PERLAHAN-LAHAN Airaa cuba membuka mata. Buka saja matanya, automatik dia memegang kepala. Rasa kepalanya berpusing-pusing. Dia menoleh ke kiri apabila mendengar suara yang dia kenal. Mata dikecilkan.
"Tengoklah bibir dia. Sama macam bibir mummy dia. Ya Allah, geramnya nenek dengan dia ni."
Airaa tersenyum tipis saat mendengar suara Puan Zahra. Pasti mamanya sedang berbual dengan anaknya. Dia tidak sempat mahu melihat wajah bayi itu. Tiba-tiba saja pandangannya bertukar hitam dan dia sudah tidak sedarkan diri di labour room tadi.
"Abang," panggilnya dengan perlahan kepada Tengku Ayie yang duduk membelakangi dia. Tekaknya terasa perit untuk bersuara dengan kuat.
"Abang."
Tengku Ayie terus mengalihkan badannya menghadap katil hospital apabila terdengar sayup-sayup suara Airaa.
"Nak air," pinta Airaa. Mahu tak mahu suaranya keluar.
Tengku Ayie mengangguk kepala lalu menuang air mineral ke dalam gelas sebelum diberi kepada isterinya. Kepala katil ditinggikan sedikit supaya senang wanita itu minum nanti. Basmallah dibaca.
Dengan perlahan Airaa meneguk air tersebut walaupun terasa perit di bahagian tekaknya.
"Nak lagi?" soal Tengku Ayie dengan lembut. Dia duduk di birai katil.
Dilihat wanita itu menggelengkan kepala. Gelas diletakkan kembali ke atas meja. Beberapa helai tisu diambil untuk mengelap peluh di dahi isterinya. Kasihan, penat bertarung nyawa untuk anaknya.
Airaa bersandar pada kepala katil. Tidak berdaya untuk bangun tapi dia mahu melihat anaknya yang berada di pangkuan Puan Zahra. Mahu melihat wajah yang suci itu.
Lengan suaminya dipegang.
"Abang, Airaa nak tengok baby."
Tengku Ayie tersenyum sebelum dia betulkan tudung yang tersarung di kepala isterinya. Ada beberapa helai rambut yang kelihatan. Melihat wajah Airaa membuatkan cintanya buat wanita itu semakin bertambah saban hari. Tidak berkurang pun jumlahnya.
Dari tadi, dia tidak habis-habis berdoa agar anak dan isterinya selamat. Hanya tuhan yang tahu tatkala doktor memberitahu yang Airaa tidak sedarkan diri selepas penat bertarung.
"Kejap, abang ambil baby dulu. Sayang duduk je dekat sini."
Airaa menganggukkan kepalanya sebelum dia memandang lelaki itu yang menghampiri mamanya. Dia tersenyum sendiri apabila mengingatkan dia sudah mempunyai anak. Cepatnya masa berlalu.
"Bismillah," ucap Tengku Ayie saat ingin mengambil anaknya dalam pangkuan mak mentuanya. Perlahan-lahan bayi tersebut bertukar tangan.
"Hati-hati along. Lembut lagi tu," pesan Tengku Zainab apabila bayi yang sedang tidur itu sedikit mengeliat. Mungkin terganggu.
Tengku Ayie tersenyum lebar melihat anaknya. Tidak mahu mengejutkan bayi yang sudah lena itu, perlahan-lahan dia melangkah ke arah katil. Birai katil diduduk. Penuh berhati-hati dia memberi bayi tersebut kepada isterinya.
Airaa mendukungnya. Segaris senyuman lebar terlakar di bibir tanda gembira. Wajah itu mirip dengan Tengku Ayie kecuali bibir. Bibir itu mengikut bibirnya. Dahi anaknya dicium lembut. Takut terganggu pula bayi itu.
"Comelkan."
Dia melihat suaminya sekilas sebelum memandang bayi itu semula. Ya, comel sangat. Kulit putih-putih dengan rambut yang tidak lebat.
"Kamu berdua dah pilih nama?" tanya Tengku Zainab. Bibirnya ikut tersenyum melihat suami isteri itu.
Tengku Ayie terus melihat isterinya. Dia tak fikirkan lagi nama untuk anak mereka. Dia serahkan kepada Airaa. Apa pun nama yang wanita itu pilih, dia akan bersetuju. Asalkan nama tu, nama yang baik dan indah-indah.
"Sayang dah ada nama ke untuk baby?" Isterinya disoal.
Airaa yang memerhati bayi dalam pangkuannya itu tersentak. Ralit betul dia memandang anaknya.
"Dah, Airaa dah ada nama untuk baby. Tapi Airaa takut abang tak berkenan pula dengan nama tu. Airaa main pilih je."
Airaa membetulkan kedudukannya. Dia mengetap bibir apabila merasakan sakit di bahagian bawahnya. Pergerakannya itu membuatkan bayi dalam dukungannya bergerak.
"Shuu..." bisiknya seraya menepuk paha bayi tersebut dengan lembut.
Tengku Ayie tidak dapat menahan senyumannya saat melihat perlakuan wanita itu. Suka dia melihat Airaa dengan anaknya.
"Abang ikut je nama yang Airaa dah pilih. Abang akan setuju kalau nama tu nama yang baik-baik."
"Jadinya, apa nama yang Airaa dah pilih? Senang sikit kami nak panggil baby tu," ujar Encik Aizhar yang sejak tadi mendiamkan diri. Senyuman diberikan. Hatinya bersyukur kerana anak dan cucunya selamat.
Airaa memandang papanya sebelum tersenyum lebar. Sebenarnya sudah lama dia dipilih nama untuk anaknya dengan Tengku Ayie. Wajahnya bayi itu dipandang.
"Airaa dah pilih nama Tengku Ai..."
Belum sempat dia ingin menghabiskan bicaranya, pintu wad tersebut dibuka dari luar.
Semua mata memandang ke arah pintu yang sudah terbuka.
"Assalamualaikum," kata Tengku Iskandar sebelum dia mempersilakan Amira untuk masuk terlebih dahulu. Lagipun dia segan bila ramai yang memandang ke arah mereka.
"Waalaikumussalam," jawab mereka semua hampir serentak.
Amira melangkah ke arah Puan Zahra dan Tengku Zainab untuk menyalam kedua-dua wanita itu. Manakala Tengku Iskandar mendekati Encik Aizhar dan Tengku Mustafa. Dia bersalaman.
Airaa tersenyum melihat kawannya yang sudah mendekat. Tengku Ayie memberi ruang untuk isterinya dan Amira berbual. Dia pula melangkah menuju ke arah Tengku Iskandar. Dia tersengih apabila sepupunya itu menepuk bahunya.
"Airaa."
Panggilan daripada Puan Zahra membuatkan Airaa memandang mamanya. Keningnya berkerut melihat mamanya yang sudah berdiri bersebelahan dengan papanya.
"Mama dengan papa nak balik dulu."
"Eh, awalnya mama dengan papa nak balik."
Puan Zahra menganggukkan kepalanya. Airaa didekati.
"Ya sebab mama dengan papa belum solat. Lagipun doktor dah bagitahu yang Airaa dah boleh keluar hari ni. Jadi mama nak sediakan barang-barang untuk Airaa berpantang nanti."
Airaa mengangguk kepalanya tanda faham. Patutlah. Alhamdulillah, maksudnya dia dengan baby tak ada sakit apa-apa. Bolehlah bersiap nak raya yang tinggal seminggu je lagi.
"Mama balik dulu," tutur Puan Zahra dengan perlahan. Takut mengejutkan si kecil yang sedang lena. Tepi kepala Airaa dicium dan selepas itu, ubun-ubun cucunya dikucup lembut. Sempat lagi dia mengusap kepala itu.
Tengku Ayie segera merapat. Tangan Puan Zahra dan Encik Aizhar disalam.
"Nanti bawa kereta hati-hati," pesan Encik Aizhar kepada menantunya. Keselamatan anak dan cucunya perlu diutamakan.
Tengku Ayie tersenyum lalu mengangguk kepalanya. Don't worry. Dia akan pandu kereta dengan penuh berhemah.
"Insyaallah, pa."
Tengku Ayie bersyukur kerana bapa mentuanya tidak lagi memarahi atau bersikap dingin dengan dia. Butir bicara lelaki itu juga tidak seperti sebelum ni. Mungkin sebab dah ada cucu yang pertama.
"Kami balik dulu," pamit Encik Aizhar kepada semua dengan nada perlahan tapi masih boleh didengar. Tangan diangkat saat memandang besannya, Tengku Mustafa.
Keluar saja sepasang suami isteri itu, Tengku Mustafa dan Tengku Zainab pula yang meminta diri untuk beredar. Sempat lagi Tengku Ayie mendengar bebelan daripada mummynya. Tentang kes pagi tadi.
"Airaa, comelnya baby kau. Hish, geram aku tau," kata Amira dengan teruja. Pipi bayi itu dicubit perlahan. Dia geram tahap nak makan pipi pau bayi tersebut.
"Heh, tengoklah anak buah siapa."
Amira menjeling Tengku Iskandar yang memandang dirinya dengan kening diangkat berkali-kali. Angkut bakul sendiri nampak.
"Hish, perasan betullah kau ni Is. Kau tengoklah bapa dia siapa?" tanya Tengku Ayie dengan soalan yang sememangnya Tengku Iskandar tahu. Dia kemaskan pakaian yang tersarung di tubuh sebelum tertawa perlahan bila melihat sepupunya itu mencebikkan bibir.
Airaa tersenyum melihat adegan suaminya dan Tengku Iskandar. Seorang dah jadi bapa dan seorang tak lama lagi nak jadi suami. Perangai memang tak pernah berubah. Dia mengalihkan pandangannya ke bawah. Wajah suci anaknya dipandang. Lena betul bayi itu tidur. Lengannya sudah mulai letih.
"Amira, boleh tak kau letak baby di dekat atas tu?"
Bibir dimuncungkan ke arah baby court milik hospital itu. Dia tak boleh terlalu bergerak. Sakit dan pedih dia rasakan setelah bergerak.
"Boleh. Meh sini aku letakkan dia."
Perlahan-lahan Amira mengambil bayi itu daripada dukungan Airaa. Sesekali mimik mukanya berubah. Maklumlah bayi itu masih lembut. Kang kalau salah pegang, lain pula jadinya.
Tengku Iskandar memandang Amira yang berhati-hati meletakkan bayi itu ke dalam baby court. Dia tersengih. Nampak sifat keibuan di dalam diri tunangnya itu. Nafas dihela panjang tetapi perlahan.
Tengku Ayie menoleh memandang sepupunya itu apabila mendengar helaan nafas daripada Tengku Iskandar. Bahu lelaki itu ditepuk.
"Kau bila lagi?" soalnya sambil bergerak menuju ke sofa.
Tengku Iskandar mengikuti dari belakang.
"Kau cakap macam aku ni dah kahwin."
Sepupunya dijeling. Sabar Is, lepas raya kau dah nak kahwin. Bawa bertenang. Tarik nafas, hembus.
"Emosi sungguh kau ni, Is. Mesti dah lama kau bersabar."
Tengku Ayie tersenyum sinis sebelum menghalakan pandangannya pada isterinya.
Wanita yang dia cintai.
Wanita yang dia sayangi
Dan
Wanita yang memiliki hatinya.
Sekali lagi Tengku Iskandar mencebikkan bibirnya. Main sindir-sindir pula lelaki itu. Dia emosi bukan apa. Kerana perkahwinannya dengan Amira. Bapa Amira, Haji Kassim meminta agar majlis perkahwinan mereka ditangguhkan dulu. Ini kerana mahu menunggu kedatangan keluarga gadis itu dari negara Jepun.
Beberapa hari yang lalu, Amira ada berkata yang keluarganya itu akan balik dan akan beraya di kampung Amira. Mungkin majlis nikah mereka akan dibuat pada hari raya tapi dia tidak pasti raya ke berapa.
"Mana taknya aku tak emosi. Kerja aku dan macam hutang keliling pinggang. Dengan majlis kahwin lagi."
Tengku Iskandar memeluk tubuh.
Tengku Ayie menggelengkan kepala. Entah bilalah lelaki itu akan berkahwin. Jangan jadi bujang terlajak sudah.
Mereka mendiamkan diri dan mendengar perbualan kaum hawa itu.
"Airaa, aku dengan Is ada main satu pertandingan. Pertandingan teka jantina anak kau orang memandangkan kau orang tak ada bagitahu," cerita Amira yang membuatkan Airaa teruja.
"So, apa pilihan kau?" tanya Airaa dengan teruja. Baby akan dapat hadiah pertama daripada aunty Amira dia.
Amira memandang Tengku Iskandar dengan senyuman yang ditahan. Dia dah kata dekat tunangnya yang dia akan menang. Tapi lelaki itu tidak percaya.
Amira keluarkan sepasang baju yang bersaiz bayi dengan penuh gembira. Sempat dia menjeling Tengku Iskandar yang duduk di sofa itu. Padan muka. Dia ketawa dalam hati.
"Kau salah pilih?" Tengku Ayie menyoal Tengku Iskandar sebelum pandangan matanya jatuh melihat beg plastik yang berada di tangan sepupunya itu.
"Haah, boleh pula aku salah pilih. Selalunya tak pernah."
Tengku Iskandar keluarkan baju gaun berwarna merah jambu dari dalam beg plastik tersebut.
"Tapikan..."
Tengku Iskandar membisikkan sesuatu di telinga Tengku Ayie. Dengan tiba-tiba muncul senyuman nakal pada bibir kedua-dua lelaki itu.
Airaa dengan Amira sudah berpandangan yang bermaksud 'Kenapa tu?'.
"Betul. Boleh tahan juga idea kau tu. Next time kalau ada rezeki, kau hadiahkan lagi benda sama. Tapi pastikan kau salah pilih supaya tahun seterusnya ada lagi."
Mereka bersama-sama ketawa. Hanya mereka yang faham akan kenyataan daripada Tengku Ayie itu.
"Abang, apa yang rezekinya?" soal Airaa ingin tahu apa isi perbualan kedua-dua lelaki itu. Dia rasa hairan terutamanya melihat senyuman suaminya itu. Lain macam.
"Tak ada apa. Hal orang lelaki je. Perempuan tak boleh tahu," bicara Tengku Ayie sebelum mengeyitkan matanya.
Airaa memicingkan matanya sebelum dia menyambung perbualan dengan kawannya itu. Sekali dia memandang bayi yang sedang tidur itu. Sampai bilalah babyi ni nak tidur?
**********
TIGA hari kemudian...
Jam sudah menunjuk pukul lapan malam. Airaa bergerak perlahan-lahan menuju ke balkoni. Dia menghirup udara tu lagi sejuk itu dengan mata yang tertutup. Nasib baik dia memakai hoodie milik suaminya. Tidaklah dia kesejukan.
Tengku Ayie selepas berbuka puasa tadi, terus berbual dengan papanya. Dia dan suaminya masih tinggal di rumah Encik Aizhar memandang Puan Zahra yang menjaga Airaa dalam pantang.
Seketika kemudian, dia teringat perbualan dengan adik iparnya dua hari yang lalu sewaktu gadis itu datang melawatnya.
FLASHBACK
Airaa memandang Tengku Arin yang sedang mendukung anak lelakinya. Terlakar segaris senyuman di bibir gadis itu. Tapi itu bukan senyuman biasa. Senyuman yang menyimpan duka.
"Adik okey?"
Tengku Arin terus memandang kakak iparnya. Kepalanya dianggukkan.
"Adik okey je. Kenapa akak tanya?" soal Tengku Arin. Dia meletakkan anak buah dengan perlahan-lahan ke atas tilam baby.
Airaa tersenyum tipis. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan gadis itu. Memang dia selalu melihat Tengku Arin tersenyum tapi senyuman itu lain daripada yang lain.
"Akak tak rasa yang adik okey. Mind to share with me?"
Dia mencuba untuk mengetahui apa sebab Tengku Arin menjadi seperti itu.
Tengku Arin menggigit bawah bibirnya. Macam mana dia nak cakap eh? Tak tentu arah dia jadinya.
"Kalau adik tak nak cerita, tak apa. Mungkin itu ada kaitan dengan masalah peribadi adik. Apa pun akak ada selalu nak dengar masalah adik. Okey?"
Tengku Arin tersenyum membalas soalan daripada kakak iparnya itu. Tapi tak salahkan kalau dia nak bercerita supaya fikirannya tidak menjadi kusut.
"Sebenarnya macam ni... Adik ada kenal seorang lelaki ni. Dia lecturer adik tapi sementara je lah. Dia ganti tempat seorang lecturer yang sedang menunggu hari nak bersalin."
"Adik suka dia?" tanya Airaa terus. Dia dapat hidu sesuatu.
Tengku Arin mendiamkan diri. Kalau dia angguk, kakak iparnya akan bagitahu dekat abangnya tak? Kalau bagitahu, habislah dia. Dahlah Tengku Ayie pernah kata pasal ni. Kata lelaki tu...
"Kalau adik masih nak belajar, belajar. Kalau rasa nak bercinta, bercinta. Jangan pilih kedua-duanya sebab adik akan rosakkan salah satunya. Contohnya, kalau adik fokus bercinta, pelajaran adik akan terganggu. Dan begitu juga sebaliknya kalau adik pilih fokus nak belajar."
"Cara yang adik ada hanya satu. Adik perlu korbankan sesuatu. Hidup ini perlukan pengorbanan bukannya keinginan. So, pilihan di tangan adik."
Tengku Arin memandang jari-jemarinya setelah menganggukkan kepala. Dia rasa ada tibanya untuk dia korbankan sesuatu.
"Suka tapi nak buat macam mana kalau dia tak suka adik?"
Airaa mengerutkan dahinya. Siapalah yang tolong adik iparnya itu? Rugi betul. Dahlah cantik, pandai pula tu.
"Adik dah tanya dia ke?"
Tengku Arin tersenyum tipis.
"Macam mana nak tanya akak kalau dia dah pindah. Nampak sangat dia tak suka adik."
Ruang di antara mereka dirapatkan. Airaa semakin pelik. Macam mana...
"Dari mana adik tahu yang dia dah pindah? Entah-entah, dia tengah tunggu adik confess dulu."
Pinggang adik iparnya dicuit menyebabkan gadis itu terkejut.
"Akak..." panggilnya. Terkejut dia jadinya. Dilihat wanita itu sekadar tersengih.
"Eh, cepatlah. Macam mana adik tahu yang dia dah pindah?" desak Airaa. Tidak sabar mahu tahu perkara sebenar.
"Adik pergi rumah dia. Lepas tu jiran sebelah rumah dia kata yang dia dah lama tak duduk situ. Dah pindah tempat lain," terang Tengku Arin. Kaki yang kecil milik anak buahnya dimainkan dengan perlahan-lahan.
Airaa membulat matanya. Kalau macam ni memang susahlah nak tanya. Dia berfikir jalan yang lain.
"Adik tak chat dia ke? Tanya dia dekat mana?"
Tengku Arin mengangguk kepalanya. Dah berapa kali dia chat nombor lelaki itu tapi hanya satu tick saja dan last seen lelaki itu juga dah lama. Maksudnya, besar berkemungkinan lelaki itu sudah tidak gunakan nombor tersebut.
"Dah tapi satu tick aje."
Airaa mengeluh. Susah betul bila jadi les macam tu. Perempuan dah suka, lelaki tu pula menghilang. Kadang dia tertanya-tanya, mengapa perlu hadir jika hadir hanya seketika?
"Emm... akak jangan bagitahu along pasal ni tau. Adik takut nanti along marah."
Airaa sekadar mengangguk kepala.
END FLASHBACK
Airaa tersentak tatkala terasa ada tangan yang menjalar di pinggangnya. Kepalanya menoleh ke belakang.
Tengku Ayie tersenyum sebelum dia letakkan dagunya pada bahu wanita itu.
"Buat apa dekat sini? Tak sejuk ke?" soalnya. Dia yang memakai tshirt lengan panjang pun terasa sejuknya. Inikan lagi, isterinya. Takut pula kalau wanita itu kedinginan.
Airaa memandang ke hadapan semula. Senyuman terhias di dua ulas bibirnya.
"Saja, hirup udara yang segar. Airaa tak rasa sejuk sebab Airaa pakai hoodie abang. Selesa sangat," ujar Airaa dengan mengusap tangan lelaki itu yang berada di pinggangnya. Kepala disandarkan pada dada bidang milik lelaki itu. Selesa dengan kedudukan begitu.
Suasana sepi di antara mereka. Tengku Ayie mengucup kepala Airaa. Wangi rambut wanita itu.
"Sayang..."
"Ermm," balas Airaa.
"Tak penat ke?" soal Tengku Ayie.
Airaa mengerutkan wajahnya. Penat. Mana ada dia penat. Dia tak ada buat apa pun. Dia kemas baju-baju baby lepas tu dia berdiri di balkoni. Itu saja.
"Airaa tak buat apa pun."
Tengku Ayie mencebikkan bibirnya.
"Tak penat ke asyik berlari dalam fikiran abang? Setiap saat pasti abang akan ingat sayang."
Pelukan dileraikan. Dia memusing tubuh isterinya untuk menghadap dirinya. Dagu wanita itu ditarik agar memandangnya.
"Hmm, tak penat ke?" tanya Tengku Ayie dengan senyuman manis di bibir. Matanya bertaut dengan mata isterinya. Mata wanita itu seperti kolam. Kolam tersebut dipenuhi dengan arus cinta yang akan memekarkan taman hati miliknya.
Dengan perlahan-lahan Airaa menjatuhkan kepala ke dada lelaki itu. Dia pukul dengan perlahan di tempat itu setelah mendengar suara ketawa yang keluar dari mulut suaminya. Dia jadi malu.
"Abang ni..." Airaa menekup pipinya. Dia rasakan pipinya sudah menjadi kemerahan.
Tengku Ayie menghentikan tawanya. Baru je nak jadi sweet talker. Ditarik tubuh Airaa ke dalam pelukannya semula. Ubun-ubun wanita itu dikucup lama.
"Sayang, Aisy mana?" soal Tengku Ayie. Bila dia masuk ke dalam bilik itu, figura anaknya dia tidak nampak.
Aisy? Nama anak lelaki mereka. Tengku Aisy Aydan Bin Tengku Ayie Idlan. Nama yang dia pilih dan hasil gabungan nama mereka suami isteri. Dan, lelaki itu terima saja. Baguslah kalau begitu. Tidak susah-susah lagi dia nak cari nama yang lain.
"Aisy ada dekat dalam bilik Mak Su. Mak Su yang datang sini ambil Aisy. Lagipun Aisy bagi mummy dia peluang untuk..."
Airaa beranikan diri untuk melingkarkan tangannya di leher lelaki itu. Dia menjengketkan kakinya agar bibirnya separas dengan telinga Tengku Ayie.
"Bermanja dengan daddy dia." Dengan penuh menggoda suara Airaa sebelum dia tertawa perlahan. Kalau tadi lelaki itu kenakan dia, kali ini biar dia balas pula.
Tengku Ayie memicingkan matanya. Hidung Airaa dikepitkan dengan jari telunjuk dan jari hantunya. Geram dengan wanita itu.
"Pandai eh kenakan abang. Kalau abang yang bermanja dengan sayang, lain jadinya nanti. Hah, cubalah buat."
Airaa menggosok hidung yang dikepitkan oleh Tengku Ayie. Dia memuncungkan bibirnya. Nak manja sikit pun tak boleh. Kepala disandarkan ke dada suaminya semula. Wangian lelaki itu melenakannya.
Rambut isterinya diusap perlahan.
"Abang, Airaa nak tanya. Apa yang Is dengan abang bualkan dekat hospital tu? Abang siap senyum lagi," kata Airaa sebelum dia letakkan dagunya di dada Tengku Ayie.
Tengku Ayie menundukkan kepalanya dengan tersenyum penuh misteri. Kepala wanita itu diusap.
"Sayang tak boleh tahu sebab tu hal lelaki. Hanya kaum Adam yang dibenarkan untuk tahu hal seperti itu. Okey?"
Sekali lagi Airaa muncungkan bibirnya ke hadapan. Orang tanya baik-baik, dia jawab pulak macam tu. Akhirnya mereka hanya berdua mendiamkan diri. Memberikan ruang untuk mereka berdua ketika itu.
"Abang dengan papa dah okey? Airaa tengok papa dah layan abang dengan elok."
Tengku Ayie yang meletakkan dagunya di atas kepala Airaa itu hanya bergumam. Betullah tu. Dia dengan Encik Aizhar sudah berbaik. Lagipun bulan puasa, tak elok untuk bergaduh. Dengan abang angkat, Tengku Akimi pun dia sudah berdamai. Lelaki itu sudah ceritakan semua apa yang terjadi. Alhamdulillah, mereka sudah menjadi keluarga seperti dahulu.
"Abang..." panggil Airaa. Dia ragu-ragu untuk bertanya tentang seorang. Takut suaminya akan memarahi dia. Bibirnya diketap rapat.
"Apa yang dah jadi dekat Aqilah?" tanya Airaa kerana dia tidak sedarkan diri ketika wanita itu sedang ditangkap. Dan dia tahu Tengku Iskandar yang menguruskan kes Aqilah.
Perlahan-lahan Tengku Ayie membuka matanya. Dia sebenarnya tidak mahu bercerita dengan kisah yang lalu. Malas mahu mengingatinya dan buat sakit hati.
"Abang ceritalah," pinta Airaa dengan bersungguh-sungguh. Dia yakin yang wanita itu telah dikenakan hukuman.
"Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk membunuh. Dia boleh dihukum di bawah kanun yang sama dan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan," jelas Tengku Ayie. Dia tahu pun daripada Tengku Iskandar. Lelaki itu yang memberitahu dirinya. Bagi dia, memang patut Aqilah mendapat hukuman seperti itu.
Aqilah telah buat tiga kesalahan. Pertama, cubaan untuk membunuh. Kedua, penculikan yang mana dia akan dihukum dengan penjara paling lama dua belas tahun. Ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen. Hukuman adalah penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Airaa terdiam mendengar kata-kata suaminya. Tiba-tiba hatinya berasa kasihan dengan Aqilah. Dia dapat rasakan yang wanita itu betul-betul tertekan dan kemurungan.
"Abang, tak boleh ke ringankan hukuman dia tu? Airaa rasa kesian dengan dia. Dia dahlah tak ada ibu bapa. Lepas tu, kakak dia dah gila. Dia pernah jadi kawan Airaa sewaktu dulu walaupun hanya sementara."
Airaa cuba untuk memujuk Tengku Ayie. Hati wanitanya cukup kasihan mendengar hukuman yang bakal Aqilah terima. Mendengarkan hukuman yang Aqilah akan terima, dia rasa sedih. Wanita itu tak dapat nak beraya lepas tu akan duduk berkurung dengan lamanya dalam penjara.
"Tak boleh, sayang. Mahkamah dah tetapkan hukuman untuk dia macam tu melainkan kita tarik dakwaan kita semula. Dan dia akan bebas."
Tengku Ayie menarik tangan isterinya untuk masuk. Dia sudah berasa sejuk berdiri di balkoni itu. Airaa didudukkan di birai katil manakala dia melutut di hadapan wanita itu.
"Sayang jangan minta abang untuk bebaskan dia. Dia takkan dapat pengajaran dengan apa yang terjadi kalau sayang nak bebaskan dia. Dia layak dapat hukuman macam tu disebabkan dia sendiri," tambah Tengku Ayie lagi apabila dia dapat meneka fikiran isterinya.
Dia memandang wajah mata isterinya yang sudah berkaca-kaca. Dia tersenyum tipis saat melihat air mata wanita itu mengalir. Diseka dengan jarinya.
"Dah, janganlah nangis-nangis macam ni. Abang tak sukalah sayang nangis. Aisy pun kalau nangis bukan macam ni," pujuk Tengku Ayie.
Airaa menganggukkan kepalanya. Betul kata lelaki itu. Aqilah berhak dapat hukuman seperti itu di atas kesalahannya sendiri. Bak kata orang, berani buat, berani tanggung.
"Abang, terima kasih," ucap Airaa dengan senyuman manis.
"Abang yang sepatutnya ucap terima kasih. Sebab sayang dah bagi abang peluang. Peluang untuk bahagia."
Tangan kanan Airaa ditarik lalu dikucup dengan lama. Wanita yang menghuni hatinya.
"Airaa nak abang tahu. Bagi Airaa, peluang takkan datang dua kali. Tapi peluang akan datang bila seseorang itu tidak berhenti untuk mencuba. Buktinya, abang. Airaa tak pernah nampak abang lelah dengan sikap Airaa. Masa Airaa pura-pura hilang ingatan, abang masih sabar dan berusaha untuk dekat dengan Airaa. Terima kasih."
Dahi mereka bertemu.
"Terima kasih, ya Allah. Engkau telah menghadirkan dirinya pada waktu yang tepat. Aku bersyukur dapat memiliki bidadari syurga ini dan menjadi peneman buatku, ya Rabb. Terima kasih." - Tengku Ayie Idlan
"Ya Allah, sesungguhnya hati ini milik-Mu. Dan hati ini telah mencintai seorang hamba-Mu. Izinkanlah hati ini dan hatinya bersatu buat selama. Tiadalah yang berkuasa di muka bumi ini melainkan Engkau, ya Allah." - Siti Airaa Syazah
TAMAT
Maaf semua sebab lambat update
Share this novel