Bab 27

Romance Series 15713

PAGAR rumah Tengku Ayie terbuka secara automatik ketika kereta BMW X6 M memasuki kawasan rumah tersebut. Airaa memandang banglo dua tingkat itu selepas turun daripada kereta. Rumah banglo tersebut tampak cantik dan ditambahkan lagi dengan sebuah kolam renang yang luas.

Airaa memandang Tengku Ayie yang sedang memunggah beg bagasi mereka dari bonet kereta. Lelaki itu didekati.

"Awak, ini ke rumah yang awak cakap tu? Cantiklah reka bentuk dia," ujar Airaa sambil memandang kawasan rumah tersebut. Cantik rumah tersebut tambahan lagi apabila ada kolam renang.

"Taklah, ni rumah orang gila. Dah tepi sikit, orang nak lalu." Tengku Ayie mengheret beg bagasi tersebut masuk ke dalam rumah.

"Taklah, ni rumah orang gila." Airaa mengulangi kata-kata suaminya.

"Rumah ni rumah dia, maksudnya dia lah yang gila," kata Airaa dengan perlahan tetapi masih boleh didengar oleh suaminya.

"Saya dengar apa yang awak cakap tu. Cepatlah masuk. Berdiri dekat situ buat apa?"

Dengan pantas, Airaa mengejar langkah suaminya dari belakang sehingga mereka sampai di hadapan sebuah bilik. Tengku Ayie masuk ke dalam bilik tersebut seraya membawa beg bagasinya.

Baru saja Airaa ingin masuk ke dalam bilik tersebut, pintu sudah dibuka dari dalam. Kepala Tengku Ayie muncul di celah-celah pintu sebelum kunci di tangannya dihulur kepada isterinya.

Airaa memandang hairan kunci tersebut. Kunci itu sudah bertukar tangan.

"Kunci apa ni?" soal Airaa. Kunci di tangannya diangkat.

"Kunci tu untuk bilik awak. Nampak tak bilik itu?" Jari telunjuk Tengku Ayie menghala ke sebuah bilik yang berhadapan dengan biliknya.

Airaa memusingkan badannya untuk melihat bilik tersebut. Dia menganggukkan kepala. Bilik yang pintunya berwarna merah jambu.

"Itu bilik awak. Kalau ada apa-apa, ketuk je pintu ni tapi tunggu saya buka. Jangan memandai-mandai nak buka atau nak masuk ke dalam. Faham?"

Tengku Ayie memandang tepat ke dalam mata gadis itu. Mencari kejujuran di mata isterinya. Perbuatannya itu membuatkan Airaa mengalihkan pandangannya ke tempat lain.

'Aduh, kalah betul bila main renung-renung mata ni. Nasib baik hati ni melekat elok kalau tak, mesti dah tercabut keluar.' desis hati Airaa.

"Okey, faham," balas Airaa. Dia melangkah masuk ke dalam bilik yang sudah menjadi biliknya itu. Dia ingatkan lelaki itu ingin berkongsi bilik dengannya, rupanya tidur asing-asing.

Matanya memandang segenap ruang yang terdapat dalam bilik tersebut. Cantik. Dengan kertas dinding yang berwarna merah jambu itu membuatkan hatinya senang. Warna merah jambu memang warna kegemarannya.

Airaa termenung di birai katil. Otaknya ligat berfikir. Bilalah Tengku Ayie akan membalas cintanya? Tidak tahukah lelaki itu tentang perasaannya?

'Macam mana dia nak balas kalau kau tak bagitahu dia. Kau cakap je yang kau cintakan dia. Senang Airaa, manalah tahu dia balas cinta kau,' desis hatinya. Airaa menggelengkan kepala apabila teringat dirinya yang takut mahu mengaku dengan Tengku Ayie.

TOK! TOK! TOK!

Airaa terkejut mendengar ketukan tersebut. Dia berdiri sambil memikirkan tentang ketukan itu.

"Takkanlah dia nak ajak aku pindah masuk dia pula. Tapi kalau ya pun, boleh juga. Manalah tahu dia suruh aku pindah ke," gumam Airaa dengan perlahan. Senyuman menghiasi bibirnya.

Dia merasakan yang dia lah manusia paling gembira disebabkan lelaki itu mengajak dia untuk tidur satu bilik. Tombol pintu dipulas perlahan.

"Siap cepat. Kita keluar beli barang dapur. Jangan lambat, kalau awak lambat saya tinggal terus."

Terasa seperti disambar petir, Airaa hanya terkaku memandang Tengku Ayie. Lelaki itu sudah bertukar pakaian.

"Apa?" tanya Airaa tidak faham. Bukan dia tidak faham tapi dia mahu kepastian. Dia takut tersalah dengar.

"Siap cepat. Lambat saya tinggalkan awak, Puan Airaa," ulang Tengku Ayie.

"Okey."

Pintu ditutup semula. Airaa menunduk seraya meletakkan tangan di dada. Dia kecewa dengan dirinya sendiri. Dia terlalu berharap dengan semua itu. Dia ingatkan lelaki itu menyuruh dia untuk pindah, duduk dalam satu bilik. Namun sangkaannya salah, lelaki itu hanya mengajak keluar untuk membeli barang dapur. Baru dia tahu bahawa pengharapan itu menyakitkan.

**********

"SAYA baru je telefon Airaa. Dia kata dia orang dah sampai. Sekarang ni, dia orang nak pergi beli barang dapur," kata Tengku Zainab meletakkan telefonnya di atas meja kaca yang berbentuk empat segi.

Tengku Mustafa mengerutkan dahi.

"Awak ingat rumah Along tu jauh ke dari sini? Mestilah dia orang dah sampai. Dari sini pergi rumah tu bukannya ambil masa yang lama," balas Tengku Mustafa.

"Saya tahulah rumah itu tak jauh dari sini, abang. Tapi manalah tahu, dia orang berdua tu pergi tempat lain. Janji temu ke?" Tengku Zainab mengambil ruang bersebelahan dengan suaminya.

Secawan teh diambil lalu dihirup dengan perlahan. Alangkah baiknya kalau anak menantunya turut berada di situ, boleh juga dia berbual dengan gadis itu.

"Dia orang nak pergi datinglah tu. Kalau dia orang dekat sini, macam mana nak dating? Ada je orang yang ganggu waktu dia orang." Tengku Mustafa sengaja menekankan perkataan 'mengganggu'. Bukan dia tidak tahu siapa orang yang menganggu itu.

Dia tahu Tengku Ayie dan Airaa tidak mempunyai waktu bersama disebabkan  isterinya, Tengku Zainab. Dah isterinya itu asyik berkepit saja dengan anak menantu.

"Oh, awak nak kata saya lah yang ganggu dia orang. Habis tu awak, tak? Awak yang selalu ajak Along pergi main golf tu bukan ganggu dia orang ke, hah? Eleh, nak kata kita sedangkan dia," sindir Tengku Zainab sambil mencebikkan bibir.

Tengku Mustafa hanya mengusap belakang lehernya. Malu apabila perbuatannya dapat dihidu oleh isteri sendiri.

"Alah, tak apalah. Sebelum pindah, dapatlah dia orang luangkan masa dengan kita. Tak tahu bila lagi kita nak jumpa dia orang."

Tengku Zainab hanya menganggukkan kepala. Betul juga tu.

"Okeylah tu. Kita bagi dia orang pula masa nak bersama. Tapi saya kesianlah dekat Airaa, Abang."

"Kenapa pula awak nak kesian dia?" Tumpuan Tengku Mustafa bukan lagi ke kaca televisyen. Matanya memandang Tengku Zainab.

"Saya tengok Along tu macam selalu je balik lambat. Kadang tak sempat nak makan malam dengan kita. Saya rasa kesian dekat Airaa. Yalah, Along kan sibuk dengan kerja. Balik pun pukul satu,  tak pun pukul dua pagi. Nanti tinggal Airaa seorang dekat sana."

Tengku Mustafa hanya menggelengkan kepala. Faham sangat dengan sikap isterinya yang risaukan menantu daripada anak sendiri.

"Habis tu Along, awak tak risau?" soal Tengku Mustafa. Mata kembali memandang televisyen.

Tengku Zainab memandang Tengku Mustafa dengan pandangan yang tajam. Gila ke? Ibu mana saja yang tidak risaukan anak sendiri? Sembilan bulan 10 hari dia kandungkan Tengku Ayie.

"Nama pun anak, mestilah risau. Dah kalau itu kerjaya yang dia pilih, nak buat macam mana lagi? Kerja, kerja juga tapi jangan abaikan isteri dekat rumah. Nanti bila dah tak ada, baru terhegeh-hegeh nak mencari." Tajam kata-kata yang dilontarkan oleh Tengku Zainab. Geram dengan kaum lelaki yang terlalu memikirkan kerja tanpa mempedulikan isteri di rumah.

Tengku Mustafa menelan air liur beberapa kali. Tengku Ayie yang buat hal, dia pula yang kena. Tak boleh jadi ni.

"Awak perli Along atau saya?"

"Along tu ikut perangai abang. Yang paling utama itulah yang akan jadi terakhir bagi Abang dengan Along. Heh, macamlah saya tak tahu." Tengku Zainab mencebikkan bibir. Mesti kerja jadi nombor satu. Isteri, nombor dua. Jangan ada yang ketiga sudah.

"Suka hati awaklah. Malas saya nak layan," ujar Tengku Mustafa tanda mengaku kalah. Cakap dengan perempuan bukannya boleh menang.

Ruang tamu kembali senyap. Hanya kedengaran bunyi daripada televisyen yang menayangkan siaran CJ Wow Shop. Suami isteri itu mendiamkan diri setelah penat berdebat.

TING TONG!

Bunyi loceng pintu kedengaran. Tengku Zainab segera berdiri dan menghampiri pintu utama. Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang kurang baik.

Pintu dibuka.

Mata Tengku Zainab membulat saat melihat seseorang yang yang berada di hadapannya.

"Mummy."

"Ya Allah, abang!" laung Tengku Zainab memanggil suaminya. Hampir tercabut jantungnya apabila melihat insan yang dirindui berada di depan mata. Fikirannya terus mengingat Tengku Ayie. Bagaimana perasaan anaknya itu saat berjumpa dengan orang itu?

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience