Bab 22

Romance Series 15713

"ALONG nak pergi mana? Tak kerja ke hari ni?"

Tengku Zainab memandang anak sulungnya itu dari atas ke bawah. Tengku Ayie memakai baju t-shirt berwarna krim dan seluar slacks berwarna hitam. Ini turut menampakkan kekacakan dan kekemasan pada diri anaknya. Tambahan lagi bila baju dimasukkan ke dalam seluar. Boleh terpukau anak gadis yang memandangnya.

Tengku Ayie yang turun sambil memakai jam tangan itu duduk bersebelahan dengan Tengku Zainab.

"Nak pergi rumah papa. Hari ni Along cuti. Dia orang ajak lunch dengan dinner sekali dekat sana lepas tu nak bincang pasal kahwin Airil. Dia kan nak kahwin."

"Along pergi dengan Airaa? Mana dia?" Tengku Zainab menoleh memandang tangga. Takkanlah Tengku Ayie nak pergi seorang diri.

"Along nak pergilah dengan Airaa. Dia tengah bersiaplah tu dekat atas. Ni adik mana? Tak nampak pun."

"Adik kata dia ada kelas pagi ni. Itu yang awal bangun. Kalau bukan ada kelas, lewatlah dia bangun."

Tengku Ayie mengangguk sebelum menoleh ke arah tangga. Lama betul isterinya itu bersiap, mengalahkan puteri raja.

"Sorry, lambat turun. Tadi cari telefon dekat atas. Tak tahu letak dekat mana." kata Airaa bila kehadirannya tidak disedari oleh anak-beranak itu.

"Airaa dah cari satu bilik ke?Mungkin ada dalam bilik tu juga." soal Tengku Zainab. Kening dikerutkan.

Airaa menggeleng kepala. "Tak jumpalah, mummy. Yang Airaa jumpa telefon Ayie je."

"Cuba cek, siapa punya telefon dekat Along? Mana tahu Along tersalah ambil ke?" Mata Tengku Zainab memandang Tengku Ayie yang menonton televisyen.

Tengku Ayie terus mengambil telefon yang terletak di poket seluarnya bahagian belakang. Dibelek telefon tersebut sebelum dihidupkan.

Wajah Airaa yang memenuhi skrin telefon itu mengejutkan Tengku Ayie. Nampaknya dia sudah tersilap ambil.

"Eh, tu telefon saya. Awak dah salah ambillah." kata Airaa diiringi dengan ketawa perlahan.

"Tulah pakai casing yang sama lagi, kan dah tertukar telefon kamu. Lain kali jangan pakai yang sama warna, nanti keliru."

Tengku Ayie menggaru belakang lehernya. Bukan dia tahu yang dia bawa tu telefon Airaa. Dah kalau casing pun sama, nak buat macam mana. Ini semua salah Tengku Arin. Adiknya sengaja membelikan mereka casing yang sama warna. Tengok apa dah jadi.

"Mummy pandang Airaa kan, macam ada sesuatu. Berseri-seri je muka dia. Ada apa-apa ke ni?"

Airaa memandang dirinya. Cukup lengkap berpakaian dengan rambut dibiarkan tidak diikat.

"Eh, tak adalah. Biasa-biasa je, mummy," balas Airaa sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Tengku Ayie. Mata suami sendiri tak lepas daripada memandang dirinya.

'Tak lawa ke aku ni? Aku tahulah aku ni tak pakai tudung lagi.' bisik Airaa dalam hatinya.

"Betul ni tak ada apa-apa?" tanya Tengku Zainab kepada Airaa dengan yakin. Yalah, manalah tahu dah berisi ke tapi sengaja tak nak bagitahu. Orang zaman sekarang kalau isteri dah mengandung, mestilah nak kejutan untuk semua orang.

"Betullah mummy."

"Jomlah, kita gerak nanti lambat pula nak sampai sana. Okeylah mummy, kami nak gerak dulu." Tengku Ayie berdiri dan tangan Tengku Zainab disalam. Airaa pun melakukan benda yang sama.

"Yalah, pandu elok-elok. Nanti sampaikan salam mummy dekat papa dan mama Airaa, ya." Tengku Zainab menghantar mereka sehingga ke muka pintu.

"Insya-Allah, nanti Airaa sampaikan. Assalamualaikum."

Salam dijawab di dalam hati. Mata Tengku Zainab memandang kelibat kereta BMW X6 M sebelum hilang daripada pandangannya.

Tengku Zainab menutup pintu dan melangkah ke arah sofa untuk menyambung semula kerjanya iaitu melihat siaran televisyen mengenai masakan.

**********

DENGAN perlahan-lahan kereta BMW X6 M memasuki perkarangan rumah milik Encik Aizhar. Terdapat dua buah kereta milik Encik Aizhar dan Airil di hadapan rumah tersebut. Mereka keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah.

"Cik Su!"

Tubuh Airaa terus dipeluk. Rindu betul dia dengan Cik Sunya. Lama juga mereka tidak bersua muka.

"Eh, Akmal pun ada? Mana semua orang?" tanya Airaa sambil menyamakan ketinggiannya dengan Akmal. Tubuh itu juga dipeluknya dengan erat.

Tengku Ayie yang sedang berdiri hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Pantang betul dua orang ni berjumpa, mesti nak berkepit.

"Lah, dah sampai dah anak dengan menantu mama ni. Masuklah dulu. Papa dengan Airil ada dekat pondok belakang rumah. Tengah berbual," sapa Puan Zahra saat melihat pasangan suami isteri itu berada di muka pintu.

Airaa lantas berdiri dan menyalam tangan Puan Zahra. Tengku Ayie turut menyalam tangan mak mentuanya.

"Ni Ayie, pergilah jumpa papa dengan Airil sana. Rancak sangat berbual tu sampaikan tak dengar bunyi kereta kamu."

Encik Aizhar dan Airil mengambil cuti hanya kerana mahu membincangkan pasal perkahwinan Airil yang tidak lama lagi.

Tengku Ayie mengangguk sebelum meminta diri untuk ke belakang rumah.

"Mak Su mana, mama? Tak nampak pun dari tadi?"

"Ada dekat atas, dalam bilik tetamu. Dia dengan Mak Tok baru sampai dari kampung tadi. Penat sangatlah tu," ujar Puan Zahra.

Akmal yang memegang tangannya dipandang. Ada lah tu nak apa-apa kalau dah macam tu.

"Manja sangatlah Akmal dengan Airaa ni. Tengok, tak nak betul berpisah dengan Cik Su dia. Abang Ayie ajak dia pergi belakang rumah pun dia tak nak," kata Puan Zahra. Dia mengusap kepala Akmal.

"Mama tengok kamu bertiga tadi, dah macam satu keluarga. Dengan bajunya yang sama warna. Tak ada isi lagi ke dalam tu?" Puan Zahra menunjuk perut Airaa. Tak sabar rasanya nak timang cucu. Harap tahun ni ada lah.

Airaa mengukir senyuman lebar kepada Puan Zahra. Dia memang perasan yang warna baju mereka berdua sama padahal itu semua tidak dirancang pun. Haih, casing telefon sama, baju pun sama. Jodoh ke tu?

"Tak ada rezeki lagi nak buat macam mana. Mama doakan jelah Airaa."

"Tak apa, kamu kan baru dua bulan kahwin. Tak apa mama faham. Ni mama nak buat kerja dekat dapur dulu. Kalau Airaa penat ke, pergilah naik atas. Rehatkan badan dulu."

Puan Zahra segera menuju ke dapur selepas menerima anggukan daripada Airaa. Banyak lagi yang dia mahu masak untuk makan tengah hari nanti.

Airaa yang memandang mamanya itu tersentak disebabkan Akmal menarik tangannya.

"Cik Su?"

"Ya, awak nak apa budak kecik?" Hidung Akmal dicuit.

"Tadi aunty Zah ada kata isi. Apa tuh 'isi'? Buah-buahan ke?" Berkerut dahi Akmal bila tidak tahu maksud isi itu apa.

"Awak masih kecil lagilah budak. Tak boleh masuk campur dengan urusan orang tua." Airaa terus mencubit pipi pau milik Akmal. Ergh, comelnya.

"Alah, cepatlah Cik Su bagitahu Akmal. Akmal nak tahu," rengek Akmal dengan pakej hentak kaki sekali.

Kesian pula Airaa melihat Akmal yang merayu seperti itu. Nampak sangat nak tahu apa maksud 'isi' tu.

"Isi tu maksudnya baby."

"Baby?"

"Iya, baby." Tangan Airaa menyentuh perutnya. Tempat di mana baby itu bakal berada.

"Oh, maksudnya baby dalam perutlah kan, Cik Su?"

"Ya, dahlah cakap pasal ni. Sekarang kita naik pergi atas jumpa Mak Tok dengan umi Akmal. Jom," ajak Airaa sambil memimpin tangan Akmal dan menuju ke tangga. Dia tidak mahu berfikir pasal baby lagi. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada, nak buat macam mana. Belum ada rezeki lagi.

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience