KAKI melangkah ke katil manakala tangan mengelap rambut yang basah. Dia baru saja selesai membersihkan diri. Terasa penat dalam dirinya belum hilang. Namun penat itu dibalas dengan sebuah kegembiraan buat dirinya. Gembira bila dapat meluangkan masa dengan orang yang tersayang.
Punggung dilabuhkan di birai katil. Telefon yang terletak di atas meja lampu dicapai. Tangan kiri mengelap rambut, tangan kanan menekan permukaan skrin. Aplikasi yang pertama dibuka ialah galeri.
Dilihat ada beberapa buah foto yang menarik perhatiannya. Foto itu ditekan. Terpampang figura seorang wanita yang sedang mengusap perut. Dia menangkap foto tersebut dari jauh tanpa pengetahuan wanita itu. Dengan spontan, bibirnya mengherot senyuman lebar.
"Memang betul apa yang orang kata. Bidadari tu wujud. Dan bidadari tu milik abang," ucap Tengku Ayie dengan senyuman lalu menggelengkan kepalanya. Sah, dia memang angau tahap A+.
Tiba-tiba terdetik di hatinya mahu menjenguk Airaa yang berada di bilik Tengku Arin. Dah tidur ke wanita itu? Kalau belum, tengah buat apa? Tak haus ke? Dah mandi ke belum?
"Okey tak kalau aku nak jumpa dia sekarang? Nanti dia tanya kenapa aku jumpa dia, nak cakap apa? Takkan nak cakap 'Abang rindulah dekat sayang', haih macam teruk je angau aku ni."
Kepala yang tidak gatal digaru. Tapi memang betul pun dia rindukan isterinya. Nak peluk erat-erat lepas tu tak kasi lepas. Peluk sampai subuh nanti.
Selepas beberapa minit berfikir, akhirnya dia memutuskan untuk menjenguk Airaa. Tidak lupa juga anaknya.
Tengku Ayie keluar dari biliknya lalu perlahan-lahan melangkah ke bilik Tengku Arin. Kepalanya ditoleh ke kanan dan kiri. Manalah tahu terserempak dengan mummy atau daddy. Satu hal lagi dia nak menjawab. Sudahlah mereka tidak tahu yang menantu mereka itu tidur di bilik Tengku Arin.
Telinga ditekapkan ke pintu setelah berdiri di hadapan bilik adiknya. Sunyi. Dia tak ada dengar apa-apa suara.
Dahi ditepuk perlahan. Macam mana dia boleh lupa yang biliknya dan Tengku Arin kalis bunyi. Apa-apa bunyi dalam bilik tersebut, takkan terdengar dari luar.
Tangan diangkat tanda bersedia mahu mengetuk. Dia sempat berdeham.
Tok! Tok! Tok!
Tengku Ayie tersenyum melihat pintu yang sedikit terbuka itu. Tersembul kepala adiknya daripada celah pintu tersebut.
"Hmmm, nak apa?" soal Tengku Arin dengan mendatar.
Kening diusap perlahan. Gaya adiknya seperti bapa mentua yang sedang mogok dengan menantu lelakinya. Muka pun garang.
"Airaa dah tidur ke?"
"Belum, akak tengah tengok cerita dekat ipad adik."
Tengku Ayie sekadar mengangguk kepala. Dia rasa janggal pula bila berdepan dengan adiknya. Maklumlah, dia dah lama tak berbual dengan Tengku Arin. Dia sibuk dengan kerja, dengan Airaa. Manakala gadis itu hanya terperuk di dalam bilik. Turun hanya makan ataupun pergi kelas.
"Along nak jumpa sekejap dengan Airaa," pintanya dengan nada yang lembut. Berharap bolehlah dia jumpa wanita itu.
"Hmmm, masuklah."
Tengku Arin membuka sedikit pintu itu sebelum keluar. Tidak mahu mengganggu Alongnya yang mahu bersama kakak iparnya.
Tengku Ayie mengangguk kepala. Langkah dibawa masuk selepas selesai menutup serta mengunci pintu tersebut.
Airaa mengangkat kepalanya. Bibirnya yang jelas tadi ada sedikit senyuman tiba-tiba menjadi pudar. Dia tidak suka dengan kehadiran lelaki itu. Ipad yang terletak di pahanya, dijedakan. Dia segera berdiri dan menuju ke bilik air.
"Eh, nak pergi mana tu?"
Segera Tengku Ayie memegang lengan isterinya. Dia datang mahu berjumpa dengan Airaa tapi wanita itu pula melarikan diri. Kenapa? Mahu mengelak daripada memandang dirinya?
"Nak basuh muka," jawab Airaa tanpa memandang Tengku Ayie. Tangannya meleraikan tangan lelaki itu yang memegang lengannya.
Airaa menyambung langkahnya sebelum berhenti semula. Nafas dihela panjang dengan mata yang dipejamkan. Dia menoleh ke belakang.
"Nak ke mana?" tanya Airaa dengan bercekak pinggang.
Tengku Ayie tersengih-sengih.
"Nak tengokkan sayang. Manalah tahu, sayang pengsan ke dekat dalam tu."
Airaa menjulingkan kedua-dua belah matanya ke atas. Over betul lelaki itu. Bilik air bukannya ada dekat bilik lain ke, ada di dalam bilik itu juga.
"Suka hatilah."
Airaa melangkah ke bilik air. Baru saja dia mahu menutup pintu, tangan Tengku Ayie menghalang pintu tersebut daripada tertutup. Dia memutarkan bebola matanya ke atas. Tangan naik memeluk tubuh.
"Janganlah tutup. Nanti sayang pengsan ke lepas tu pintu terkunci, hah macam mana abang nak masuk? Tak payah kunci, ya," rayu Tengku Ayie dengan wajah risau.
Manalah tahu wanita itu tiba-tiba pengsan lepas tu pintu pula berkunci dari dalam. Hah, jenuh dia nak buka pintu. Tinggal dia pecahkan saja pintu tersebut.
Airaa yang malas mahu melayan itu segera menuju ke singki dengan berhati-hati. Sabun pembersih muka diletakkan di tangan kanan sebelum disapukan ke wajahnya. Diratakan sabun tersebut. Paip dipasang lalu membasuh wajahnya.
Dengan mata yang tertutup, Airaa meraba-raba di sekeliling singki untuk mencari tuala kecil. Dapat saja tuala tersebut, terus dilapkan pada wajahnya. Mata dibuka memandang cermin di hadapannya sebelum bertembung dengan sepasang mata yang tidak lepas memandang dirinya.
Ting!
Satu kenyitan mata lelaki itu membuatkan dirinya kaku. Bagaikan masa berhenti daripada bergerak. Pergerakan mengelap wajahnya juga turut berhenti.
Tengku Ayie melepaskan ketawa. Perlahan saja ketawanya.
"Cepatlah sayang oi, nanti perut tu masuk angin."
Airaa tersedar daripada lamunannya. Dia menyambung semula kerjanya. Boleh pula dia terleka disebabkan kenyitan mata daripada lelaki itu. Jantungnya? Tak usah ditanya. Berdegup dengan kencang bagaikan kali pertama jatuh cinta. Jatuh cinta?
Tuala kecil itu diletakkan ke dalam bakul pakaian. Sambil memegang perut, Airaa keluar dari bilik tersebut.
Tengku Ayie menutup pintu itu setelah Airaa sudah keluar. Dia mengikuti langkah isterinya dari belakang. Diperhati belakang tubuh wanita itu.
"Allahu-Akbar," ucap Airaa lalu duduk di atas katil. Kaki dilunjurkan. Sebuah bantal diletakkan di kepala katil lalu badannya bersandar di situ. Terpejam matanya kerana selesa dengan kedudukan itu.
Kerusi make up ditarik oleh Tengku Ayie.
"Nak abang urutkan tak kaki sayang? Mesti penatkan sebab jalan-jalan tadi," ujar Tengku Ayie. Ditatap wajah isterinya yang bersandar pada sebuah bantal itu. Mata wanita itu terpejam.
"Hmmm," jawab Airaa tanpa membuka mata.
Terus saja Tengku Ayie mengurut kaki kiri isterinya. Pastinya kaki wanita itu lenguh disebabkan berjalan seharian. Selepas itu kaki kanan pula. Terlupa pula dia mahu mengambil minyak angin di dalam biliknya. Dia tidak tahu kalau dalam bilik Tengku Arin ada minyak tersebut ataupun tidak ada.
"Abang minta maaf."
Ayat tersebut membuatkan mata Airaa perlahan-lahan terbuka. Kening dikerutkan ketika memandang lelaki itu. Kedudukannya diselesakan.
"Kenapa awak minta maaf? Awak ada buat salah ke?" soal Airaa kepada Tengku Ayie dengan pandangan yang tajam. Kakinya juga dialihkan ke tepi menjauhi tangan lelaki itu.
Tengku Ayie sekadar mendiamkan diri. Rasanya lebih baik Airaa tidak tahu tentang apa yang sudah berlaku. Kalau isterinya tahu, pasti wanita itu akan menjauh serta membenci dirinya.
'Tapi Airaa kena tahu, Ayie. Manalah tahu bila kau ceritakan semuanya, Airaa akan ingat kau balik. Dia akan ingat kau,' bisik satu suara pada telinga kanannya.
'Cuba kau bayangkan kalau Airaa ingat kau dalam masa yang sama dia ingat perbuatan kau pada dia. Dia ingat kejadian dekat hotel tu. Kau nak jawab apa?' Satu suara lagi berbisik pada telinga kirinya.
Dia tidak tahu mana satu yang harus dia ikut. Kedua-dua sangat memeningkan dirinya. Salah pilih, boleh memberi kesan buruk kepada dirinya dan juga Airaa. Dia mahu menceritakan semuanya tapi takut akan menjejaskan kesihatan Airaa dan kandungan itu.
"Kepada siapa awak nak minta maaf? Kepada saya atau kepada Airaa yang dulu? Awak pukul dia? Seksa dia? Atau..."
Airaa berhenti pada perkataan atau. Mahu melihat reaksi lelaki itu. Lelaki itu tunduk dan tidak memandang dirinya.
"Curang belakang dia?"
Pertanyaan daripada isterinya berjaya membuatkan dia memandang wanita itu. Tidak menyangka soalan itu akan ditanya kepada dirinya.
Kedua-dua mereka hanya mendiamkan diri. Membiarkan mata mereka bertaut untuk berbicara melalui pandangan tersebut.
Airaa mendengus tanda geram. Dia baring di atas katil sebelum selimut ditarik sehingga ke paras leher.
"Orang tanya, dia tak jawab. Bagus tak payah masuk sini kalau mulut itu dah bisu. Hish, bencilah macam ni. Baik tidur daripada layan orang bisu," rungut Airaa sebelum menutup matanya. Lebih baik dia tidur memandang soalannya tadi tidak dibalas oleh lelaki itu. Dia seolah-olah bertanya dengan dinding pula.
Tengku Ayie meraup mukanya dengan perlahan. Dia buntu. Dia tak nak Airaa tertekan. Tak apalah, nanti ada masa dia akan cerita semuanya. Dia tersenyum nipis memandang belakang tubuh isterinya.
Tengku Ayie berdiri lalu membongkokkan badannya. Selimut pada tubuh wanita itu dirapikan. Rambut Airaa diusap perlahan.
"Tidurlah. Sweet dream."
Sebuah kucupan diberikan di dahi Airaa. Lama bibirnya berada di tempat itu. Dia sedih bila teringat perkataan benci yang keluar daripada mulut isterinya.
Dia menjarakkan diri. Tangannya beralih pada perut Airaa. Senyuman bahagia muncul di bibirnya.
"Selamat malam anak daddy."
Tengku Ayie berdiri tegak. Perlahan-lahan dia melangkah ke pintu bilik. Terasa berat mahu berjauhan daripada wanita itu walaupun mereka serumah. Tak apalah, esok mereka boleh berjumpa lagi. Ditutup perlahan pintu itu, tidak mahu mengganggu lena isterinya.
Terkejut Tengku Ayie melihat Tengku Arin yang bersandar pada dinding. Gadis itu menundukkan kepalanya. Ruang di sebelah gadis itu diambil.
Tengku Arin mengangkat wajahnya.
"Akak dah tidur?"
Tengku Ayie mengangguk kepala.
"Dia dah tidur. Penatlah tu sebab jalan-jalan tadi."
Tengku Arin tersenyum nipis. Mereka berdua mendiamkan diri. Terasa janggal apabila sekian lama mereka tidak berbual. Tengku Arin menarik nafas sebelum dihembuskan dengan perlahan. Wajah abangnya dipandang.
"Adik nak minta maaf," katanya.
Tengku Ayie terus mengangkat wajahnya. Kening sebelah kanan diangkat. Tidak faham kenapa adiknya meminta maaf.
"Adik minta maaf sebab layan abang macam sebelum ni. Adik dingin dengan abang. Tak bercakap dengan abang macam selalu. Adik minta maaf."
Wajahnya ditundukkan. Dia seperti banduan yang sedang menunggu hukuman. Jari-jemarinya dimainkan antara satu sama lain.
"Abang yang sepatutnya minta maaf. Abang..."
Tengku Ayie menggeleng kepalanya. Terasa dirinya lalai dalam setiap tanggungjawabnya. Terasa bahu kirinya diusap, wajah adiknya dipandang.
"Adik tahu abang kuat. Adik harap abang akan dapat raih kepercayaan kak Airaa."
Tengku Ayie tersenyum nipis. Boleh ke dia raih kepercayaan wanita itu? Sedangkan tengok muka dia macam nak tak nak aje. Nafas dihela panjang.
"Dah adik pergilah masuk sana. Jagakan isteri abang. Kalau nak apa-apa, panggil je abang dalam bilik tu." Muncung diarah ke biliknya. Sempat kepala adiknya diusap lembut.
Tengku Arin mengangguk kepalanya. Dia akur dengan arahan abangnya. Dia meminta diri untuk masuk ke dalam biliknya. Manakala Tengku Ayie terus bergerak ke arah biliknya. Haih, tidur seorang lagi malam ni.
**********
DIPANDANG dirinya di sebalik cermin itu. Tudung yang tersarung di kepala dibetulkan. Hari ini dia mendapatkan mesej yang ada kawannya yang ingin berjumpa.
Beg tangan dicapai sebelum diisi dengan dompet dan telefon bimbitnya. Buat kali terakhir dia melihat dirinya di cermin. Perutnya diusap lembut.
"Hari ni keluar lagi, ya anak mummy. Ada kawan mummy nak jumpa."
Airaa tersenyum lebar saat menerima tendangan daripada bayinya. Mungkin bayi tersebut tidak sabar mahu berjumpa dengan rakannya.
Dia memandang katil yang sudah tersusun kemas. Semuanya dikemaskan oleh adik iparnya. Dia mahu membantu tapi Tengku Arin melarang. Kata gadis itu, kalau dirinya berdegil, gadis itu tak teragak-agak mahu menelefon suaminya. Jadi, terpaksalah dia melihat dari jauh saja.
Kaki dibawa melangkah ke pintu. Ditarik pintu perlahan sebelum memandang kiri dan kanan.
Line clear.
Airaa menuruni tangga dengan tangannya memegang perut. Baru enam bulan, dia sudah tidak larat mahu berjalan.
Sampai di bawah, dia melihat mak mentuanya sedang duduk di sofa. Wanita itu melihat televisyen yang memaparkan sebuah rancangan masakan.
Perlahan-lahan dia bergerak menuju ke pintu utama.
"Eh, Airaa nak pergi mana tu?"
Soalan itu menyentakkan Airaa. Terus berhenti pergerakannya. Dia menoleh menghadap Tengku Zainab yang juga melihat dirinya.
"Ergh, Airaa nak keluar mummy. Nak jumpa kawan sekejap," jawab Airaa dengan senyuman.
Kelihatan wanita itu berdiri lalu mendekati dirinya. Terdapat kerutan pada dahi mak mentuanya.
"Ni nak keluar seorang je ke? Dah bagitahu Along yang Airaa nak jalan ni?" soal Tengku Zainab dengan nada yang risau. Dia risau kalau menantunya itu keluar tanpa memberitahu anaknya.
Airaa mengetap bibirnya sebelum tersenyum lebar. Kepalanya diangguk perlahan.
"Dah, Airaa dah bagitahu dia. Dia pun dah bagi keizinan untuk Airaa keluar," balas Airaa sedikit berbohong. Sedangkan dia tidak ada memberitahu lelaki itu yang dia mahu keluar. Lagipun dia keluar sekejap saja, tidak lama pun.
Tengku Zainab sekadar mengangguk. Baguslah kalau menantunya itu sudah memberitahu. Kurang sedikit kerisauannya.
Airaa menyalam tangan mak mentuanya sebelum meminta izin untuk keluar. Lagipun dia sudah memesan grab. Mungkin pemandu grab itu sudah menunggu dirinya.
Akhirnya dia meloloskan dirinya masuk ke dalam perut kereta. Selepas beberapa minit, kereta yang dinaikinya berhenti di hadapan sebuah kafe. Tambang grab dibayar.
Airaa menelan air liurnya apabila memandang kafe tersebut. Dia mahu membeli minimum di kedai tersebut. Tidak dapat menahan diri, dia masuk ke dalam kafe itu.
Semasa beratur, dia menerima sebuah mesej yang mengandungi location kawannya itu. Sebenarnya dia tertanya-tanya, siapa kawannya itu memandang dia tidak pernah meletakkan nama pada nombor tersebut.
Location dibuka sebelum memaparkan sebuah tempat. Tempat letak kereta. Dia sekadar mengangkat bahunya.
Akhirnya, dia dapat juga minuman yang diimpikan. Dia sedut straw itu seraya mengusap perutnya. Mungkin babynya yang mahu minum minuman tersebut.
"Baby duduk diam-diam tau, kita pergi jumpa kawan mummy kejap. Lepas tu baru kita pergi makan."
Sepanjang perjalanannya menuju ke tempat letak kereta, dia tidak sedap hati. Hatinya berkata bakal terjadi sesuatu. Namun dia menidakkan itu semua. Dia berdoa semoga dia dalam lindungan Allah SWT.
Sampai tempat letak kereta, dia memandang sekeliling. Kosong, tiada sesiapa di sana. Hanya ada beberapa buah kereta di parking. Baru saja mahu mengeluarkan telefonnya, dia merasakan ada seseorang yang berdiri di belakang. Dia ingin menoleh kepala tetapi mulutnya sudah ditekup dengan sapu tangan. Terhidu sesuatu bau daripada sapu tangan itu, membuatkan pandangannya kabur. Tidak sempat mahu melawan, dia sudah tidak sedar dirinya.
TBC
Tinggal beberapa bab je lagi
Share this novel