AMIRA memandang Airaa yang duduk di birai katil. Kini mereka berada di kampung Mak Tok Airaa. Tinggal berapa hari saja lagi akan berlangsung akad nikah Airaa dengan Tengku Ayie. Hampir segala persediaan yang telah diaturkan oleh Encik Aizhar dan Puan Zahra siap sepenuhnya.
"Airaa, kau okey tak ni? Sejak kebelakangan ni, aku tengok kau selalu termenung. Kau buat aku risau, Airaa." Amira mendekati Airaa. Sejak dia tiba di rumah itu, sahabatnya selalu termenung. Entah apa yang difikirkannya.
Airaa tersenyum nipis memandang wajah Amira. Dia yang menyuruh Amira untuk datang ke kampung itu. Dia menceritakan semua yang telah berlaku kepada Amira. Gadis itu juga nampak terkejut.
"Kau kenapa, Airaa?"
Airaa hanya menggeleng kepala. Setiap kali ditanya, pasti itu saja jawapannya. Gelengan kepala.
"Alah, bakal pengantin tak bolehlah macam ni. Nanti muka ni tak cantik dah bila duduk atas pelamin. Kau okey tak ni? Dah bisu?" Geram pula Amira dibuatnya. Susah juga orang yang simpan emas dalam mulut ni.
"Entahlah. Kalau kau, kau okey tak, kahwin sebab kena tangkap basah oleh keluarga kau sendiri?" Soalan dibalas dengan soalan. Hanya itu yang dia fikirkan.
"Aku rasa.... entahlah tapi tu bukan ke lelaki yang kau cari selama ni? So, apa yang kau nak fikirkan lagi?"
Suasana di dalam bilik itu menjadi senyap. Amira menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapan Airaa. Tangan Airaa diusap-usap bagi menyalurkan kekuatan. Dia tidak senang duduk melihat kebisuan gadis itu.
Airaa menghela nafasnya dengan berat. Tidak faham ke Amira dengan soalannya tadi? Memang benar apa yang dikatakan oleh Amira itu. Tengku Ayie lah orang yang dia cari selama ini, tapi...
"Ya, memang dia lelaki tu. Tapi aku tak nak kahwin dengan cara kena tangkap basah. Nanti dia kata aku yang rancang semua ni. Kalau kak Hanis ada masa tu, mungkin semua benda ni takkan terjadi. Aku menyesal, Amira. Aku menyesal."
Airaa menarik nafas sebelum dilepaskan.
"Kau tak nampak dia masa dekat hotel hari tu. Dia berusaha bela diri dia sendiri, depan uncle Mus dan papa aku. Aku pula diamkan diri dan tak bagitahu dia orang perkara sebenar."
Air matanya mengalir di pipi seiring esakan di bibir. Dia tak sanggup mahu menyimpan segala beban. Dia tak salah dalam hal tersebut. Beberapa hari lalu, dia berfikir. Kenapa semua ni berlaku kepada dirinya? Kenapa semua orang macam tak percayakan dia? Kenapa dia harus diuji seperti ini?
Sampaikan dia lupa yang semua benda yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Siapa dia mahu menghalang kehendak-Nya? Dia cuma manusia biasa, yang banyak kesilapan.
"Menangislah, Airaa. Kalau kau rasa dengan menangis boleh lepaskan bebanan dekat dalam fikiran kau tu, menangislah. Tapi satu je kau kena ingat, mungkin ini semua perancangan Allah. Perancangan yang sudah diatur untuk kau dan juga dia. Kau kena kuat, tak boleh lemah macam ni, okey. Aku selalu ada kalau kau nak meluah," kata Amira dengan semangat sebelum menarik Airaa ke dalam pelukannya.
Setiap kali Airaa menangis, dia akan memeluk Airaa dengan erat. Kalau boleh dia mahu berkongsi bebanan tersebut. Hatinya sakit melihat Airaa yang dia anggap seperti adik-beradiknya menangis.
Airaa mengangguk tanda okey. Ada betul juga apa yang dikatakan oleh Amira. Dia mesti percaya dengan apa yang telah berlaku sebenarnya adalah perancangan daripada Allah SWT.
Tanpa mereka sedar, perbualan mereka telah didengari oleh Hajah Halima iaitu Mak Tok kepada Airaa. Dia juga terkejut selepas mendengar cerita daripada menantunya, Encik Aizhar tentang apa yang sudah berlaku. Dia berasa simpati dengan cucu perempuannya itu.
Tangan ditadah ke atas untuk berdoa kepada tuhan Yang Maha Esa.
"Ya Allah, berilah kekuatan kepada cucuku, Airaa untuk menempuhi kehidupannya akan datang. Bahagiakanlah rumah tangga yang bakal mereka dirikan seperti rumah tangga Adam dan Hawa. Hanya kepada-Mu saja aku meminta pertolongan. Amin."
Dia melangkah semula ke dapur untuk membantu jiran-jiran yang sedang memasak. Nanti apa kata dia orang bila tuan rumah bersenang-lenang.
**********
"ALONG tetap akan bawa kes ni ke mahkamah. Daddy suka ataupun tak, Along dah tak peduli!"
"Jangan buat kerja gila, Along. Nak kata apa bila dekat mahkamah nanti? Nak kata yang Airaa goda Along untuk masuk dalam bilik hotel dia, macam tu?" Sudah penat Tengku Mustafa menasihati anaknya itu. Dia tetap berkeras dengan pilihan iaitu Tengku Ayie dan Airaa akan berkahwin. Tapi itulah, Tengku Ayie tetap dengan kedegilan dan keras kepalanya.
Tengku Ayie hanya mengangkat kening sambil tersenyum sinis. Boleh jadi juga macam tu.
"Along ingat, Along tu lawyer, bolehlah cakap macam tu. Daddy tak izinkan Along buat benda yang bukan-bukan. Termasuklah apa yang daddy cakap tadi." Tambahnya lagi bila melihat Tengku Ayie mendiamkan diri.
Tengku Zainab memandang wajah suaminya yang nampak sangat tertekan. Sudah berapa kali dia mengingatkan suaminya agar jangan terlalu memikirkan hal tersebut. Tetapi itulah Tengku Mustafa, masih dengan pendiriannya. Dan begitu juga dengan Tengku Ayie. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
"Along akan buat bermacam-macam cara untuk buktikan yang Along ni tak bersalah. Well, termasuklah dengan apa yang daddy cakap tadi. Along tak tahu kenapa daddy susah sangat nak percayakan Along padahal Along ni anak daddy. I'm your son, daddy."
"Daddy memang percayakan Along. Tapi kalau kejadian malam tu tak berlaku sekali pun, daddy akan tetap suruh Along kahwin dengan Airaa juga," kata Tengku Mustafa dengan nada yang lembut. Dia pasti jika berlembut, Tengku Ayie tidak akan membantah. Memang dia mahu berbesan dengan sahabat lamanya itu. Jadi, dia tetap dengan keputusannya.
"Tapi daddy tahukan yang Along benci dengan perem...."
"Daddy nak Along buang perasaan benci tu jauh-jauh. Tak penat ke asyik benci dekat perempuan je? Belajarlah untuk terima dan menerima," pintas Tengku Mustafa.
Tengku Mustafa tersenyum lebar bila melihat anggukan daripada Tengku Ayie. Dia rasa bersyukur kerana Allah SWT sudah membukakan pintu hati anak lelakinya itu.
"Along nak masuk bilik dulu," pamit Tengku Ayie. Terdengar keluhan berat yang keluar daripada mulutnya.
"Betul ke, keputusan yang abang buat ni? Abang tahukan yang Along tu macam mana?" soal Tengku Zainab. Dia menuju ke arah suaminya lalu duduk di sofa. Niatnya bukan untuk menghalang keputusan suaminya tapi perangai anaknya itu sukar dijangka. Hari ni nikah, esok dah bercerai-berai.
"Abang tahu apa yang abang buat sekarang ni. Ini semua untuk kebaikan Along juga. Mungkin dengan cara ini saja dia dapat lupakan Akimi dan Zalikha."
Dia tahu yang Tengku Ayie masih belum lupa tentang perkara tiga tahun yang lalu. Tapi sampai bila Tengku Ayie akan terus seperti itu?
"Nab takutlah. Macam mana kalau Zalikha muncul semula dekat Along. Macam abang tak faham perangai Along tu. Lagi-lagi Zalikha tu cinta pertama dia. Abang ingat tak apa yang jadi dekat Along lepas dia orang putus?" Tengku Zainab menggelengkan kepala saat mengingat itu semua. Di mana Tengku Ayie yang tidak mahu bercakap dengan dirinya dan juga Tengku Arin.
Tengku Mustafa mengangguk perlahan. Mana dia boleh lupa tentang itu semua. Nasib baiklah mereka sempat membawa Tengku Ayie untuk mendapatkan rawatan. Kalau tidak, dia tidak tahu apa yang bakal berlaku.
"Sebab itulah abang nak kahwinkan dia dengan Airaa. Insya-Allah, perkahwinan mereka akan bahagia. Kita doakan yang baik-baik saja untuk mereka," ujar Tengku Mustafa sambil menatap wajah yang selalu bertakhta di hatinya itu. Sejuk mata memandang.
"Dah kenapa abang pandang saya macam tu?"
"Nab, perasan tak perkahwinan dia orang sama dengan perkahwinan kita dulu?"
Dahi Tengku Zainab berkerut. "Maksud abang?"
"Maksudnya pilihan keluarga ni lebih baik jika nak dibandingkan dengan pilihan sendiri. Bukan abang nak kata pilihan sendiri tak baik, tak bukan tu maksud abang. Tengok macam kita. Kahwin dengan pilihan ibu bapa. Bahagia je sampaikan anak dah dua. Perkahwinan Along ni membuatkan abang rasa tak sabar nak timang cucu."
"Tinggi betul angan-angan abang. Dia orang belum kahwin lagi, abang dah berangan nak cucu."
"Bukan apa. Abang dah lama tak dengar bunyi bayi menangis. Last rumah ni terasa bising masa Nab lahirkan adik. Kiralah dah berapa lama? Adik pun dah umur 20 tahun."
Tengku Mustafa mengusap-usap tangan isterinya. Tangan yang sentiasa mengurus makan, minum serta pakaiannya tanpa merungut.
"Sabarlah kalau nak dengar suara bayi. Tunggu perkahwinan Along dengan Airaa masuk enam atau tujuh bulan macam tu, barulah kita buat permintaan nak cucu. Awal-awal macam ni kita tak boleh desak sangat dia orang berdua tu. Yalah, bercinta pun tak."
Cawan yang berisi kopi dihulur kepada Tengku Mustafa sebelum mencapai satu lagi cawan.
"Nampaknya macam tulah. Kalau nak suruh Nab mengandung, takut lain pula jadinya nanti. Abang nak naik atas dulu. Badan dah rasa melekit dengan peluh. Tulang ni pun macam dah nak retak je."
Tengku Mustafa naik menuju ke bilik mereka. Inilah masanya untuk dia merehatkan badan. Dari Langkawi mereka bertolak dan sampai saja rumah, mereka terus bincangkan tentang hal itu. Tiada masa untuk mereka merehatkan diri.
"Eh, orang tua ni. Ke situ pula dia. Anak dah dua, ada hati nak tambah lagi."
Tengku Zainab terus bergerak ke dapur untuk menolong pembantu rumah mereka memasak.
TBC
Share this novel