"ALONG, kenapa tak naik kereta sendiri?" tanya Tengku Zainab yang duduk di kerusi penumpang hadapan. Wajah anak lelakinya itu dipandang dengan pelik.
Tengku Ayie yang sudah duduk di kerusi belakang itu hanya tersengih. Rambut dirapikan dengan jari. Songkok dipakai setelah dia berpuas hati dengan rambutnya sendiri.
"Saja, Along nak jimatkan minyak kereta. Dah alang-alang daddy dengan mummy pergi, kita orang ikutlah."
Perkataan kita orang ditekankan memandangkan isterinya juga berada di dalam kereta tersebut. Sebenarnya dia mahu pergi ke sana dengan Airaa menggunakan kereta miliknya. Tetapi gadis itu itu merajuk dan naik kereta daddynya, terpaksalah dia ikut sekali.
"Along ni kedekutlah. Tengok menantu mummy tu, dah tak selesa. Patutnya bawa naik kereta sendiri. Bukannya Along tak ada duit pun nak bayar minyak kereta," bebel Tengku Zainab seraya menggelengkan kepala. Tidak puas hati dengan sikap Tengku Ayie. Nama saja peguam tapi kedekut.
"Tak apa, mummy. Airaa okey je." Airaa tersenyum lebar. Sebenarnya, dia memang tidak selesa bila duduk di tengah-tengah. Tengku Arin di sebelah kiri manakala suaminya di sebelah kanan.
"Yalah, mummy. Nanti Along guna kereta Along tu sampai minyak habis," ujar Tengku Ayie.
Dia menunduk untuk memakai stoking dan kasut. Dia mengejar Airaa tadi sampaikan tidak sempat untuk memakainya. Maklumlah tadi isteri dia merajuk. Eh, merajuk ke marah?
"Along bangun lewat ke tadi?" Tengku Arin memerhati tingkah abangnya yang sedang menunduk memakai kasut.
Tengku Ayie hanya tersengih. Ikatan pada kasut dikemaskan.
"Dahlah duduk rumah mentua, lepas tu bangun lewat lagi. Apa jenis menantulah Along ni?" perli Tengku Arin. Pandangan dilemparkan ke arah tingkap. Pandang kereta yang lalu lalang lebih bagus daripada memandang abangnya.
"Adik nak tahu tak, Along ni jenis menantu apa?" sampuk Tengku Mustafa dengan matanya terarah ke jalan raya.
"Menantu apa, daddy?" Terpancar keceriaan di wajah Tengku Arin. Tidak sabar untuk mendengarkan jawapan daripada daddynya.
"Menantu hantu!"
Tergelak mereka semua mendengar jawapan daripada Tengku Mustafa. Manakala Tengku Ayie memeluk tubuh sambil menjeling mereka yang sudah tergelak. Sakit hati bila daddynya berkata yang dia adalah menantu hantu.
Tengku Arin tergelak sambil memegang perutnya. Manakala Airaa pula membawa tangannya ke mulut untuk menahan ketawanya daripada meletus.
"Along, kenapa tak pakai samping lagi? Nanti bila dah sampai sana, barulah Along nak pakai itulah, nak pakai inilah."
Tengku Zainab mengesat air matanya yang mengalir. Jarang dia melihat suaminya itu bergurau senda bila bersama dengan mereka. Selalunya serius saja wajah Tengku Mustafa.
Tengku Ayie memandang Tengku Zainab sambil mengusap belakang lehernya. Mahu tak mahu, terpaksa juga dia jujur dengan mummynya.
"Along tak pandai pakai."
"Kan mummy dah ajar sebelum ni. Takkan tak pandai-pandai lagi?"
Tengku Ayie menggelengkan kepala. Airaa yang sibuk bermain telefon itu dipandang. Gadis itu membuat dirinya seperti tidak wujud.
"Along-Along. Along tu dah besar. Dah boleh jadi bapa budak dah. Kenapa tak suruh Airaa je tolong pakaikan?" soal Tengku Zainab sambil memandang ke belakang. Memandang anak dan menantunya itu.
Airaa mengangkat kepala apabila terdengar namanya sebut. Dia melihat mak mentuanya yang sudah memandang dia dan suaminya. Lidahnya kelu untuk menjawab.
"Mummy, menantu mummy ni tengah merajuk dengan Along. Sebab tu tak nak tolong suami dia sendiri." Tengku Ayie memeluk tubuh seraya menjeling Airaa melalui ekor matanya.
Airaa mendiamkan diri sebelum menunduk. Dia memandang jari kakinya yang bermain antara satu sama lain. Lelaki itulah menjadi punca dia merajuk. Dia sedang menunggu lelaki itu untuk memujuknya.
"Ni mesti Along yang mula dulu, kan? Kalau tak, tak adanya menantu mummy ni merajuk." Tengku Zainab memicingkan mata ke arah Tengku Ayie.
Tengku Ayie menggaru keningnya yang tidak gatal itu. Kang kalau dia cakap benda betul, dia kena bebel tapi kalau dia menipu, dia jadi anak derhaka pula.
"Along cakap yang Along nak kahwin. Tapi mummy percayalah, Along tak pernah terdetik pun nak duakan anak menantu mummy ni."
Tangan kanan diangkat manakala tangan kiri diletakkan di dada. Matanya memandang Airaa yang sedang menunduk.
"Memang padanlah muka Along. Siapa suruh cakap macam tu lagi. Along kena tahu, hati perempuan mudah terasa. Along, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."
Tengku Zainab tersenyum melihat Tengku Ayie mengangguk. Dia tahu niat anak lelakinya itu hanya ingin bergurau tapi bergurau pun janganlah sampai menyakitkan hati orang.
"Adik, tahu tak Along ni jenis suami apa?"
"Suami hantu!" jawab Tengku Arin sebelum mereka semua berketawa. Riuh kereta itu dengan gelak mereka.
Tengku Ayie bertambah geram mendengar ketawa mereka semua. Tangan Airaa dicapai sebelum menyulamkan jarinya dengan jari gadis itu. Dia tersenyum senang melihat wajah Airaa yang terkejut. Pegangan itu tidak dilepaskan sehinggalah mereka sampai ke dewan.
***********
"ALONG, akak, aunty Zah panggil. Katanya nak bergambar satu keluarga. Keluarga pengantin perempuan dah habis tu," kata Tengku Arin. Dia diarahkan oleh Puan Zahra sewaktu dia ingin mengambil makanan tadi.
"Sekarang ke?" Airaa melihat jam di telefonnya. Baru pukul dua petang. Tetamu yang hadir semakin mengurang.
"Ya, sekarang. Tu, dia orang dah tunggu." Jari telunjuk dihala ke arah pelamin yang bertemakan putih dihiasi dengan bunga berwarna-warni. Ramai yang sudah bersedia di tempat masing-masing untuk bergambar bersama pengantin.
"Oh, okey. Awak, jomlah. Mama dah panggil." Airaa memandang suaminya yang bermain telefon. Dia sudah berdiri dari tempat duduknya. Matanya memandang ke arah pelamin yang sudah dipenuhi oleh keluarga mereka.
Tengku Ayie hanya mengangguk sebelum berdiri dan berjalan ke arah pelamin. Senyuman diberikan setelah mereka sudah sampai ke pelamin tersebut.
Airaa mengambil tempat di sebelah Hanis manakala Tengku Ayie bersebelahan dengan Airil. Dia memberikan senyuman lebar kepada Airil serta mengucapkan tahniah. Airil sekadar mengangguk seraya membalas senyuman itu.
Selesai sesi berswafoto, mereka turun dari pelamin. Pengantin juga dibawa ke arah meja panjang untuk menjamu selera. Sedang Tengku Ayie dan Airaa ingin beredar, mereka didatangi oleh sepasang kekasih.
"Airaa, jom kita bergambar. Dah lama kita tak bergambar sama-sama, kan," ujar Amira sambil memegang lengan Airaa. Dari tadi dia memerhati keluarga Airaa yang bergambar di atas pelamin.
"Jomlah. Pelamin pun dah kosong."
"Kejap. Kita ajak suami kau dengan tunang aku sekali."
Tidak sempat Airaa menghalang, Amira sudah memanggil Tengku Ayie dan Tengku Iskandar.
"Kenapa?" tanya Tengku Iskandar sambil mengangkat kening. Baru saja dia dan Tengku Ayie mahu berbual tentang kerja, Amira sudah memanggilnya.
"Jom kita bergambar. Boleh jadikan kenangan nanti." Amira menarik lengan Airaa dengan terujanya.
"Siapa yang nak ambilkan gambar kita?" Tengku Iskandar memandang Amira yang sudah duduk di atas kerusi pengantin. Tak pandai sabar betul.
Tengku Ayie memandang sekeliling sebelum terpandang adiknya yang duduk di kerusi seraya bermain telefon.
"Adik!" panggil Tengku Ayie memandangkan tempat duduk Tengku Arin yang tidak jauh dari pelamin. Senanglah dia mahu memanggil.
Tengku Arin mengangkat wajahnya sebelum pandangannya terarah ke pelamin atau lebih tepat ke arah abangnya.
"Sini, jap."
Tengku Arin menuju ke arah mereka.
"Nah, tolong ambilkan gambar kami berempat." Amira menghulurkan telefon miliknya kepada Tengku Arin.
Amira dan Tengku Iskandar duduk di kerusi pengantin manakala Tengku Ayie dan Airaa berdiri di sebelah mereka. Tengku Arin hanya mengikut seperti yang diarahkan oleh Amira dan Airaa.
Telefon dipulangkan kembali. Mereka melihat hasil-hasil gambar tersebut. Senyuman lebar terbit di bibir Amira dan Airaa. Cantik! Pandai Tengku Arin mengambil gambar.
"Adik, boleh tolong Along?" Tengku Ayie menggamit adiknya untuk mendekati dirinya.
"Tolong apa lagi? Adik penatlah," adu Tengku Arin.
Tengku Ayie menghulurkan telefon miliknya sebelum berkata. "Sekejap je. Ni, tolong ambilkan gambar Along dengan Airaa."
"Hmmm, dah pergi sana."
Tengku Ayie mengangguk lalu mendekati Airaa yang sedang berbual dengan Amira. Mereka berbual di sebuah meja yang tidak jauh dari pelamin.
"Awak, jom ikut saya sekejap," bisik Tengku Ayie kepada Airaa. Gadis itu memandang dirinya dengan pelik.
"Nak pergi mana?"
"Jom, tak pergi mana pun. Dalam dewan ni je."
"Saya pinjam Airaa, ya," pinta Tengku Ayie kepada Amira. Dia tersenyum melihat anggukan daripada sahabat isterinya itu.
Tengku Ayie yang sudah duduk di kerusi pengantin lelaki itu dipandang pelik. Takkan nak sanding balik pula?
"Buat apa berdiri dekat situ pula. Sinilah, duduk. Adik nak ambil gambar kita tu." Tangan Tengku Ayie menepuk kerusi tersebut.
Airaa memandang Tengku Arin yang datang ke arah mereka.
"Cepatlah akak."
Airaa tetap juga duduk di sebelah Tengku Ayie tapi masih ada ruang di antara mereka. Bukan sikit tapi banyak.
"Lah, jauhnya kau orang duduk. Habis ruang dekat tengah tu nak bagi siapa duduk? Hantu? Kucing?" Tengku Arin menepuk dahinya melihat bagaimana kedudukan abang dan kakak iparnya itu. Nak duduk pun jauh-jauh.
Dia terpaksa membetulkan kedudukan suami isteri tersebut. Dia tersenyum puas apabila melihat kedudukan Tengku Ayie dan Airaa waktu itu. Tengku Ayie meletakkan tangannya ke bahu Airaa dan tiada sedikit ruang pun di antara mereka.
Airaa hanya tersenyum untuk menutup malunya. Mana tak malunya bila Tengku Arin selamba saja meletakkan tangan Tengku Ayie ke bahunya. Pipinya terasa membahang. Argh, malu!
"Okey, satu, dua, tiga!" sebut Tengku Arin. Lagaknya seperti jurugambar yang profesional.
"Cantik, kan." Dia menayangkan hasil kerjanya kepada Tengku Ayie dan Airaa. Tersenyum bangga dengan kemahirannya dalam menangkap gambar.
"Tak cantiklah gaya macam ni. Adik ambil semula tapi yang gambar tu jangan padam pula," arah Tengku Ayie semula selepas dia tidak berpuas hati dengan gambar tersebut. Kolot sangatlah tangan letak dekat bahu.
"Nak tengok, gaya apa yang cantik sangat tu. Entah-entah gaya Along lebih buruk daripada gaya tadi tu," bebel Tengku Arin. Dia sudah bersedia untuk menangkap gambar.
Wajah Airaa menjadi cuak apabila Tengku Ayie duduk menghadapnya dan dia juga turut berbuat demikian. Lelaki itu mengambil kedua belah tangannya. Digenggam dengan erat seperti tidak ingin melepaskan. Mata lelaki itu pula memandang ke dalam anak matanya. Ditatap dengan penuh perasaan seperti ingin menyatakan sesuatu. Dia juga membalas tatapan tersebut. Jantungnya berdengup kencang.
Dalam dia membalas tatapan itu, tiba-tiba dia tersentak apabila Tengku Ayie mengucup tangannya yang dihiasi dengan inai. Lama. Jantungnya seperti mahu tercabut. Dalam masa yang sama, dia mahu menangis. Terharu bila diperlakukan seperti itu.
"Cantik, Along. Sejak bila Along belajar pasal ni? Tak pernah-pernah adik tengok. Pandai eh Along sekarang," usik Tengku Arin apabila Tengku Ayie sudah duduk seperti biasa. Tak pernah lagi dia melihat abangnya seperti itu.
"Dah, cepat. Along nak tengok hasilnya macam mana." Tengku Ayie menghulurkan tangan. Telefon tersebut bertukar tangan.
Tengku Ayie tersenyum lebar melihat gambar tersebut. Gambar tersebut terus dijadikan sebagai kertas dinding telefonnya. Airaa dipandang sekilas. Kelihatan wajah gadis itu bertambah merah.
Matanya beralih semula ke skrin telefon. Banyak betul gambar yang ditangkap oleh adiknya. Satu per satu gambar itu dipandang dengan bibir yang tersenyum.
"Awak?"
"Hmmm." Airaa membalas pandangan suaminya.
"Nak tahu tak apa yang saya bisik dekat mummy tadi? Masa mummy tolong saya pakaikan samping," kata Tengku Ayie.
"Apa dia?"
TBC
Share this novel