Bab 29

Romance Series 15713

"TERIMA kasih sebab dah ajak kita orang makan malam dekat sini. Makanan pun sedap. Awak yang masak ke semua tu, Airaa?" tanya Tengku Iskandar kepada Airaa. Matanya sempat mengerling Tengku Ayie yang berada disebelah Airaa. Nampak dingin wajah itu tapi ada dia kesah? Dia nak bagi panas sikit.

"Ya, saya dengan Amira yang masak. Alah, makanan tadi tu pun bukannya susah nak masak. Amira yang banyak tolong saya tadi."

Airaa memandang Amira yang berada di sebelah Tengku Iskandar. Dapur itu kecoh dengan mereka berdua yang tidak duduk diam. Berbual, lepas tu bergelak ketawa. Bak kata orang-orang tua, jangan berbual kalau tengah memasak, takutnya dapat suami tua.

"Eh, awak pun pandai masak? Tak pernah bagitahu pun."

Tengku Iskandar memandang Amira yang berada di sampingnya. Terkejut. Ingatkan gadis itu tidak pandai memasak. Yalah, Amira jarang memberinya makanan dan dia pun bukan ambil tahu sangat tentang itu.

"Dah kau tak tanya, macam mana dia nak bagitahu. Apalah kau ni. Otak tu boleh fikir tak?" balas Tengku Ayie selepas mendiamkan diri.

Panas hati dengan perangai sepupunya yang terlebih gedik. Tak tahulah apa yang Mak Ngah dia bagi makan sampai jadi macam tu.

Tengku Iskandar menjeling. Ada juga dia bunuh ni kang. Mengata orang padahal dia dua kali lima je.

Dua gadis itu hanya menahan ketawa daripada meletus dengan perangai kebudak-budakan dua orang lelaki itu. Umur dah tua tapi perangai mengalahkan budak umur lapan tahun.

"Adalah sikit-sikit. Tu pun Airaa yang ajar kalau tak, mungkin dah terbakar dapur dia orang ni saya kerjakan. Menu tadi pun Airaa yang tolong pilihkan. Saya tolong apa yang patut je."

"Oh. Jadi, awak pandai memasaklah ni, Airaa?"

Tengku Iskandar berkata sebelum mencapai kasutnya. Hari dah nampak macam nak hujan. Kalau sepupunya itu belum berkahwin dan dia tidak mempunyai tunang, sudah tentu dia akan bermalam di rumah Tengku Ayie. Tetapi hakikatnya dia tak boleh.

"Bolehlah tapi tak sesedap masakan mama dengan mummy. Masakan dia orang lagi sedap. Mesti tambah nasi lagi." jawab Airaa dengan satu senyuman di bibir.

Tengku Ayie yang melihat senyuman itu hanya mendiamkan diri. Tidak tahu mengapa hatinya panas melihat isterinya tersenyum ke arah Tengku Iskandar. Haih, cemburu ke?

'Memang taklah aku nak cemburu.'

"Alah, awak yang masak pun tetap ada juga orang yang tambah nasi. Banyak pula tu. Kan, Tengku Ayie?"

Sengaja Tengku Iskandar mengusik sepupunya yang dingin itu. Dia ketawa nipis.

'Wah-wah, kau memang sengajakan. Kau tunggulah esok nasib kau dekat pejabat. Aku kerjakan kau sampai puas hati aku.' bisik Tengku Ayie dalam hati. Dia merenung tajam ke arah Tengku Iskandar.

Airaa menyimpan senyumannya. Bukan dia tidak perasan yang suaminya itu bertambah banyak kali nasi dan lauk. Mungkin lelaki itu jarang makan makanan yang dia buat.

Tengku Iskandar dan Tengku Ayie berjalan menuju ke tempat letak kereta. Sambil-sambil itu mereka berbual.

"Okeylah. Aku balik dulu sebab nak hantar Amira lagi. Ikutkan hati aku, nak aje bawa dia balik rumah terus tapi bila difikirkan, kita orang belum halal lagi. Tak pasal-pasal aku pula yang kena marah dengan Haji Kassim tu. Dahlah garang orangnya, baran pula tu."

Tengku Iskandar bersandar pada kereta miliknya. Tiba-tiba pula dia boleh teringatkan bakal bapa mentuanya itu. Heh, apalah yang orang tua tu buat sekarang ni? Mesti tengah tunggu anak dara dia ni balik rumah.

"Eh, kau ni! Sempat lagi kau mengumpat dekat bakal bapa mentua kau, kan." Tengku Ayie turut bersandar pada kereta Toyota Hilux milik Tengku Iskandar.

Mereka mendiamkan diri setelah itu sambil mata memandang dua orang gadis yang masih berada di muka pintu itu.

"Heh, kau tengoklah tu. Perempuan kalau dah jumpa, tak sah kalau tak membawang. Sampai ke sini boleh dengar suara ketawa dia orang." ujar Tengku Iskandar dengan memandang ke arah dua gadis tersebut.

Nasib baik ketawa mereka tidak didengar oleh jiran-jiran yang lain kalau tidak mesti dah kena halau.

"Perempuan macam itulah. Ada je yang dia orang nak bawangkan. Kau ni bila nak halalkan tunang kau tu? Asyik ke hulu ke hilir je dengan dia."

"Tengoklah dulu. Aku nak kenal dengan dia lebih rapat lagi. Aku takut terluka suatu hari nanti."

Tengku Iskandar dan Amira sudah lama bertunang namun tiada tanda-tanda untuk menuju ke tahap yang seterusnya. Sudah 10 bulan mereka mengikat tali pertunangan.

"Kau tak percaya dengan jodoh?"

"Percayalah, jodohkan Allah SWT yang tentukan. Tapi aku nak kenal-kenal dulu hati budi masing-masing. Kang tak pasal-pasal jaga jodoh orang pula." Tengku Ayie dipandang.

"Kau pula tak percayakan jodoh?"

Tengku Ayie menghembus nafas berat.

"Macam kau juga. Jodohkan rahsia Allah. Aku kenalah terima tapi aku perlukan masa sikit."

"Jadi, kau percaya yang Airaa tu jodoh kau?"

Tengku Iskandar tersengih. Wah, nampak ada kemajuan dekat situ. Sepupunya ini sudah mula untuk terima Airaa sebagai isteri.

"Mungkin. Tapi macam yang aku cakap tadi. Aku perlukan masa untuk terima dia. Biarlah keadaan yang menentukan."

Tengku Iskandar hanya mengangguk.

Dua orang gadis itu berjalan mendekati mereka seiring dengan gelak ketawa. Entah apa pula topik yang mereka bawangkan kali ini.

Manakala dua orang lelaki itu berlagak macho dengan seorangnya yang tangan dimasukkan ke dalam poket seluar dan seorang lagi memeluk tubuh. Tubuh disandarkan pada kereta dan mata tak lepas daripada memandang dua orang gadis itu.

Airaa dan Amira yang perasan mereka ditenung tajam mula menghentikan perbualan mereka.

"Dah habis dah?" Tengku Iskandar menyoal Amira dengan nada serius.

"Habis apa?"

"Membawang?"

Amira hanya tersengih menayangkan gigi miliknya.

"Belum. Banyak lagi yang kita orang nak bawangkan. Kita orang kan dah lama tak berjumpa."

Amira menggunakan nada yang sedih. Takut nak pandang muka Tengku Iskandar yang serius.

"Tak apa. Esok kalau kau orang nak berbual sampai malam pun boleh. Sebab Airaa dah nak masuk kerja," balas Tengku Ayie.

Matanya juga tidak lepas daripada memandang Airaa yang menganggukkan kepala. Mungkin bersetuju dengan kata-katanya.

"Oh, okeylah kalau macam tu. Airaa, aku balik dulu tau. Esok kita jumpa lagi," kata Amira. Dia memeluk Aira dan melagakan pipi mereka.

"Cik Amira, boleh tak cepat sikit. Sekarang ni dah jam berapa? Nanti saya pula yang kena marah dengan pakcik Haji Kassim tu sebab lambat hantar anak dara dia ni pulang. Dah cepat masuk kereta," arah Tengku Iskandar dengan tegas. Kalau tidak tegas, mungkin gadis itu tidak dengar cakapnya.

Amira menghentakkan kaki tanda protes. Orang baru je nak peluk-peluk, dah kena marah. Bencilah macam ni!

TAP!

Bunyi pintu kereta kedengaran. Amira menghempas pintu kereta milik Tengku Ayie.

"Allahu-Akbar, rosaklah kereta kesayangan aku macam ni."

"Nampaknya nak kena pujuklah tu," usik Tengku Ayie sambil menepuk bahu Tengku Iskandar dengan perlahan-lahan. Habislah Is nak pujuk perempuan.

"Nampaknya macam tulah. Eh, aku balik dululah. Thanks untuk makan malam tadi."
Mereka berpeluk gaya lelaki.

"Tapi aku tak sangka yang langsir kau berhabuk tadi. Aku nak pandang pun tak sanggup," bisik Tengku Iskandar seraya ketawa perlahan.

Tengku Ayie ikut ketawa. Kan dah kata. Mesti sepupunya itu perasaan tentang langsir tersebut.

Kereta Tengku Iskandar pun keluar dari kawasan rumah Tengku Ayie. Dia mengangkat tangan tanda mahu beredar.

Apabila kelibat kereta tersebut sudah tidak kelihatan, Tengku Ayie dan Airaa masuk ke dalam rumah. Pagar serta pintu rumah ditutup.

"Jom, masuk bilik," arah Tengku Ayie kepada Airaa. Dia meneruskan langkahnya ke arah tangga.

Gulp!

'Apakah?' desis hati Airaa.

**********

"NAH, air yang abang nak tadi," kata seorang gadis sambil duduk di kerusi kayu. Perut yang sedikit besar itu menyukarkan dia untuk duduk.

"Terima kasih." Aqief menyambut huluran tersebut dengan ucapan terima kasih sebelum air tersebut diminum.

"Aina nampak abang termenung tadi. Pasal apa? Teringatkan awek, ya? Siapalah gadis yang dah berjaya tawan hati abang ni?" soal gadis yang bernama Ainaa itu. Perutnya diusap dengan perlahan. Kandungannya sudah mencecah lima bulan.

"Tak ada lah. Banyak sangat kerja sebab itulah abang termenung. Awek? Siapalah yang nak dekat abang ni?"

"Jadi, siapa yang abang ajak berbual waktu dekat hospital hari tu? Abang siap bagi air mineral dengan sticker notes lagi dekat dia."

Aqief dipandang. Mustahil abangnya itu tidak berkenan dengan gadis yang ditemui pada bulan lalu. Gadis itu juga nampak cantik jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

Aqief terkejut namun dia segera menyembunyikan wajah terkejutnya. Macam mana adiknya itu boleh tahu? Bahkan sebelum dia berjumpa dengan Tengku Arin, Aina sudah pergi ke tandas.

"Aina nampak abang jumpa dia. Aina masa tu keluar dari tandas. Abang tak berkenan dekat dia ke?"

Aina memberitahu hal sebenar kepada Aqief. Dia sebenarnya mahu melihat abangnya itu hidup bahagia. Sudah lama dia perhatikan abangnya itu hidup membujang.

Aqief memandang Aina sebelum menghembus nafas panjang. Adiknya tidak tahu apa yang sedang dia fikirkan.

"Siapalah abang ni kalau nak berdiri dekat sebelah dia? Dia ada keturunan Tengku. Abang? Apa je yang ada? Abang dengan dia ibarat langit dengan bumi. Tak ada persamaan."

Pandangan Aqief jatuh pada perut adiknya itu sebelum diusap lembut. Kesian, dari dalam perut lagi sudah tidak ada ayah. Suami Aina telah meninggal dunia pada tiga bulan yang lalu disebabkan kemalangan jalan raya. Sempat lagi arwah menitipkan pesan kepadanya agar menjaga Aina serta kandungan tersebut.

"Abang, kita semua sama je. Siapa kita nak membandingkan? Harta benda semua itu hanya dunia. Apa kata abang cuba? Mana tahu boleh sangkut, kan?"

Aina memegang tangan abangnya. Abangnya yang sentiasa ada dikala dia senang dan susah. Inilah insan yang dia ada di dunia. Ibu dan bapa mereka meninggal dunia sewaktu mereka masih kecil lagi. Selepas itu, mereka ditempatkan di rumah anak yatim piatu.

"Sejak bila adik ni kuat membebel? Baby, tengok umi baby ni. Baby kalau dah besar, dengar cakap umi kalau tak nak dengar umi membebel, ya."

Aqief merapatkan wajahnya ke perut Aina. Dia bercakap seolah-olah baby tersebut dapat mendengar.

"Abang ni. Aina baru cakap sikit dah kata Aina kuat membebel. Dapat isteri yang kuat membebel baru tahu. Aina tak nak tolong," tutur Aina memeluk tubuh. Merajuk.

"Dah tak payah nak buat muka macam tu. Pergi masuk dalam, nanti perut tu masuk angin. Abang tak nak tolong," balas Aqief kembali kepada Aina. Bukan apa, sudah lama dia tidak meluangkan masa dengan adiknya itu.

"Eh, abang ni. Aina minta pujuk pun tak boleh. Malaslah nak layan abang. Layan drama Korea lagi seronok daripada layan abang." Aina segera bangun daripada duduknya. Dia masuk ke dalam rumah dengan pakej hentakan kaki lagi.

Aqief menggeleng-gelengkan kepala. Semenjak mengandung ni, perangai manja adiknya semakin menjadi-jadi. Mungkin disebabkan pembawaan budak.

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience