TENGKU AYIE melangkah masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang geram. Salam pun tidak diberi. Dia duduk di sofa sambil tangan giat membuka tali leher.
Niatnya mahu ke restoran itu untuk membeli makanan namun lain pula yang jadi. Dia melihat kemesraan Tengku Akimi dengan seorang wanita yang cukup dia kenali. Siapa lagi kalau bukan mak saudara Airaa, Zahirah.
Dia mencengkam rambutnya. Kenapalah selama ini dia tidak perasan yang wajah Akmal sama seperti Tengku Akimi.
Sekeliling diperhati sebelum matanya dipejam rapat. Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena? Fikirannya mengingatkan kejadian minggu lalu. Disebabkan kejadian itulah, dia dan Airaa tidak bertegur. Jika dulunya Airaa akan menyediakan sarapan dan makan malam untuk dia tetapi kini tidak ada lagi. Airaa hanya terperap di dalam bilik.
Tengku Ayie meraup wajah sebelum menghela nafas berat. Sungguh dia rindu dengan masakan Airaa. Namun apakan daya bila ego menguasai dirinya.
Tengku Ayie bangun lalu menaiki tangga menuju ke biliknya. Semasa dia menuju ke biliknya, dia bertembung dengan Airaa yang baru keluar dari bilik sambil memegang tongkat. Tongkat yang diberikan oleh Tengku Sofea kepada Airaa.
Tengku Ayie tidak sedikit pun mengangkat wajahnya untuk melihat gadis itu.
Airaa memandang Tengku Ayie dengan pandangan yang pelik. Dengan rambut yang serabai dan tali leher yang sudah hilang entah ke mana. Selalunya lelaki itu akan pulang dalam keadaan kemas walaupun lewat malam.
Airaa hanya mengangkat bahu. Biarlah lelaki itu dengan dunianya sendiri. Dia turun ke bawah pun mahu menghilangkan dahaga. Jika tidak, jangan haraplah dia mahu turun.
"Eh, mak kau!" latah Airaa. Dia terkejut dengan deringan telefon bimbit miliknya. Nama yang tertera di skrin telefon diperhati.
Amira.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam, ada apa telefon aku malam-malam ni?" tanya Airaa sambil tangan memegang cawan untuk membuat minuman.
"Saja. Ni, kau dengan suami kau macam mana? Dah seminggu, takkan tak ada perubahan lagi?"
"Macam tulah. Tak ada perubahan pun. Lebih dingin ada lah," jawab Airaa diakhiri dengan keluhan. Dia menuangkan air panas ke dalam cawan.
"Kalau kau tak cuba untuk dekat dengan dia, macam mana dia tak dingin."
"Kau cuba bagitahu aku macam mana nak dekat dengan dia? Dahlah balik lewat malam, pergi kerja pun awal pagi. Kau rasa aku ada peluang ke?"
Dia dengar Amira menepuk dahi. Senyuman terbit di bibirnya kerana dia tahu Amira memang arif dalam hal seperti ini walaupun belum berkahwin. Seharusnya dia berlatih dengan Amira dari awal perkahwinan.
"Kau buatlah apa yang patut. Kau buatkan makanan ke, buat air ke, tak pun kau goda dia? Hah, kau belum buatkan semua tu." Amira menekankan perkataan goda.
"Heh, kalau yang makan minum tu, aku dah buatlah. Cuma yang bahagian 'goda' tu aku tak nak buatlah. Malu!"
Senyuman Airaa kembali hilang. Nak dekat pun dah rasa takut, inikan pula nak goda lelaki tu. Memang taklah. Bibir dicebikkan.
"Ya Allah, Airaa! Dia tu suami kau. Nak malu buat apa? Peninglah kepala aku ni dengan kau. Orang ajar tak nak ikut."
"Alah, rancangan lainlah. Yang tu, nanti aku buat tapi bukan sekarang. Okey?"
Lama Amira berfikir sebelum bertanya soalan lain.
"Suami kau tengah buat apa sekarang ni?"
Airaa memandang ke arah tangga.
"Dekat atas, dalam bilik dia kut. Baru je balik. Kenapa?"
"Lah, kau tanya aku kenapa. Kau pergilah buatkan dia air ke, makanan ke. Entah-entah dia tu lapar."
Airaa berfikir sejenak. Ya kan, kenapalah dia tidak terfikir mahu berbuat seperti macam tu?
"Okeylah kalau macam tu. Aku nak buatkan dia air. Terima kasih, Amira. Kau lah sahabat dunia akhirat aku."
"Eh! Jadi, aku ni nak buat apa? Dahlah aku telefon kau ni, nak ajak berbual."
"Telefonlah tunang kau," balas Airaa sebelum dia berdiri.
"Tunang aku tu dah lama tidur. Aku telefon, dia tak angkat. Okeylah. Semoga berjaya, Puan Airaa! Assalamualaikum."
"Okey, waalaikumussalam."
Airaa mengetuk jari ke atas meja.
'Aku selalu nampak dia minum air coklat. Tapi mungkin dia tengah buat kerja sekarang. Lebih baik aku buatkan dia air kopi. Nanti taklah dia mengantuk,' bisik Airaa dalam hati.
Dia menuju ke dapur semula untuk membancuh air kopi. Setelah siap, cawan dibawa dengan penuh berhati-hati. Takut tumpah. Nanti tak jadi suaminya mahu minum.
Sampai di pintu bilik Tengku Ayie, Airaa mengetuk pintu. Namun tiada sahutan dari dalam bilik tersebut. Setelah lama berdiri, dia mengambil keputusan untuk membuka pintu tersebut. Kosong. Yang ada di dalam bilik itu cuma laptop dan kertas kerja di atas meja.
Bunyi pancuran air kedengaran dari bilik air. Mungkin lelaki itu sedang mandi. Yalah, lelaki itukan baru balik dari pejabat. Mestilah kena mandi dulu.
Saat Airaa ingin melangkah, tongkat yang dia gunakan terlanggar pada kaki katil. Dirinya yang tidak stabil membuatkan dia terjatuh. Manakala air yang berada di dalam cawan itu telah tertumpah dan membasahi kertas kerja Tengku Ayie.
Bunyi pintu bilik air kedengaran dibuka.
"Kertas kerja aku!"
**********
TENGKU AYIE yang keluar dari bilik air sambil mengelap rambutnya itu diserang rasa terkejut. Dia melihat Airaa yang jatuh terduduk sebelum matanya terarah ke meja kerjanya. Matanya membulat melihat kertas kerja yang sudah basah.
"Kertas kerja aku!"
Dia segera menghampiri sebelum kertas kerjanya diangkat. Habis basah semua. Dia menghidu kertas yang sudah basah itu. Air kopi. Tengku Ayie memandang Airaa dan ternampak cawan yang berada di tangan gadis itu.
"Kan aku dah kata, tak payah masuk bilik aku kalau aku tak suruh! Kau degil sangat ni kenapa? Kau tengok sekarang, eh, kau ni asyik menyusahkan aku jelah!"
Tanpa sedar, panggilannya berubah. Dia stres dengan masalah yang dia hadapi. Masalah Tengku Akimi, menguruskan kes, mencari bahan untuk melatih peguam baru lagi. Sekarang pula, dia harus membuat semula kertas kerjanya. Sedangkan dia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja tersebut.
Tengku Ayie duduk di sofa untuk tenangkan diri. Keluhan dilepaskan dengan kasar. Api kemarahannya kian meluap-luap.
"Aw... awak."
"Kau keluar sekarang." Dengan tenang Tengku Ayie menunjuk ke arah pintu. Dia mahu isterinya keluar sebelum dirinya bertindak di luar kawalan.
"Tapi saya nak..."
"Kau tak faham bahasa ke? Aku kata keluar, keluarlah! Yang kau masih tercegat dekat situ kenapa! Tak cukup ke kau dah susahkan aku selama ni! Dah cukup bagus aku tak ceraikan kau sekarang!" Nada digunakan oleh Tengku Ayie semakin tinggi.
Dia berdiri sebelum menghampiri Airaa yang masih terduduk itu. Dadanya turun naik apabila tidak dapat menahan marah lagi. Dia menarik lengan Airaa dengan kuat supaya dapat berdiri.
"Awak, tangan saya sakitlah," adu Airaa apabila lelaki itu menarik lengannya dengan kasar. Sakit pada pergelangan kakinya semakin bertambah disebabkan belum sembuh sepenuhnya.
Airaa meringis kesakitan kerana kakinya semakin berdenyut-denyut. Air matanya mengalir. Dia sudah tidak tahan lagi.
Airaa ditolak sehingga jatuh ke lantai selepas pintu bilik dibuka. Tengku Ayie melihat air mata yang mengalir di pipi gadis itu namun diendahkannya.
"Allahu-Akbar," ucap Airaa dengan perlahan. Dia sudah tidak berdaya lagi untuk bangkit. Dirinya semakin lemah dan dia terasa mahu pitam.
Akhirnya, dia dapat melihat bagaimana sikap Tengku Ayie yang sebenar. Sungguh besar perkara tadi di mata suaminya.
'Memanglah besar sebab kau dah tertumpahkan air dekat kertas kerja dia,' bisik hatinya.
Airaa menangis apabila mendengar bisikkan itu. Dia memang tidak sengaja tumpahkan air kopi itu. Sumpah, tak terniat pun dalam hatinya.
"Kau jangan berani-berani masuk dalam bilik ni. Kalau tak, nahas kau aku kerjakan," ujar Tengku Ayie lalu menutup pintu dengan kuat.
BUM!
Terhinjut bahu Airaa sambil menangis teresak-esak. Niatnya hanya untuk berbaik dengan lelaki itu namun lain pula jadinya. Memang betullah, tiada tempat untuk dirinya menumpang di hati lelaki itu.
Dengan perlahan-lahan Airaa berjalan menuju ke biliknya. Digagahkan juga dirinya untuk bangkit. Di dalam rumah itu, tiada siapa yang akan membantunya kerana hanya dia dan Tengku Ayie saja yang ada.
Tengku Ayie duduk di sofa sambil tangan menekup muka. Dia harus menenangkan dirinya sebelum sikap panas barannya muncul kembali. Dia beristighfar sebelum bangun dan menuju ke balkoni biliknya.
"Ya Allah, apa yang aku dah buat ni? Aku tak sengaja marah dia," tutur Tengku Ayie dengan perlahan. Terasa dirinya tidak layak menjadi seorang suami. Dia tidak layak menjadi suami orang jika tidak dapat mengawal marah.
'Memang patut pun kau marahkan dia. Kenapa kau tak ceraikan dia je? Dia dah buat kertas kerja kau jadi hancur lebur. Dia tu selalu menyusahkan hidup kau dari dulu sampailah sekarang. Memang patutlah kau marahkan dia,' bisik satu suara di telinga kirinya. Bisikan itu seolah-olah menghasut dirinya untuk terus memarahi Airaa.
'Siapa suruh kau tak dengar dulu penjelasan daripada dia. Dia nak jelaskan tapi kau dah tarik dia keluar dari bilik. Isteri ni, dia untuk disayangi dan dicintai. Kalau susah sangat kau nak cintakan dia, kau lepaskan jelah. Kau ni eho sangat," suara bisikan pada telinga kanannya.
Tengku Ayie meraup rambutnya hingga ke belakang. Argh! Dia buntu sekarang ini. Tidak tahu apa lagi yang dia harus lakukan.
DUM!
Bunyi guruh yang berdentum dengan kuat menyentakkan dia sebelum dia terdengar suara orang menjerit. Tiba-tiba dia teringatkan isterinya yang takut dengan bunyi guruh dan kilat.
"Ya Allah, Airaa!"
Seakan baru tersedar, Tengku Ayie berlari menuju ke bilik Airaa. Dia baru teringat pesanan Airil yang mengatakan gadis itu mempunyai penyakit Astrafobia iaitu sangat takut dengan bunyi guruh dan kilat. Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana lalai dalam menjaga Airaa.
Pintu bilik Airaa dibuka dan mata Tengku Ayie mencari figura isterinya. Dia melihat Airaa yang duduk di tepi katil sambil lutut dirapatkan ke dada dan kedua-dua tangan menutup telinga.
Dia mendapatkan Airaa lantas menarik tubuh gadis itu ke dalam pelukannya. Tubuh gadis itu menggigil serta matanya terpejam rapat. Namun Airaa sempat membalas pelukannya.
"A... abang, a... dik ta... kut," kata Airaa yang menganggap Tengku Ayie sebagai Airil.
Namun selepas itu, wajah Airaa menjadi pucat. Tiada lagi tindak balas daripada gadis itu. Tangan yang memeluk pinggangnya juga semakin longgar. Tengku Ayie yang perasan tentang itu laju saja memanggil nama isterinya. Pipi gadis itu ditepuk dengan perlahan.
"Airaa?"
"Airaa?"
"Airaa!"
Tengku Ayie menggigil. Takkanlah disebabkan dia, Airaa jadi seperti itu. Dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri sekiranya berlaku apa-apa kepada gadis itu.
Hujan turun dengan lebat manakala kilat berdentum dengan kuat. Tengku Ayie segera mencempung Airaa dan dia merasakan kesejukan dari tubuh gadis itu. Airaa dimasukkan ke dalam kereta miliknya. Kemudian, kereta tersebut bergerak di atas jalan raya menuju ke hospital.
TBC
Double update untuk hari ni
Share this novel