Bab 66

Romance Series 15713

DUA bulan kemudian...

Airaa duduk birai katil hospital seraya mengusap perutnya. Dia tersenyum tipis saat menerima tendangan daripada si kecil.

"Baby mesti rindu daddy, kan. Sebab tu baby gerak-gerak je. Hmmm... baby nak tahu tak, mummy pun rindukan daddy," kata Airaa sebelum tubir matanya menjadi hangat. Tanpa sedar, air matanya mengalir.

Bibir diketap rapat. Dia rindukan suaminya. Sudahlah esok dia akan dimasukkan ke labour room. Perasaan takut menghuni ruangan hati.

"Baby jangan risau tau. Mummy takkan tinggalkan baby bila dah keluar nanti. Mummy sayang baby."

Air mata yang mengalir diseka. Tiada guna dia menangis kalau tak ada sesiapa yang nak hapuskannya. Dia memandang stoking yang dia guna. Stoking Mickey Mouse.

Airaa tersentak apabila mendengar bunyi pintu dibuka. Bunyi tapak kaki seseorang dapat dia dengar. Semakin lama, semakin kuat bunyi tersebut.

Kepalanya ditundukkan. Terasa orang tersebut berada di hadapannya. Haruman yang orang itu guna membuatkan dia tahu siapa gerangan tersebut. Semakin tunduk kepalanya tatkala orang tersebut meletakkan kedua-dua tangan di birai katil dan membuat dirinya terkurung dan terperangkap.

Mata dipejam rapat saat dagunya ditarik ke atas.

"Kenapa nangis ni?"

Tangan kasar itu mengusap air matanya yang semakin lebat mengalir.

Perlahan-lahan Airaa membuka matanya. Senyuman di bibir lelaki itu menghiasi pandangan matanya. Bibir diketap rapat. Dia rindukan lelaki itu.

Terhinjut-hinjut bahu Airaa menahan tangisan. Melihat lelaki itu menunduk tubuhnya, cepat-cepat dia menutup matanya. Terasa sesuatu yang lembap menyentuh sepasang mata miliknya sekali gus membuatkan degupan jantungnya berdengup dengan laju.

"Dah, jangan nangis. Abang minta maaf sebab lambat datang. Abang ada meeting tadi. I'm sorry, okay,"

Dahi Airaa, dia kucup dengan lembut. Serba salah dia jadinya kerana terlambat datang ke hospital. Nak buat macam mana kalau tiba-tiba saja dia diberitahu ada meeting.

Airaa membuka matanya lalu sisi baju lelaki itu dia ditarik. Disembam wajah pada dada bidang milik lelaki itu. Haruman lelaki itu membuatkan dirinya menjadi tenang. Tiada lagi air mata yang mengalir.

"I miss you, abang."

Tengku Ayie tersenyum lebar.

"I miss you too, sweetheart."

Setelah beberapa minit, Airaa meleraikan pelukan tersebut namun tangannya masih memegang sisi baju suaminya. Dia tidak mahu lelaki itu lari daripada pandangannya. Cukuplah dua bulan yang lalu. Dia sudah serik.

Tengku Ayie tersengih melihat kelakuan isterinya. Dia tahu Airaa masih trauma dengan apa yang jadi pada dua bulan yang lalu. Sengihannya mati. Ubun-ubun isterinya dikucup dengan lembut.

"Wanginya. Sayang dah mandi?" tanya Tengku Ayie.

Airaa menganggukkan kepalanya. Dia dah mandi beberapa jam yang lalu. Nurse kata tak boleh mandi terlalu lewat malam, nanti perut masuk angin. Dia ikutkan sajalah.

"Abang dah mandi?"

Tengku Ayie mengalihkan bibirnya dari ubun-ubun Airaa. Wajah wanita itu dipandang dengan segaris senyuman di bibir.

"Dah, abang mandi dekat rumah tadi. Tapi abang nak tukar pakaian, jap. Tak selesa nak tidur dengan pakaian ni. Sayang tunggu dekat sini tau. Abang tukar dalam tandas."

Baru saja Tengku Ayie ingin mengambil paper bag yang dia bawa tadi, bajunya dipegang oleh Airaa. Keningnya dijongketkan.

"Lama ke abang nak tukar baju?" soal Airaa seraya bermain dengan baju lelaki itu.

"Tak, abang tukar baju sekejap je."

Bibir dicebikkan. Dia tidak mahu suaminya hilang daripada pandangan matanya. Cukuplah waktu kerja saja Tengku Ayie tinggalkan dia.

"Alaaa, abang tukarlah baju dekat sini. Abangkan dah mandi. Tukar jelah dekat sini."

Dengan senyuman manis Airaa mengarah Tengku Ayie untuk menukar pakaian di situ. Lagipun bukannya ada orang yang nak masuk.

Tengku Ayie menggaru kepalanya yang tiba-tiba gatal. Aduh, isteri dia dah buat hal lah pula. Kang kalau doktor atau nurse yang tiba-tiba masuk, satu hal dia nak bagitahu.

"Macam mana kalau doktor atau nurse tiba-tiba masuk? Tak pasal-pasal dia orang tengok badan abang ni? You tak cemburu ke, Puan Airaa?" soalnya dengan kening sebelah kanan diangkat.

Airaa memuncungkan bibirnya. Dia berfikir untuk mencari cara agar lelaki itu tidak hilang dari pandangan matanya. Jari naik mengetuk tepi bibir seolah-olah dia tengah berfikir mengenai masalah dunia.

"Hah! Apa susah, abang kuncilah pintu tu. Confirm, tak ada sesiapa yang dapat masuk."

Giliran Airaa pula yang mengangkat sebelah keningnya dengan senyuman lebar. Terasa dia sudah mengalahkan lelaki itu.

"Hish, tak naklah abang. Lagipun manalah tahu dalam wad ni ada CCTV, hah. Habis dia orang sebarkan video abang tukar baju. So, untuk menjaga muka abang yang hensem ni, abang akan tukar baju dalam tandas. Bye, sayang," balas Tengku Ayie dengan melambai tangannya ke arah Airaa. Senyuman ditahan apabila melihat isterinya yang sedang menahan geram itu.

Airaa mengetap rapat giginya. Kedua-dua belah tangannya digenggam. Tiba-tiba matanya berkaca-kaca.

"Abang masuk dalam tandas tu, Airaa akan call papa. Airaa kata dekat papa yang abang tak nak jaga Airaa. Biar papa tak bagi abang jumpa Airaa lagi."

Selepas berkata seperti itu, dia terus memeluk tubuh dan memalingkan kepala ke tempat lain. Dia mahu menguji sama ada lelaki itu takut atau tidak. Kalau lelaki itu betul-betul masuk ke dalam tandas, dia akan telefon papanya.

Tengku Ayie mencebikkan bibirnya. Tangan naik memegang tombol pintu sebelum dipulas perlahan.

"Calllah. Abang yakin, papa akan backup abang."

Tidak menunggu balasan daripada wanita itu, dia terus masuk ke dalam tandas. Dia penat. Bukan penat menjaga Airaa tapi penat dengan kerjanya. Sudahlah dia belum makan. Haih, sabar jelah.

Selesai menukar pakaian, Tengku Ayie keluar dari tandas. Di tangannya terdapat satu paper bag. Pintu tandas ditutup sebelum dia menghalakan pandangan ke hadapan.

Katil dipandang. Tengku Ayie mengerutkan wajahnya. Katil itu kosong tanpa ada Airaa yang duduk mahupun baring di atasnya. Dia memandang ke arah sofa sebelum pandangannya jatuh melihat lantai.

Keluhan dihela perlahan setelah dia melihat isterinya yang sudah baring di atas lantai berserta dengan selimut hospital. Sah! Pasti wanita itu merajuk dengan dia.

Tengku Ayie mengatur langkah ke tempat isterinya. Wanita itu menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Dia duduk melutut di hadapan Airaa selepas meletakkan paper bag tersebut di atas meja.

"Sayang..."

Selimut ditarik namun Airaa menggenggam kuat.

"Sayang, jangan macam ni. Nanti badan tu sakit. Kesian baby, tak selesa nak tidur."

Sekali lagi Tengku Ayie menarik selimut itu tetapi isterinya menahan dengan kuat.

Airaa mencebikkan bibirnya. Kesian dekat baby je? Dekat dia, tak? Bibir diketap rapat apabila terasa selimut ditarik dari luar.

"Kesian dekat baby je? Dekat Airaa abang tak kesian. Airaa kata tukar dekat sini tapi abang tukar juga dalam tandas," kata Airaa sebelum tubir matanya menjadi hangat. Sampai hati lelaki itu tinggalkan dia. Cukuplah peristiwa dua bulan yang lalu memberi efek kepada dirinya.

Tengku Ayie memejamkan matanya. Degil betul anak pak cik Aizhar ni. Kalau perangai anak-anaknya sama seperti Airaa, huh! Jenuh dia nak melayan. Baru mummy kepada anak-anaknya, belum lagi anak-anaknya nanti.

"Ya, abang minta maaf pasal tadi. Abang janji esok abang tukar pakaian dekat sini. Abang takkan tukar dekat dalam tandas tu lagi."

Diam.

"Sayang... tak kesian ke dekat abang? Abang dahlah tak makan lagi. Abang makan kurma je dekat rumah mummy. Tak apalah kalau sayang tak nak tengok muka abang yang hensem ni. Biar abang tidur dekat luar wad sana. Bye, I love you," ucap Tengku Ayie. Dia berkira-kira mahu berdiri. Mahu menguji Airaa risau atau tidak dengan dia. Dalam hati dia berkira.

'Satu.'

'Dua.'

Dia melihat jika ada pergerakan di sebalik selimut itu. Jika ada, maksudnya wanita itu risaukan dia. Jika tidak, tahulah dia kenapa.

'Tiga.'

Sepi. Nafas dihela dengan panjang. Airaa masih marahkan dia. Pada pandangannya, seinci tubuh itu pun tidak bergerak. Tidak apalah, tidur dekat luar pun, dekat luarlah. Manalah tahu ada ramai nurse dekat luar tu. Boleh cuci mata.

Akhirnya, dia memutuskan untuk berdiri. Langkah di bawah ke arah pintu.

"Airaa tak benarkan abang tidur dekat luar."

Langkah Tengku Ayie terhenti sebelum senyuman tanda kemenangan terlakar di bibirnya. Dia bersorak dalam hati. Seketika dia menegakkan tubuhnya sebelum berdeham.

"Tak apalah, biar je abang tidur dekat luar. Abang tak nak ganggu sayang," balas Tengku Ayie dengan nada yang pasrah. Kedudukannya masih membelakangkan Airaa. Dia tersenyum lebar.

Airaa menarik selimut yang menutupi seluruh tubuhnya. Dipandang belakang badan Tengku Ayie.

"Tak nak. Airaa tak benarkan," bantah Airaa dengan suaranya yang kedengaran ingin menangis. Bibirnya sudah tercebik-cebik.

Sekali lagi Tengku Ayie bersorak dalam hati. Itulah sombong lagi. Tak apa, kita teruskan je permainan ni.

"Kenapa pula? Biarlah abang tidur dekat luar tu."

"Airaa tak benarkan. Nanti abang usya nurse cantik dekat luar tu. Nanti abang jatuh cinta dekat dia lepas tu abang dah tak..."

Mata dikelipkan apabila terasa hangat. Dengan pantas, air matanya mengalir di pipi. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangisan. Mata dipejam rapat. Tidak sanggup mahu mengungkapkan kata seterusnya.

"Sayangkan Airaa lagi... Nanti abang jauh daripada Airaa... Nanti..."

Tidak sempat Airaa berkata yang selanjutnya, dia merasakan pelukan hangat. Semakin bertambahlah air matanya.

"Dah, abang takkan tidur dekat luar. Abang tipu je. Janganlah nangis macam ni lagi. Tadi dah nangiskan. Kesian dekat baby, tidur dia terganggu."

Kepala Airaa disembamkan pada dadanya. Ubun-ubun wanita itu dicium. Rasa bersalah pula tipu isterinya. Tengoklah apa yang jadi.

"Abang janji takkan tinggalkan sayang. Abang janji cinta abang untuk sayang. Abang juga janji akan pimpin sayang sampai ke syurga. Itu janji abang."

Pelukan dilepaskan. Tengku Ayie tersenyum tipis melihat wajah isteri kesayangannya. Tengoklah macam mana dia nak tinggalkan. Tipu sikit je dah menangis macam dia hilang tak dijumpai.

Airaa memandang ke dalam mata milik suaminya. Melihat jika itu sekadar kata-kata ataupun bukan. Boleh percaya ke?

"Promise?"

Jari kelengkeng diangkat.

Tengku Ayie tersenyum sebelum menyatukan bibir mereka.

"Promise," ujar Tengku Ayie setelah selesai. Dipandang wajah isterinya yang masih terkaku dengan jari kelengkeng yang masih terangkat. Dia tergelak melihat reaksi wanita itu.

Selepas dapat menganalisis apa yang terjadi, Airaa terus menundukkan wajahnya. Perlahan-lahan tangannya naik memegang bibir. Pipinya berubah menjadi merah. Kemudian, terlakar senyuman malu di bibir.

Tengku Ayie menarik dagu Airaa agar dia dapat melihat pipi yang kemerahan itu. Sempat lagi dia usik bibir itu.

"Nak lagi?" soalnya dengan kening sebelah kanan dijongketkan ke atas. Hujung bibirnya ternaik.

Dilihat wanita itu laju menganggukkan kepala sebelum digelengkan kembali. Dia tergelak perlahan. Rambut isterinya dikusutkan.

"Dah, pegang bahu abang. Kita nak terbang ni."

Airaa tersentak sebelum terjerit kecil.

"Argh!"

Tubuhnya sudah melayang. Rupa-rupanya lelaki itu mencempung dia.

"Abang ni, bagitahulah Airaa dulu. Nasib baik tak jatuh." Marahnya kepada lelaki itu. Sudahlah badannya agak berat.

Lelaki itu sekadar tersengih lalu bergerak mengambil selimut di atas lantai.

"Abang nak makan apa? Mesti kedai dah tutup sekarang ni."

"Abang ada bawa makanan dari rumah. Cukuplah untuk isi perut," jawab Tengku Ayie sebelum dia keluarkan bekas makanan dari dalam beg plastik berwarna kuning.

Airaa melihat bekas makanan itu.

"Bubur?"

Tengku Ayie mengangguk kepala. Penutup dibuka lalu dia menghidu bubur tersebut. Doa makan dibaca. Airaa juga ikut menadah tangan. Dia pun nak makan juga. Seterusnya, terjadilah adegan suap-menyuap.

"Dah habis. Sayang kenyang tak? Ke nak abang beli lagi?"

Airaa menggelengkan kepalanya. Dia dah cukup kenyang padahal sikit saja dia makan.

Tengku Ayie mengangguk. Dia mencuci bekas makanan tersebut menggunakan air mineral lalu sisanya dibuang ke tong sampah bawah katil.

Airaa sudah baring di atas katil. Sekadar melihat tindakan suaminya itu. Sesekali dia mengerutkan wajahnya. Baby banyak gerak dalam perutnya.

"Malam ni abang tidur mana?"

Tengku Ayie mengangkat wajahnya.

"Abang tidur dekat sofa. Kenapa?"

Bekas makanan itu disimpan ke dalam plastik semula. Botol mineral dicapai lalu diteguk perlahan.

Dengan wajah yang menahan kesakitan, Airaa tetap membalas.

"Abang tidurlah dekat atas katil ni. Cukup muat untuk kita berdua. Please..." rayu Airaa dengan memandang wajah suaminya. Dia betul-betul berharap. Manalah tahu itu kali terakhir mereka tidur berdua.

Melihat wajah isterinya, dia jadi kesian. Cumanya, dia takut kalau katil tu roboh. Tak pasal-pasal malam ni juga wanita itu bersalin.

Airaa terus bergerak ke tepi untuk memberi ruang kepada lelaki itu. Baring saja lelaki itu, pantas dia letakkan kepala di atas lengan Tengku Ayie. Mata dipejam rapat. Hmmm, selesa.

Tengku Ayie terkejut sebelum membetulkan kedudukannya. Dia takut jika wanita itu tidak selesa.

"Abang... Airaa nak minta maaf." Tiba-tiba Airaa bersuara.

"For what?" tanya Tengku Ayie dengan mata yang terpejam. Dia mula dikuasai kantuk.

Airaa membuka matanya sebelum menggigit bawah bibirnya. Dia takut mahu memberitahu Tengku Ayie. Dia takut kalau lelaki itu akan mengamuk.

"Sebab tipu abang selama ni."

"Hmmm," jawabnya.

Airaa melihat wajah suaminya yang masih memejamkan mata. Lelaki itu tidak marah?

"Abang tak marah?"

Soalan Airaa itu menyebabkan Tengku Ayie membuka mata. Dia juga membalas pandangan mata itu. Dia tersenyum tipis.

"Abang tak marah sebab abang tahu sayang ada sebab buat macam tu. So, boleh abang tahu sebabnya?"

Wanita itu menunduk kepalanya. Tangan bermain di dada bidang milik suaminya. Nak bagitahu ke tak nak?

"Sebab... Airaa sakit hati dengan abang. Airaa marahkan abang masa tu. Airaa rasa, Airaa tak layak nak bahagia."

Tengku Ayie tersenyum lalu dagu wanita itu ditarik ke atas untuk memandangnya.

"Abang tahu yang sayang tak hilang ingatan."

Mendengar bicara daripada Tengku Ayie, Airaa terus mengerutkan wajahnya. Macam mana lelaki itu boleh tahu?

"How?"

"Kata laluan dekat telefon sayang. Kata laluannya, tarikh nikah kita. Sebab tu juga abang marah dekat diri abang sendiri."

"Kenapa?"

Tengku Ayie memandang ke dalam anak mata Airaa.

"Sebab abang dah buat bidadari abang ni sakit hati. Abang sampaikan risau dan takut kalau hati sayang dah tak boleh terima abang..."

Jari Airaa naik ke bibir Tengku Ayie. Menghentikan bicara lelaki itu. Dia tak nak dengar lagi.

"Abang jangan risau sebab abang selalu ada dekat hati Airaa. Dulu, kini dan selamanya."

Dia tersenyum lalu mengusap pipi Tengku Ayie.

"Airaa sayang abang dunia dan akhirat. Hanya dengan kehendak Allah yang boleh pisahkan kita berdua," ucap Airaa sebelum air matanya tiba-tiba mengalir. Dia mendengus geram lalu menghapusnya. Kenapa air mata dia ni tiba-tiba mengalir?

Tengku Ayie ketawa perlahan. Ditolak belakang kepala wanita itu agar rapat dengannya. Sebuah kucupan dilabuhkan pada dahi itu.

'Terima kasih, ya Allah. Engkau telah sempurnakan diriku dengan kehadiran bidadari ni. Terima kasih.'

**********

TENGKU ZAINAB dan Puan Zahra mengatur langkah bersama-sama menuju ke wad yang menempatkan Airaa. Maklumlah pagi itu, Airaa dijangka akan dimasukkan ke dalam labour room. Kedua-dua mereka tidak sabar mahu menimbang cucu sehingga suami mereka ditinggalkan di tempat letak kereta.

Mereka berselisihan dengan seorang nurse yang baru sahaj keluar dari wad Airaa. Masing-masing bertukar senyuman.

Tengku Zainab membuka pintu.

"Assalamualaikum."

Buka saja pintu, pandangannya terus tertuju ke arah anak menantunya yang sedang duduk di sofa. Wanita itu mengukir senyuman. Dia turut membalas namun senyuman menjadi pudar tatkala melihat anak sulungnya yang tidur di atas katil. Amboi, ni dah terbalik ni. Sepatutnya si isteri yang ada dekat atas katil bukannya si suami.

"Dah lama bangun?" soal Puan Zahra kepada Airaa. Ruang di sebelah wanita itu di duduk.

Tidak jadi Airaa ingin menjawab soalan mamanya apabila melihat mummynya yang sedang mengejut Tengku Ayie daripada tidur.

"Ya Allah, along! Bangunlah. Astaghfirullahalazim, dengan tak pakai baju. Tidur dekat atas katil. Ni siapa yang nak bersalin ni? Airaa ke atau along?" marah Tengku Zainab. Dia pukul perlahan bahu lelaki itu. Buat malu sajalah anaknya ini. Entah macam manalah reaksi nurse tadi sewaktu masuk ke wad itu.

Tengku Ayie mengeliat kecil. Mata digosok perlahan-lahan sebelum mulutnya menguap. Dia bangun dari baring. Rambut dikusutkan.

Airaa menahan tawanya daripada terkeluar. Awal pagi lagi dia sudah menonton drama. Nasib baik dia bangun awal tadi. Kalau tak huh, pasti nasibnya sama seperti lelaki itu.

"Kenapa mummy? Along penatlah."

"Kenapa along tanya? Ni kenapa tak pakai baju? Lepas tu kenapa tidur dekat atas katil? Isteri kamu tidur dekat mana?"

Tengku Ayie yang sudah sedar sepenuhnya mencapai baju miliknya di atas meja sebelah katil. Disarung ke tubuhnya. Terpaksa dia menahan malu  dihadapan mak mentuanya.

"Tanya menantu mummy tu. Dia yang nak sangat along tidur dekat atas ni dengan dia. Lepas tu, dia yang suruh along buka baju. Along bukalah."

Dia terus turun dari atas katil tersebut lalu bergerak menuju ke tandas. Dihiraukan Tengku Zainab yang sudah bercekak pinggang seraya memandang dirinya seperti singa kelaparan.

"Along puasa tak ni?"

"Puasa," jawabnya sebelum masuk ke dalam tandas.

Tengku Zainab menghela nafas panjang. Dia melangkah ke sofa sebelum duduk perlahan-lahan. Hampir tercabut jantungnya apabila melihat Tengku Ayie yang seperti itu.

"Ni, Airaa ada sakit-sakit badan tak? Lain kali jangan suruh along tidur dekat katil itu. Dahlah kecil. Kalau jatuh, mummy tak dapat bayangkan macam mana kamu berdua jatuh."

Airaa tersengih mendengar itu. Tak apalah, bukan dia yang kena marah tapi suaminya. Padan muka sebab tipu dia semalam.

"Akak marahkan juga mak budak ni. Mesti dia yang suruh semua tu. Nasib baik tak jadi apa-apa," kata Puan Zahra seraya memandang anak bongsunya itu dengan mata yang dipicingkan.

Airaa memuncungkan bibirnya. Mamanya tak pernah nak support dia. Dia sambung kembali makan kuih.

Kedengaran pintu tandas dibuka, Airaa mengangkat wajahnya. Dipandang suaminya yang keluar dari tandas dengan wajah yang basah. Nasib baik lelaki itu sempat sahur tadi sebelum subuh.

Puan Zahra beralih ke sofa yang bersebelahan dengan besannya, Tengku Zainab.

Tengku Ayie memicingkan matanya memandang Airaa. Wanita itu hanya tersengih-sengih. Dia yang kena suruh, dia juga yang kena marah dengan mummynya.

"Kenapa tak kejutkan abang?"

Airaa menghabiskan kuihnya terlebih dahulu.

"Abang nampak penat. Itu yang Airaa tak sampai hati nak kejutkan abang. Airaa minta maaf tau," pinta Airaa dengan mata yang dikenyit-kenyitkan. Berharap lelaki itu tidak akan marah.

"Hmmm," balas Tengku Ayie lalu dia bersandar pada sofa. Tangannya naik mengusap kedua-dua matanya.

"Pukul berapa Airaa akan masuk labour room?" soal Tengku Zainab. Tubuhnya ditegakkan seraya memandang menantunya itu.

Airaa meletakkan mug ke atas meja. Wajah Tengku Zainab dipandang.

"Doktor kata pukul 12 tengah hari nanti. Tapi Airaa akan masuk awal kalau air dah keluar. Mummy dengan mama doakan Airaa dengan baby selamat tau," ucapnya. Tubir matanya menjadi hangat.

Tengku Zainab dan Puan Zahra tersenyum tipis.

"Insya-Allah, kami doakan Airaa dengan cucu kami tu selamat. Boleh sambut hari raya sama-sama," balas Tengku Zainab. Disokong dengan anggukan daripada Puan Zahra.

Doa mereka sentiasa mengiringi Airaa dan cucu mereka itu. Solat hajat pun mereka dah buat.

Airaa tersenyum tipis sebelum memandang suaminya.

"Airaa harap abang akan tenang bila masuk labour room dengan Airaa nanti. Boleh?"

Tengku Ayie mencapai tangan milik isterinya. Diusap perlahan.

"Suami mana yang akan tenang bila isteri dia masuk labour room? Sayang masuk labour room itu ibarat sayang masuk ke medan perang," jawabnya. Dia bukan mahu menakutkan isterinya tapi memang itu hakikatnya. Dari semalam lagi dia risau. Tapi semua itu dia serahkan kepada Allah SWT. Biar Dia yang tentukan.

Airaa memuncungkan bibirnya.

"Tapi Airaa akan tenang bila tengok muka abang yang nampak tenang. Airaa tak nak abang susah hati. Abang risau, Airaa pun risau juga. Boleh?" sekali lagi Airaa bertanya. Namun kali ini dia mengerutkan wajahnya.

Tengku Ayie yang tidak sedar akan perubahan wajah isterinya sekadar mengangguk. Dia hanya mengusap tangan wanita itu.

"Airaa, okey tak ni?" soal Puan Zahra dengan penuh risau.

Tengku Ayie terus memandang wajah Airaa. Isterinya sudah berpeluh.

"Sayang, okey tak? Kenapa? Sakit dekat mana?"

Airaa memejamkan matanya. Bibirnya diketap rapat menahan sakit. Kepala digelengkan. Terasa perutnya seperti memulas.

"Sakit."

Bawa perutnya dipegang. Lengan Tengku Ayie dicengkam kuat.

Tengku Ayie menjadi cuak. Wajah Puan Zahra dan Tengku Zainab dipandang.

"Sakit? Sakit dekat mana?"

Dia turun lalu duduk melutut di hadapan wanita itu. Peluh di dahi dan di leher isterinya diseka. Kesian pula dia melihat keadaan isterinya.

Puan Zahra membulatkan matanya saat terpandangkan darah yang mengalir di kaki Airaa.

"Darahlah!"

Kalut Tengku Ayie memandang isterinya.

"Mana? Mana darah?"

Tengku Zainab segera memanggil nurse.

"Tu dekat kaki Airaa."

Puan Zahra segera duduk di sebelah Airaa. Ditenangkan wanita itu. Semua orang nampak kalut. Waktu itu juga pintu di buka. Kelihatan Encik Aizhar dan Tengku Mustafa masuk ke dalam dengan wajah yang cemas.

"Kenapa tu, Zah?" tanya Encik Aizhar.

"Dah keluar darah, bang."

Melihat wajah Airaa yang mengerang kesakitan, Tengku Ayie segera mencempung isterinya. Lambat betul nurse nak sampai. Dalam hati dia berdoa.

'Ya Allah, selamatkanlah isteri dan anakku.'

"Sakit!"

Airaa tercungap-cungap mencari nafas. Terasa mahu pitam pun ada. Sakit yang menyengat di bahagian ari-arinya. Bahu Tengku Ayie dicengkam kuat.

Kerusi roda pun sampai dengan beberapa orang nurse. Tengku Ayie diarahkan untuk meletakkan Airaa di kerusi roda.

Dengan basmallah, Tengku Ayie meletakkan isterinya perlahan-lahan. Terus saja lengannya dipegang oleh Airaa. Nasib baik kuku wanita itu tidak panjang.

Kerusi roda disorong sehingga ke labour room yang hanya selang dua bilik.

Tengku Ayie tidak putus-putus berdoa agar isteri dan anaknya selamat.

TBC

Maaf kalau ada typo.

Tinggal 1 bab dan 1 epilog lagi... Enjoy your reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience