BUNYI ketukan daripada hakim mahkamah itu membuatkan terlukisnya sebuah senyuman di bibir. Bunyi itu menandakan hakim sudah pun membuat keputusan berdasarkan penjelasan di antara saksi, pendakwa raya dan juga peguam bela. Hanya satu keputusan yang mampu membuatkan seseorang itu gembira ataupun sedih.
"Baiklah, dengan ini pihak mahkamah akan menarik semula saman yang diberikan oleh pihak bank kepada Tuan Ismail Latif. Oleh itu, Tuan Ismail bebas daripada sebarang tindakan mahkamah." Bunyi ketukan didengari sekali lagi. Tanda bersurai.
Tamat saja perbicaraan itu, ramai orang yang sudah keluar dari mahkamah tersebut.
"Terima kasihlah, Tengku. Kalau Tengku tak tolong pakcik tadi, mungkin pihak bank dah rampas tanah tu daripada pakcik. Terima kasih banyak-banyaklah Tengku."
"Sama-sama pakcik. Saya hanya mampu tolong apa yang boleh dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT. Syukur alhamdulillah, sekarang pakcik dah dapat tanah tu. Tanah tu memang milik pakcik, hak pakcik. Saya harap pakcik tak sia-siakannya," ucap Tengku Ayie dengan senyuman yang lebar kepada Pakcik Ismail.
Jika bukan kerana Allah SWT, mungkin Pakcik Ismail sudah disaman oleh pihak bank. Syukur alhamdulillah.
Pakcik Ismail mengangguk tanda setuju.
"Kalau tak keberatan, pakcik nak ajak Tengku makan. Pakcik nampak tadi Tengku datang awal pagi. Mesti Tengku belum sarapan, kan? Boleh, Tengku?"
Berat hati Tengku Ayie untuk menolak pelawaan itu tapi kerjanya masih banyak yang harus disiapkan lagi. Dia tidak mahu lagi menangguhkan semua kerjanya.
"Bukan tak boleh pakcik. Cumanya, saya sibuk dekat pejabat. Banyak kerja lagi yang mesti saya siapkan. Saya harap pakcik faham. Pakcik jangan risau nanti dekat pejabat saya makan," kata Tengku Ayie dengan lembut agar tidak mengguriskan hati Pakcik Ismail. Bukan apa, hati orang tua ni sangat sensitif.
"Oh, tak apalah kalau dah macam tu. Pakcik nak ucap terima kasih sekali lagi. Pakcik rasa terhutang budi dekat Tengku. Bayaran yang pakcik bagi pun Tengku tak nak ambil." Dia bersyukur kerana adanya Tengku Ayie yang sudi membantu dia dan keluarganya saat mereka dalam kesusahan.
"Sama-sama pakcik. Saya ikhlas bantu pakcik. Saya dah anggap pakcik ni macam keluarga saya sendiri. Kalau ada apa-apa, telefon saya saja."
Tengku Ayie mengusap bahu kiri Pakcik Ismail. Dia tahu Pakcik Ismail bukannya orang yang senang seperti dia tetapi sekurang-kurangnya dia boleh meringankan beban Pakcik Ismail.
Pakcik Ismail mengangguk sebelum meminta diri.
Tengku Ayie hanya memerhati kelibat tersebut sehingga hilang daripada pandanganya. Dia terus melangkah sambil tangan kanan dimasukkan ke dalam kocek seluar dan tangan kiri menjinjit briefcase. Pintu pejabatnya dibuka dari luar.
"Assalamualaikum, bro. Apa khabar? Kau dari mana? Kau tak ada kes ke hari ni?"
"Waalaikumussalam. Aku baru habis uruskan satu kes. Yang kau ni, tak ada kerja ke? Kalau kau ada kerja pergilah sana. Jangan nak ponteng je kerja kau. Boleh kalau kau nak ponteng juga tapi jangan dekat bilik aku. Aku nak buat kerja ni." Tengku Ayie membuka kotnya lalu diletakkan di atas kerusi. Dia memulakan kerjanya.
"Jangan nak ponteng je kerja kau. Boleh kalau kau nak ponteng juga tapi jangan dekat bilik aku. Aku nak buat kerja ni." Tengku Iskandar mengulangi percakapan Tengku Ayie. Membebel je pakcik tua ni. Dah kahwin pun masih nak marah-marah ke? Getusnya dalam hati.
"Kalau kau nak pen ni melayang dekat batang hidung kau tu, cubalah." Cabar Tengku Ayie. Dia nak buat kerja pun tak boleh nak fokus. Nasiblah dapat sepupu macam Tengku Iskandar ni. Umur dah tua tapi perangai macam budak-budak.
"Wowo. Janganlah nanti tak mancung hidung aku ni. Lainlah macam kau. Hidung kau besar ke kecil ke, kau dah kahwin. Aku? Hidung dah mancung tapi tak kahwin-kahwin lagi."
PAK!
Tepat pen yang dibaling oleh Tengku Ayie mendarat pada batang hidung Tengku Iskandar. Boleh pula sepupunya cakap macam tu. Memang patut pun kena dekat batang hidungnya.
Tengku Iskandar mengadu kesakitan. Dia mengusap hidungnya yang kelihatan sudah berwarna merah. Boleh tahan kuat juga balingan pen itu.
"Cakap lagi macam tu, kan dah kena. Nak lagi?" tanya Tengku Ayie sambil pen diarahkan ke arah wajah Tengku Iskandar. Melihat saja gelengan daripada Tengku Iskandar, pen tersebut terus disimpan.
"Sakit tahu tak? Aku gurau jelah. Tak payahlah serius sangat. Macam mana hidup kau selepas kahwin? Okey atau kau belum boleh terima dia lagi?" tanya Tengku Iskandar kepada Tengku Ayie yang sedang melakukan kerjanya. Sudah lama dia tidak mendengar cerita daripada Tengku Ayie sebenarnya. Dia cuma mahu menjadi pendengar buat sepupunya itu agar tidak terlalu stres.
Dapat dia dengar keluhan berat daripada Tengku Ayie. Memang sah sepupunya itu ada masalah.
"Aku rasa aku tak dapatlah nak teruskan perkahwinan ni. Dah macam-macam cara aku guna untuk bukakan hati dan terima dia tapi aku tak boleh. Aku tak boleh langsung. Aku rasa eloklah kami berpisah. Tinggal cara tu saja yang ada." Tengku Ayie meraupkan wajahnya. Dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi.
"Aku tak boleh langsung tengok muka dia. Semalam pun..." Tambah Tengku Ayie tapi dicelah oleh Tengku Iskandar yang tekun mendengar satu per satu.
"Semalam apa?"
"Semalam aku termarah dia. Aku tuduh bukan-bukan..."
"Kau tuduh apa dekat dia? Kau jangan main-main Ayie. Nahas kau kalau Airaa bagitahu dekat abang dia. Kau belum kenal siapa Airil sebenarnya." Tengku Iskandar pula yang berasa marah terhadap sikap Tengku Ayie yang senang-senang saja menuduh tanpa usul periksa.
"Aku malas dah nak ingat apa yang berlaku semalam. Aku rasa sakit hati bila tengok dia menangis."
Tengku Iskandar berfikir sejenak. Kalau Tengku Ayie sakit hati bila tengok isteri dia menangis, maknanya perasaan sayang tu dah ada lah.
"Aku tahulah kau ni peguam. Tapi tak payahlah kau nak bela kau punya ego tu. Aku dapat rasakan yang kau dah mula suka dekat dia," ujar Tengku Iskandar sambil menyentuh dagunya tanda berfikir.
"Suka?"
Tengku Iskandar hanya mengangguk. Manakala Tengku Ayie menghadam apa yang dikatakan oleh sepupunya itu.
'Aku sukakan Airaa?'
Kepala digeleng-gelengkan sebelum meneruskan kerjanya semula. Tak mungkin dia sukakan Airaa. Dia sudah berjanji kepada dirinya sendiri untuk tidak jatuh cinta kepada gadis itu. Mana mungkin dia mahu mungkiri janjinya.
**********
"BETUL ke kamu nak pergi Kuala Lumpur tu, Irah?" tanya Hajah Halima. Kaki yang sakit diurutkan menggunakan minyak angin.
"Betul mak. Mak janganlah risau. Irah tak lama pun. Seminggu je lepas tu baliklah. Tak boleh lama-lama nanti kesian dekat mak sebab tak ada kawan." Zahirah membetulkan tudungnya. Hari ini dia akan bertolak ke KL. Dia mahu membawa Akmal untuk keluar berjalan-jalan. Terbit rasa kesian saat melihat anaknya itu hanya terperap di dalam rumah.
"Ni kamu tinggal dekat rumah siapa? Rumah Zah ke?"
Zahirah hanya mengangguk perlahan, takut tercucuk jarum peniti dekat kepala. Sebenarnya, dia mempunyai rumah di KL tapi itu sebelum suaminya kemalangan. Sekarang dia sudah menjual rumah itu untuk menampung kehidupan mereka anak-beranak.
"Mak nak pergi mana tu?" soal Zahirah selepas melihat Hajah Halima yang sudah berdiri di depan pintu. Terbongkok-bongkok wanita tua itu berjalan.
"Mak nak kamu bawa buah-buahan dekat kakak kamu tu. Kamu tunggu ya. Mak ambilkan sekejap." Hajah Halima terus menuju ke belakang rumah untuk mengutip buah-buahan. Dia mahu memberikan kepada anaknya, Puan Zahra.
Sekali lagi Zahirah menganggukkan kepala sebelum memandang wajah anaknya yang masih tidur diulit mimpi. Akmal lah yang paling teruja bila diajak pergi ke KL.
"Abang, anak kita dah besar. Abang baliklah, anak kita rindukan abang. Irah pun rindukan abang juga. Irah dah tak sanggup hidup macam ni lagi. Hidup tapi macam keluarga yang tak lengkap. Irah tahu abang belum mati lagi. Tak apa, Irah sanggup tunggu abang sampai abang balik dekat Irah. Kami sayangkan abang." Luahan hati Zahirah tatkala melihat wajah Akmal yang hampir seiras dengan wajah suami. Di manalah suaminya itu sekarang ini? Dia mengesatkan air matanya yang mengalir.
Seketika namanya dilaung dari belakang rumah. Kedengaran Hajah Halima yang memanggilnya.
"Ya mak, Irah datang ni." Dia menyapu air matanya. Bila tidak ada lagi kesan air mata, dia terus membawa diri di mana Hajah Halima berada.
TBC
Share this novel