Bab 16

Romance Series 15713

"OH, jadi betullah yang kelas esok pagi tu, dibatalkan? Okey, terima kasih. Apa-apa bagitahu nanti.
Assalamualaikum."

Tengku Arin terus mematikan talian tersebut. Dia sedikit lega bila kelas esok pagi dibatalkan. Mahu saja dia menjerit tapi bila diingatkan suasana yang malam terus tak jadi. Nanti apa pula yang jiran fikirkan.

Tengku Arin melajukan langkahnya masuk ke dalam rumah. Penat berjalan-jalan dengan kakak iparnya belum hilang lagi. Masuk saja ke dalam rumah, dia ternampak abangnya yang duduk di atas tangga yang sambil meraup wajah.

"Along? Kenapa ni? Tak tidur lagi?"

"Ni lagi satu. Asal lewat balik? Tahu tak yang adik tu anak dara. Tak elok balik rumah time macam ni. Nanti..." Belum  sempat Tengku Ayie mahu membebel adiknya, Tengku Arin sudah memintas.

"Cop-cop. Along ni dah kenapa? Adik tahulah sekarang ni dah tengah malam tapi adik tak balik seorang dirilah, Along."

"Dah tu adik balik dengan siapa? Jangan cakap adik balik dengan lelaki. Kalau mummy dengan daddy tahu, habislah adik," ujar Tengku Ayie kepada Tengku Arin. Adiknya ini bukan boleh diduga.

"Adik balik dengan akaklah. Kan akak dah bagitahu Along tadi tengah hari. Tak ingatlah tu. Along ni dah tua sebab tu susah nak ingat. Suka tuduh orang macam-macam tanpa unsur periksa."

"Jadi, kenapa lambat masuk?"

"Adik angkat call daripada kawan tadi. Dia kata kelas esok batal. Ni Along ada nampak akak tak? Jangan cakap yang Along dah tanya akak macam-macam pula," balas Tengku Arin bila melihat Tengku Ayie yang sudah menunduk. Dia sudah kenal dengan perangai abangnya itu. Kerja peguam tapi tanya soalan yang tak masuk akal.

"Along cakap apa tadi dekat akak? Along ingat adik tak tahu ke perangai Along tu macam mana? Along marah akak ke sampai adik boleh dengar suara orang menjerit tadi. Along jangan macam-macam kalau daddy dengan mummy dengar, habislah Along kena bebel."

"Along bukan marah tapi tegur. Tak salah kan? Dia dah ada suami tapi buat cara macam tak ada suami. Balik tengah malam macam ni. Adik tahu dia pergi mana?" soal Tengku Ayie sambil mengangkat kening. Persoalannya harus terjawab malam ini juga. Tak boleh ditangguhkan lagi.

"Dia tak pergi manalah. Kita orang keluar jalan-jalan lepas tu singgah dekat rumah uncle Aizhar. Akak kata dia nak ambil baju dia sekejap tapi aunty Zahra suruh kita orang makan malam dekat sana. Sebab tu kita orang balik lewat. Adik rasa mesti Along tanya soalan yang bukan-bukan dekat akak, kan? Along, tak baiklah buat akak macam tu. Kesian akak. Sekarang ni, akak dekat mana?" Tengku Arin membesarkan matanya.

"Dah naik atas. Dalam bilik kut. Adik pergilah naik, rehatkan badan." Tengku Ayie terus berlalu ke dapur untuk menghilang dahaganya. Tekaknya terasa kering selepas bercakap dengan dua orang itu. Kalau Airaa tak apalah, tak menjawab sangat. Tapi kalau dengan adiknya itu, ada saja jawapan yang dia dengar.

Tengku Arin menaiki tangga untuk masuk ke dalam biliknya. Buka saja pintu biliknya, dia terkejut dengan Airaa yang duduk di birai katil sambil menangis. Tengku Arin terus menghampiri. Dia lebih terkejut melihat mata kakak iparnya yang sudah sembap.

"Akak kenapa ni? Nangis-nangis macam ni, ya Allah? Bagitahu adik, Along marah akak ke sebab lewat balik?"

Tiada anggukkan mahupun gelengan daripada Airaa. Gadis itu meneruskan masih tangisannya.

Tengku Arin yang melihat itu pantas menarik tubuh Airaa ke dalam pelukannya. Dapat dia rasakan yang tubuh gadis itu sedang menggigil.

"A... adik bo... boleh tak kalau a... akak tidur sini malam ni. Please ma... ma... malam ni je." Dengan bersusah payah Airaa mahu berkata dalam keadaan menangis.

"Boleh akak. Nak tidur lama-lama dekat sini pun boleh. Tapi takut Along marah pula sebab akak tidur dengan adik. Akak bagitahu Along dulu, ya."

Bila merasakan tiada sahutan daripada kakak iparnya, Tengku Arin melihat Airaa yang berada di dalam pelukannya.

"Patutlah senyap je. Rupanya dah tidur, akak... akak. Kenapalah Along buat akak macam ni?" Dia membaringkan Airaa di atas katil. Biarlah kakak iparnya itu tidur di situ. Ada jugalah penemannya tidur.

Bilik air terus dituju sambil memegang tuala di tangan. Tengku Arin mahu membersihkan dirinya sebelum tidur. Barulah, tidurnya menjadi lena.

**********

PAGI-PAGI lagi Tengku Zainab sudah berada di dapur untuk membantu bibik menyediakan sarapan. Setiap hari dia akan membantu bibik di dapur tidak kira pagi, tengah hari, petang ataupun malam.

"Mak Jah, tolong letakkan pinggan ni dekat meja. Saya nak buat air kejap. Boleh?" pinta Tengku Zainab kepada seorang bibik yang bernama Mak Jah.

Sudah lama Mak Jah berkhidmat kepada keluarga mereka. Dan mereka sudah menganggap Mak Jah sebagai ahli keluarga. Tengku Ayie dan Tengku Arin juga rapat dengan wanita itu.

"Baik Tengku. Mak Jah letak dulu ya." Mak Jah mencapai pinggan tersebut. Kepala ditundukkan ke bawah.

"Sekejap, Mak Jah," kata Tengku Zainab sambil memandang Mak Jah. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya tika ini.

"Ya?"

"Mak Jah ada nampak tak menantu saya, Airaa? Selalunya macam ni dia dah ada dekat dapur, tolong kita."

"Mak Jah tak nampak pula dia. Mak Jah pun perasan juga. Mungkin dia penat sangat, Tengku. Tengku kalau tak ada apa-apa lagi, Mak Jah nak letak ni dulu."

"Pergilah letak sana." Tengku Zainab memandang ke arah tangga. Dia terus berlalu menuju ke meja makan sambil membawa sebiji teko yang bersaiz sederhana.

Tengku Mustafa turun lalu menghampiri meja makan sebelum pergi ke pejabat. Perutnya berbunyi perlahan menandakan tiba masa untuk sarapan.

Tanpa membuang masa, dia segera mencicip air kopi yang dibancuh oleh isterinya sendiri. Kesedapan kopi tersebut tidak dapat ditandingi.

"Sedapnya kopi yang Nab buat ni. Nampaknya tak bolehlah abang nak cari seorang lagi. Bahagianya hidup macam ni," ucap Tengku Mustafa dengan mata terpejam. Menikmati aroma air kopi tersebut.

"Selama ni tak bahagia ke sampaikan ada hati nak tambah satu lagi? Kalau berani buat buatlah. Nab kerat-kerat badan abang tu. Buatlah." Cabar Tengku Zainab. Suaminya ini buang tabiat ke, pagi-pagi lagi sudah merosakkan mood paginya. Nasib baiklah Mak Jah sudah meminta izin untuk ke dapur kalau tidak, buat malu saja.

"Nab cabar abang ke? Abang bo..."

"Dah tak payah merepek pagi-pagi lagi. Buat sakit hati aje. Ni anak dara abang tu mana? Takkan belum bangun lagi." Terpaksa dia menukar topik. Suaminya itu bukan boleh dijangka. Entah betul atau tidak apa yang Tengku Mustafa cakapkan tu.

Tengku Mustafa menggelengkan kepalanya perlahan sambil tersenyum. Isterinya memang sengaja topik. Haih, macam manalah nak tambah lagi kalau dah ada yang sempurna depan mata?

"Macam awak tak tahu perangai adik tu macam mana? Matahari dah terpacak dekat atas langit masih juga tak bangun-bangun. Bilalah nak berubah adik tu?"

Tengku Zainab hanya memandang Tengku Mustafa. Dia juga tidak tahu apa yang harus dibuat agar Tengku Arin berubah. Habis saja Tengku Arin belajar, dia akan bekerja dengan Tengku Mustafa. Hanya dia saja yang boleh membantu. Nak harapkan Tengku Ayie, dia dah jadi peguam.

"Along mana? Tak turun-turun lagi ke? Dah pukul berapa ni?" tanya Tengku Mustafa sambil membelek jam tangannya sebelum memandang Tengku Zainab.

"Along dah pergi kerja. Dia kata ada perbicaraan dekat mahkamah sebab tu dia gerak awal sikit. Tapikan abang, saya tak nampaklah Airaa. Selalunya lepas subuh, dia akan tolong kami dekat dapur. Hari tak ada pula dia turun. Hairan saya."

Dahi Tengku Mustafa berkerut.

"Mungkin penat kut. Kan semalam dia dengan adik jalan-jalan, balik pun lewat. Macam awak tak tahu perangai adik, tak sah kalau tak dipusing-pusingnya satu mall tu. Dah awak janganlah risau."

Tengku Zainab mengangguk perlahan. Namun hatinya masih risau. Risau sekiranya Tengku Ayie masih tidak dapat menerima Airaa sepenuhnya.

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience