HARI yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Jika pasangan lain, tentu akan gembira kerana hari tersebut bakal menyatukan mereka setelah lama bercinta. Hari di mana status mereka akan bertukar serta tanggungjawab yang dipikul.
Bagaimana pula pada pasangan yang tidak bercinta? Sudah pastinya akan menayangkan wajah yang sedih, dingin dan tanpa senyuman manis. Apatah lagi jika berkahwin secara paksa.
Airaa duduk di meja solek sambil meletakkan tangan di dada. Perasaan yang tidak pernah dia rasa telah bertandang di hati kecil miliknya.
Gementar?
Berdebar?
Mestilah itu yang dia rasakan. Pelbagai persoalan yang timbul di benak fikirannya. Masih mencari jawapan bagi setiap persoalan itu. Mampukah dia?
"Boleh ke dia terima aku nanti? Dapat tak aku tawan hati dia? Ya Allah, bantulah hambamu yang lemah ini untuk menjadi isteri yang solehah seperti Siti Khadijah dan Siti Aisyah, amin," doa Airaa. Hanya doa kepada Allah SWT dapat menenangkan hatinya.
"Are you nervous? Lawaklah kau ni Airaa. Sempat lagi kau berdoa, ya."
Airaa terus memalingkan kepalanya untuk mencari suara itu.
Amira!
Airaa memusingkan bebola matanya ke atas.
Rasa menyesal sebab menyuruh Amira datang ke kampungnya. Mulut gadis itu seperti burung murai. Tak pandai berhenti bercakap.
"Kau sepatutnya tak perlu nak berdoa buat masa sekarang. Kau simpan je doa kau tu," kata Amira sambil mendekati Airaa yang duduk di meja solek.
"Kenapa pula? Tak salahkan aku nak berdoa. Aku nak tenangkan diri je. Apalah kau ni." Airaa membetulkan tudung yang dipakainya.
Dia dengan rela hati ingin memakai tudung apabila mamanya yang meminta. Kata Puan Zahra, dia teringin nak tengok wajah Airaa yang memakai tudung waktu hari akad nikah berlangsung. Bagi Airaa, dia tidak rasa terpaksa untuk memakai tudung. Mungkin selepas ini dia akan pakai selalu pula.
"Yalah. Kan, malam ni..." Sengaja Amira menggantungkan kata-kata. Melihat saja wajah kebingungan Airaa, dia terus membisikkan sesuatu kepada Airaa. Amira terus menguntum senyuman nakal kepada sahabatnya.
"Apa kau cakap ni Amira? Hish, kau memang tak boleh bagi aku bertenang langsung, kan. Mengganggu aku jelah kau ni. Dah kau pergilah dekat luar tu. Tunggu tunang kau ke?" Wajah Airaa sudah berubah menjadi merah. Dia dapat merasakan yang wajahnya sedang membahang.
Amira mencebikkan bibirnya. Hmmm tak boleh bawa gurau betullah pengantin perempuan ni. Dia keluar daripada bilik tersebut dengan muka yang merajuk.
Airaa pula memandang sekeliling biliknya yang sudah dihias dengan bunga berwarna-warni. Cantik. Dia menghembuskan nafas dengan perlahan. Kini, tinggal dia sendirian di dalam bilik itu
"Baru aku rasa tenang sikit sebab tak ada Amira. Asyik nak mengganggu aku je kerja dia. Ada ke patut dia suruh aku baca doa untuk malam ni. Sebab dia kata malam ni.... malam pertama aku." Airaa menekup pipinya dengan kedua-dua belah tangan. Malu. Siapa je yang tak malu bila bahas tentang 'malam pertama'. Dia mencuba untuk bertenang. Nafas ditarik sebelum dihembuskan. Perkara itu dilakukan dengan berkali-kali.
**********
AIRIL berjalan menuju ke kawasan kanopi yang mula dipenuhi oleh orang kampung. Dia ternampak papanya yang sedang berdiri sambil berbual-bual dengan tetamu yang datang.
Encik Aizhar menoleh ke belakang bila tetamu yang berbual-bual tadi sudah masuk ke bawah kanopi. Dia terpandang Airil yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Pasti ada sesuatu yang mahu dikatakan oleh anak sulungnya itu.
"Papa buat apa dekat sini dengan cuaca yang panas macam ni? Tak panas ke?" tanya Airil sambil mengipas badannya. Hari ini mereka sekeluarga memakai pakaian yang sedondon iaitu warna merah jambu. Dan begitu juga dengan pelamin disebabkan warna kegemaran Airaa.
"Panaslah juga. Papa tengah tunggu pengantin lelaki sampai ni. Dia orang kata dah nak sampai. Tapi batang hidung pun tak nampak dari tadi," jawab Encik Aizhar sambil memandang anak sulungnya itu.
Suasana di rumah itu sedikit meriah. Dengan tetamu yang hadir, suara anak kecil menangis dan yang paling utama adalah suara daripada makcik bawang yang duduk bawah kanopi. Rancak sungguh membawang tu makcik.
"Papa rasa betul tak apa yang kita buat ni?" Akhirnya soalan yang sudah lama dia fikirkan telah pun dikeluarkan. Sejak dua tiga hari ini, dia hanya memikirkan tentang itu.
"Kenapa tanya macam tu pula? Bukan ini yang kamu nak ke? Kamu memang nak Ayie tu 'bertanggungjawab' pada Airaa. Jangan cakap kamu dah menyesal pula," kata Encik Aizhar sambil mengerling ke arah Airil. Perkataan 'bertanggungjawab' sengaja ditekan. Biar meresap dalam fikiran anaknya itu.
"Bukan macam tu maksud Airil, pa." Tangan memeluk tubuh.
"Dah tu, apa yang Airil maksudkan sebenarnya?"
Airil menghela nafas berat. Entah sudah berapa kali dia mengeluh dalam minggu itu. Mahu ditanya, takut dibebel pula nanti. Mahu dipendam tapi otaknya sudah serabut. Terpaksalah dia memberanikan diri untuk bertanya.
"Maksud Airil, bahagiakah perkahwinan yang dibina itu tanpa dasar cinta? Kenal pun tidak, apatah lagi suka, sayang dan cinta. Airil tengok Airaa tu kerap sangat termenung dalam minggu ni. Airil risau kalau Airaa berterusan macam tu."
"Sebab itulah doa sangat penting, Airil. Kita sama-sama doakan supaya rumah tangga Airaa dengan Ayie akan bahagia. Pasal Airaa tu, kamu jangan risaulah. Sekejap je tu dia termenung. Nervous orang nak berkahwin boleh buat orang termenung. Banyak yang difikirkan." Sempat juga Encik Aizhar memandang jalan raya. Kutnya pengantin lelaki dah sampai.
"Tapi pa, macam Airil cakapkan tadi. Kenal pun tidak. Macam mana kalau si Ayie tu dera Airaa ke lepas ni. Yalah, dia orang pun kahwin paksa. Belum kenal lagi dengan hati budi masing-masing," ujar Airil sambil duduk mencangkung di bawah pokok kelapa. Sibuk menguruskan majlis itu sampaikan tak sempat nak duduk, rehatkan diri.
"Apa cakap macam tu Airil? Kamu ni macam tak reda dengan apa yang berlaku. Kamu mesti ingat yang semua yang terjadi adalah perancang Allah. Kita hanya merancang dan Allah lah yang menentukan segalanya."
"Airil tahu, pa. Tapi Airil takut apa-apa terjadi dekat Airaa. Papa tahukan yang Airil sayangkan Airaa macam mana? Airil nak pergi outstation pun kena fikir dua tiga kali sebab risau dekat dia."
"Kalau Airaa dah kahwin, tak perlulah Airil nak risau. Tak perlulah Airil nak fikir dua tiga kali lagi bila nak pergi outstation sebab Airaa dah ada suami. Senang cerita. Papa yakin Ayie tu jodoh Airaa," ujar Encik Aizhar. Senyuman tidak pernah hilang daripada bibirnya.
Apabila bertemu dengan tetamu datang, bibirnya automatik menguntum senyuman manis. Gembira bila berjumpa dengan orang kampung. Semua mengucapkan tahniah kepada dirinya.
Airil hanya mengangguk tanda faham. Betul apa yang papanya katakan itu. Dia seharusnya berdoa kepada Allah SWT dan bukannya membuat andaian sendiri.
"Airaa dah kahwin, Airil bila lagi? Tak baik bawa anak dara orang ke hulu ke hilir. Orang pandang pun tak manis. Kalau boleh cepatkan tarikh pernikahan kamu. Boleh elak fitnah orang," tegur Encik Aizhar selepas lama mendiamkan diri. Sudah lama dia perhatikan pergerakan anak sulungnya itu.
Dia tahu Airil dan Hanis sudah bertunang tetapi lebih bagus jika sudah halal sepenuhnya. Hanis selalu mengikuti Airil pergi outstation memandangkan Hanis merupakan PA kepada Airil.
"Airil nak tengok Airaa bahagia dulu lepas tu baru Airil akan kahwin."
"Habis tu, Airil tak nak tengok Hanis bahagia? Jangan mainkan perasaan orang perempuan, Airil. Papa tak pernah ajar macam tu. Kita sebagai lelaki kena hargai orang perempuan. Mereka lemah dan perlukan lelaki untuk bantu mereka. Cuba Airil fikir, kalau perempuan kuat, lelaki nak bantu siapa?" Lagak Encik Aizhar seperti seorang ustaz yang memberi ceramah.
"Kalau nak ikutkan umur Airil sekarang ni dah boleh jadi bapa budak. Umur dah 29 tapi tak kahwin-kahwin lagi. Ingat pesan papa, jangan mainkan perasaan orang perempuan. Sekali Airil mainkan, percayalah. Takkan ada peluang kedua untuk diri Airil. Dan tak ramai yang dapat peluang tu. Jadi, jangan lepaskan peluang pertama ni." Tambahnya lagi.
Encik Aizhar berdiri tatkala ternampak kereta pengantin lelaki yang sudah memasuki perkarangan rumah.
Airil pula cuba untuk menghadam apa yang disampaikan oleh papanya sebentar tadi. Peluang? Datang sekali? Jangan lepaskan peluang pertama? Apa ni? Dia tak faham langsung.
TBC
Share this novel