Bab 64

Romance Series 15713

SUASANA di rumah Encik Aizhar kelihatan tegang. Masing-masing mendiamkan diri untuk bertenang. Berita yang baru saja mereka dengar membuatkan hati mereka dijentik rasa risau.

Encik Aizhar bersandar pada sofa sebelum mengurut pelipisnya. Habis satu masalah, satu lagi masalah timbul. Dipandang wajah besannya, Tengku Mustafa sebelum beralih kepada anak menantunya.

"Kenapa biarkan Airaa jalan seorang diri? Kenapa tak temankan?" soalnya dengan nada yang tegas. Sabarnya sungguh tipis saat itu.

Tengku Ayie menundukkan kepalanya. Air liur ditelan perlahan. Sudah dia agak yang soalan itu bakal keluar dari mulut bapa mentuanya. Sebab itu juga tidurnya tidak tenang.

"Ayie tak tahu pula yang Airaa akan keluar semalam. Lagipun Ayie ada meeting dengan Iskandar. Airaa tak ada bagitahu Ayie yang dia nak keluar," balas Tengku Ayie dengan perlahan. Takutnya tetap ada walaupun dia berbisik pada dirinya untuk bertenang.

Tengku Mustafa memandang Encik Aizhar sebelum menghela nafas. Dia tidak sangka pula anak menantunya akan diculik. Baru semalam mereka bertemu.

Tatapan mata Encik Aizhar berubah tajam. Tak sangka? Itu jawapan daripada menantunya. Kenapa? Penting sangatkah kerja daripada anak perempuannya, Airaa?

"Dah tahu diri tu kerja, kenapa tak hantar ke rumah sini? Kami ni bukan papa dengan mama Airaa ke?" tanya Encik Aizhar dengan sinis.

Ini belum lagi Airil tahu. Kalau lelaki itu tahu, pastinya akan mengamuk. Nafas dihela panjang. Dia sendiri tidak tahu di mana keberadaan anaknya. Lagilah dia risau dengan kandungan Airaa.

Melihat Tengku Ayie hanya mendiamkan diri, Encik Aizhar menyoal kepada semua yang ada di dalam ruang tamu itu. Ada Tengku Zainab, Puan Zahra, Tengku Iskandar, Amira dan Zahirah. Zahirah baru saja sampai selepas mengetahui tentang anak buahnya yang diculik.

"Jadi, sekarang ni takkan kita nak berdiam diri je. Tunggu sampai penculik itu hantar Airaa ke rumah ni?"

Semua hanya mendiamkan diri membuatkan keadaan kembali sunyi.

"Ayie dah upah orang untuk jejak keberadaan Airaa. Harap-harap dia dapat jumpalah melalui nombor telefon tu."

Tengku Ayie membalas pertanyaan bapa mentuanya. Wajah itu juga dia pandang sebelum riak wajahnya sendiri berubah. Kelihatan Encik Aizhar tersenyum sinis sebelum memandang dirinya dengan tajam.

"Upah orang juga tak ada guna kalau diri sendiri tak turun padang. Lagi-lagi yang kena culik tu isteri sendiri. Kata sayang tapi tak sanggup nak bergadai nyawa."

Encik Aizhar mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tangannya naik memeluk tubuh.

"Abang," tegur Puan Zahra apabila melihat riak wajah Tengku Ayie berubah. Dia sendiri sakit hati dengan apa yang suaminya baru saja cakap. Apalagi anak menantunya itu.

Dia pun kecewa juga bila berlaku seperti itu. Tapi nak buat macam mana kalau dah memang takdir. Mungkin itu menjadi salah satu sebab Allah nak uji mereka.

Tengku Ayie menggenggam kedua-dua tangannya. Kepala ditundukkan sebelum dia mengetap rapat giginya. Bapa mentuanya berkata seperti seolah-olah dia tidak berusaha untuk menyelamatkan isterinya.

Tadi, awal pagi lagi dia sudah bergerak ke pejabat polis untuk membuat laporan. Selepas itu, mengupah beberapa orang penyiasat untuk menjejaki keberadaan isterinya. Lagipun macam mana dia nak turun padang kalau dia sendiri tidak tahu.

Baru saja Tengku Ayie mahu berkata, telefonnya berbunyi. Pantas tangannya menyeluk poket seluar. Risau jika itu adalah panggilan daripada penyiasat upahannya.

Dia meminta diri untuk mengangkat panggilan tersebut. Ruang tamu ditinggalkan sebelum dia bergerak ke luar rumah. Punat berwarna hijau ditekan.

"Assalamualaikum, hah, kau dah jumpa?" soalnya selepas panggilan diangkat.

"Waalaikumsalam, bos, kami dah jumpa di mana lokasi Puan Airaa," jawab penyiasat upahan itu.

Tengku Ayie yang mendengar itu terus bersyukur. Akhirnya, mereka jumpa juga lokasi isterinya. Tidak sia-sia dia mengupah penyiasat-penyiasat itu.

"Okey, kau pergi ke tempat tu dan jangan lupa share location tu dekat aku."

Talian diputuskan. Dia bergerak ke pintu utama untuk memakai kasutnya. Dia perlu bergerak sana dengan segera. Dalam dia memakai kasut, ada satu suara menyapanya.

"Along tergesa-gesa ni nak pergi mana? Duduk sini jelah, kita tunggu pihak polis. Nanti pula bila Airaa dah jumpa, Along pula yang hilang," ujar Tengku Mustafa. Di tepinya ada Tengku Zainab yang ikut memerhati.

Tengku Ayie menggeleng kepala. Nak tunggu polis mungkin cara kedua dia gunakan kalau para penyiasatnya tidak dapat mengesan lokasi Airaa.

"Penyiasat upahan Along dah jumpa lokasi Airaa. Along nak pergi sana."

Tengku Zainab yang mendengarkan terus membantah. Itu sangat bahaya. Mereka tidak tahu berapa orang yang berada di lokasi tersebut. Boleh saja anaknya itu akan tercedera.

"Bahayalah Along. Along tunggu je polis datang lepas tu bagitahu mereka."

Sekali lagi Tengku Ayie menggelengkan kepalanya.

"Tak boleh mummy. Hati Along risau dengan keadaan Airaa. Along tak tahu dia dah makan ke, dekat mana dia tidur, badan dia sakit tak. Along tak tahu. Mungkin bagi mummy ni bahaya buat Along. Tapi bagi Along, keadaan Airaa mungkin lebih bahaya sekarang ni.

Kita tak tahu apa penculik tu dah buat dekat Airaa dan kandungan dia, anak Along sendiri. Hanya satu yang Along minta dekat mummy, doakan Along supaya Along dapat bawa Airaa dengan selamat. Itu je yang Along minta."

Tangan mummynya dicapai sebelum mengucup dengan lembut. Dengan harapan agar si ibu mendoakannya. Kerana doa ibu tiada hijabnya.

Tengku Zainab mengusap perlahan rambut Tengku Ayie. Hatinya berat untuk melepaskan namun anak menantunya dalam bahaya.

Tengku Ayie berdiri tegak sebelum memandang daddynya. Dia terus memeluk tubuh yang kian tua itu.

"Pergilah tapi ingat pulang dengan selamat. Kami semua nantikan kepulangan kamu berdua," ucap Tengku Mustafa.

Tengku Ayie tersenyum tipis sebelum meminta izin untuk bergerak. Kunci kereta ditekan. Namun langkahnya terhenti saat terlihat seseorang yang dikenal sedang mendekat.

"Ayie nak pergi mana ni?" soal Tengku Akimi dengan kerutan di dahi.

"Ayie dah jumpa lokasi Airaa dan Ayie nak pergi sana." Selepas berkata, dia meloloskan diri ke dalam kereta.

Tengku Akimi mengetuk cermin kereta adik angkatnya itu. Dia mahu memberitahu sesuatu kepada lelaki itu tentang penculikan tersebut.

"Ayie! Ayie! Abang ada nak bagitahu sesuatu ni!"

Jeritan itu tidak dihiraukan. Enjin dihidupkan lalu sebelah tangannya menukar gear kereta. Dia meninggalkan kawasan perumahan bapa mentuanya.

Tengku Akimi bercekak pinggang sebelum dia menuju ke motosikalnya. Sebelum menyarungkan helmet, dia memakai earpod.

"Hello Jay, kau tracking nombor telefon aku ni. Lepas tu kau dengan pasukan kau follow aku. Okey, aku gerak dulu," katanya lalu menyarungkan helmet.

Akhirnya motosikal milik Tengku Akimi itu keluar dan mengikuti kereta yang dipandu oleh Tengku Ayie. Dia mengikuti dari jarak yang jauh.

**********

KAKI melangkah ke tempat yang menyimpankan seseorang yang dia culik kemarin. Di tangannya terdapat sebuah botol mineral kecil. Pintu yang berkarat itu dibuka perlahan. Tidak mahu membangunkan wanita itu.

Dia tersenyum sinis tatkala melihat ibu mengandung itu tidur dengan lenanya. Amboi, lenanya tidur macam tak ada yang berlaku. Penutup botol dibuka sebelum mencurahkan air tersebut.

Perbuatannya itu menyebab Airaa terjaga. Tersedak-sedak dia jadinya. Matanya terpandangkan botol mineral yang berada di tangan seseorang itu. Dia tidak dapat melihat siapa itu kerana orang tersebut memakai topeng muka.

Dengan sedaya upaya dia untuk duduk. Tangan dan kakinya terikat. Dia mendesis kesakitan. Rupanya tangannya sudah berwarna merah. Sakit.

"Alala, siannya dia. Tak dapat nak duduk, eh. Meh, kita tolong."

Airaa mengaduh kesakitan apabila orang tersebut menarik tangannya. Namun dia tersedar sesuatu. Kenapa suara itu seperti...

"Awak siapa?" soal Airaa dengan jari yang menunjuk ke arah wanita itu. Ya, dia pasti orang di sebalik topeng muka itu ialah wanita. Dengar suara saja, dia sudah tahu.

Orang itu tertawa sinis sebelum kepala digelengkan. Dia duduk mencangkung di hadapan Airaa. Matanya dan mata Airaa bertaut. Dia terus mencengkam bahagian dagu wanita itu.

"Kau tak perlu nak berpura-pura depan aku. Aku dah tahu semuanya. Kau sebenarnya..."

Dia memicingkan matanya sambil mengetap gigi sehingga berbunyi. Ayat terakhirnya tidak diteruskan. Sengaja mahu wanita mengandung itu menjawabnya dengan sendiri.

"Aku sebenarnya apa?"

Airaa menjongketkan kening.

Semakin bertambah marah melihat reaksi wanita itu. Wanita tidak ada rasa takut pun dengan dirinya. Okey, kita tunggu dan lihat.

"Kau sebenarnya berpura-pura lupa ingatan. Kau ingat aku tak tahu. Orang yang aku upah tu dah nak langgar kau tapi nasib kau baik sebab ada orang yang selamatkan. Kalau tak, heh. Mungkin kau dah mati dengan anak kau sekali," katanya dengan menatap tajam Airaa. Dia tidak bodoh dengan permainan wanita itu. Sudah lama dia tahu tentang itu daripada orang upahannya.

Airaa membalas tatapan itu. Betul, dia berpura-pura lupa ingatan. Sebenarnya, dia tidak kena langgar. Tiga jam bersama Tengku Sofea di dalam wad, dia meluahkan segalanya. Tiada satu pun yang tertinggal. Begitu juga apabila Amira datang melawatnya. Dia menangis di bahu rakannya itu.

Tentang kandungannya? Tengku Sofea memaklumkan kepada dirinya terdahulu. Di saat dia terkejut. Rupanya ada malaikat kecil di dalam rahimnya. Namun dia meminta agar Tengku Sofea merahsiakannya.

Dia menatap mata Aqilah. Ya, itu ialah Aqilah Zulaikha. Dia tidak salah mengenai itu.

"So... kau rasa aku pandai tak, Puan Aqilah?"

Nama Puan Aqilah diucapkan dengan keras.

Aqilah yang berada di sebalik topeng itu tersentak sebelum dia tersenyum sinis. Perlahan-lahan dia membuka topeng tersebut. Selesai membuka, dia membetulkan rambutnya.

"Huh, pandai juga kau ni, kan. Tapi tulah, sepandai-pandai kau, pandai lagi aku."

Tudung bahagian belakang Airaa ditarik kuat sehinggakan wanita itu terdongak ke atas. Dia tertawa apabila mendengar wanita itu mendesis kesakitan. Puas! Baru puas hatinya.

Airaa cuba meronta-ronta namun semakin kuat Aqilah menarik tudungnya.

"Apa bukti yang kau lebih pandai daripada aku?" soal Airaa dengan bibirnya tersenyum sinis sebelum dia mengadu kesakitan. Ergh, perempuan yang di hadapannya itu sudah gila.

"Buktinya, kau duduk dengan kaki dan tangan terikat. Aku pula... bebas."

Aqilah berdiri dengan bibir yang tidak lekang dengan senyuman sinisnya. Akhirnya, satu sudah dalam genggaman dan satu lagi dalam perjalanan.

Tiba-tiba senyumannya pudar saat terdengar suara ketawa Airaa. Nampaknya wanita itu tidak ada deria sakit.

"Tapi kau lupa. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Kau pandai tapi sayang, akan masuk penjara. Kesian," balas Airaa dengan ketawa yang perlahan atau lebih sinis lagi. Cantik tapi tak ada akal.

Tangan digenggam kuat. Dia mara ke hadapan sebelum...

Pak!

Kepala Airaa tertoleh ke kanan. Dia pejamkan matanya. Betapa sakitnya tamparan itu. Sebelum ini, tiada sesiapa yang menamparnya.

Aqilah mencengkam dagu milik wanita itu. Kenapa asyik dia saja yang sakit hati?

"Kau jangan berani nak pandang rendah dekat aku. Aku tahu apa yang aku buat. Bunuh manusia seperti kau pun, aku sanggup buat. Jangan sampai, anak yang dalam perut kau ni pergi dulu sebelum kau."

Aqilah memberi amaran sebelum mengangkat tangannya tinggi. Baru saja dia mahu menampar, bunyi pintu terbuka mengganggu dirinya.

Airaa yang sudah memejamkan mata tanda dia bersedia, kini membuka matanya. Pandangan dihalakan ke arah pintu. Seorang lelaki yang memakai pakaian hitam melangkah masuk sebelum mendekati mereka. Lelaki itu memakai mask dan topi sehingga hanya matanya yang terlihat.

Lelaki itu menghulurkan telefon bimbit kepada Aqilah. Wanita itu menjongketkan keningnya lalu mengambil huluran tersebut.

Dato Darwin

Aqilah melepaskan keluhan dengan kuat. Dia berdiri untuk melangkah ke luar dari bilik itu. Panggilan itu harus dijawab supaya Dato Darwin tidak syak yang bukan-bukan.

Langkahnya berhenti.

"Oh, aku rasa lepas ni kau kena berterima kasih dekat aku. Yalah, kalau bukan disebabkan aku, budak dalam perut kau tak ada. Atau yang lebih jelas lagi, kau dengan dia takkan kahwin," kata Aqilah kepada Airaa. Semuanya berjalan dengan lancar. Tunggu masa saja lagi.

"Kenapa kau buat semua ni dekat aku? Apa salah aku dekat kau?" tanya Airaa walaupun mulutnya terasa sakit bila dia bercakap. Tapi dia harus tahu tentang rancangan wanita gila itu.

Aqilah tersenyum sinis. Dia menoleh ke belakang.

"Tunggu dulu suami kau, baru aku bagitahu semuanya. Lagipun banyak sangatlah dosa kau dekat aku."

"Dan kau..."

Tangannya menunjuk ke arah lelaki yang sedang berdiri itu. Orang upahannya.

"Awasi dia. Kau buatlah apa-apa pun yang kau nak buat dekat dia tapi jangan sampai mati pula perempuan tu. Okey?"

Tidak menunggu jawapan daripada lelaki itu, dia terus melangkah keluar dari bilik itu.

Lima minit kemudian, Airaa mengangkat wajahnya untuk memandang lelaki itu. Dia menjadi risau apabila lelaki itu mendekati dirinya. Janganlah dia diapa-apakan.

Lelaki itu duduk bercangkung di hadapannya dan ingin menyentuh wajahnya. Dengan segera dia mengelak. Tidak mahu disentuh oleh lelaki itu.

"Hish, jangan sentuhlah."

Air mata Airaa menitis apabila lelaki itu berjaya memegang bahunya walaupun dia sudah meronta-ronta. Dia menjadi takut. Tiba-tiba dia teringatkan suaminya. Adakah lelaki itu akan mencari dirinya?

"Abang..."

"Apa?"

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience