Bab 44

Romance Series 15713

TENGKU AYIE membuka pintu rumah mereka seraya menarik beg bagasi. Salam diberi walaupun tiada siapa bakal menjawab. Dia ingat dengan pesan nendanya.

"Kalau nak masuk rumah kena bagi salam walaupun tak ada orang. Sebab malaikat yang akan jawab."

"Kita dah sampai," kata Tengku Ayie. Dia bercekak pinggang memandang kawasan ruang tamu. Semuanya tersusun elok tanda rumah mereka tidak dipecah masuk oleh pencuri.

"Eh... awak, kita tak tidur satu bilik, kan?" soal Airaa. Dia menundukkan kepala melihat jarinya yang bermain antara satu sama lain.

Tengku Ayie memicingkan matanya. Dia mendekati Airaa yang sedang menunduk itu. Dia tidak faham dengan kata-kata gadis itu.

Airaa terkejut melihat Tengku Ayie yang mendekati dirinya. Haruman daripada lelaki itu semakin kuat. Dia melangkah ke belakang sambil berfikir, kenapa lelaki itu mendiamkan diri? Takkanlah dia salah soalan? Tapi memang soalan itu yang dia mahu tanya.

Airaa tersentak apabila tubuhnya bersandar pada pintu utama. Dia melihat Tengku Ayie meletakkan sebelah tangan pada pintu tersebut. Airaa menghembus nafas lega. Nasib baik sebelah tangan je, kalau dua-dua tangan tadi, pasti dia akan terkurung.

'Relax, Airaa. Dia letak sebelah tangan je tu. Dia takkan kurung kau guna tangan dia,' desis hati Airaa.

Dia membalas tatapan mata berwarna coklat itu. Mata lelaki itu membuatkan jantungnya lemah. Dari mata turun ke hati. Itulah yang dia rasa. Tangan dibawa memeluk tubuh.

Tengku Ayie meletakkan sebelah tangannya lagi. Itu membuatkan Airaa terkurung dan terperangkap. Suka dia melihat isterinya seperti itu. Dia pasti Airaa dalam ketakutan. Yalah, tidak pernah lagi dia melakukan seperti itu kecuali semasa berada di rumah bapa mentuanya.

Spontan tangan Aira menolak dada Tengku Ayie. Matanya membesar melihat tindakan lelaki itu. Dia pula yang naik segan untuk menatap wajah suaminya. Sekali lagi dia menunduk kepala.

Tengku Ayie mengangkat dagu isterinya menggunakan jari telunjuk. Gadis itu tidak menepis jarinya.

"Apa maksud awak yang kita takkan tidur sebilik? Kita kan dah lama jadi suami isteri. Tidur sebilik tak haram pun sayang." Ayat terakhir dibisikkan pada telinga Airaa. Gadis itu betul-betul penakut. Buktinya, baru saja dia mahu mendekat, gadis itu cepat-cepat menutup mata.

"Bu... bu... bukan macam tu maksud saya." Airaa berkata dengan gagap. Dia terasa lega apabila loceng rumah mereka kedengaran.

TING TONG!

Tengku Ayie mendengus. Baru saja dia mahu beromantik, sudah ada yang mengganggu. Dia memandang Airaa semula dengan pandangan yang bermaksud 'tunggu dulu.' Sebelah tangannya membuka pintu tersebut sebelum kepalanya tersembul ke luar.

Dia melihat Tengku Iskandar yang tersenyum lebar. Dia ingatkan siapalah tadi, rupanya sepupunya itu.

Airaa yang berada di sebalik pintu itu menahan nafas. Tubuh Tengku Ayie sangatlah rapat dengan dirinya. Dia menjengketkan kakinya untuk menjauhkan tubuh mereka berdua.

"Hah, ada apa kau datang sini?" tanya Tengku Ayie. Kepalanya masih tersembul ke luar. Pintu itu dibuka sedikit cukup untuk kepalanya saja.

"Kau ni ajaklah aku masuk dalam dulu. Penatlah aku berdiri dekat luar ni," rungut Tengku Iskandar kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah sepupunya itu.

Tengku Iskandar dipandang tajam. Kacau betullah, orang baru je nak bersweet-sweet dengan isteri sendiri.

"Kejap, kau tunggu dulu dekat sini. Aku ada benda nak kena uruskan."

Baru saja Tengku Ayie mahu menutup pintu, Tengku Iskandar memanggilnya.

"Weh, sekurang-kurangnya bagilah aku masuk dulu. Penatlah macam ni." Tengku Iskandar menolak sedikit pintu tersebut untuk memudahkan dia masuk.

"Argh, tak boleh, tak boleh. Nanti kau nampaklah. Berdiri je dekat situ," arah Tengku Ayie. Dia segera menutup pintu tersebut sebelum dikunci. Kang tak pasal-pasal Tengku Iskandar nampak benda yang tidak sepatutnya dinampak.

"Dia buat apa dekat sini? Amira ada tak?" tanya Airaa dengan kerutan di dahi. Ada apa Tengku Iskandar datang ke rumah mereka? Bukankah mereka baru datang dari kampung?

Tengku Ayie masih dengan kedudukannya. Tangannya tetap mengunci Airaa yang berada di tengah. Namun badannya ditundukkan sedikit.

"Tak tahu. Ada lah tu dia nak bagitahu. Mungkin pasal kerja. Saya kan tak masuk kerja selama enam hari. Sebab tu dia cari saya," ujar Tengku Ayie.

Dia pun tidak pasti mengapa Tengku Iskandar datang ke rumahnya. Kalau sekadar borak kosong, lelaki itu akan berjumpa dengannya esok di pejabat.

Airaa menganggukkan kepala sebelum dia berdehem untuk menarik perhatian suaminya.

"Ergh... awak, sampai bila kita nak macam ni? Tak kesian ke dekat sepupu awak tu? Tak sakit ke kaki dia berdiri dekat luar?" Airaa memberanikan diri untuk bertanya kepada Tengku Ayie.

"Sampai awak setuju nak satu bilik dengan saya. Lepas tu, awak boleh kemas bilik awak yang dulu sebelum pindah masuk dalam bilik saya. Faham tak, sayang?" Tangannya membetulkan tudung yang tersarung di kepala isterinya. Bagi cantik sikit.

"Kalau saya tak nak, awak nak buat apa?" Airaa memuncungkan mulutnya seraya tangan memeluk tubuh. Lagaknya seperti mencabar lelaki yang berada di hadapannya. Panggilan 'sayang' daripada lelaki itu membuatkan dirinya bertambah malu.

Tengku Ayie menundukkan badannya sehingga tiada ruang di antara mereka. Senyuman disembunyikan selepas melihat wajah Airaa yang terkebil-kebil.

"Senang je, saya akan kunci pintu bilik awak tu. Jadi, awak takkan dapat tidur dekat bilik tu lagi." Senyuman lebar terbentuk di bibir. Jantungnya terasa berdegup dengan laju ketika matanya menyambar sepasang mata itu.

Airaa menelan air liur yang terasa pahit. Cepat-cepat dia mengalihkan matanya ke arah lain tatkala Tengku Ayie memandang ke dalam anak matanya.

DUP! DUP! DUP!

Dia benci bila jantungnya berdengup dengan kencang. Hanya disebabkan panahan mata yang berwarna coklat itu.

Perlahan-lahan Tengku Ayie menarik tangan Airaa sebelum meletakkan bibirnya pada dahi gadis itu. Dikucup dengan penuh perasaan sayang dan cinta. Bersama dengan gadis itu membuatkan hatinya tenang. Berilah dia seribu gadis pun, Insya-Allah, hatinya tetap terpaut pada Airaa, isterinya sendiri.

Airaa terasa ada cecair hangat yang bergenang di bawah matanya. Kehangatan daripada kucupan lelaki itu, membawa seribu satu perasaan di dalam hatinya. Perasaan sayang dan cintanya pada lelaki itu semakin bertambah. Perasaan takut untuk kehilangan lelaki itu mula hadir. Dia takut sekiranya hati lelaki itu bukan pada dirinya.

TOK! TOK! TOK!

"Weh, Ayie. Cepatlah buka. Kaki aku dah naik lenguh ni. Apalah yang kau uruskan tu? Dah setengah jam aku duk berdiri dekat sini," bebel Tengku Iskandar. Dari tadi dia dengar ada suara orang berbisik. Namun dia pekakkan saja telinganya.

Ketukan tersebut memecahkan suasana yang cukup romantik itu. Tengku Ayie melepaskan kucupan itu.

"Dah, pergi naik. Kemaskan barang awak, nanti saya pindahkan. Malam ni kita tidur satu bilik." Tengku Ayie mengusap kepala Airaa disebalik tudung. Ikutkan hati, mahu saja dia memeluk tubuh itu tadi. Tapi semua itu punah apabila sepupunya yang kurang cerdik itu mengetuk pintu.

"Okey," balas Airaa dengan senyuman terukir di bibir. Dia terus menarik beg bagasi mereka ke arah tangga.

Tanpa membuang masa, Tengku Ayie terus membuka pintu utama dengan kasar. Tersembul wajah sepupunya itu dengan sengihan di bibir.

"Dah puas, ketuk pintu rumah aku?" perli Tengku Ayie. Ketuk pintu pun ganas. Nasib tak tercabut pintu rumahnya.

"Patik sebenarnya belum puas lagi, Tengku. Patik ingatkan nak ketuk sampai pintu rumah ni tercabut," tutur Tengku Iskandar seperti sedang bercakap dengan anak raja. Siap ber'patik' lagi.

Tengku Ayie tergeleng-geleng melihat perangai Tengku Iskandar yang tidak semenggah itu. Dia tidak tahulah bagaimana Amira boleh tahan dengan sepupunya itu.

"Kau masuklah. Kata dah penat berdiri tadi."

Tengku Iskandar masuk dengan selamba. Sofa di ruang tamu di duduk. Kaki disilangkan seperti rumah itu adalah rumahnya.

"Benda apa yang kau uruskan tadi? Nak aku tolong ke? Tapi aku tolong tengokkan je lah. Aku kan tetamu kau."

Tengku Ayie memandang sepupunya yang terkekeh-kekeh itu. Dia sendiri pun tidak tahu di mana lucunya.

"Tak payahlah kau nak tolong aku. Benda tu urusan aku dengan isteri aku. Kau tak perlu masuk campur." Tengku Ayie mengambil tempat di hadapan Tengku Iskandar. Badan disandarkan ke sofa sebelum mata dipejamkan. Penat memandu dari rumah bapa mentuanya belum hilang lagi.

"Ada apa kau datang rumah aku ni?" Matanya dibuka semula.

"Macam ni..."

**********

DIA melihat rumah banglo dua bertingkat yang tersergam indah itu. Mahu dibandingkan dengan rumahnya? Sudah tentu rumah banglo itu yang menang.

Perlahan-lahan dia menekan loceng rumah. Menunggu jika ada orang yang akan membuka pagar yang lebih tinggi daripada dirinya. Pencuri pun tentu tidak dapat melepasi pagar tersebut.

Loceng ditekan untuk kali kedua. Masih setia menunggu si penghuni rumah tersebut. Baru saja dia mahu menekan loceng rumah untuk kali ketiga, kelihatan pintu utama dibuka dari dalam.

Dia melihat seorang wanita yang agak berusia datang menghampiri dirinya. Senyuman diberikan kepada wanita itu.

"Assalamualaikum." Salam diberi terlebih dahulu.

"Waalaikumsalam," balas wanita itu sambil memerhati lelaki yang sedang berdiri di sebalik pagar tersebut.

"Tengku Arin ada?"

"Ada..."

"Siapa tu, Mak Jah?" pintas seorang wanita seraya menyarungkan selipar sebelum mendekati pagar tersebut.

"Assalamualaikum, Tengku," sapa lelaki itu. Dia tahu siapa wanita itu. Siapa lagi kalau bukan mummy kepada Tengku Arin.

"Waalaikumsalam, Aqief rupanya. Mak Jah, tolong bukakan pagar tu." ujar Tengku Zainab. Dia sedikit hairan kenapa anak muda itu datang ke rumahnya.

Aqief mengundur apabila pagar itu mahu terbuka. Melihat pagar itu saja membuatkan dirinya terasa rendah jika mahu dibandingkan dengan keluarga itu.

"Masuklah Aqief. Kita borak dekat dalam," pelawa Tengku Zainab setelah pagar sudah dibuka. Bukan dia tidak kenal dengan lelaki itu. Lelaki itulah yang membawa dia dan Tengku Arin pergi ke shopping mall pada minggu lepas.

"Eh, tak apalah Tengku. Saya datang ni pun cuma nak bagi buku Tengku Arin yang tertinggal dekat dalam kereta saya," Aqief memberikan buku milik Tengku Arin kepada Tengku Zainab.

"Oh, Arin memang macam tu. Dia memang suka letak dekat mana-mana. Terima kasihlah sebab Aqief sudi hantarkan." Buku tersebut bertukar tangan.

"Sama-sama Tengku. Kalau macam tu saya balik dululah," kata Aqief sebelum mengalihkan badannya. Baru berjumpa dengan mummy Tengku Arin, jantungnya berdegup laju seperti berlari maraton di padang sekolah. Belum jumpa dengan daddy kepada gadis itu lagi. Mungkin kalau jumpa, terus masuk hospital dia disebabkan degupan jantungnya yang terlebih laju.

"Betul ni tak nak masuk dulu? Ini kali kedua Aqief datang sini, apa salah kita borak-borak dekat dalam. Arin pun ada dekat dalam," pelawa Tengku Zainab sekali lagi. Dia suka dengan sikap lelaki itu. Sopan santun dengan orang tua. Bukan seperti anak daranya itu.

"Maaflah, Tengku. Saya kena ambil adik saya lagi dekat hospital. Nanti mengamuk pula dia dengan saya."

Tengku Zainab sekadar mengangguk.

"Saya balik dulu, Tengku. Assalamualaikum," pinta Aqief sebelum melangkah masuk ke dalam keretanya. Di dalam kereta, dia menyentuh dadanya. Degupan jantungnya yang laju masih terasa sebelum dia beristighfar dalam hati. Boleh pula dia teringatkan anak dara orang. Kalau tahu adiknya, mahu dipulas telinganya.

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience