Bab 36

Romance Series 15713

DIA mengeluh untuk sekian kalinya. Isterinya yang duduk di kerusi roda itu dipandang. Kenapa susah sangat gadis itu mahu memberi dia peluang? Dia cuma mahu menjaga gadis itu di rumah mereka.

'Semua ni kau punya pasal. Kalau kau tak marah, tak tengking dia, dia takkan jadi macam tu. Cuba fikir dulu sebelum buat tindakan. Tengok, kau juga yang susah sekarang,' desis hatinya.

"Tolong, balik rumah kita dan saya akan jaga awak sampai awak sembuh. Saya janji, saya takkan buat awak macam tu lagi," kata Tengku Ayie.

Tangan kanan diangkat tanda berjanji. Sedar dengan kesilapan yang pernah dia lakukan. Sejak semalam lagi dia tidak senang duduk. Terngiang-ngiang apa yang Airil katakan kepadanya.

"Aku nak lepas je Airaa keluar, dia akan tinggal dengan kami. Memandangkan aku dah ambil cuti awal, aku akan tengok-tengokkan dia. Dan aku harap ini kali terakhir adik aku tu masuk hospital."

Airaa hanya mendiamkan diri tanpa mengeluarkan sepatah kata. Matanya pun tidak memandang Tengku Ayie yang merayu di hadapannya kini. Ikutkan hatinya, mahu saja dia ikut lelaki itu tetapi Airil menahannya agar tinggal seketika di rumah papanya.

'Tak, sekarang ni, siapa suami kau? Airil ataupun Tengku Ayie?'

Keluhan dilepaskan dengan perlahan. Tidak tahan untuk terus berada di situ, Airaa menolak dengan sendiri kerusi roda tersebut. Tidak tahan dia mendengar pujuk rayu daripada Tengku Ayie. Dia takut hatinya termakan pujuk rayu lelaki itu.

"Awak kata awak sayangkan saya. Tapi kenapa awak tak bagi saya peluang?"

Airaa mengetap bibir seraya menahan matanya daripada mengeluarkan air mata. Dia dengar dengan jelas apa yang lelaki itu katakan. Dia keraskan hati untuk tidak menoleh. Otaknya ligat berfikir, dari mana Tengku Ayie dapat tahu tentang perkara itu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.

Tengku Iskandar!

Dia yakin pasti Tengku Iskandar yang memberitahu Tengku Ayie. Kerana hanya lelaki itu yang ada semasa dia meluahkan perasaan kepada Amira.

"Awak dah hancurkan peluang tu dan saya rasa awak sendiri tahu sebab apa. Tak perlu saya jelaskan lagi."

Mengapa di saat semua ini berlaku, Tengku Ayie bersikap seperti itu? Memujuk rayu dirinya. Selepas semuanya terjadi, lelaki itu fikir masih ada peluang untuk dirinya? Mahu saja Airaa mengatakan hatinya cukup sakit melihat Tengku Ayie.

Tengku Ayie menarik nafas sambil sebelah tangan bercekak pinggang. Dia mengusap dagunya sebelum memandang belakang tubuh isterinya. Dia betul-betul mahu memeluk serta mencium dahi Airaa sambil berkata.

'Jangan tinggalkan saya.'  Namun dia takut untuk mengatakannya. Takut jika gadis itu memberontak. Pastinya gadis itu tidak selesa dengan dirinya.

"Saya tak tahu pun apa sebabnya. Boleh awak..." Tidak sempat Tengku Ayie berkata, Airil sudah melepasi dirinya.

Airaa segera menyeka air matanya kerana dia tidak mahu Airil melihat yang dia tengah menangis. Nanti suaminya pula yang akan dipersalahkan. Kedudukan pada kerusi roda dibetulkan.

"Kan abang dah kata, tunggu je dalam bilik tu. Nanti kaki adik sakit macam mana? Abang juga yang disalahkan. Degil betullah adik abang ni. Tak dengar cakap orang tua," kata Airil sambil mencuit hidung adiknya.

Dia bertinggung di hadapan Airaa kerana penat mencari adiknya selepas selesai membayar bil hospital. Manakala Puan Zahra sudah berada di dalam kereta. Penat katanya. Tengku Ayie yang berada di hadapannya dihiraukan.

Airaa ketawa perlahan. Dia mencuba untuk menceriakan suasana itu.

"Kenapa gelak-gelak ni? Abang ceramah dia, boleh pula dia gelakkan abang. Entah apa yang mama makan sampai adik tak nak dengar cakap abang."

"Abanglah. Abang mengaku juga yang abang dah tua, kan. Kesian kak Hanis dapat suami macam abang. Abang dah tua rupanya."

Airaa membetulkan tudung yang tersarung di kepalanya. Dia tidak tahu siapa yang membawakan tudung tersebut. Mungkin mamanya.

Airil memuncungkan bibir sebelum berdiri.

"Aku nak bawa adik aku balik dan aku harap kau izinkan dia." Suaranya menjadi serius apabila berkata kepada Tengku Ayie.

Airil  menolak kerusi roda tersebut tanpa mendengar balasan daripada Tengku Ayie. Dia tahu apa yang dia lakukan ini adalah salah tapi dia hanya mahu meluangkan masa bersama Airaa.

'Kau ingat dengan bawa adik kau balik rumah sana, betullah?'  Otaknya membidas apa yang yang sedang dia lakukan.

Airaa hanya membiarkan perbuatan abangnya itu. Matanya memandang cincin yang berada tersarung di jari manisnya. Diusap cincin tersebut dengan perlahan. Air matanya mula bertakung. Dia memaksa diri agar tidak menangis. Hatinya berharap agar suaminya menghalang perbuatan Airil. Tetapi dia silap, dia mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.

Kerusi roda ditolak ke tempat letak kereta. Puan Zahra keluar dari tempat duduk penumpang untuk membantu Airaa.

Airaa dipimpin masuk ke tempat duduk belakang. Selepas selesai memasukkan barang-barang Airaa, kereta Airil pun bergerak dengan perlahan untuk keluar dari kawasan tempat letak kereta tersebut.

Ketika Airaa memandang ke luar tingkap, dia terpandang seorang lelaki yang mahu membuka pintu kereta BMW X6 M. Lelaki itu juga melihatnya. Mata mereka bertaut. Air mata Airaa mula bertakung. Dia berbisik kepada dirinya agar tidak menangis. Namun air mata sudah mengalir di pipi. Dia menekup mulut supaya tangisannya tidak didengari oleh Puan Zahra dan Airil.

Tengku Ayie perasan ada sebuah kereta yang cukup dia kenali sedang bergerak di jalan raya. Dia menoleh ke belakang. Matanya bersatu dengan mata isterinya. Terlihat Airaa yang terus menundukkan pandangan. Kereta itu dipandang sebelum hilang daripada pandangannya. Dia mengeluh perlahan.

**********

DUA minggu kemudian...

Berbaki tiga hari lagi sebelum perkahwinan Airil, rumah Encik Aizhar sudah dipenuhi oleh sanak-saudara yang datang dari kampung. Rumah tersebut dipenuhi dengan suara kanak-kanak yang bermain kejar-kejar di halaman rumah.

"Eh, jangan main dalam rumahlah. Pergi main dekat luar. Kang terjatuh, nangis pula," Marah Puan Zahra kepada kanak-kanak yang sedang berlari. Kepala digelengkan melihat Akmal yang menganggotai permainan tersebut.

Airaa yang memerhati dari ruang tamu itu hanya tersenyum. Kanak-kanak, manalah tahu duduk diam. Asyik nak bermain saja kerja mereka. Tangannya meneruskan kerja mengubah bunga telur.

"Kaki Airaa macam mana sekarang? Dah okey?" tanya Zahirah.

Dia pun turut serta dalam mengubah bunga telur itu. Sudah dia katakan kepada Airil untuk memesan saja bunga telur dari kedai tetapi Airil tidak mahu. Kata lelaki itu, membazir. Jadi, dia hanya turutkan saja apa yang pengantin katakan.

"Alhamdulillah, dah okey dah kaki ni lepas Mak Tok urutkan. Bengkak pun dah hilang." Senyuman diberikan kepada Mak Sunya.

Zahirah hanya mengangguk sambil tangannya tekun membuat kerja.

"Pak Su tak datang sini ke, Mak Su? Airaa tak nampak pun."

"Biasanya kalau macam ni dia dah balik. Kejap lagi sampailah tu," balas Zahirah.

Airaa meng'oh'kan saja.

Mak Sunya telah memberitahu dia tentang suami Mak Sunya telah pun kembali. Pertama kali melihat wajah 'Pak Sunya' membuatkan Airaa terkejut. Dia tidak percaya yang suami kepada Mak Sunya adalah abang iparnya sendiri. Kadang dia keliru hendak memanggil abang ataupun Pak Su.

"Suami Airaa tak datang sini? Airil kan dah nak kahwin."

Wajah Zahirah dipandang. Airaa sendiri tidak tahu tentang lelaki itu. Dua minggu berada di rumah papanya, sekali pun dia tidak ada menelefon Tengku Ayie dan begitu juga dengan lelaki itu. Masing-masing lebih kepada tidak mahu diganggu.

"Airaa tak tahu lagi Mak Su. Mungkin tak datang kut. Biar ajelah dia," balas Airaa dengan malas.

"Abang kamu tak ada bagitahu dia ke?"

Airaa mengangkat bahu lalu meneruskan kerjanya. Manakala Zahirah menghembus nafas perlahan. Dia ternampak Airil yang sedang menuju ke pintu utama dan dia segera memanggil anak buahnya itu.

"Ada apa, Mak Su?" Jam di pergelangan tangan dipandang.

"Ni Mak Su nak tanya, Airil tak bagitahu Ayie ke yang kamu nak kahwin?" soal Zahirah seraya wajah anak buahnya itu dipandang.

"Airil dah bagitahu dia. Kenapa?"

"Dia tak datang sini ke?"

"Tak tahu tapi papa tengah telefon dia. Alah, kejap lagi sampailah tu."

"Baguslah kalau macam tu. Ni, kamu nak ke mana? Ingat sikit, kamu tu berdarah manis. Tak elok keluar rumah macam ni," bebel Zahirah.

'Tak lama lagi nak jadi suami orang tapi masih dengan perangai lama dia. Tak berubah-ubah langsung," kata Zahirah dalam hati.

Airil tersenyum tayang gigi. Belakang leher diusap dengan perlahan-lahan.

"Airil nak keluar sekejap je. Tak lama pun. Bolehkan, Mak Su?"

"Hmmm, pergilah tapi jangan balik lewat. Tak pasal-pasal mama kamu tu mengamuk pula nanti."

Airil sekarang mengangguk.

Zahirah kembali duduk di hadapan Airaa.

"Papa Airaa dah telefon Ayie. Mungkin dia dalam perjalanan nak datang sini," ujar Zahirah. Dia memandang Airaa apabila anak buahnya itu tidak menjawab.

"Airaa, dengar tak apa yang Mak Su cakap ni?"

"Hmmm."

Baru saja Zahirah  ingin berkata lagi, Akmal sudah datang memanggil dirinya.

"Umi, ayah dah balik!"

Akmal datang ke arah Zahirah lalu menarik tangan wanita itu untuk menjemput Tengku Akimi yang baru pulang dari pejabat itu.

"Akmal, janganlah tarik tangan umi. Nanti umi jatuh, siapa nak tolong?"

Zahirah menyimpan bunga telur yang siap digubah. Belum sempat dia berdiri, tangannya sudah dipegang oleh seseorang.

"Kalau jatuh umi jatuh, biar ayah yang tolong sambutkan."

Zahirah terkejut melihat Tengku Akimi yang sudah duduk di sampingnya. Tidak sedar bila lelaki itu masuk ke dalam rumah.

"Dengan rambut yang serabai, tali leher tak tahu ke mana, ni mesti banyak kerja, kan?"

Tengku Akimi mengangguk laju. Penat menguruskan kerja di pejabatnya memandangkan dia mahu mengambil cuti.

"Dah, pergilah naik bilik. Berehat dekat atas. Jangan dekat sini."

"Alah, sayang temanlah abang berehat dekat atas. Abang penatlah," pinta Tengku Akimi dengan kepalanya yang sudah berada di atas paha isterinya. Matanya sudah bertutup rapat.

"Siapa nak teman Airaa kalau Irah temankan abang?" Dia memandang Airaa sebelum matanya terarah kepada Tengku Akimi semula.

"Eh, tak apa Mak Su. Sikit lagi nak siap bunga telur ni. Mak Su pergilah. Airaa okey je."

"Betul ni, tak apa?"

"Betul, Mak Su."

Mata Airaa memerhati langkah Zahirah dan Tengku Akimi naik ke tingkat atas. Akmal? Budak tu dah lari semula ke luar.

"Cik Su," jerit Akmal sekali lagi serta masuk ke ruang tamu.

Airaa yang sedang mengubah bunga telur itu di dekati.

"Ada apa, Akmal? Tak nampak ke apa yang Cik Su buat ni?"

"Hehehe, Cik Su cepatlah. Ada orang panggil Cik Su dekat luar tu." Tangan Airaa ditarik kuat agar berdiri.

"Siapa? Tunggulah kejap." Bunga telur yang sudah siap, diletakkan ke dalam kotak. Airaa mengikuti Akmal yang membawanya ke luar rumah. Tiba di muka pintu, dia menjadi kaku. Lututnya menjadi lemah. Jantungnya berdetak dengan laju. Matanya pula tidak lepas memandang apa yang dia lihat.

"Assalamualaikum."

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience