatangan. Sudah sahaja lorekan terakhir pada tandatangan itu Idris rampas fail memeriksa seketika kemudian menutup fail dan berdiri.
"Go!"
Husna bergerak seperti robot. Akalnya sudah putus. Tiba di luar bilik pejabat Ehsan yang sekarang di huni majikan baru Husna tekan dada yang menggila berdetak. Husna jalan laju-laju menuju pantry. Entah mengapa dia merasakan itu tempat paling selamat untuknya ketika ini.
***************
Idris berdiri menghadap dinding kaca yang menayangkan pemandangan kota dari pejabatnya di aras empat ini. Walaupun di dalam bilik itu teduh dengan suhu pendingin hawa 16 darjah selsius dia tahu cuaca panas terik di luar sana. Kereta penuh di atas jalan di hadapan bangunan pejabat.
Tok Ibu, Walid, Ummi, Mak Uda Hasidah dan suaminya Pak Uda Jalil telah selamat mendarat di lapangan terbang Jeddah Arab Saudi seperti di maklum Ibu dalam status wasap. Idris memang menunggu waktu ini untuk menjalankan rancangannya memberi pengajaran kepada Husna. Dia tidak mahu rancangannya gagal jika tiba-tiba Ummi datang mencari Husna. Mereka akan berada di sana sehingga seminggu selepas hari raya puasa. Selepas itu mereka akan menghabiskan Syawal di Moscow Rusia bersama kakak sulungnya. Masa yang cukup lama dan sangat sesuai untuk rancangan Idris.
Setiap hari dia rasa dia bersalah kepada Bong kerana tidak berada bersama Bong ketika dia di ambil kesempatan oleh gadis cantik itu. Setiap hari dia semakin rasa berdosa kepada Bong kerana masih tidak melakukan apa-apa atas kematian Bong yang sia-sia.
Hanya satu cara dia akan hancurkan gadis itu kerana kesalahannya menjual cinta palsu kepada Bong dan cara itu juga akan mengelakkan gadis itu menginaya lelaki lain dengan menggunakan paras wajahnya yang cantik itu. Siti Husna itu tidak layak untuk hidup bahagia di dunia ini. Gadis itu silap besar kerana fikir Bong mangsa mudah yang tidak berwaris. Nahas dia!
******************
Husna menolong Aunty Mary berkemas. Dia teringat ketika kali terakhir dia menolong Mek berkemas untuk berpindah ke Labuan. Hari ini dia menolong Aunty Mary pula. Adakah ini kali terakhir dia akan berjumpa dengan Aunty Mary.
Mohon jangan Tuhan. Doa Husna di dalam hati.
Walaupun Aunty Mary berjauhan darinya biarlah dia tahu ada Aunty Mary di satu sudut bahagian dunia yang tidak tersampai olehnya. Tuhan tolonglah begitu. Jangan ambil lagi mereka yang Husna sayang.
"Na Sayang... are you okay dear?"
Husna dongak memandang Aunty Mary yang lembut raut wajah dan suaranya. Aunty Mary yang sentiasa bercakap baik-baik bahasanya. Aunty Mary yang mengajarnya berbahasa Inggeris. Aunty Mary yang mengajarnya menjahit. Aunty Mary yang sentiasa mengingatkannya untuk makan dan menjaga kesihatan.
"Lepas ni tak ada siapa nak cakap lembut-lembut dengan Na."
Aunty Mary raih tangan Husna yang sedang melipat sehelai kemeja. Digenggam lembut jari berkulit putih melepak itu.
"I'm sorry Sayang. I have to. Aunty terpaksa. My family want me to move there... together with them."
Husna angguk-angguk kepala perlahan. Menahan air mata jangan turun lagi. Dia sudah puas menangis siang tadi. Hidupnya dirasakan benar-benar kecundang dari segala sudut.
"Aunty minta maaf rumah ni Aunty terpaksa tolak pada saudara jauh Uncle John. Aunty tahu Na ada masalah kewangan sekarang. Aunty betul-betul minta maaf Sayang."
Husna angguk lagi. Dia pasrah. Jika Aunty Mary tiada daya untuk mengelakkan segala perkara yang terjadi dia terlebih lagi. Takdir hidupnya sudah umpama dilanda ribut taufan. Tunggang langgang tak berbentuk.
"Esok Na no need to send me to the airport. Nanti Na susah nak balik sini semula nak uruskan Tok lagi. Don't get me wrong dear... bukan Aunty tak sudi Aunty cuma tak nak Na susah. Okay Sayang."
Husna angguk lagi. Itu sahaja yang mampu dia lakukan. Badannya lemah hatinya sakit dan terluka, akalnya sangat penat untuk berfikir.
Dan subuh ini Na berdiri di sini di kaki lima bangunan tempat tinggalnya. Menghantar Aunty Mary sehingga di sini sahaja. Husna peluk erat tubuh Aunty Mary kemas-kemas berdoa di dalam hati agar Aunty Mary sentiasa sihat dan panjang umur.
Sam paut bahu ibunya yang tidak mahu melepaskan Husna dari pelukan. Masanya sudah tiba atau mereka akan tertinggal penerbangan yang bukan sedikit belanja tiketnya.
Kereta yang membawa Aunty Mary dan Sam sudah jauh di hujung jalan sana, Husna masih berdiri di situ dia mahu melihat sehingga hilang terus bayang perjalanan Aunty Mary. Tiada air mata tapi Husna menangis darah di dalam hatinya.
****************
"Ui budak! kenapa tu?"
Faiz dongak menoleh lelaki tinggi besar yang menegurnya. Dia selalu nampak lelaki ini di sekitar kawasan ini. Ada kawan-kawannya kata lelaki ini gangster ada yang kata dia mata-mata macam Agent Ali.
"Aunty Mary pindah".
"Pindah mana?"
"Australia."
"Budak perempuan tu tak ikut?"
"Siapa? Kak Na ke?"
"Ye lah. Kan aku tunjuk dia tu."
"Tak. Kak Na kan kena jaga Tok Udin sakit. Tok Udin mana boleh jalan."
Oh! Baru Rock tahu selama ini orang tua tahi judi itu hilang kelibatnya kerana sakit. Dapat cucu menantu kaya sakit pun tidak mengapa.
"Kau nak pergi mana?"
Faiz tunduk memandang pakaiannya. Tidak nampakah t-shirt kokurikulum sekolah yang dipakainya.
"Sekolahlah."
Baru Rock perasan t-shirt yang berlogo sekolah kebangsaan itu.
"Mana aku tahu. Dulu aku sekolah semua baju putih je."
"Budak perempuan tu bila nak kahwin?"
Sudah dapat lelaki kaya kenapa Husna masih tinggal di bangunan ini.
"Kak Na kan tak jadi pengantin. Tunang dia dah meninggal. Kesian Kak Na hari tunang dia meninggal sama hari dengan mak dia meninggal."
Rock tersentak dengan cerita budak lelaki di depannya. Aaa... tak sia-sia dia bangun pagi hari ini bersetuju menemankan budak suruhannya untuk ke Putrajaya atas urusan rasmi di Jabatan Kerajaan di sana.
"Okaylah Pakcik... Van sekolah saya dah sampai."
"Eh! eh! nanti dulu!"
Faiz memandang pelik tapi menunggu Rock yang menyeluk kocek seluar. Sehelai not rm20 dihulur kepadanya.
"Untuk apa ni?"
"Belanja sekolah."
Faiz belek not rm20 memandang pelik wajah Rock.
"Kenapa?" soal Rock.
"Betul ni Pakcik nak bagi saya?"
"Kau tak nak ke?"
"Eh! Nak la!"
"Dah pergi sekolah sana. Belajar rajin-rajin."
Share this novel