Bab 35

Romance Series 15713

"MACAM mana boleh jadi macam ni, Ayie?" tanya Encik Aizhar kepada menantunya.

Tengku Ayie hanya mendiamkan diri. Takkan dia mahu memberitahu keluarga Airaa tentang hal yang sebenar? Nanti apa pula pandangan keluarga Airaa terhadap dirinya. Dia buntu disebabkan salahnya sendiri.

"Ayie tak tahu, pa. Kita tunggu doktor habis periksa dulu," bohong Tengku Ayie. Masakan dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Airaa. Dia lah penyebab gadis itu berada di hospital. Semuanya berpunca daripada dirinya.

"Macam mana ni kau jaga adik aku? Sampaikan dia masuk hospital. Kau tak jaga dia ke? Heh, adik aku tu ada perasaanlah. Bukannya macam binatang, tak ada perasaan. Ini kali kedua tau, Airaa masuk hospital."

Airil memandang tajam ke arah adik iparnya itu. Ikutkan hatinya, mahu saja dia menengking Tengku Ayie di situ tapi memandangkan mereka berada hospital, dia hanya mampu bersabar.

Kalau bukan disebabkan Hanis yang memberitahunya tentang Airaa yang pernah dimasukkan hospital pada dua bulan lalu, mungkin sampai sekarang dia tidak tahu.

"Airil, apa cakap macam tu? Ayie dah kata kan, yang dia tak tahu macam mana benda ni boleh jadi. Maksudnya, tiada siapa pun yang tahu sebab Airaa masuk hospital. Tolong hormat sikit dekat adik ipar Airil ni," pujuk Encik Aizhar kepada Airil sebelum mengusap bahu Tengku Ayie.

Dia juga terkejut apabila anak menantunya itu mengatakan yang Airaa sedang berada di hospital. Mereka sekeluarga bergerak ke hospital dengan tergesa-gesa.

Tengku Ayie diam membisu. Bila dia dikelilingi oleh keluarga Airaa, dia diserang rasa takut. Namun apabila Airaa ada bersamanya, dia dapat menyesuaikan diri dalam keluarga itu. Sekarang, dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi.

Wad kecemasan dipandang. Agak lama juga doktor memeriksa keadaan isterinya. Nasiblah doktor yang memeriksa Airaa itu adalah anak kawan kepada mummynya, Tengku Sofea. Dan dia tidak percaya rupanya Tengku Sofea sudah lama berkawan dengan isterinya.

"Papa, Airaa takkan ada dekat hospital kalau dia ni jaga Airaa dengan baik," ujar Airil kepada Encik Aizhar. Dia masih tidak berpuas hati dengan adik iparnya itu.

"Aku nak lepas je Airaa keluar, dia akan tinggal dengan kami. Memandangkan aku dah ambil cuti awal, aku akan tengok-tengokkan dia. Dan aku harap ini kali terakhir adik aku tu masuk hospital." Tambah Airil lagi sebelum menuju ke pintu utama untuk keluar. Dia sudah mengambil cuti awal untuk persedian perkahwinannya dengan Hanis yang akan berlangsung dua minggu lagi.

"Airil..."

Tidak sempat untuk Puan Zahra menghalang, Airil sudah keluar. Dia hanya menggelengkan kepala melihat sikap anak lelakinya itu.

"Maafkan Airil. Dia sayangkan Airaa sebab tu dia cakap macam tu. Papa harap Ayie jangan ambil hati sangat. Ayie suami Airaa, Ayie lagi berhak ke atas Airaa. Pasal Airil tu, biar aje. Lama-lama okeylah dia. Dah, jangan susah hati lagi."

"Tak apa, pa. Dia sayangkan Airaa sebab tu dia buat macam tu."

"Habis tu, Ayie tak sayangkan anak papa? Isteri Ayie sendiri?"

Tengku Ayie tersentak. Tidak tahu bagaimana dia mahu membalas pertanyaan itu memandangkan dia masih berada di tahap awal untuk menyayangi Airaa.

Dia menghembus nafas lega apabila doktor keluar dari wad yang menempatkan Airaa. Tengku Ayie segera menghampiri Tengku Sofea dan diikuti oleh mentuanya.

"Macam mana dengan Airaa? Dia tak apa-apa, kan?"

Tengku Sofea mengawal wajahnya daripada terkejut. Tengku Ayie nampak seperti risau dengan keadaan Airaa. Tapi Airaa pernah bercerita tentang lelaki itu yang tidak pernah pun mengambil berat tentang dirinya.

Mana satu yang harus Tengku Sofea percaya?

"Kau jangan risaulah. Tak ada apa-apa pun yang teruk. Dia pengsan sebab terkejut memandangkan dia ada Astrafobia. Kalau yang tu, kau kena pantau dia. Tak boleh biarkan bersendirian. Aku dah bagi dia berehat. Dan lagi satu, macam mana kaki dia boleh bengkak? Airaa jatuh lagi ke?"

Kening sebelah kanan dinaikkan ke atas.

"Hah, bengkak? Teruk sangat ke Fea, bengkak dekat kaki Airaa tu?"

Puan Zahra berasa tidak sedap hati. Sejak dia menjaga Airaa dari kecil sehinggalah dewasa, tidak pernah ada luka pun seperti itu.

Tengku Sofea memandang Puan Zahra sebelum mengusap bahu wanita itu. Dia sudah biasa dengan keluarga Airaa dan keluarga Airaa juga mengenali dirinya.

"Berdasarkan pemeriksaan tadi, bengkak tu macam baru je tapi aunty janganlah risau, tak teruk sangat pun." Senyuman lebar diberikan bagi menghilangkan kerisauan Puan Zahra.

Tengku Ayie mendiamkan diri. Benarlah, semua yang berlaku disebabkan dirinya sendiri. Kalaulah dia tidak menarik Airaa dengan kuat tadi, mungkin kaki isterinya tidak akan bengkak semula.

"Bila kami boleh masuk untuk lawat Airaa?" soal Encik Aizhar. Matanya memandang doktor muda itu.

"Buat masa sekarang, tidak boleh lagi sebab Airaa perlukan rehat yang cukup. Takut terganggu pula masa berehat dia, uncle. Esok jelah kalau uncle dengan aunty nak lawat Airaa. Insya-Allah, esok juga Airaa boleh keluar," terang Tengku Sofea.

"Hah, yalah kalau macam tu." Encik Aizhar menghembuskan nafas dengan perlahan sebelum meraup wajahnya. Syukurlah jika Airaa tidak apa-apa.

"Okeylah, Fea nak minta diri dulu sebab masih ada pesakit nak kena urus lagi. Fea pergi dulu, aunty. Assalamualaikum."

Mata Tengku Ayie memandang pemergian Tengku Sofea. Dia mengeluh dengan perlahan. Sepanjang perkahwinan mereka, dia selalu menyakitkan hati Airaa. Tapi gadis itu tetap bertahan di sampingnya.

"Ayie nak tunggu Airaa dekat sini? Tak nak balik?" tanya Encik Aizhar sambil berdiri membetulkan pinggangnya. Jam dilihat. Sudah menunjukkan pukul dua pagi.

"Tak apalah, pa. Ayie tunggu je dekat sini. Lagi pun esok Ayie tak kerja. Papa dengan mama pula? Nak tunggu sini juga ke?"

Encik Aizhar menggelengkan kepala.

"Papa dengan mama nak balik dah ni. Esok papa ada mesyuarat dekat pejabat. Mungkin esok mama je yang akan lawat Airaa. Kalau macam tu, kami balik dululah. Sekarang ni pun dah pukul dua pagi."

Tengku Ayie segera bangkit sebelum menyalam tangan Encik Aizhar dan Puan Zahra. Dia pun tidak sedar sekarang sudah pukul dua pagi.

"Kami balik dulu. Assalamualaikum," kata Puan Zahra.

Dilihat suaminya yang sedang menguap, tahulah dia yang lelaki itu sudah mengantuk.
Nasiblah Airil yang akan memandu kereta nanti. Kalau suaminya yang memandu, mungkin mereka pula yang masuk hospital.

Setelah figura Encik Aizhar dan Puan Zahra sudah hilang daripada pandangan matanya, Tengku Ayie menyandarkan pada kerusi. Tipulah kalau dia tidak mengantuk sekarang ini. Dia memeluk tubuh sambil mata dipejam. Tanpa sedar, dia sudah pun terlelap.

**********

KAKINYA melangkah dengan laju menuju ke wad si isteri. Bangun saja daripada tidur tadi, terus dia bergegas pulang ke rumah untuk membersihkan diri. Dia tekad. Dia mahu menjaga Airaa bila gadis itu keluar dari hospital nanti. Selain itu juga, dia mahu meminta maaf.

Pintu wad ditolak perlahan. Matanya terus tertumpu pada mak mentuanya. Senyuman terbentuk di bibir.

"Assalamualaikum." Salam diberi.

"Waalaikumussalam. Eh Ayie, maaflah, mama tak perasan tadi."

Puan Zahra yang menyuapkan bubur ayam kepada Airaa itu menghentikan pergerakannya. Dipandang wajah menantunya itu.

"Tak apa mama."

Tengku Ayie menghampiri Puan Zahra sebelum menyalam tangan mak mentuanya itu. Matanya sempat memandang Airaa yang hanya mendiamkan diri.

Airaa tidak mengangkat wajahnya. Dia hanya memerhati bubur ayam yang berada dalam pegangan mamanya.

"Airaa, salamlah tangan suami tu. Kenapa ni? Ada sakit dekat mana-mana ke?" tanya Puan Zahra dengan nada yang risau. Lengannya anak perempuannya dipegang.

Airaa memandang mamanya sebelum beralih ke arah suaminya. Tangan kanan dihulur dengan tergetar-getar lalu menyalam tangan lelaki itu.

Tengku Ayie merasakan tangan Airaa seperti menggigil dan sejuk. Mungkin, ini kali kedua mereka bersalaman selepas hari akad nikah mereka. Senyumannya yang mahu terukir disimpan.

"Airaa, mama tanya ni? Ada sakit dekat mana-mana ke? Kalau ada bagitahu, boleh mama panggilkan Sofea datang sini."

Airaa hanya menggelengkan kepala. Dia masih berasa takut apabila Tengku Ayie ada. Mungkin disebabkan trauma malam tadi.

"Mama seorang je datang sini? Kenapa tak telefon Ayie? Boleh Ayie ambilkan."

Tengku Ayie duduk di sebuah kerusi yang telah disediakan.

"Taklah. Mama datang dengan Airil. Tadi dia ada dekat sini tapi itulah, dia keluar sekejap. Ayie tak terserempak dengan dia ke tadi?" soal Puan Zahra.

"Tak ada pula Ayie nampak dia."

Puan Zahra hanya mengangguk. Dia tidak tahu ke mana saja Airil pergi. Mungkin ada sesuatu yang anak lelakinya itu mahu uruskan.

"Mama," panggil Airaa.

"Ya, sayang. Nak apa ni?" Puan Zahra memandang anaknya itu dengan senyuman.

Tengku Ayie juga memandang isterinya. Hairan mengapa gadis itu memanggil mak mentuanya. Risau jika gadis itu berasa sakit lagi.

"Mama, Airaa nak mandi tapi Airaa tak ada baju nak ganti. Takkanlah Airaa nak pakai baju yang sama je," tutur Airaa dengan suara yang manja. Bibir dicebikkan.

Puan Zahra tersenyum melihat telatah anaknya itu. Ingatkan ada sakitlah dekat mana-mana, rupanya nak mandi. Manja betul anak Pak Cik Aizhar ni.

"Mama ada bawa baju Airaa tadi tapi tertinggal pula dalam bonet. Nak telefon abang Airil, telefon dia ada dekat mama."

"Biar Ayie je yang tolong ambilkan. Kesian mama nanti sebab ulang-balik," celah Tengku Ayie. Dia juga sudah mahu berdiri.

"Eh, tak apa. Biar mama je. Ayie bukannya tahu kereta Airil tu dekat mana. Ni, Ayie suapkan Airaa."

Bubur ayam dihulur kepada Tengku Ayie. Jelas teragak-agak lelaki itu mahu mengambilnya.

Airaa memandang mamanya sambil menggelengkan kepala. Dia tidak mahu ditinggalkan.

"Mama pergi sekejap je. Nanti mama datang balik. Dah cepat habiskan bubur tu nanti sejuk pula. Jangan risau, Ayie ada dekat sini."

Mata Airaa tidak lepas memandang pintu yang telah tertutup. Dia masih tidak mengangkat wajahnya. Takut untuk berhadapan dengan lelaki itu.

"Nah, buka mulut awak." Sudu disuakan kepada isterinya dengan pakej senyuman sekali. Tidak mahu suasana mereka menjadi janggal.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Airaa mengikut arahan daripada suaminya. Dari semalam lagi dia tidak makan. Hospital ada sediakan makanan tetapi tidak dapat membangkitkan seleranya.

Bubur ayam disuap ke dalam mulut Airaa setelah membaca bismillah.

"Sedap?" tanya Tengku Ayie. Mencuba untuk menceriakan ruangan wad tersebut. Di dalam wad tersebut hanya Airaa yang ada disebabkan Tengku Ayie mahu memberi keselesaan kepada gadis itu.

Airaa sekadar mengangguk. Berhadapan dengan lelaki itu membuatkan mulutnya terkunci. Dia menelan bubur tersebut dengan perlahan.

"Nak lagi?"

Airaa membuka mulutnya tanda yang dia masih mahu makan bubur ayam buatan mamanya itu. Jarang sekali Puan Zahra mahu membuat bubur ayam. Wanita itu hanya akan membuat jika ada yang sakit.

"Kaki tu macam mana? Dah okey?"

Soalan tersebut dijawab dengan anggukan.

Tengku Ayie mengeluh perlahan. Dari tadi, dia asyik melihat anggukan daripada gadis itu. Sampai bila Airaa tidak mahu bercakap dengannya? Tadi elok saja berbual dengan mak mentuanya tapi sekarang, sepatah dua kata pun tidak keluar dari mulut gadis itu.

"Cakaplah sesuatu, please?" rayu Tengku Ayie. Tidak tahan melihat gadis itu hanya mendiamkan diri. Dia betul-betul mahu mendengar suara Airaa.

"Nak makan bubur tu lagi," tutur Airaa perlahan.

Tengku Ayie sekadar mengangguk sebelum bubur ayam disua. Sekurang-kurangnya Airaa bercakap dengan dirinya juga. Suara Airaa yang ingin menjelaskan semalam masih terngiang-ngiang dalam kotak fikirannya. Kenapa dia tidak pernah memberi peluang kepada Airaa?

"Saya minta maaf... pasal semalam dan saya tahu yang..."

Belum sempat Tengku Ayie ingin menghabiskan ucapannya, Airil sudah membuka pintu.

"Adik dah boleh keluar dari hos... pital ni." Mata Airil bertemu dengan mata Tengku Ayie. Airil menyangka hanya Airaa yang berada dalam wad tersebut, rupanya adik iparnya pun turut berada di situ.

"Pihak hospital dah benarkan adik keluar hari ni. Ni baju adik. Mama suruh hantar sebab dia nak pergi tandas. Adik tukarlah sementara abang nak bayar bil hospital adik," kata Airil seraya menghulur beg kertas kepada Airaa. Dia tekad mahu membawa Airaa balik rumah mereka sekeluarga.

Airaa hanya mengangguk.

Tengku Ayie mahu berkata tetapi telefonnya berbunyi. Dia meminta diri untuk mengangkat panggilan tersebut. Airil juga turut beredar dari bilik itu.

Setelah pintu sudah bertutup rapat, Airaa pun menggantikan pakaian hospital kepada pakaian biasa sementara menunggu abangnya membayar bil hospital.

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience