Bab 32

Romance Series 15713

AIRAA tidak mengeluarkan suaranya apabila melihat perubahan pada wajah Tengku Ayie. Dia melihat kedinginan pada wajah lelaki itu. Namun dia tidak berani untuk menegur atau bertanya.

Sesampai saja mereka di rumah, Tengku Ayie terus keluar dari kereta dan meninggalkan Airaa seorang diri. Dia harus menenangkan dirinya sendiri. Tidak mahu melepaskan api kemarahannya kepada orang yang tidak bersalah.

Airaa yang faham dengan keadaan lelaki itu itu hanya membiarkan saja. Dia tahu Tengku Ayie memerlukan ruang dan masa untuk menenangkan diri. Namun ada satu perkara yang dia fikirkan. Dia dapat rasakan yang dia pernah melihat Tengku Akimi sebelum ini. Ataupun itu pelanduk dua serupa?

Airaa menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia keluar dari perut kereta sebelum menuju ke biliknya. Bilik Tengku Ayie dipandang. Mungkin lebih baik dia tidak mengganggu lelaki itu. Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik dan terus menunaikan solat isyak.

Selesai saja Airaa menunaikan solat isyak, dia duduk sebentar di birai katil seraya memegang perutnya.

"Nak makan apa ni? Aku tengok dululah dekat bawah kalau ada apa-apa bahan untuk memasak. Perut ni pun dah berbunyi."

Telekung dibuka. Airaa terus turun dan menuju ke dapur. Kalaulah mereka makan dekat sana tadi, tak ada lah dia mahu masak dekat rumah ni. Dia rindu dengan masakan Tengku Zainab. Peti sejuk dibuka dan dilihat hanya udang yang ada.

"Aku nak masak apa ni? Udang? Aku buat nasi goreng je lah, lagi sedap," gumamnya perlahan.

Dia menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Setelah habis berhempas pulas, akhirnya nasi goreng sudah pun siap. Dia membawa ke meja makan. Tingkat atas sempat dilihat.

Airaa mengangkat bahu lalu membaca doa makan. Tanpa dia sedar, ada seseorang yang memerhatikannya dengan tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.

"Makan apa?"

Airaa yang ingin menyuapkan satu sudu nasi ke dalam mulutnya terhenti. Matanya mencari suara itu, rupanya Tengku Ayie.

“Nasi goreng. Mehlah makan sekali. Banyak saya masak ni," pelawa Airaa. Dia segera mengambil pinggan setelah melihat anggukan daripada Tengku Ayie.

Nasi diletakkan di atas pinggan sebelu dihulurkan kepada Tengku Ayie. Sempat dia memandang wajah lelaki itu. Dia melihat darah yang sudah kering di dahi dan tepi bibir lelaki itu.

Tengku Ayie mengambil huluran tersebut. Dia menahan sakit apabila mahu membuka mulutnya dan juga sakit yang berdenyut-denyut di dahinya.

Suasana di meja makan hanya ditemani oleh bunyi sudu dan garpu yang berlaga. Airaa menghantar pinggannya ke singki setelah habis makan. Dia mengambil pula kotak kecemasan.

“Nak buat apa dengan benda tu?" tanya Tengku Ayie. Matanya memandang pergerakan tangan Airaa.

"Nak ubat luka awaklah. Awak belum cuci ke?"

Tengku Ayie segera menyapu tepi bibirnya. Dia mendesis kesakitan.

"Aaaa!"

"Eh, janganlah sentuh. Tengok, kan dah sakit dah. Sini, saya letakkan ubat. Biar tak sakit lagi."

Tengku Ayie merapatkan kerusinya dengan kerusi Airaa sehinggakan tiada ruang. Airaa mengambil Dettol sebelum dituangkan ke dalam mangkuk kecil. Selepas itu, kapas pula direndam ke dalam mangkuk tersebut.

Tengku Ayie mengalihkan wajahnya untuk menghadap Airaa. Dia memerhati setiap gerak-geri gadis itu. Entah mengapa setiap kali dia memandang Airaa, jantungnya berdegup dengan laju. Mungkin disebabkan kedudukan mereka yang agak rapat itu.

Airaa menyapu kapas tersebut pada bahagian dahi sebelum beralih pada bahagian tepi bibir lelaki itu pula. Dia menyapu dengan perlahan-lahan supaya Tengku Ayie tidak berasa sakit.

"Awak, boleh tak lain kali awak berhati-hati sikit. Tengok apa yang dah jadi dekat awak. Disebabkan mulut, badan binasa tau."

"Hmmm," kata Tengku Ayie sambil ralit memerhati wajah isterinya.

Dari dahi yang luas itu turun ke kening yang tidak seberapa tebal, bulu mata yang melentik, hidung yang sedikit mancung dan bibir yang merah. Sungguh indah ciptaan tuhan. Tiada sedikit pun kecacatan pada wajah itu. Benarlah orang kata, bidadari tu wujud. Subhanallah.

Airaa hanya menggeleng-gelengkan kepala. Orang nasihat tak nak dengar. Lepas tu, luka sana, luka sini. Eh, tak faham betullah dengan lelaki ni. Dia menghentikan perlakuannya apabila darah tersebut sudah menghilang.

"Terima kasih," ucap Tengku Ayie sebelum berlalu menuju ke bilik tidurnya. Makanannya juga sudah habis. Langkahnya terhenti tatkala mendengar pertanyaan Airaa.

"Awak, sampai bila kita nak macam ni?" Airaa mengemam bibirnya. Dia memberanikan diri untuk bertanya dengan lelaki itu. Baginya, kalau bukan sekarang, bila lagi?

"Apa maksud awak?"

Airaa hanya mendiamkan diri sebelum memandang belakang tubuh Tengku Ayie. Dia cuma mahu menjalani kehidupan seperti orang lain. Cukuplah jika Tengku Ayie mahu menyayanginya walaupun tidak ada rasa cinta. Sekurang-kurangnya dia rasa dihargai. Bukan seperti habis madu sepah dibuang.

"Kenapa? Dah tak boleh tahan? Kalau dah tak boleh tahan, datang je pejabat saya. Saya akan lepaskan awak dan awak boleh bebas." Tengku Ayie meneruskan langkahnya.

Mengapa saat hatinya ingin memerlukan seseorang dalam hidup tapi seseorang itu menjauhi dirinya? Walhal, hatinya sudah mula menyayangi gadis itu. Kenapa? Biarlah persoalan itu hanya dia yang tau.

**********

SEMINGGU sudah berlalu, hubungan mereka menjadi semakin dingin. Dengan seorang yang ke utara dan seorang lagi ke selatan. Masing-masing dengan hal sendiri. Tengku Ayie yang kerap pulang lewat malam dan Airaa pula yang selalu berkurung dalam bilik.

Tengku Ayie sudah menceritakan tentang hal Tengku Akimi kepada Tengku Iskandar. Terkejut sepupunya itu melihat bengkak di tepi bibir dan dahinya semasa mereka berjumpa di pejabat.

Petang Ahad, Tengku Iskandar telah mengajak Airaa dan Tengku Ayie untuk bermain badminton. Sudah lama aktiviti itu ditinggalkan semenjak sepupunya itu sudah berkahwin.

Seperti biasa suasana dalam kereta itu hanya ditemani oleh radio. Airaa memandang ke luar tingkap sambil melayan perasaan. Kecewanya pada lelaki itu masih ada walaupun sudah seminggu peristiwa itu. Lelaki itu sudah salah faham dengan pertanyaan.

Airaa memandang Tengku Iskandar dan Amira yang membuat pemanasan di tepi gelanggang badminton. Pasangan itu nampak serasi berdua. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman lebar.

"Assalamualaikum, bro. Sihat?"tanya Tengku Iskandar. Dia memeluk bahu Tengku Ayie. Pandangan orang yang memerhati mereka diabaikan.

"Waalaikumussalam. Kalau tak sihat, tak adanya aku nak datang sini."

Tengku Iskandar mencebik sebelum memandang sekeliling. Bagus, tak banyak orang di sekeliling mereka berdua. Airaa pun sedang bersembang dengan Amira di bangku penonton. Yang penting, jauh daripada mereka.

"Macam mana?" soal Tengku Iskandar.

Tengku Ayie memandang sepupunya dengan pandangan yang pelik.

"Macam mana apa?"

Tengku Iskandar mendengus. Kenapalah sepupunya ini tak faham-faham?

“Macam mana kehidupan kau orang berdua? Dah lama kut kau orang kahwin. Takkan tak ada bibit cinta lagi?" Tengku Iskandar bertanya lagi seraya bercekak pinggang.

"Macam yang kau tengoklah. Tak ada pun yang berubah. Cinta? Aku dah malas nak fikir pasal perasaan tu. Bagi aku, apa nak jadi, jadilah. Aku dah tak kesah."

Mata Tengku Ayie memandang Airaa yang bergelak ketawa bersama Amira di bangku penonton. Dia mengeluh buat kali pertama.

“Lah, takkan kau nak gantung dia tak bertali pula? Kau pun tahu apa hukumnya. Memang tak ada ke cinta kau dekat dia? Sayang ke?"

"Semenjak aku dah mula sayangkan Airaa, aku dah tak nak berpisah dengan dia. Tapi minggu lepas dia ada tanya aku. Dia tanya sampai bila kami akan jadi macam ni. Kau rasa apa patut aku balas. Aku rasa dia dah tak tahan dengan sikap aku."

Tengku Iskandar terkejut. Tengku Ayie sudah mula sayangkan Airaa. Baginya, itu satu berita yang bagus. Namun selepas itu, dia menggelengkan kepala pula.

“Siapa suruh kau uji dia? Kan dah melepas. Itulah, dah banyak kali aku pesan, dia memang ikhlas dekat kau. Kalau dia tak ikhlas, bukan sekarang baru dia nak minta cerai tapi dari hari pertama kau orang nikah lagi," ujar Tengku Iskandar. Wajahnya jelas menunjukkan rasa geram kepada sepupunya itu. Itulah orang dah pesan tapi tak nak dengar. Dah melepas, baru pula nak cari.

Mereka mendiamkan diri sebelum duduk di kerusi penonton yang berdekatan. Tengku Ayie menggenggam tangannya sebelum menongkatkan siku ke atas lutut. Badan ditundukkan.

"Kau nak tahu tak?"

"Apa?" soal Tengku Iskandar dengan selamba. Tangannya memegang belakang bangku Tengku Ayie.

"Disebabkan aku uji dia lah, aku dah mula sayangkan dia. Aku dah tetapkan awal-awal, kalau dia lepas ujian ni, bukan setakat sayang je, hati ni pun aku sanggup bagi."

“Kau tak bagitahu dia pasal ujian kau tu, macam mana dia nak lepas?"

Tengku Ayie menjeling Tengku Iskandar dengan tajam. Dah nama pun ujian, kena bagitahu juga ke?

Mata Tengku Ayie mencari figura Airaa. Hanya tinggal Amira saja yang duduk di kerusi penonton. Dia dan Tengku Iskandar mendekati Amira yang sedang ralit bermain telefon.

“Eh, mana Airaa?” tanya Tengku Iskandar mewakili Tengku Ayie.

Tempat kosong di sebelah Amira di duduk. Namun masih menjaga batas. Manakala Tengku Ayie bercekak pinggang sambil matanya memandang sekeliling. Tidak ramai orang yang berada di kawasan itu.

"Dia pergi tandas tadi. Kau orang tak main lagi ke?"

Telefon diletakkan ke dalam beg tangannya. Matanya juga turut memandang sekeliling. Dia merasakan Airaa sudah lama pergi ke tandas. Suara Tengku Iskandar yang berbual dengan dirinya, dihiraukan.

Amira melihat Airaa yang sedang menuju ke arah mereka tetapi sempat ditahan oleh seorang budak lelaki. Budak lelaki itu menunjukkan satu objek yang berada di seberang jalan. Nampak macam bola. Entah mengapa hatinya berasa ada sesuatu yang buruk bakal terjadi? Airaa juga sudah melintasi jalan tersebut selepas melihat kiri dan kanan.

"Eh, Airaa nak pergi mana tu?" tanya Amira. Jari telunjuk dihalahkan kepada gadis itu.

Laju saja Tengku Ayie memalingkan badan melihat keberadaan Airaa. Matanya dapat menangkap sebuah kereta yang dipandu dengan laju.

Tanpa membuang masa, dia berlari dengan pantas untuk mendapatkan isterinya.

"Argh!"

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience