DIA membawa dirinya berselindung di sebalik dinding hospital. Takut kalau dia akan terlihat. Dia juga yang susah nanti.
Senyumannya melebar saat terlihat si jantung hati. Melihat si dia yang juga tersenyum membuatkan hati lelakinya berbunga-bunga. Mahu didekati tapi takut tersakiti. Akhirnya dia hanya melihat dari kejauhan.
"Cantik isteri abang," ucapnya dengan perlahan. Dia tersenyum sehingga menampakkan gigi.
Dilihat Airaa yang sedang bergelak ketawa bersama Airil. Dia rindukan gelak tawa serta wajah ceria itu. Hampir tiga minggu dia hanya melihat wanita itu dari kejauhan.
Tiba-tiba Airil menolak kerusi roda yang diduduk oleh Airaa menuju ke pintu keluar. Tengku Ayie apa lagi, dia kelam-kabut mahu bersembunyi. Mereka semakin dekat dengan tempat dia berada. Akhirnya dia hanya memusingkan badannya lalu menghadap dinding hospital. Matanya dipejam rapat.
Jantungnya berdengup dengan pantas apabila Airaa dan Airil lalu di belakangnya. Pasti orang lain menganggap dirinya gila.
Nafas dihela panjang saat isteri dan abang iparnya sudah menjauh. Dia mengikuti mereka dari belakang dengan langkah yang perlahan. Bibirnya mengukir senyuman lebar saat terdengar suara isterinya yang rancak berbual itu.
Sampai di bahagian luar hospital, dia berhenti apabila mereka yang di hadapan juga turut berhenti. Dia melihat Airil yang berbisik sesuatu di telinga Airaa.
Tubuhnya seakan kaku ketika Airil berpusing lalu berjalan menghampiri dirinya. Wanita itu duduk di kerusi roda tanpa menoleh ke belakang. Tengku Ayie kembali lega.
"Kau pergilah tolak kerusi roda tu sampai ke parking kereta. Kau tahukan dekat mana aku letak kereta," kata Airil dengan memandang adik iparnya. Dia menoleh sekilas ke belakang. Risau jika adiknya memandang ke arahnya.
"Tapi..."
"Papa tak ada. Dia ada meeting dekat pejabat. Jam tiga petang baru dia balik."
Tengku Ayie mengangguk. Lega bila bapa mentuanya tidak ikut mengambil Airaa. Itu bermaksud hanya Airil saja yang datang menjemput Airaa. Isterinya itu sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga minggu berada di situ.
"Terima kasih," ujar Tengku Ayie kepada Airil dengan senyuman yang bahagia.
Airil mengangguk kepalanya. Matanya tertumpu pada Airaa. Wanita itu tidak menoleh ke belakang. Dia menepuk bahu adik iparnya itu.
"Aku nak ambil dulu ubat Airaa. Kau pergilah dekat dia," kata Airil sebelum dia bergerak ke kaunter hospital untuk mengambil ubat adiknya. Nasiblah bil hospital sudah diselesaikan oleh Tengku Ayie.
Tengku Ayie bergerak perlahan menghampiri isterinya. Wanita itu termenung tanpa sedar dengan kehadiran dirinya. Perlahan-lahan tangannya memegang kerusi roda.
"Abang ni, buat terkejut Airaa lah," tutur Airaa tanpa menoleh ke belakang. Tangan wanita itu mengusap dada. Pastinya terkejut.
Perlahan-lahan Tengku Ayie menolak kerusi roda itu ke tempat letak kereta. Dia tersenyum lebar tatkala mendengar suara isterinya yang tidak berhenti. Mungkin isterinya menyangka dia ialah Airil.
"Abang..." panggil Airaa dengan meleret. Matanya memandang ke hadapan.
Tengku Ayie terasa payah untuk menelan air liurnya. Panggilan daripada isterinya lain macam. Dia berkeras untuk tidak bersuara.
"Boleh tak, kita singgah dekat kedai kek nanti? Airaa rasa nak makan keklah. Boleh tak abang?"
"Boleh..."
Airaa segera menoleh ke arah belakang apabila perasaan suara tersebut bukanlah suara Airil. Matanya membulat saat melihat wajah lelaki itu. Dia terus berdiri walaupun kakinya terasa lemah. Disebabkan tubuhnya yang tidak dapat seimbang, itu membuatkan Airaa hampir terjatuh.
Laju Tengku Ayie memaut pinggang Airaa agar wanita itu tidak jatuh. Dia memejamkan mata dengan nafas yang bergerak dengan laju. Nasib baik dia sempat tahan kalau tidak mungkin isterinya sudah jatuh.
"Sayang, hati-hatilah. Nasib baik tak jatuh tadi," pesan Tengku Ayie. Dia masih dengan kedudukannya yang memeluk Airaa dari belakang.
Dieratkan pelukan tersebut sebelum bibirnya singgah di tepi kepala Airaa. Dia tidak mahu leraikan pelukan tersebut. Dia rindukan isterinya.
"Lepaslah."
Airaa mahu meleraikan pelukan itu. Tangan kirinya memukul tangan Tengku Ayie. Sedaya upaya dia mahu melepaskan diri.
"Ish, lepaslah! Janganlah peluk Airaa!" bentaknya sebelum berpusing menghadap Tengku Ayie. Bahu lelaki itu ditolak dengan kuat.
Rontaan Airaa dihiraukan. Kepala wanita itu disembam pada dadanya namun dia juga berhati-hati. Takut kalau tangan isterinya tersentuh.
"Janganlah macam ni sayang," ucap Tengku Ayie dengan perlahan. Dahi Airaa dikucup lembut. Bukan niatnya mahu menyakiti hati isterinya. Dia terlalu rindu dengan wanita itu sehingga rindu tersebut mengganggu tidurnya.
Rambut isterinya diusap perlahan. Nasib baik tidak ada orang di bahagian tempat letak kereta itu. Kalau ada, pasti mereka berdua menjadi perhatian umum.
Tengku Ayie mendongakkan wajah isterinya. Tangannya naik memegang kedua-dua pipi tersebut. Diseka air mata yang mengalir.
"Ini abang, sayang. Abang suami Airaa. Tolong, jangan lupakan abang. Abang sayang Airaa," bisik Tengku Ayie di telinga isterinya.
"Sayang sangat-sangat," sambungnya lagi. Pelukan semakin dieratkan. Ubun-ubun isterinya dikucup dengan penuh kasih sayang. Hampir dia mahu menitiskan air mata.
Airaa, wanita yang paling berharga untuk dirinya. Wanita itu permata hidupnya. Amanah Allah untuk dirinya. Dia juga sudah berjanji untuk mencintai, menyayangi, melindungi dan menjaga amanah tersebut hingga akhir hayatnya. Berpisah? Memang dia tidak akan melakukannya walaupun dia pernah mengungkapkan perkataan cerai. Itupun sudah jadi pengajaran buat dirinya yang berpisah itu bukan suatu benda yang mudah.
Terhinjut-hinjut bahu Airaa menahan tangisannya. Perlahan-lahan dia mendongakkan kepala untuk memandang lelaki di hadapannya.
"Awak siapa nak peluk saya!" marah Airaa sebelum menolak tubuh Tengku Ayie. Dia mundur selangkah daripada lelaki itu.
Tengku Ayie bercekak pinggang sambil meraup wajahnya. Dia cuba untuk memegang bahu Airaa meskipun wanita itu meronta-ronta.
"Hey, hey, listen me. Abang suami sayang. Sayang isteri abang, okey. Cuba ingat abang balik, please."
Airaa hanya menggelengkan kepala mendengar pengakuan daripada lelaki itu. Sekali lagi dia cuba untuk menolak Tengku Ayie.
"No! Saya tak ada suami. Saya tak kahwin lagi. Macam mana awak boleh kata saya ni isteri awak?"
Air mata Airaa kembali mengalir. Tangannya menolak bahu lelaki itu agar menjauhi dirinya. Wajahnya menjadi merah.
"Okey, kalau sayang tak percaya, abang boleh tunjukkan gambar nikah kita."
Tengku Ayie menyeluk poket seluarnya sebelum telefon miliknya dikeluarkan. Baru saja dia menghidupkan telefon tersebut, Airaa sudah bersuara. Tetapi bukan kepada dirinya.
"Abang."
Airaa berlari ke arah Airil yang berada di belakang Tengku Ayie. Pantas dia bersembunyi di belakang tubuh itu. Kedua-dua sisi baju abangnya dipegang erat dengan mata yang dipejam.
"Abang, tadikan lelaki tu... dia peluk Airaa. Abang, jomlah kita balik. Airaa... Airaa tak nak tengok muka dia. Airaa nak balik sekarang," desak Airaa kepada Airil. Kepalanya digeleng-gelengkan. Malahan tangisannya juga tidak berhenti.
"Okey-okey. Dah masuk dalam kereta abang sekarang. Abang nak cakap sikit dengan dia," pujuk Airil apabila melihat tangisan adiknya tidak berhenti. Kunci kereta ditekan.
"Abang, marah dia tau. Pesan dekat dia, jangan peluk Airaa lagi. Airaa tak suka."
Airil sekadar mengangguk sebelum memandang Airaa yang berjalan menuju ke arah keretanya. Gadis itu menundukkan kepala semasa berjalan melimpasi Tengku Ayie.
Tengku Ayie memejamkan mata sebelum nafasnya dihela panjang.
"Kau jangan paksa Airaa untuk ingat diri kau. Nanti dia stres dan doktor pun ada bagitahu juga pasal benda tu. Kau doalah banyak-banyak. Mana tahu dengan izin Allah, Airaa boleh ingat kau balik."
Airil melangkah mendekati adik iparnya itu. Dia melihat tubuh lelaki itu semakin susut. Pastinya tidak makan dengan secukupnya.
Tengku Ayie mengangguk kepala.
"Ni, esok malam kau tak ada kerja?" soal Airil.
"Tak ada."
"Mama ajak kau makan malam dekat rumah. Dia kata dah lama kau tak pergi rumah sana. Pasal papa tu, kau jangan risaulah. Setakat ni belum pernah aku nampak papa halau tetamu. Okey."
Tengku Ayie tersenyum nipis mendengarkan itu. Bukan itu yang dia risaukan. Dia cuma risau kalau Airaa yang menghalau dirinya.
"Aku balik dulu."
Airil menghulur tangannya untuk bersalaman dengan adik iparnya itu. Bahu Tengku Ayie dipeluk sebelum ditepuk perlahan.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam," balas Tengku Ayie seraya memandang figura abang iparnya sehingga lelaki itu sampai ke kereta.
Dia tersenyum nipis lalu mengangkat tangannya paras bahu apabila kereta Airil lalu di hadapan. Tidak lupa juga senyuman untuk Airaa walaupun wanita itu tidak memandang dirinya.
Akhirnya, dia pun kembali pulang ke rumah daddynya. Sudah sebulan tiga minggu dia berada di rumah tersebut. Mahu pulang ke rumahnya, sunyi pula.
**********
AIRAA menyikat rambutnya yang paras bahu itu. Tidak lupa juga rambut pendek di bahagian dahinya.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada pintu bilik itu mengejutkan dirinya. Segera dia berdiri lalu menghampiri pintu bilik tersebut. Buka saja pintu, tersembul wajah milik mamanya. Kelihatan Puan Zahra tersenyum lebar.
"Abang dah sampai ke, mama?" soal Airaa.
"Tak. Abang tak jadi datang sebab mak mentua dia buat kenduri. Dah, siapkan. Jom, kita turun bawah."
Puan Zahra menarik tangan kiri Airaa untuk turun ke bawah. Balutan pada tangan kanan anaknya itu belum dibuka. Kata Tengku Sofea, balutan itu akan buka selepas pada minggu hadapan.
Airaa melihat meja makan yang sudah dipenuhi oleh pelbagai lauk. Rambang matanya saat melihat hidangan tersebut.
"Banyaknya mama masak. Tapi siapa nak habiskan ni semua? Abang bukannya datang pun."
Puan Zahra menyembunyikan senyumannya tatkala mendengar kata daripada anaknya.
"Kejap lagi tetamu mama nak datang. Sebab tu mama masak banyak. Mama nak tetamu mama tu habiskan semua tu."
Airaa menggaru keningnya. Tetamu? Kawan mama yang mana satu mahu datang ke rumah mereka?
"Papa mana?" tanya Airaa dengan pandangan dihalakan ke tangga. Melihat kalau Encik Aizhar turun atau tidak.
Puan Zahra juga turut melihat ke arah tangga. Entah turun atau tidak suaminya itu. Sudah habis dia memujuk lelaki itu agar turun ke bawah untuk menyambut tetamu mereka.
"Kejap lagi turunlah tu papa," jawabnya. Pandangan dihalakan pada meja makan semula. Tidak sabar mahu bertemu dengan tetamunya itu.
Ting! Tong!
Bunyi bell rumah kedengaran. Bunyi tersebut menarik perhatian dua beranak itu. Terbit senyuman lebar pada bibir Puan Zahra. Tetamunya sudah sampai.
"Airaa, pergi bukakan pintu. Mungkin tetamu mama dah sampai. Pergi," arah Puan Zahra sebelum dia bergerak ke dapur untuk mengambil minuman. Lagipun sengaja dia mengarah anaknya itu.
Airaa terpaksa menuruti arahan mamanya. Dia bergerak menuju ke pintu lalu secara perlahan pintu tersebut dibuka. Melihat figura yang sedang berdiri di hadapannya membuatkan diri Airaa menjadi kaku.
"Assalamualaikum," Tetamu tersebut memberi salam dengan tersenyum nipis. Dia melangkah masuk tanpa dijemput oleh Airaa.
"Waalaikumsalam, jemputlah masuk Ayie."
Puan Zahra yang datang dari dapur terus melangkah merapati menantunya. Inilah tetamunya itu.
Tengku Ayie segera menyalam tangan mak mentuanya. Tidak sangka pula Puan Zahra mengajaknya makan malam di rumah itu. Dari rumah lagi hatinya berdebar. Tidak sabar mahu melihat si jantung hati dan juga si bapa mentua.
"Papa mana, ma?"
Puan Zahra terus melihat ke arah tangga. Mata kembali dihala pada Tengku Ayie.
"Papa ada dekat atas tu, hah. Sekejap lagi turunlah tu dia. Eh, marilah kita pergi dekat meja makan," pelawanya. Dia melihat Airaa yang memandang Tengku Ayie tidak lepas.
"Airaa," panggil Puan Zahra.
Tengku Ayie juga turut memandang isterinya. Dia perasan wanita itu tidak lepas dari memandang dirinya. Namun dia hanya diamkan diri. Takut juga kalau wanita itu menghalau dirinya. Tak dapatlah dia makan masakan Puan Zahra.
Laju Airaa mendekati Puan Zahra. Lengan mamanya dipeluk erat sebelum bergerak ke dapur. Dia hanya mendiamkan diri. Sesekali dia mengerling lelaki yang berjalan di belakang mereka. Lelaki itu hanya tersenyum. Gila!
Tengku Ayie tempat duduk yang berhadapan dengan Puan Zahra. Manakala Airaa duduk di sebelah wanita itu.
Bunyi tapak kaki menuruni tangga menarik perhatian mereka bertiga. Segera dihalakan pandangan kepada Encik Aizhar yang sedang mendekati meja makan. Tengku Ayie mendekati bapa mentuanya sebelum menyalam tangan lelaki itu. Macam mana sekalipun layanan Encik Aizhar terhadap dirinya, dia tetap ingat lelaki itu bapa mentuanya.
Encik Aizhar duduk di hujung meja. Suasana di meja makan menjadi sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas angin.
Encik Aizhar menoleh ke arah Tengku Ayie.
Seakan faham maksud pandangan itu, Tengku Ayie segera menadah tangan sebelum diikuti oleh yang lain. Doa makan dibaca.
"Ayie makan banyak-banyak tau," ujar Puan Zahra selepas doa makan diaminkan.
"Ya, ma," balas Tengku Ayie dengan senyuman nipis di bibir. Dia melihat Airaa yang mahu mengambil sesuatu hidangan.
Keningnya berkerut apabila melihat wanita itu menekup mulut. Dia hanya melihat tingkah laku isterinya. Tiba-tiba saja, Airaa berdiri sebelum bergerak ke dapur.
Dia memandang Encik Aizhar dan Puan Zahra sebelum bergerak mengikuti Airaa. Dilihat wanita itu tertunduk memuntahkan sesuatu pada singki.
Segera Tengku Ayie menarik rambut Airaa agar tidak terkena muntah. Belakang badan isterinya diusap perlahan.
Akhirnya, Airaa mengangkat wajahnya selepas selesai membersihkan wajahnya. Matanya dipejam erat menahan sakit pada tekaknya disebabkan muntah tadi.
Merasakan belakang badannya diusap, Airaa pantas menoleh. Matanya membulat apabila lelaki itu dekat dengan dirinya. Dia menolak Tengku Ayie agar menjauhi dirinya.
"Sayang, okey tak?"
Tangan Airaa cuba untuk dipegang.
"Ish, tak payahlah pegang." Airaa menepis tangan Tengku Ayie. Dia tidak suka dipegang seperti itu.
Muncul figura Puan Zahra.
"Airaa, okey tak ni?" soalnya dengan penuh kerisauan.
Airaa sekadar mengangguk. Pelipisnya dipicit dengan perlahan.
"Airaa tak ada selera nak makan, ma. Airaa sakit kepala. Nak masuk bilik," kata Airaa. Entah kenapa tiba-tiba dia sakit kepala. Bukannya dia tidak cukup tidur.
Mereka bertiga keluar dari ruangan dapur. Terlihat Encik Aizhar yang memandang Airaa.
"Airaa, okey?" soalnya.
"Airaa okey, pa. Airaa nak masuk bilik dulu."
Airaa menuju ke arah tangga. Tangan masih mengurut pelipisnya. Sakit sangat ni. Pandangannya semakin kabur. Setiap objek yang dia lihat, semuanya bergerak-gerak. Dikelipkan matanya. Masih sama. Akhirnya, pandangannya menjadi hitam sebelum dia hanya mendengarkan jeritan dari Puan Zahra.
TBC
Share this novel