SELESAI saja menunaikan solat isyak berjemaah tadi, Airaa masuk ke dalam biliknya untuk mengemas beg pakaian kerana mereka semua akan bertolak semula ke Kuala Lumpur. Mereka akan bertolak pada tengah hari esok. Sememangnya dia mahu bercuti lagi di kampung Maktoknya itu tapi bila difikirkan pekerjaan suaminya, dia batalkan saja.
Pintu dikuak dari luar menyebabkan Airaa menoleh. Rupanya Tengku Ayie. Kerja yang tergendala tadi disambungkan semula. Dia sebenarnya mahu menghilangkan rasa gementar di dalam hatinya. Dia tahu yang suaminya itu sedang memerhati tingkahnya.
Tengku Ayie terus mengalihkan pandangannya selepas tersedar daripada memerhati belakang pergerakan Airaa.
"Allah-Akbar, apa aku buat ni?" tanya Tengku Ayie dengan nada yang perlahan sambil memejamkan matanya. Dia hairan dengan perasaan dirinya saat ini.
"Saya nak tidur dekat mana malam ni?" Tengku Ayie bersuara setelah lama mendiamkan diri. Keadaan yang sunyi menjadikan suasana di dalam bilik itu tidak nyaman.
Airaa mengalihkan badannya untuk memandang suaminya. Tengku Ayie yang duduk di birai katil dipandang.
'Oh, boleh cakap rupanya. Ingatkan tak boleh tadi.' gumamnya dalam hati.
"Kita tidurlah dekat atas katil. Katil ni cukup besar untuk kita berdua tidur. Takkan saya nak biar awak tidur dekat bawah pula."
"Kita?" Tengku Ayie mengangkat keningnya untuk meminta perjelasaan. Tidak faham dengan maksud si isteri.
"Yalah, kita. Awak dan saya. Kenapa?" soal Airaa setelah menganggukkan kepala.
"Kenapa? Kenapa, awak tanya? Awak ingat kita kahwin sebab cinta ke, hah? Awak ingat saya boleh tidur dengan perempuan yang saya tak sayang, tak cinta? Dalam mimpi mahupun realiti, saya tak akan terima awak."
Kini soalan itu dibalas dengan jawapan yang paling menyakitkan hati. Sampai hati suaminya berkata seperti itu. Dia dianggap jijik sampaikan suaminya sendiri tidak mahu tidur bersama dengannya. Mana-mana wanita pun akan terkesan dengan bicara Tengku Ayie.
Tengku Ayie mengetap rahangnya seraya menggeleng kepala. Dia tidak boleh jatuh cinta kepada gadis yang telah perangkap dirinya. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukup sekali saja hatinya tersakiti. Itu pun mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.
"Tapi kenapa awak tak boleh terima saya? Kenapa? Apa salah saya?" Tanpa sedar, air mata Airaa mula bertakung.
"Heh, sebab saya masih ragu-ragu dengan kejadian tu. Kadang saya rasa pelik, kenapa awak tak bantah pun perkahwinan ni? Dan saya dapat rasakan mungkin ini semua rancangan awak, kan. Jadi, awak berpura-pura pening dan lepas tu awak pengsan."
"Kenapa diam? Jadi, betullah awak perangkap saya? Saya tak fahamlah, apa salah saya sampaikan awak hukum saya dengan perkahwinan ni? Awak nak apa? Nak duit? Saya boleh bagi tapi kalau awak minta perhatian saya, awak takkan dapatkannya walau apa cara sekali pun." Tambah Tengku Ayie lagi selepas melihat kebisuan daripada isterinya. Dia pun tidak tahu kenapa perasaanya sekarang bercampur aduk. Perasaan marah tapi hatinya rasa bersalah bila melihat isterinya yang sudah menundukkan kepala.
'Buat apa kau nak rasa bersalah. Memang padanlah dengan muka dia. Munafik. Entah dah berapa banyak lelaki yang dia perangkap. Kau jangan bagi muka sangat dekat perempuan macam ni. Nak kikis harta kau je tu,' bisik satu suara di telinga kirinya.
Tengku Ayie meraup mukanya sebelum menuju ke pintu. Makin lama dia berada di situ, makin tidak dapat dikawal hatinya. Lebih baik dia keluar dari bilik itu sebelum apa-apa terjadi nanti. Tak pasal-pasal dia juga yang kena.
Airaa menghamburkan tangisannya bila melihat bayangan Tengku Ayie sudah tiada di bilik. Betul kata orang, bukan mudah untuk memberi kepercayaan kepada orang lain. Disaat mulutnya yang tidak dapat berkata apa-apa, lelaki itu dengan mudahnya menuduh dirinya. Tanpa ada sebarang bukti ataupun mendengarkan dulu penjelasan daripada dirinya.
Air mata yang mengalir di pipi, dikesat sebelum matanya terpandang cincin perkahwinan di jari manis. Cincin emas yang cantik ukirannya itu diperhatikan sebelum diusap dengan lembut. Pandai sungguh orang yang memilih cincin itu. Namun memikirkan kehidupannya yang tidak begitu indah, dia mengeluh. Mungkin ini semua ujian untuk dirinya. Seberapa lama pun lelaki itu mahu mengambil masa, dia akan tetap bertahan. Bertahan agar kebahagian menjadi milik mereka.
'Mampukah dia bertahan untuk melakukan itu semua? Menjalankan kehidupan di sisi lelaki yang tidak mencintai dirinya? Mampu perkahwinan itu bertahan?'
**********
PERLAHAN-LAHAN Tengku Ayie membuka matanya tatkala terkena sinaran matahari melalui tingkap bilik tersebut. Bunyi kicauan burung membuatkan dia terpaksa untuk bangun. Dia terduduk sambil mengusap-usap belakang badannya. Sakit disebabkan tidur di lantai yang berlapikkan selimut tebal yang dijadikan sebagai tilam. Keadaan bilik itu diperhati seperti dia sedang mencari sesuatu. Matanya terhenti pada atas katil yang sudah kosong. Katil itu nampak kemas.
"Awalnya dia bangun. Dah pukul berapa sekarang ni?" soal Tengku Ayie kepada dirinya sendiri sambil melihat pada jam telefon.
'Harap-haraplah aku tak terlajak tidur,' desis hatinya.
Jam sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Kedengaran kicauan burung yang kuat dari luar rumah dan bunyi bising di dapur. Malas mahu berfikir panjang, tuala dan pakaian diambil sebelum menuju ke bilik air.
Melihat laluan ke bilik air berada di bahagian dapur, dia terpaksa melalui jalan itu. Sebelum dia masuk, dia disapa oleh seseorang. Tengku Ayie melemparkan senyuman lebar.
"Hah Ayie, lepas bersiap turun bawah. Sarapan dulu. Nanti perut tu masuk angin."
"Okey ma. Nanti Ayie sarapan. Ayie nak mandi dulu."
Puan Zahra membalas senyuman anak menantunya itu. Dia kembali menyusun makanan yang berada di meja itu.
Tiba-tiba Tengku Ayie memerhati kawasan dapur sebelum matanya memandang semula Puan Zahra.
"Mama, ada nampak Airaa tak? Dia dekat mana? Ayie tak nampak pun dari tadi." Dari bilik lagi dia mencari kelibat isterinya itu sampailah ke dapur. Di ruang tamu pun tidak ada juga.
"Eh, Airaa tak bagitahu Ayie ke dia pergi mana?" tanya Puan Zahra.
Dia mengeluh bila melihat gelengan daripada Tengku Ayie. Dia pasti ada sesuatu yang berlaku pada pasangan pengantin itu. Yalah, kahwin pun kahwin paksa.
"Ni mesti dia tak minta izin dekat Ayie, kan? Dia pergi rumah Maksu dekat depan tu, hah. Airaa kata ada benda yang dia nak pinjam," balas Puan Zahra yang masih membuat kerjanya. Dia membawa beberapa pinggan dan mangkuk ke singki untuk dicuci.
Tengku Ayie meng'oh'kan saja sebelum dia masuk ke dalam bilik air. Sebenarnya dia tidak kesah ke mana gadis itu mahu pergi ataupun berbuat apa. Cumanya dia takut gadis itu memberitahu kepada sesiapa tentang apa yang mereka bualkan semalam. Dia sudah berjanji kepada dirinya untuk tidak jatuh cinta kepada isteri yang baru dia dinikahi. Cukup sampai situ saja.
TBC
Share this novel