Bab 38

Romance Series 15713

"AKMAL, tolong panggilkan Cik Su. Suruh dia datang bilik Abang Ngah," arah Airil kepada Akmal seraya mengambil butang baju Melayu dan sampingnya.

Hari ini hari yang bakal menyatukan dua orang insan iaitu Airil Syafik dan Hanis Munirah di sebuah dewan yang berdekatan dengan rumah keluarga Hanis. Sudah lama mengikat tali pertunangan, akhirnya mereka membuat keputusan untuk naik ke jinjang pelamin.

"Okey, Abang Ngah." Akmal keluar dari bilik.

Seketika kemudian...

TOK! TOK! TOK!

"Masuklah, pintu tak kunci pun," sahut Airil dengan tekun membetulkan sampingnya. Sesekali dia menggaru kepalanya. Tidak tahu macam mana mahu memakai samping.

"Ada apa abang panggil Airaa? Airaa baru nak tolong mama dekat dapur." Airaa mendekati abangnya yang sedang menghadap cermin.

Airil duduk di birai katil. Dia melepaskan keluhan. Nak tak nak, tinggal Airaa saja yang boleh bantu dengan dirinya.

"Susah betullah pakai samping ni. Boleh tak kalau abang tak nak pakai? Pakai baju Melayu je."

"Eh, mana boleh! Abang kena pakai juga. Abang tak rasa pelik ke pakai baju Melayu tanpa samping? Lainlah kalau abang nak pakai jubah putih. Lagipun ni majlis nikad abang dengan kak Hanis. Bukannya nak pergi solat Jumaat," bebel Airaa yang sudah bercekak pinggang di hadapan Airil. Pelik betul dengan perangai abangnya yang tidak mahu memakai samping. Orang lain kahwin, okey saja pakai benda tu.

"Yalah, adikku sayang. Nah tolong pakaikan. Abang tak reti nak pakai benda ni."

Samping putih tersebut bertukar tangan. Airaa membetulkan samping tersebut sebelum disarungkan pada tubuh Airil.

"Sebelum ni, siapa yang tolong abang pakaikan?"

"Abang minta tolong mama." Airil memandang Airaa dengan sengihan di bibir. Bukan apa, dia malas mahu belajar tentang itu semua. Lagi pula, selepas ni akan ada orang yang tolong dia. Siapa lagi kalau bukan isterinya.

"Ni, adik dah siap ke? Tinggal satu jam lagi sebelum kita nak gerak pergi masjid. Nanti adik kena tinggal pula sebab lambat nak bersiap."

Samping diperkemaskan agar cantik dipandang dan tak nampak selekeh.

"Airaa dah nak siap dah. Tinggal pakai makeup je ni." Airaa memandang abangnya dengan senyuman lebar yang terlukis di bibir. Abangnya nampak kacak bila memakai baju Melayu berwarna putih disertakan dengan samping.

"Abang nampak hensemlah hari ni. Mesti kak Hanis terpukau bila tengok abang."

"Adik baru tahu ke yang abang ni hensem? Abang rasa sebelum ni pun abang hensem juga."

Airaa memutar bebola mata. Airil memang suka angkat bakul sendiri. Orang dah puji, cakaplah terima kasih. Ni tak, puji diri sendiri je.

Airaa duduk di birai katil sementara Airil menghadap cermin seraya memakai songkok di kepala. Mereka mendiamkan diri tanpa mengeluarkan sebarang suara.

"Lepas ni, abang dah ada tanggungjawab sendiri. Airaa harap abang boleh jaga kak Hanis dengan baik. Walaupun abang dah kahwin nanti, jangan pernah lupakan Airaa tau. Abang tetap abang kandung Airaa. Dunia dan akhirat," luah Airaa dari sudut hati yang paling dalam.

Hatinya sedih bila mengingatkan abangnya yang bakal berkahwin. Baginya, tiada orang yang akan menjaganya bila sakit, mempertahankan dirinya bila dibuli, dan sanggup membelikan makanan walaupun sudah larut malam. Tidak kira Airil ada mesyuarat ataupun outstation, lelaki itu pasti akan mengutamakan dirinya. Namun semua itu telah hilang disebabkan dia sudah mempunyai suami.

Tapi prihatinnya seorang abang tidak akan sama dengan prihatinnya seorang suami. Kasih seorang abang tidak sama dengan kasih seorang suami. Dan sayang seorang abang tidak sama dengan sayangnya seorang suami.

"Apa ni sedih-sedih. Abang takkan lupa dengan adik abang yang comel ni lah. Adik tetap adik kandung abang. Kita boleh jumpa lagi bila kita ada masa. Dah jangan sedih-sedih," balas Airil dengan nada yang sayu.

Dia juga berat hati ingin berpisah dengan adiknya. Tapi dia juga harus mencari kebahagiaannya sendiri dengan cara berkahwin. Bahkan perkahwinan itu juga satu sunnah Rasulullah SAW.

Airaa mengesat sedikit air matanya yang mengalir di pipi. Betul kata abangnya, mereka boleh berjumpa asalkan ada masa yang terluang.

"Abang, tahu tak apa maksud perkahwinan bagi Airaa?"

Airil mengangkat kening. Bermaksud 'apa dia?'

"Perkahwinan bukan saja sunnah Rasulullah SAW tetapi perkahwinan juga penyatuan dua hati yang bersedia untuk menempuhi pelbagai halangan." Airaa tersenyum lebar. Pertama kali dia berkata seperti itu.

Airil mengusap kepala Airaa perlahan.

"Sejak bila adik pandai berkata-kata ni? Dah pergilah masuk bilik sana. Nanti lambat pula adik nak bersiap. Terima kasih sebab tolong abang pakai ni."

Airaa sekadar mengangguk sebelum keluar dari bilik tersebut. Sekarang tiba masanya untuk bersiap.

**********

AIRAA memandang suaminya yang keluar dari bilik air melalui pantulan cermin. Lelaki itu baru habis mandi.

Tengku Ayie yang hanya memakai tuala paras pinggang itu tidak menyedari kehadiraan isterinya. Dia mendekati almari pakaian untuk mengambil baju Melayu berwarna biru gelap.

Sesaat kemudian, dia menoleh ke arah meja solek. Tengku Ayie baru perasan isterinya sudah berada di dalam bilik. Semasa dia bangun tadi, figura gadis itu tidak kelihatan.

Airaa yang sedang memakai tudung itu menghiraukan pandangan suaminya. Dia melihat Tengku Ayie datang mendekat ke arahnya melalui ekoran mata.

"Pergi mana tadi?" tanya Tengku Ayie.

"Saya tolong mama dekat dapur lepas tu tolong Abang Airil sekejap. Ni awak, kenapa tak siap lagi? Dia orang dah nak gerak dah tu." Airaa mula mengelabah apabila suaminya mendekat.

"Tak apalah kalau dia orang dah nak gerak. Kita guna kereta sendirilah pergi sana."

Airaa berpura-pura menyibukkan dirinya dengan mencari pin tudung. Kenapalah lelaki itu tidak memakai baju lagi? Ni dengan tuala paras pinggang. Ingat seksi ke? Tu, rambut tu, kenapa tak keringkan dulu? Tahu tak, lelaki nampak hensem bila rambut dia basah. Suaminya memang sengaja mendera perasaannya.

Airaa menghembus nasaf lega apabila Tengku Ayie sudah masuk ke dalam bilik air. Mungkin sudah terbiasa memakai baju di dalam bilik air.

Airaa berdiri sebelum memusing badannya. Dia terpukau dengan dirinya sendiri yang mengenakan baju kurung yang berwarna biru gelap. Tema mereka sekeluarga termasuk juga baju Melayu Tengku Ayie.

Airaa yang ralit melihat dirinya tidak sedar dengan kehadiran Tengku Ayie di belakang. Dia memusingkan badannya sekali lagi sebelum dia tersiku perut lelaki itu.

"Aduh!" Tengku Ayie menunduk sambil memegang perutnya yang terkena siku milik Airaa. Dia terduduk di birai katil.

"Awak! Maaf sebab saya tak sengaja. Saya tak tahu pun awak ada dekat belakang saya tadi. Maaf." Kalut Airaa meminta maaf kepada suaminya. Dia bukan sengaja mahu menyiku perut lelaki itu. Lagipun, dia tidak nampak bila Tengku Ayie berada di situ.

"Macam manalah awak boleh tak nampak saya dekat belakang ni?"

"Saya minta maaflah awak. Saya betul-betul tak sengaja tadi. Tapi salah awak juga. Yang awak dekat belakang saya dah kenapa?"

"Hah, menjawab-menjawab." Tengku Ayie mengeraskan suaranya dan melihat Airaa dengan mata yang dibesarkan. Sakit dekat perut belum lagi hilang, janganlah pula nak tambahkan sakit dekat telinga dia.

Airaa hanya tertunduk, memandang jari yang bermain antara satu sama lain. Dia mengaku memang salah dia tapi lelaki itu pun salah juga.

"Nah, tolong pasangkan."

Tengku Ayie menghulurkan butang baju Melayu kepada Airaa. Dia tidak tahu bagaimana mahu memakai butang tersebut. Sebelum ini, Tengku Zainab yang akan pasangkan.

Airaa berkira-kira sama ada mahu menolong ataupun tidak. Tangannya menggigil saat tersentuh tangan suaminya. Orang nak ambil butang tu, janganlah genggam. Kan dah tersentuh.

Tengku Ayie berdiri dengan tegak. Manakala Airaa pula memasangkan butang tersebut dengan menggigil. Berdebar bila dipandang oleh lelaki itu dengan jarak yang dekat.

Tengku Ayie melihat wajah Airaa sebelum matanya terarah ke jari manis gadis itu. Jari yang masih memakai cincin perkahwinan mereka. Dia ingatkan Airaa tidak mahu memakainya, rupanya masih elok terletak di jari manis gadis itu.

Matanya kembali memandang Airaa yang tekun membuat kerja. Tanpa sedar, satu senyuman terlukis di bibir. Wajah itu yang dapat menenangkan fikirannya, bahkan membuatkan jantung berdegup dengan kencang.

Tangannya menyentuh bibir Airaa apabila ternampak ada gincu yang tercalit di tepi bibir gadis itu. Ibu jarinya diusap untuk menghilang kesan tersebut. Dia menekankan sedikit jarinya apabila kesan itu tidak hilang.

Lain pula pada Airaa. Mahu terkeluar biji matanya saat Tengku Ayie menyentuh bibirnya. Senang-senang saja lelaki itu menyentuh bibirnya tanpa izin.

'Dia suami kau. Macam-macam dia boleh pada kau. Sebab apa? Sebab kau milik dia.' getus hati Airaa.

Dia membulatkan mata apabila Tengku Ayie mengusap bibirnya. Tadi sentuh, sekarang pula usap. Allahu-Akbar. Dia tidak tahu mengapa setiap kali Tengku Ayie memperlakukan dirinya seperti itu, terasa dirinya disayangi.

Tengku Ayie menghentikan perbuatannya setelah kesan tersebut sudah hilang. Dia memandang wajah Airaa yang sudah berubah merah itu. Tahulah dia yang gadis itu sedang malu.

"Dah selesai pasangkan butang?" tanya Tengku Ayie sambil melirik ke arah cermin yang berada di belakang Airaa.

Airaa hanya mengangguk sebelum mengalihkan badannya melihat cermin. Pergerakannya terhenti. Mata memandang tangannya yang dipegang oleh Tengku Ayie.

"Tolong pakaikan samping ni. Saya tak reti nak pakai," pinta Tengku Ayie.

Airaa terpaksa akur walaupun terpaksa. Lelaki memang macam ni ke? Tak reti pakai samping?

"Kalau boleh, buat bentuk bunga."

"Tak boleh."

"Kenapa?" Tengku Ayie mengerutkan kening seraya membuat muka pelik. Kenapa tidak boleh pula?

"Bentuk bunga untuk pengantin lelaki. Kalau untuk awak, bentuk biasa je."

"Alah, nak juga bentuk bunga," rengek Tengku Ayie seperti kanak-kanak yang tidak dapat membeli mainan. Dengan pakej hentak kaki sekali.

"Kenapa nak pakai bentuk macam tu juga? Awak bukannya nak kahwin." balas Airaa yang tekun memasang samping pada tubuh Tengku Ayie. Ketawanya ditahan melihat kelakuan lelaki itu.

"Siapa cakap yang saya tak nak kahwin? Saya minta bentuk macam tu sebab saya nak kahwinlah."

Airaa segera melepaskan samping tersebut dengan kasar sehingga jatuh ke bawah. Sakit hati bila dengar suami sendiri nak kahwin lain. Satu isteri tak cukup ke?

"Eh, kenapa tak pasang lagi?"

"Suruh bakal isteri awak tu tolong pasangkan. Saya tak kuasa nak tolong awak."

Airaa keluar dari bilik itu selepas mengambil beg tangan dan telefonnya yang berada di atas meja. Jam juga sudah menunjuk waktu untuk mereka bergerak ke dewan.

Tengku Ayie menepuk dahi seraya memejamkan mata. Kesal dengan apa yang telah dia katakan. Gadis itu sudah salah faham.

Dia berlari turun ke bawah dengan samping diletakkan di atas bahu. Kedengaran banyak kenderaan yang sudah keluar dari kawasan rumah Encik Aizhar. Hatinya berdoa agar Airaa masih berada di situ.

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience