"AKHIRNYA, sampai juga kita dekat sini. Hai, Pulau Langkawi," ujar Tengku Arin dengan nada yang kuat. Perasaan gembira yang sukar untuk digambarkan. Akhirnya, dapat juga dia melepaskan segala tekanan saat melihat pantai dan air laut yang menenangkan.
"Adikku sayang, dah gila ke? Nah, ambil beg ni. Buat berat je," kata Tengku Ayie yang mengeluarkan beg bagasi dari bonet kereta. Sempat lagi matanya memandang Tengku Arin yang sedang menghampiri.
"Bawa beg pun banyak, macam dah tak nak balik KL je dia ni," gumamnya perlahan.
"Apa Along cakap tadi? Adik tak dengarlah. Boleh tak kalau bercakap tu kuat sikit."
"Tak adalah. Dah ambil beg ni."
Tergeleng-geleng Tengku Mustafa melihat kedua-dua anaknya itu. Ada saja yang hendak digaduhkan. Mereka mula menuju ke arah sebuah hotel penginapan.
Hotel tersebut berhampiran dengan sebuah pantai yang cantik. Banyak juga pengunjung yang datang ke tempat itu. Maklumlah hujung minggu katakan, mestilah ramai pengunjung yang datang. Kaki melangkah menuju ke arah kaunter.
"Selamat datang Tengku Mustafa dan keluarga. Kami telah menyediakan bilik seperti biasa kepada Tengku semua untuk menginap. Ini dia kunci. Harap Tengku semua enjoy dengan percutian ni," sapa seorang wanita yang berada di kaunter tersebut sambil tersenyum lebar memandang Tengku Mustafa.
"Thank you," ucap Tengku Mustafa dengan penuh mesra.
Wanita tersebut adalah staf Tengku Mustafa yang sudah lama bekerja di hotel miliknya. Sudah lama dia membangunkan hotel tersebut dan usia hotel itu hampir mencecah 10 tahun. Dia dan keluarganya sering bercuti di tempat itu kerana tidak mahu membazirkan duit.
Tengku Ayie dan Tengku Arin mula melangkah ke arah pintu lif untuk menuju ke bilik yang telah disediakan. Masing-masing sudah mempunyai kunci di tangan.
Tengku Ayie merasa bosan dengan tempat itu. Asal hendak bercuti saja, tempat itulah yang dipilih oleh daddynya. Sedangkan dia mahu bercuti ke tempat yang lain.
Lain pula dengan Tengku Arin. Perkataan bosan terhadap tempat tersebut memang tidak ada. Baginya, asalkan mereka dapat bercuti bersama-sama itu sudah cukup menggembirakan.
Tengku Ayie membuka pintu bilik yang bernombor 301. Bilik tersebut sudah menjadi bilik tetapnya. Semua yang berada dalam bilik tersebut menjadi kepunyaannya. Biasalah kalau hotel tersebut milik daddynya.
"Allahu-Akbar. Penatnya."
Badan dibaringkan di atas katil yang empuk. Tangan diletakkan di atas dahi. Matanya pula dipejamkan sebelum terdengar bunyi telefonnya yang terletak di atas meja lampu tidur.
Telefon dicapai lalu aplikasi WhatsApp dibuka. Group FAMILY TENGKU MUSTAFA ditekan dengan laju. Mungkin ada perkara yang penting hendak disampaikan.
Tengku Mustafa
- Nanti turun bawah.
Tengku Ayie
- Kenapa daddy?
Tengku Arin
- Okey.
- Nanti adik turun.
- Tapi kenapa?
Tengku Zainab
- Alah, turun je nanti.
- Bukannya ada apa-apa pun dalam bilik tu.
Tengku Ayie
- Okey. Nanti Along turun bawah.
Telefon terus dimatikan selepas melihat jam pada waktu itu. Dia betul-betul berasa penat. Yang dia mahukan ialah tidur. Mata dipejamkan dengan rapat dan semakin lama dia sudah hanyut di lautan mimpi. Dengan baju yang belum ditukar lagi.
**********
AIRAA keluar dari perut kereta BMW milik Airil. Dia mula menghirup udara segar sambil melihat pemandangan di di hadapannya. Pandai papanya memilih tempat untuk mereka semua bercuti. Dia melangkah ke bonet kereta untuk mengambil beg bagasi miliknya. Airil dan Hanis juga berada di situ.
"Abang, kakak tengok ni. Cantikkan. Pandailah papa pilih."
Airaa berjalan mendekati abang dan bakal kak iparnya. Sungguh dia terpesona dengan tempat tersebut. Baru pertama kali dia menjejakkan kaki ke situ, dia sudah jatuh hati.
"Ya, cantik. Cantik macam Airaa," kata Hanis yang menyokong kata-kata Airaa.
Dia juga agak terpukau dengan suasana di situ. Siapa saja tidak kenal dengan Pulau Langkawi yang terkenal dengan industri pelancongan serta kisah-kisah dahulu yang menceritakan tentang tempat tersebut.
Airaa tersipu malu apabila dipuji oleh tunang abangnya. Siapa yang tak malu bila kena puji macam tu? Tangan menyentuh pipinya yang sedikit membahang.
"Ya tempat ni memang cantik. Papa kata yang ni tempat dia lahir dulu. Tapi sekarang dah berubah. Tempat ni dah dijadikan sebagai pusat pelancongan. Kalau tak silap abanglah, papa pernah kata yang dia ada kawan dekat sini," jawab Airil sambil memandang ke arah Airaa. Dia sudah terbiasa dengan persekitaran di sini. Tidak seperti Airaa.
Airaa memandang Encik Aizhar dan Puan Zahra.
"Terima kasih, papa, mama sebab bawa kami datang sini. Rasa macam tenang je duduk dekat sini. Boleh tak kalau kita tinggal lama sikit dekat sini?" Airaa sudah menayangkan wajah comel kepada Encik Aizhar.
"Boleh tapi nanti kita akan tinggal dekat rumah Mak Tok kamu. Dia kata dia rindu dekat cucu-cucu dia ni yang dah lama tak balik kampung." Senyuman lebar ditunjukkan kepada Airaa. Dia tahu bahawa anak bongsunya itu sudah bosan duduk di bandar. Lainlah dengan Airil yang selalu pergi outstation.
Airaa merupakan anak perempuannya, mana mungkin dia mahu melepaskan Airaa pergi ke mana-mana. Takut berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anak bongsunya itu.
Airaa mengangguk tanda setuju. Sebut saja tentang 'Mak Tok' hatinya menjadi girang semula. Sudah lama agaknya dia tidak berjumpa dengan nenek kesayangannya itu. Hanya neneknya saja yang akan pergi ke bandar untuk bertemu dengan mereka.
Mereka melangkah ke arah hotel untuk menetap sebentar di situ. Langkah mereka terhenti apabila disapa oleh seseorang.
"Assalamualaikum, Aizhar, kan?" tanya seorang lelaki.
"Waalaikumussalam. Saya," jawab Encik Aizhar sambil mengecam orang tersebut.
"Akulah, Mustafa. Kawan rapat kau dekat sekolah dulu. Tak ingat?"
Senyuman mula terbit di bibirnya. Dia tidak menyangka dapat bertemu dengan kawan rapatnya itu. Setelah lama berpisah akhirnya berjumpa juga.
"Oh, kau rupanya, Mus. Hampir aku tak kenal kau tadi. Dah banyak berubah kau sekarang. Dulu tak macam ni. Dulu kurus je aku tengok."
Mereka mula berjabat tangan. Berkawan sejak sekolah rendah lagi tetapi terpaksa berpisah disebabkan Tengku Mustafa berpindah ke Kuala Lumpur.
"Alhamdulillah. Berubah tu adalah sikit-sikit. Dah tak kurus lagi. Kau buat apa dekat sini?"
"Buat apa lagi, bercuti dengan keluarga aku. Yang kau pula buat apa?" Mata Encik Aizhar tidak lepas daripada memandang wajah Tengku Mustafa.
"Samalah kita. Sambil tu, aku nak lawat hotel ni. Hah, ni isteri aku, Zainab. Nab, ni kawan rapat abang dekat sekolah dulu."
Pantas Tengku Zainab mengangguk sambil memandang beberapa orang yang berada di sisi Encik Aizhar.
"Wah, dah kaya kau sekarang ni. Siap ada hotel sendiri lagi. Ni isteri aku, Zahra," balas Encik Aizhar yang turut memperkenalkan isterinya.
Dia memegang bahu isterinya. Puan Zahra menghulurkan tangannya dan disambut baik oleh Tengku Zainab dengan senyuman di bibir.
"Yang ni pula anak aku. Airil dengan Airaa. Ini pula, tunang Airil, Hanis." Tambahnya lagi.
Airil menyalam Tengku Mustafa manakala Hanis dan Airaa menyalam Tengku Zainab dan senyuman lebar diberikan.
"Cerita kita ni, sampai esok pun belum tentu habis. Apa kata kita jumpa dekat pantai tu petang nanti. Boleh kita bercerita lagi. Macam mana?" soal Tengku Mustafa.
Dia mahu berborak dengan kawan lamanya itu. Banyak perkongsian dan soalan yang hendak ditanyakan kepada Encik Aizhar.
"Boleh juga tu. Kami minta diri dululah sebab nak rehatkan badan. Kami nak check in hotel lagi. Assalamualaikum," pinta Encik Aizhar.
"Waalaikumussalam." Tengku Mustafa mengangguk sebelum beredar dari situ.
Mereka melangkah semula ke dalam hotel tersebut. Kaunter didekati untuk menyewa beberapa bilik.
"Ini untuk kamu semua dan yang ni kami punya. Dah pergi masuk dan jangan lupa. Petang nanti turun ke bawah."
"Okey, papa." Serentak Airaa dan Airil berkata. Dengan penatnya, mereka menuju ke bilik masing-masing.
Airaa dan Hanis menuju ke bilik yang bernombor 300 lalu membuka pintu. Perkara pertama yang dilakukan oleh Airaa setelah masuk ke dalam bilik ialah membuka jendela. Matanya melihat ciptaan tuhan yang sangat cantik. Bilik tersebut berhadapan dengan pantai. Dalam pukul dua petang, sudah ada yang berjalan-jalan di pesisir pantai tersebut.
Disebabkan cuaca yang agak panas, dia mahu menyegarkan badannya. Dikeluarkan tuala daripada beg bagasinya sebelum dia masuk ke dalam bilik air.
Selesai saja bersiap di dalam bilik air, Airaa keluar sambil mengelap rambutnya. Dia mengambil telefon miliknya daripada beg tangan. Sedang ralit dia bermain telefon, matanya tiba-tiba menjadi berat. Telefon dibiarkan sebelum tertidur di atas katil yang empuk itu. Penghawa dingin yang terpasang menjadikan dirinya tidur dengan nyenyak.
Hanis hanya menggelengkan kepala melihat tingkah laku bakal adik iparnya itu. Dia pula terus mengatur langkah menuju ke bilik air.
TBC
Share this novel