Bab 54

Romance Series 15713

TIGA jam sudah berlalu namun tiada tanda-tanda pintu wad tersebut mahu dibuka dari dalam. Setiap saat pandangan mereka tertuju ke pintu wad. Mengharapkan doktor keluar lalu memberikan mereka berita yang baik.

Tengku Ayie menyandarkan tubuhnya pada dinding hospital. Jam tangannya dikerling. Sudah menunjukkan pukul dua pagi. Sedikit pun dia tidak terasa mengantuk.

Dia melihat Tengku Arin yang menunduk. Terasa kasihan melihat adiknya yang mahu tidur itu. Dia mahu Tengku Iskandar menghantar Tengku Arin pulang tapi dia risau kerana ketiadaan mummy dengan daddynya di rumah. Tengku Iskandar sudah pulang ke rumah disebabkan lelaki itu akan mewakili dirinya untuk berjumpa dengan klien pagi nanti. Sempat lagi sepupunya itu menitipkan pesan buat dia.

"Ingat Ayie, semua yang terjadi ni sebab Allah nak uji kau orang berdua. Allah tak akan uji hamba-Nya kalau hamba-Nya tak kuat. Kau terima je apa yang keluar dari mulut doktor nanti. Kau berdoa banyak-banyak supaya Airaa baik-baik je. Kalau kau nak apa-apa, call je aku, ya."

Tengku Ayie mengusap wajahnya. Mahu saja dia merempuh masuk ke dalam wad tersebut. Dia betul-betul mahu mengetahui keadaan isterinya. Bagaimana keadaan wanita itu? Adakah baik-baik saja ataupun sebaliknya? Dia tidak sempat melihat keadaan wanita itu ketika dibawa ke hospital. Sampai saja dia ke hospital, Airaa sudah dibawa ke dalam wad.

Nafas panjang dihela perlahan. Matanya memandang ke arah Puan Zahra yang duduk di bangku dengan buku Yasin di tangan. Encik Aizhar dan Airil sedang berada di surau yang berdekatan dengan hospital. Matanya tidak beralih daripada memandang Puan Zahra.

Melihat Puan Zahra yang sudah menutup buku Yasin tersebut, Tengku Ayie segera mendekat.

"Mama, kalau mama nak tidur, mama tidurlah. Nanti Ayie kejutkan kalau doktor dah keluar."

Puan Zahra tersenyum tipis. Bagaimana dia mahu melelapkan mata jika hatinya dipenuhi dengan kerisauan? Anak perempuannya sedang bertarung nyawa di dalam wad tersebut. Ibu mana yang tidak risau, kan.

"Tak apa, mama tak mengantuk lagi. Hati mama risaukan Airaa yang dekat dalam tu."

Hati Tengku Ayie diserang rasa bersalah mendengarkan tentang itu. Patutkah dia menceritakan apa yang terjadi semasa mereka berada di hotel? Bagaimana reaksi mak mentuanya itu? Macam mana kalau mak mentuanya itu sakit jantung? Dia juga yang akan disalahkan nanti.

"Ayie minta maaf, ma. Ayie lalai nak jaga anak mama. Mesti mama marah dekat Ayie kan, sebab dah buat Airaa macam tu?"

Puan Zahra menggeleng perlahan. Untuk apa dia mahu marah kalau benda sudah terjadi? Mahu menyesal pun tiada guna sudah.

"Mama tak marah Ayie pun. Apa mama dapat kalau mama marah Ayie? Ayie adalah kebahagiaan Airaa. Mama tak nak rosakkan kebahagiaan anak perempuan mama," ucap Puan Zahra berserta senyuman tipis. Dia akan reda dengan apa yang berlaku. Dia pasti ada hikmah di setiap yang terjadi.

Dia memandang wajah Tengku Ayie. Wajah itulah yang membuatkan Airaa jatuh cinta. Dia ingatlah lagi ketika Airaa memberitahu dia tentang lelaki itu. Setiap Airaa bercerita, pasti ada senyuman lebar di bibir gadis itu. Namun, selepas Airaa berkahwin, gadis itu jarang bercerita kepada dirinya. Mungkin disebabkan Airaa sudah berpindah.

Tengku Ayie membalas pandangan Puan Zahra. Patutkah dia menceritakan apa yang terjadi semalam? Hatinya dalam dilema sama mahu menceritakan ataupun tidak.

"Mama, Ayie ada sesuatu nak bagitahu mama. Ayie harap mama tak marah, tak terkejut. Ayie nak mama percaya apa yang Ayie kata nanti, boleh?"

Puan Zahra memandang hairan menantunya itu. Hatinya gusar memandang raut wajah Tengku Ayie yang seperti mengharap.

Tengku Ayie menarik nafas dalam sebelum dihembuskan perlahan. Dia perlu kuat. Ya, dia perlu kuat untuk memberitahu hal sebenar. Lagipun sampai bila dia mahu merahsiakan hal tersebut? Lambat-laun pasti keluarga Airaa akan tahu juga. Dan dia tidak mahu keluarga tersebut tahu dari mulut orang lain.

"Sebenarnya...."

Tengku Ayie menceritakan kejadian di hotel dari A hinggalah Z. Dia tidak mahu ada salah faham yang terjadi di antara dia dan Puan Zahra. Cukuplah Airaa saja yang tidak mahu mendengarkan penjelasan daripada dirinya.

Puan Zahra menutup mulutnya dek kerana terkejut dengan apa yang menantunya itu sampaikan. Dia fikir Airaa dan Ayie cuma bergaduh biasa. Selepas itu, Airaa lari dari rumah. Rupanya lain pula yang jadi.

"Jadi, Ayie dengan Aqilah betul-betul...."

Sengaja Puan Zahra tidak menghabiskan katanya kerana dia tahu Tengku Ayie akan faham dengan maksudnya.

Tengku Ayie meraup wajahnya sebelum kepala ditundukkan. Dia tak tahu sama ada dia dan Aqilah sudah sampai ke tahap tersebut ataupun belum? Tapi kalau tak sampai ke tahap tersebut, macam mana ada tompokan darah di cadar katil hotel itu?

Terasa bahunya diusap perlahan, Tengku Ayie segera mengangkat wajahnya. Puan Zahra dipandang. Marahkah wanita itu kepada dirinya?

"Mama tak marah, kecewa dan terkilan dengan Ayie?" soal Tengku Ayie mahukan kepastian. Takut juga dia kalau wanita itu menceritakan hal tersebut kepada Airil dan juga Encik Aizhar. Silap hari bulan, satu tumbukan hinggap di pipinya.

Puan Zahra mengetap bibirnya dengan rapat. Air mata sudah berkolam di mata dan mungkin bila-bila masa saja akan pecah.

"Tipulah kalau mama kata mama tak marah, kecewa dan terkilan dekat Ayie. Tapi, macam yang mama kata tadi. Nak marah pun tak ada guna dah sebab benda dah jadi."

Air mata yang mengalir di pipi diseka. Bagaimana perasaan Airaa ketika itu? Dia sebagai ibu tiada di waktu anaknya sedang sakit. Sakit angkara cinta yang telah dikhianati. Di mana dia sebagai seorang ibu yang menguatkan anaknya? Kalau dulu Airaa sering mengadu kepada dia tentang seorang lelaki sampai dia sudah tahu naik jemu mahu mendengar.

Puan Zahra menarik nafas dalam. Dia tidak boleh lemah jika anaknya masih berada di ruang wad tersebut. Dia harus kuat untuk memberi sokongan kepada Airaa.

"Nak tahu satu cerita tak? Cerita pasal Airaa,"

Dia tersenyum tipis melihat anggukan daripada anak menantunya itu. Kedudukan di bangku tersebut dibetulkan.

"Dulu Airaa selalu mengadu dekat mama. Habis je kelas, terus dia balik rumah dan mengadu tentang seseorang. Mama pun layankan aje."

Tersenyum Puan Zahra bila mengenangkan hal itu. Airaa memang penyeri dalam keluarga mereka. Dia dan suaminya menjaga Airaa seperti menatang minyak yang penuh. Maklumlah, Airaa saja anaknya perempuan.

"Dia mengadu dekat mama yang dia dah jatuh cinta. Waktu dia mengadu dekat mama, muka dia ceria je. Dia kata lelaki itu cinta pertama dia."

Tengku Ayie menggenggam erat tangannya sehingga membentuk penumbuk. Apa motif mak mentuanya untuk menceritakan tentang itu? Untuk membalas dendam?

"Ayie, jangan risau. Ayie kenal siapa lelaki itu. Mama harap kamu tak cemburu bila mama bercerita tentang lelaki lain," tutur Puan Zahra apabila melihat tangan menantunya. Bukan niatnya mahu menyakitkan hati Tengku Ayie tapi dia saja mahu bercerita. Mahu menghilangkan kantuk.

Tengku Ayie tersenyum tipis seraya menggeleng kepalanya. Tipulah kalau hatinya tidak cemburu. Mak mentuanya menceritakan tentang lelaki lain yang dicintai oleh Airaa.

"Lepas tu Airaa kata jangan bagitahu Airil. Dia takut Airil marah sebab dia kan masih belajar. Umur dia pun baru 22 tahun. Tapi itulah, hari-hari dia cerita dekat mama sampaikan mama dah pening."

Puan Zahra tergelak perlahan. Dia masih ingat lagi bagaimana dia melayan aduan daripada Airaa. Mulut gadis itu tak berhenti daripada mengadu. Dia pun sudah arif dengan aduan anaknya. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya dia dapat meluangkan masa bersama Airaa.

"Ada satu masa tu, dia pulang dari taman dengan kaki yang terseliuh. Risau mama jadinya. Tapi dia boleh pula ketawa lepas tu senyum-senyum. Mama tanyalah kenapa dia boleh terseliuh. Dia kata terlanggar seseorang."

FLASHBACK

"Ya Allah, Airaa kenapa ni?" tanya Puan Zahra dengan nada yang risau.

Airaa tersengih melihat mamanya.

"Airaa terseliuh dekat taman tadi. Mama janganlah risau. Airaa okey je. Airaa kan kuat."

Puan Zahra menggeleng-gelengkan kepala. Macam mana dia tidak risau kalau buku lali anaknya itu sudah kebiruan. Mesti ada sesuatu yang gadis itu lakukan.

"Ni Amira mana? Dah balik ke dia?"

Puan Zahra memimpin Airaa menuju ke sebuah sofa. Dengan langkah yang perlahan mereka berjalan. Kalau dah biru sampai macam tu mesti kena urut supaya bengkak dia boleh hilang.

"Lepas je dia hantar Airaa terus dia balik," balas Airaa. Wajahnya berkerut sedikit menahan sakit di kaki. Namun sakit itu tidak sampai sakit ke hatinya kerana hatinya sudah ditumbuhi oleh bunga-bunga. Tiba-tiba bibirnya membentuk satu senyuman.

Airaa dipandang hairan. Dah kenapa senyum-senyum? Kena sampuk ke?

"Airaa!"

Airaa membulatkan matanya memandang Pun Zahra. Terkejut dia mendengar mamanya menjerit.

Ketawa Puan Zahra terus pecah. Melihat wajah Airaa yang terkejut betul-betul mencuit hatinya. Ni mesti dah angau ni. Kalau Airil tahu ni, pasti gadis itu akan kena marah.

"Mama ni, suka kejutkan Airaa. Kalau Airaa ada sakit jantung tadi, macam mana?" soal Airaa sebelum memeluk tubuh. Wajah dikerutkan dengan bibir dicebikkan.

"Alaaa, anak dara mama ni. Merajuk pula. Fikirkan apa tadi tu sampaikan tersenyum mama tengok."

Airaa tersengih apabila memandang mamanya. Rajuknya sudah diketepikan. Sekarang masa untuk mengadu tentang apa yang terjadi sewaktu dia berada di taman dengan Amira.

"Mama-mama, tadikan Airaa...."

"Jumpa lelaki tu?" celah Puan Zahra membuatkan Airaa menunduk.

Dengan kepala yang masih menunduk dan bibirnya membentuk senyuman lebar, Airaa terus mengangguk. Jari dimainkan antara satu sama lain.

Puan Zahra menghela nafas panjang sebelum berdiri. Dia menuju ke ruangan dapur.

"Mama? Mama tak suka ke Airaa minat dekat lelaki tu?"

Selepas mengambil jus strawberi dari peti sejuk, Puan Zahra melangkah semula ke ruang tamu. Ruang di sebelah Airaa diduduk.

"Bukan mama tak suka Airaa minat dia tapi Airaa tak terfikir ke yang Airaa macam perigi cari timba?"

Sekali lagi Airaa mencebikkan bibirnya.

"Mama ni. Saidatina Khadijah boleh je lamar Nabi Muhammad. Takkan Airaa tak boleh. Patutnya mama sokong Airaa, bagi kata-kata semangat. Bagitahu Airaa macam mana mama pikat papa dulu. Bukannya hilangkan semangat Airaa."

Puan Zahra menggeleng kepalanya. Boleh pula Airaa menyuruhnya untuk memberitahu semua itu. Haih anak, sekarang dah zaman moden. Semua dekat hujung jari. Taip je dekat Google 'macam mana nak pikat hati lelaki?'

"Eh, bukan mama tau yang mula dulu. Papa yang datang dekat mama lepas tu ajak couple. Mama kata tak nak tapi papa paksa. Kalau mama tak nak juga, papa culik mama macam cerita mafia tu."

Airaa ikut ketawa bersama Puan Zahra. Lain macam betul papa waktu dulu dengan sekarang. Tiba-tiba Airaa memeluk tubuh mamanya dari tepi. Dagu diletakkan diletakkan di bahu wanita itu.

"Mama." Perlahan suara Airaa memanggil.

"Hmmm." Belakang tubuh Airaa ditepuk dengan perlahan.

"Kalau Airaa dah kahwin nanti, mama jangan lupa Airaa tau. Jangan jauh dari Airaa sebab Airaa sayangkan mama. Airaa takut kalau mama pergi tinggalkan Airaa."

Puan Zahra sekadar mengangguk. Dia membalas pelukan anaknya itu. Dia faham dengan maksud Airaa tapi dia tidak janji sampai bila dia terus berada di samping gadis itu.

END FLASHBACK

Air mata yang mengalir di pipi diseka. Terlajak pula dia bercerita. Puan Zahra memandang Tengku Ayie yang berada di sisinya. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan.

"Jangan risau. Ayie kenal dengan lelaki tu. Nanti Ayie tanyalah Airaa, siapa lelaki itu."

Tengku Ayie mengangguk kepala. Otaknya memikirkan sesuatu. Rasanya hanya Tengku Iskandar saja yang dia kenal. Tapi takkan sepupunya itu? Kliennya? Dia rasa bukan.

"Ayie, aku nak cakap sikit dengan kau."

**********

BUK!

Tengku Ayie mengesat darah di bibirnya. Matanya memandang tajam ke arah lelaki yang menumbuknya. Dia tidak tahu mengapa lelaki itu menumbuk dirinya.

"Kau curang belakang Airaa, kan. Kau memang lelaki tak guna."

Buk!

Sekali lagi pipi Tengku Ayie menerima tumbukan. Dia tersungkur di jatuh.

"Kau kalau dah tak nak dekat adik aku, ceraikan je lah! Tak payah nak simpan lagi."

Tengku Ayie segera berdiri sebelum melangkah ke arah Airil. Suka hati saja lelaki itu menumbuk wajahnya. Tidak tidak tahu apa tujuan lelaki itu membawanya ke tempat letak kereta. Sekadar untuk memberi tumbukankah?

Buk!

Tepat mengenak pipi kiri Airil. Dia pula yang tersungkur di lantai. Tangan mengelap bibirnya. Terlakar senyuman sinis di bibirnya.

"Abang, saya..."

"Kenapa?"

Tengku Ayie memandang hairan. Airil yang sudah berdiri sambil menundukkan kepalanya.

Airil mengangkat wajahnya untuk memandang adik iparnya yang masih mendiamkan diri. Dia perlu tahu tentang hal itu. Airaa, adiknya. Mana mungkin dia mahu biarkan adiknya disakiti.

"Kenapa kau buat Airaa macam tu? Kenapa kau curang dengan Airaa? Tak cukup baik ke adik aku sampaikan kau sanggup perkara macam tu? Bagitahu aku!"

Tengku Ayie terkejut melihat mata abang iparnya yang sudah berkaca.

"Abang, saya rasa abang dah salah faham ni," ujar Tengku Ayie mahu menenangkan abang iparnya.

"Apa yang salah faham? Aku dengar apa yang kau cerita dekat mama tadi. Aku dengar semuanya. Lagipun kawan aku bagitahu yang dia nampak Airaa menangis dekat tepi jalan semalam!"

Darah Airil semakin mendidih. Mahu lagi dia layangkan penumbuknya kepada lelaki itu. Lelaki jenis apa macam tu! Curang, tak cukup dengan satu.

Tengku Ayie menggelengkan kepala. Tak! Dia pasti Airil hanya dengar separuh dari apa yang ceritakan.

Dia melutut depan Airil.

"Saya tak buat semua tu. Percayalah. Saya cintakan Airaa. Saya diperangkap, abang," rayu Tengku Ayie. Dia cuba meyakinkan lelaki itu. Dia tidak mahu semua orang menjadi salah faham dengan apa yang berlaku. Sudahlah pada isterinya dia jelaskan lagi.

"Argh! Aku tak percayakan kau. Kalau aku tahu ini yang akan terjadi, memang aku akan halang perkahwinan kau dengan Airaa. Kau memang suami yang tak guna."

Airil mengusap rambutnya ke belakang dengan kasar. Air mata lelakinya sudah pun mengalir. Dia sayangkan Airaa. Satu-satunya adik yang dia ada. Dia tak sanggup untuk kehilangan.

Sebaik saja Airil memusingkan tubuhnya, matanya terpandang satu figura yang berada di belakangnya.

"Papa..."

Tengku Ayie turut memandang ke arah yang sama. Dia terkejut melihat kehadiran bapa mentuanya. Dia harapkan bapa mentuanya itu tidak dengar dengan apa yang Airil katakan tadi. Jelas kelihatan mata Encik Aizhar yang berkaca-kaca.

"Airil, jangan bagi dia dekat dengan Airaa."

Selepas saja berkata seperti itu, Encik Aizhar terus melangkah pergi meninggalkan Airil dan Tengku Ayie. Dia tidak menyangka lelaki yang diharapkan boleh menjaga Airaa rupanya sudah menyakitkan hati anak perempuannya.

Tengku Ayie tersentak sebelum dia menggeleng kepalanya berkali-kali dengan perlahan. Tidak! Dia tidak mahu berpisah dengan isterinya. Airaa perlukan dia dan dia juga perlukan isterinya. Argh! Kenapa semua ini terjadi kepada dirinya? Kenapa dia harus diuji seperti ini?

"Kau dengarkan apa yang papa cakapkan tadi. Aku minta kau jangan dekat dengan Airaa buat sementara waktu ni. Bagi adik aku tu ruang. Pasal tadi tu, aku minta maaf sebab tumbuk kau. Aku terkilan dengan sikap kau sebab kau tak jaga adik aku dengan baik."

Airil mula melangkah untuk masuk ke dalam hospital.

"Kenapa?"

Langkahnya terhenti. Sesaat kemudian dia menoleh ke belakang. Nafas berat dihela.

"Tadi aku tak dapat kawal marah aku. Lagipun aku buat untuk Airaa. Aku bahagia bila Airaa pun bahagia. Tapi kebahagiaan Airaa ialah kau. Aku tak nak dia sedih pula bila tengok suami dia dah nazak oleh aku."

Airil segera masuk ke dalam ruangan hospital. Meninggal Tengku Ayie seorang diri di tempat letak kereta. Dia pasti lelaki itu juga risau dengan keadaan Airaa. Suami mana yang tidak risau.

Tengku Ayie mengikut langkah Airil. Sepanjang perjalanannya, dia hanya berfikir bagaimana cara untuk dia mengambil semula kepercayaan bapa mentuanya? Bagaimana kalau bapa mentua menyuruh dia untuk menceraikan Airaa? Sanggupkah dia?

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience