TENGKU AYIE melangkah dengan laju menuju ke wad isterinya. Dia tidak sabar mahu bertemu dengan Airaa. Senyuman lebar menghiasi bibirnya.
Langkahnya menjadi lebih laju saat wad yang menempatkan Airaa berada di hadapan mata.
"Alhamdulillah," ucapnya dengan perlahan. Bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memakbulkan doanya.
Tombol pintu dipulas dengan perlahan. Sempat lagi dia meletakkan tangannya di dada. Terasa degupan jantungnya yang cukup kencang.
"Assalamualaikum." Salam diberikan.
Matanya terus tertuju ke arah katil hospital. Isterinya duduk di atas katil seraya memandang dirinya. Perlahan-lahan dia mendekati wanita itu. Terlihat juga Puan Zahra yang sedang berdiri di sisi katil dengan memegang mangkuk.
Tubuh Airaa terus dibawa ke dalam pelukan dengan mata yang terpejam rapat. Sungguh dia rindukan isterinya.
"Syukur, alhamdulillah. Terima kasih, ya Allah," kata Tengku Ayie dengan perlahan. Cukup untuk dia saja yang dengar. Air mata cuba ditahan daripada mengalir.
Tepi kepala Airaa dikucup dengan lama. Hatinya senang apabila dia dapat melihat wajah kesayangannya itu. Tidak dapat digambarkan perasaan gembiranya ketika dia dalam perjalanan untuk ke hospital tadi. Sekali lagi dia bersyukur kerana Allah SWT telah makbulkan doanya.
Kucupan dilepaskan sebelum tangannya naik memegang pipi Airaa. Wajah itu... wajah yang dia rindu. Dahi isterinya dicium. Tidak menghuraikan pandangan orang lain terhadap dirinya. Biarlah apa orang lain mahu katakan tentang dirinya. Yang dia tahu dia sangat rindukan isterinya .
Terasa dadanya ditolak kuat, dia meleraikan pelukan tersebut. Dipandang wajah Airaa.
"Kenapa, sayang? Abang peluk kuat sangat ke?"
Tangan wanita itu digenggam.
"Lepaslah."
Tengku Ayie tergerak ke belakang. Wajahnya terpancar riak terkejut dengan tindakan wanita itu. Dia melihat wanita itu memeluk lengan Puan Zahra. Airaa dah tak suka dia? Sudah bencikah wanita itu dengan dirinya?
"Mama, siapa lelaki tu?" tanya Airaa dengan nada yang perlahan kepada Puan Zahra tetapi masih boleh didengar oleh Tengku Ayie.
Tengku Ayie tergamam. Sekali lagi dia terkejut apabila mendengar soalan yang keluar dari mulut isterinya. Sesiapa, tolong sedarkan dia. Sedarkan dia yang ini tidak betul.
Wanita itu bersembunyi di sebalik lengan Puan Zahra.
"Sayang,"
Tengku Ayie cuba menarik tangan isterinya namun wanita itu laju menyembunyikan tangannya.
Puan Zahra terpaksa meletakkan mangkuk yang sedang dipegangnya di atas meja. Risau dia kalau bubur di dalam mangkuk itu tumpah. Sudahlah panas.
"Sayang, ni abang, sayang," rayu Tengku Ayie.
Sekali lagi dia cuba untuk menyentuh tangan isterinya tapi wanita itu cepat mengelak. Jadinya, Puan Zahra berada di antara mereka.
"Hish, janganlah dekat! Mama, tolong Airaa!" teriak Airaa apabila Tengku Ayie berjaya menggenggam tangannya. Sedaya upaya wanita itu meleraikan pegangan tersebut.
Airil dan Encik Aizhar segera mendekati katil tersebut. Dilihat Airaa yang sudah mengalirkan air mata.
Tengku Ayie terus membawa Airaa ke dalam pelukkannya. Tidak kuat melihat isterinya seperti itu.
'Jangan buat abang macam ni, sayang,' bisik hatinya. Airaa seolah-olah tidak mengingati dia. Tidak pernah dia bayangkan semua itu bakal terjadi. Dia... dia tidak sanggup untuk berpisah dengan Airaa, wanita yang dia cintai.
Pukulan di dadanya dibiarkan. Dia mahu masa berhenti agar dia dapat melepaskan rindunya kepada wanita itu. Hatinya mahu bersama Airaa, cinta hatinya, bidadarinya.
Terasa tiada lagi pukulan pada dadanya, Tengku Ayie melihat tubuh Airaa yang sudah jatuh melorot di dalam pelukannya.
"Sayang," panggil Tengku Ayie dengan nada yang risau. Perlahan-lahan pipi isterinya ditepuk untuk menyedarkan wanita itu.
"Sayang. Airaa, bangun Airaa. Jangan buat abang macam ni."
Tengku Ayie semakin risau dengan keadaan Airaa. Mata gadis itu tertutup. Dia tidak mahu kehilangan gadis itu lagi.
Encik Aizhar yang melihat itu terus menekan butang interkom di sebelah katil.
"Airil, bawa dia keluar," arahnya dengan tegas kepada Airil agar membawa Tengku Ayie keluar.
Badan menantunya ditolak sebelum dia pula yang memeluk anak perempuannya itu. Diperiksa nadi Airaa di bahagian leher dan juga pergelangan tangan.
Airil segera membawa adik iparnya keluar dari ruangan wad tersebut. Namun Tengku Ayie masih berkeras untuk tetap berada di dalam wad itu.
"Bawa dia keluar dari sini, Airil." arah Encik Aizhar sekali lagi. Dia tidak mahu lelaki itu terus berada di dalam ruangan wad Airaa.
Tengku Ayie menggeleng. Tidak, dia takkan tinggalkan Airaa. Dia mahu berada di sisi wanita itu. Dia mahu menjaga isterinya.
Airil terkejut apabila adik iparnya tiba-tiba melutut menghadap papanya. Lelaki itu menundukkan kepalanya dan juga dia perasan ada air mata yang mengalir di pipi tersebut.
"Izinkan Ayie jaga isteri Ayie, pa. Ayie tak nak kehilangan dia lagi. Tolong, jangan buat Ayie macam ni. Ayie merayu, pa. Papa buatlah cara lain untuk seksa Ayie tapi tolong jangan pisahkan kami. Jangan pisahkan Ayie dengan isteri Ayie, pa. Ayie sayangkan Airaa. Ayie cintakan isteri Ayie," rayu Tengku Ayie. Air matanya sudah mengalir. Andai dengan cara melutut di hadapan Encik Aizhar boleh dekatkan dirinya dengan Airaa, dia sanggup.
Encik Aizhar menggelengkan kepalanya. Sedikit pun tiada rasa kasihan terhadap anak menantunya itu.
"Kamu dah sakitkan hati Airaa. Lepas tu kamu nak buat apa lagi? Kamu sakitkan hati dia ibaratnya kamu sakitkan hati papa. Papa rasa dah banyak kali kamu sakitkan hati anak perempuan papa."
Keluhan diberikan walaupun berat hatinya mahu berkata. Figura Tengku Ayie yang sedang melutut dipandang.
"Papa harap kamu tak lupa dengan janji papa dulu."
Tengku Ayie memejamkan matanya. Dia juga berharap Encik Aizhar tidak akan melakukan janji tersebut. Berpisah dengan isterinya bukanlah satu keinginan dirinya. Malahan berfikir tentang itu juga tidak pernah dan tidak akan pernah.
"Papa, tolong, pa. Jangan buat Ayie macam ni. I love her so much, pa. Ayie sayang isteri Ayie," ucap Tengku Ayie dengan nada yang meminta simpati.
Dia bagaikan orang gila. Merayu pada orang lain sedangkan dia berhak mendapatkannya. Dia suami kepada Airaa. Suami yang sah untuk menjaga isterinya yang sedang sakit. Bahkan memang tanggungjawab seorang suami seperti itu. Jadi, mengapa Encik Aizhar mahu memisahkan mereka suami isteri?
"Bawa dia pergi dari sini, Airil. Jangan benarkan dia datang tengok Airaa lagi." Dengan tegas Encik Aizhar mengarah anak lelakinya itu.
Airil teragak-agak mahu membawa Tengku Ayie keluar dari ruangan wad tersebut. Akhirnya, dengan sendiri adik iparnya itu berdiri lalu keluar. Dia hanya mengikuti dari belakang.
Tengku Ayie melabuhkan punggung di kerusi yang berhadapan wad isterinya. Badan dibongkok dengan sikunya menongkat di paha. Wajahnya diraup perlahan. Menghilangkan sisa air matanya.
"Sekarang ni aku nak kau kuat. Kalau boleh jangan putus asa. Kita tunggu dan dengar dulu apa yang doktor kata nanti. Kalau Airaa tak hilang ingatan, syukur, alhamdulillah. Tapi kalau dia..."
Airil menggelengkan kepalanya. Berharap agar adik iparnya itu faham dengan apa yang dia maksudkan.
"Aku nak kau sabar. Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Setiap penyakit, ada ubat dia. Nak yang paling berkesan, minta dekat Allah. Sebab Allah tahu segala-galanya."
Tengku Ayie hanya mendiamkan diri. Sekejap saja masa dia bertemu dengan isterinya. Itupun belum cukup untuk dia melepaskan rindu.
Figura Tengku Sofea kelihatan. Gadis itu melangkah dengan laju menuju ke arah mereka.
"Kenapa dengan Airaa?" soalnya. Dia baru saja habis menjalankan satu kes pembedahan. Sebaik saja selesai, dia terus dikhabarkan oleh jururawat.
"Airaa, dia pengsan," jawab Airil. Dia memandang Tengku Ayie yang hanya mendiamkan diri. Memandang doktor itu pun tidak.
"Ya Allah, ni Fea masuk dululah," pinta Tengku Sofea sebelum merempuh masuk ke dalam wad tersebut.
Airil duduk di sebelah Tengku Ayie lalu melepaskan keluhan. Entah macam mana papanya boleh sekejam itu? Tiada rasa kasihan langsung pada Tengku Ayie.
**********
SUASANA di dalam kafeteria hospital itu hanya ditemani bunyi kipas. Tidak ramai orang yang berada di tempat tersebut sedangkan sudah masuk waktu lunch. Mungkin masih melawat pesakit. Beruntung siapa yang dapat melawat orang tersayang. Bukan seperti dia.
Air kopi yang masih panas di dalam cawan dihirup perlahan. Sengaja dia memilih air kopi untuk menghilangkan rasa mengantuknya.
Telefonnya yang berada di atas meja berbunyi. Cawan diletakkan kembali sebelum menjawab panggilan tersebut.
"Kami dah sampai ni. Kau dekat mana?" tanya si pemanggil.
"Aku ada dekat kafeteria hospital. Kau datanglah sini."
"Oh, okey."
Telefon diletakkan semula di atas meja setelah pemanggil di sebelah sana sudah memutuskan talian tersebut.
Cawan diambil lalu didekatkan ke mulut.
Selang beberapa minit kemudian, dia mengangkat wajah apabila terasa kerusi di bahagian hadapannya ditarik. Wajah sepupunya dipandang.
"Dekat sini rupanya kau. Puas aku cari," kata Tengku Iskandar dengan memandang Tengku Ayie.
Pada pandangannya, Tengku Ayie nampak sedikit kurus berbanding sebulan yang lalu. Mungkin disebabkan masalah Airaa dan juga lewat tidur pada waktu malam.
"Kau dengan tunang kau dah makan? Kalau belum, kau orang orderlah dulu," ujar Tengku Ayie selepas menyandarkan dirinya pada kerusi. Nafasnya dihela panjang.
Tengku Iskandar terus memandang Amira yang berada di tepinya. Gadis itu mahu melawat Airaa. Dia yang memberitahu tentang Airaa yang sudah sedar kepada Amira.
Selesai memesan minuman, Tengku Iskandar memandang sepupunya itu. Lelaki itu termenung. Entah apa yang difikirkan.
"Isteri kau macam mana? Dah okey?"
Tengku Ayie mengalihkan pandangannya. Wajah Amira dan Tengku Iskandar dipandang silih berganti. Keluhan dilepaskan.
"Airaa... dia hilang ingatan," jawabnya dengan mata dipejam. Ya, itulah yang disampaikan oleh Airil kepada dirinya semalam. Itu yang membuatkan dia tidak dapat tidur.
Disebabkan dia tidak dibenarkan untuk melawat, akhirnya dia hanya bertanyakan kepada abang iparnya saja.
"Hah?"
Mata Amira dan Tengku Iskandar membulat memandang Tengku Ayie. Macam... macam mana Airaa boleh hilang ingatan?
"Doktor bagitahu Airaa hilang ingatan. Airaa tak ingat sesiapa kecuali keluarga dia. Aku pun dia tak..."
Kepala ditundukkan sebelum digeleng. Mengingat tentang itu membuatkan hatinya menjadi tidak tenang.
Tengku Iskandar menoleh Amira sekilas sebelum wajahnya dialihkan. Tidak tahu apa lagi nasihat yang patut dia berikan.
"Dia dah benci aku. Dia tak nak tengok muka aku lagi. Aku... aku tak tahu nak buat apa sekarang ni."
Wajahnya yang tampak kusut itu diraup perlahan. Dia penat dengan apa yang sudah terjadi. Isteri yang dicintai sudah membenci dirinya. Apalagi! Apalagi yang harus dia lakukan!
Wajahnya kembali ditundukkan apabila seorang lelaki datang menghampiri meja mereka. Lelaki itu menunduk badannya selepas meletakkan air pesanan yang dipesan oleh Tengku Iskandar dan Amira.
Tengku Ayie mengesat air matanya yang tiba-tiba mengalir. Argh, air mata ni pun satu. Nak juga mengalir.
"Kau kena berusaha, Ayie..."
"Berusaha macam mana lagi, Is? Datang jumpa dia lepas tu jelaskan semua yang dah berlaku. Macam tu? Heh, tengok muka aku pun dia tak nak, inikan lagi nak dengar penjelasan daripada aku."
Tengku Iskandar menggelengkan kepalanya. Dia belum habis cakap lagi, sepupunya itu sudah memintas. Kalau macam tu, bagus tak payah minta tolong dekat dia.
"Maksud aku, kau perbanyakkan doa kepada Allah. Ingat tak dulu kau berdoa kepada Allah supaya Airaa sedar. Tengok sekarang, Allah dah makbulkan permintaan kau. Allah sayang dekat hamba-Nya yang suka meminta-minta dengan Dia. Kau minta supaya Airaa dapat ingat kau balik. Masalah takkan selesai kalau kau tak berusaha nak selesaikannya. Kau doa banyak-banyak supaya Allah makbulkan lagi doa kau tu. Insya-Allah," ceramah Tengku Iskandar kepada Tengku Ayie.
Dia tidak mahu melihat sepupunya seperti itu. Cepat putus asa. Eh, bukan sepupunya lah kalau macam tu. Dan dia kenal Tengku Ayie macam mana. Lelaki yang sanggup lakukan apa saja agar dia dapat miliki sesuatu. Ya, dia faham. Mungkin disebabkan Airaa sudah tidak ingat dengan lelaki itu. Tapi, itu bukan punca untuk Tengku Ayie terus putus asa. Bukan jantan namanya kalau cepat putus asa.
Keadaan di antara mereka senyap. Tengku Iskandar dan Amira tidak mahu menganggu Tengku Ayie yang nampak seperti kusut itu. Silap hari bulan, boleh gila lelaki itu disebabkan tekanan.
Amira melihat jam di pergelangan tangannya. Rasanya sempat lagi kalau dia mahu melawat Airaa. Entah ingatkah Airaa dengan dia.
"Awak..."
Bahu Tengku Iskandar dicucuk perlahan. Laju lelaki itu memandang dirinya.
"Saya nak lawat Airaa, boleh tak?" pintanya dengan nada perlahan. Tidak mahu suaranya didengar oleh Tengku Ayie.
Bibirnya tersenyum lebar saat Tengku Iskandar memberikan anggukan. Ni yang buat dia makin sayang. Aip!
"Ayie, boleh kau tunjukkan dekat kami mana wad isteri kau? Ni Amira nak lawat isteri kau sekejap."
Tengku Ayie mengangguk sebelum dia berdiri. Tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Dia jalan di hadapan sebelum diikuti oleh Tengku Iskandar dan Amira.
Mereka masuk ke dalam lif sebelum lif tersebut bergerak ke tingkat tiga. Dalam perjalanan itu juga mereka hanya senyap. Masing-masing membisukan diri sendiri.
Ting!
Pintu lif terbuka lalu Tengku Ayie meloloskan dirinya. Masih dengan gaya yang sama. Wad yang menempatkan Airaa dituju. Namun dia berhenti ketika tangannya mahu memulas tombol pintu. Seakan ingat sesuatu, dia berdiri di tepi pintu.
"Masuklah."
Dia menyuruh Amira untuk masuk sebelum dirinya duduk di kerusi yang disediakan pihak hospital. Dia harus sedar diri. Dia sudah tidak dibenarkan untuk melawat isterinya sendiri.
"Ayie, kau tak masuk?" soal Tengku Iskandar dengan menunjuk pintu wad yang sudah tertutup itu. Amira sudah masuk ke dalam.
Tengku Ayie tersenyum tipis. Dia menggelengkan kepalanya. Dipandang Tengku Iskandar yang sudah duduk di sebelahnya.
"Kau kenapa tak masuk dalam?"
"Kau tak masuk, aku pun tak masuklah," balas Tengku Iskandar.
"Kenapa kau tak masuk?"
Tengku Ayie menyandarkan tubuhnya. Mata dipejam rapat dan kedua-dua tangannya digenggam kuat.
"Papa tak izinkan aku tengok Airaa," jawabnya lalu nafas panjang dihela. Dia tergelak perlahan. Dia suami Airaa tapi tidak dibenarkan untuk menjaga wanita itu. Jadi, tugasnya sebagai suami apa?
Tengku Iskandar mengerutkan wajahnya. Dia salah dengarkah? Encik Aizhar? Lelaki itu tidak benarkan sepupunya untuk melihat isteri sendiri?
"Kenapa..."
Tengku Iskandar menghentikan bicaranya saat terdengar bunyi tapak kasut yang sedang mendekati mereka. Segera dia mengalihkan badannya untuk melihat. Terlihat Airil dan Encik Aizhar.
Tengku Ayie membongkok separuh badan. Wajahnya ditunjukkan memandang jari-jemarinya. Nasiblah dia tidak masuk ke dalam wad Airaa tadi. Kalau tak...
"Uncle, uncle sihat?"
Tangan Encik Aizhar disalam sebelum beralih kepada Airil. Senyuman tipis diberikan.
"Emmm," balas Encik Aizhar lalu masuk ke dalam wad Airaa. Tidak mahu dia berlama di situ. Sudah sejuk hatinya tadi selepas menunaikan kewajipan, kini panas semula saat melihat figura menantu lelakinya itu.
"Seorang je?" tanya Airil. Dibiarkan papanya masuk ke dalam kerana mamanya juga ada di sana.
"Tak, bawa kawan Airaa tadi."
Airil mengangguk. Dia mengambil ruang di sebelah kanan Tengku Ayie. Manakala Tengku Iskandar di sebelah kiri. Kening yang tidak gatal digaru. Dia pula yang tidak tahan bila suasana di antara mereka bertiga menjadi senyap.
TBC
Share this novel