Bab 31

Romance Series 15713

SUASANA di ruang tamu itu agak sunyi. Semua orang mendiamkan diri. Hanya mata yang bergerak memerhati antara satu sama lain.

"Ayie tak gembira, dapat jumpa dengan abang? Dah lama abang nak jumpa dengan Ayie tapi abang sibuk sejak kebelakangan ni. Maaflah sebab tak jumpa Ayie dulu," kata satu suara garau yang duduk bersebelahan dengan Tengku Mustafa. Matanya memandang tepat ke arah Tengku Ayie.

"Kenapa tak telefon? Tak ada nombor? Rasanya abang boleh je minta dekat mummy atau daddy. Ayie terasa hati bila Ayie orang yang terakhir tahu tentang abang. So, selama ini abang belum matilah?"

Tengku Akimi hanya mengangguk. Tak pasti anggukan tersebut untuk soalan yang mana satu. Kedua-dua tangannya digenggam.

Tengku Ayie meraup wajah. Dia tidak faham. Bagaimana Tengku Akimi boleh terselamat daripada kemalangan itu? Sedangkan polis menjumpai satu mayat dalam kereta milik Tengku Akimi. Sukar untuk dia percaya.

"Macam mana abang boleh terselamat? Polis bagitahu kami yang dia orang jumpa satu mayat dalam kereta abang. Mayat siapa tu?" tanya Tengku Ayie seraya memeluk tubuh. Dia mahu mendengar cerita yang sebenar.

"Ada orang yang selamatkan abang sebelum kereta tu terbakar. Dia bawa abang pergi rumah dia. Dari situ dia yang jaga abang. Sebulan dia jaga abang sebab kaki abang ni cedera teruk."

Mata Tengku Akimi memandang semua orang. Senyuman terbit di bibirnya. Alhamdulillah, dia masih sempat untuk menatap wajah-wajah yang banyak menjaga dan mendidiknya. Syukur, ya Allah. Tapi tentang mayat itu, biarlah dia merahsiakannya dulu.

"Lepas tu takkanlah abang tak cari kami semua? Kami bertungkus-lumus cari abang tapi abang tak ada buat apa-apa pun," ujar Tengku Ayie dengan tegas. Marah disebabkan Tengku Akimi tidak mencarinya dahulu. Ingat cari orang yang kemalangan jalan raya ni tak susah ke?

"Abang minta maaf tapi abang bukan tak buat apa-apa. Abang menghilangkan diri sebab nak siasat tentang kemalangan tu. Abang minta maaf pada semua orang sebab dah banyak menyusahkan," balas Tengku Akimi. Dia menundukkan kepala. Sedikit demi sedikit air matanya menitis.

Tengku Mustafa memeluk badan anak angkatnya itu. Dia juga terkejut tatkala melihat figura Tengku Akimi di muka pintu pada minggu lalu. Anaknya yang hilang pada tiga tahun lepas dan telah disahkan meninggal dunia.

Tengku Zainab sudah menangis dalam pelukan Airaa. Dia juga seperti Tengku Mustafa. Saat Tengku Akimi kembali ke rumah itu, dia sangat gembira. Gembiranya seorang ibu apabila melihat anaknya yang hilang kini masih hidup.

Airaa menepuk bahu Tengku Zainab supaya bertenang. Dia sendiri tidak faham apa yang sudah berlaku.

Tengku Akimi mengangkat wajahnya agar dapat memandang Tengku Ayie. Air matanya yang mengalir juga diusap.

"Ayie ada cari tak isteri abang?"

"Buat apa abang nak cari dia lagi? Sebab dia lah, abang hilang. Dia buat abang jadi macam ni. Dia juga buat keluarga kita jadi hancur. Boleh tak abang jangan fikirkan dia sangat? Untuk apa Ayie nak cari lagi orang yang dah musnahkan keluarga kita?"

Tengku Ayie memandang tajam Tengku Akimi yang duduk di hadapannya. Hatinya panas mengingat isteri Tengku Akimi.

"Dia tu kakak ipar, Ayie. Dia jiwa dan nyawa abang. Tanpa dia, kosonglah jiwa abang dan matilah abang," luah Tengku Akimi sambil tangan menunjuk dadanya.

Tiga tahun dia menanggung rindu buat isteri serta anaknya yang tercinta. Tiga tahu itu juga dia mencari tapi tetap tidak ditemui.

"Ayie takkan terima dia sebagai kakak ipar Ayie. Tak pernah dan takkan. Entah dah berapa banyak dia bawa anak ikan masuk hotel. Yalah, abang kan dah hilang, jadi tempat dia keluarkan duit pun dah tak ada. Abang ni je yang beria nak tahu pasal dia. Mungkin sekarang ni dah banyak anak yang dia bela."

Tengku Akimi menggenggam tangannya sehingga menimbulkan urat hijau. Tengku Ayie kalau bercakap memang tak berfikir tentang perasaan orang lain.

"Kau jangan nak tuduh isteri aku macam tu! Aku tahu macam mana perangai dia! Mulut kau tu jaga sikit!" Perasaan marah mula muncul apabila isterinya dihina. Nama panggilan juga sudah bertukar. Daripada 'abang' menjadi 'aku'.

Tengku Mustafa sudah tidak sedap hati melihat ketegangan yang tercetus di antara Tengku Ayie dan Tengku Akimi. Dia pasti Tengku Ayie masih lagi tidak berpuas hati dengan isteri Tengku Akimi.

Airaa memandang Tengku Ayie. Tidak pernah dia mendengar suaminya berkata seperti itu. Hanya disebabkan wanita, masalah ini menjadi besar.

"Heh, hati boleh berubah, abang. Mulut kata tak nak tapi hati penuh dengan nafsu. Mungkin malam ni, dia tengah bersedap dengan lelaki la..." Belum sempat Tengku Ayie meneruskan bicaranya, Tengku Akimi sudah bangkit dari sofa.

Dia datang melulu ke arah Tengku Ayie sambil tangan digenggam membentuk penumbuk. Kolar baju Tengku Ayie dicengkam sebelum melepaskan tumbukan yang cukup kuat.

"Tak guna kau!"

BUK!

"Awak!"

"Along!"

**********

AIRAA segera mendapatkan Tengku Ayie yang sudah jatuh ke lantai. Dia melihat tepi bibir suaminya sudah pecah. Begitu kuat tumbukan daripada Tengku Akimi itu.

"Kau jangan nak hina isteri aku. Aku tahu macam mana perangai dia. Dia ada waktu aku susah dan senang. Kau jangan sesekali nak hina dia sebab kau tak ada hak!" herdik Tengku Akimi sambil jari telunjuk dihala kepada Tengku Ayie. Turun naik dadanya.

Tengku Ayie hanya tersengih di samping mengelap darah yang mengalir dari tepi bibirnya. Sakit tapi rasa sakit itu tidak sesakit hatinya.

'Rupanya selama ni aku je yang terhegeh-hegeh nak cari kau. Kalau aku tahulah ini balasannya, heh, memang aku takkan cari. Orang dah susah payah nak cari kau tapi kau pula terus cari perempuan tak guna tu. Entah bila kau dah jumpa dia, dia dah jadi bekas orang. Memang tak sedar dek untung langsung,' bisik Tengku Ayie dalam hati. Dia memandang tajam Tengku Akimi yang sudah ditahan oleh Tengku Mustafa.

"Kenapa berhenti? Tumbuklah lagi. Baru tumbuk sikit dah penat. Kau nak tahu tak, penat aku selama ini cari kau macam mana? Heh, tak sepenat kau tumbuk aku lah."

Perlahan saja Tengku Ayie berkata disebabkan sakit di tepi bibirnya. Tangan digenggam kuat.

"Kau!"

Tengku Akimi terlepas daripada pegangan Tengku Mustafa sebelum dia terus menerpa Tengku Ayie. Dia yang dikuasai amarah itu laju saja menolak Tengku Ayie.

Tengku Ayie tidak membalas dan hanya merelakan saja. Disebabkan itu, kepalanya terhantuk ke bucu meja milik Tengku Zainab. Dia mendesis kesakitan.

"Ya Allah, Along!" tutur Tengku Zainab diiringi dengan esakan.

Dia segera mengangkat Tengku Ayie untuk berdiri sambil dibantu oleh Airaa. Manakala Tengku Arin menangis di atas sofa. Melihat mummynya menangis membuatkan dirinya turut menangis.

Tengku Akimi pula ditahan semula oleh Tengku Mustafa. Dia melihat ada cecair merah yang mengalir pada dahi adiknya itu. Sesudah itu baru dia tersedar sesuatu.

"Ya Allah, daddy. Apa yang Kimi dah buat sekarang ni?"

"Bawa bertenang Kimi. Kawal rasa marah kamu tu."

Tengku Akimi duduk serta dibantu oleh Tengku Mustafa. Matanya memandang Tengku Ayie.

"Ayie... abang..."

"Dah jom kita balik. Tak ada guna kita datang sini kalau ini yang kita dapat," ujar Tengku Ayie kepada isterinya. Lengan isterinya ditarik menggunakan tangan kanan dan tangan kiri pula memegang kepala yang berdenyut. Pintu utama dituju.

Tengku Zainab segera menahan mereka. Air matanya menitis. Rancangannya yang ingin meluangkan masa bersama anak-anaknya tidak kesampaian.

"Along dengan Airaa, janganlah balik dulu. Kata nak tidur sini. Janganlah balik. Tak kesian ke dekat mummy? Mummy dah penat masak lauk dekat dapur tu semata-mata untuk kamu berdua. Tolong Along. Mummy rindu dekat kamu. Abaikan Akimi yang ada dekat dalam tu. Along, tak sayang mummy ke?"

Tengku Zainab menahan lengan Tengku Ayie yang berada di muka pintu. Air mata mengalir dengan lajunya. Sungguh! Sungguh dia rindukan anak dan menantunya itu. Dia sanggup lakukan apa saja agar Tengku Ayie dan Airaa tidak pulang.

"Awak..." Belum sempat Airaa berkata, suaminya sudah memintas.

"Sorry, mummy. Kami balik dulu." Bukan dia tidak menyayangi mummy tapi dia mahu mengelakkan diri daripada bergaduh dengan abang angkatnya itu. Kalau dia tetap berada di situ, takut lain pula jadinya.

Tengku Ayie mencium tangan Tengku Zainab dan diikuti oleh isterinya. Airaa memeluk ibu mentuanya. Dia menenangkan Tengku Zainab yang sedang terhinjut-hinjut menangis.

"Airaa balik dulu mummy. Assalamualaikum."

Tengku Zainab menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak mahu. Dia belum sempat untuk berbual dengan menantunya itu.

Tengku Mustafa datang lalu menenangkan isterinya. Bahu isterinya diusap dengan perlahan. Terhinjut-hinjut bahu wanita itu kerana ingin menghentikan tangisannya.

"Kenapa abang tak halang dia orang tadi? Siapa nak habiskan lauk dekat dalam tu? Abang tahu tak, penat saya masak semua tu untuk dia orang berdua. Dia orang dah janji nak tidur dekat sini," kata Tengku Zainab dengan tangisan.

Begitu lama dia memasak di dapur semata-mata untuk anak dan menantunya itu.

"Tak apa. Kita kan ramai. Insya-Allah, semua lauk tu boleh habis. Kalau tak habis juga, kita sedekahkan dekat jiran-jiran. Sudahlah. Jangan menangis lagi. Jom kita masuk," pujuk Tengku Mustafa. Dia juga tidak menyangka semua ini akan berlaku.

Mereka masuk ke dalam rumah. Pantas saja Tengku Akimi menghampiri mereka.

"Maafkan Kimi, mummy, daddy. Kalaulah Kimi dapat kawal marah tadi, mungkin benda ni takkan jadi. Dia orang takkan balik. Maafkan Kimi, mummy, daddy. Maafkan Kimi."

Tengku Akimi mahu memeluk kaki Tengku Zainab namun sempat dihalang. Tengku Zainab menunduk memandang Tengku Akimi. Tangan yang ingin memeluk kakinya dilepaskan. Wajah lelaki itu dipandang sebelum tangan tuanya itu naik memegang pipi Tengku Akimi.

"Kimi tak salah pun. Mungkin mood Along tak bagus. Mummy tak salahkan Kimi pun sebab Kimi kan anak mummy. Ingat tu."

Jari Tengku Zainab naik mengusap air mata Tengku Akimi yang mengalir. Dia tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian itu.

Tengku Akimi menggeleng. Tidak, semua yang berlaku disebabkan dirinya sendiri. Dia selaku abang, harus menunjukkan contoh yang baik kepada adiknya.

"Tapi siapa yang nak habiskan masakan mummy? Selalunya Kimi dengan Ayie yang berebut nak habiskan semua lauk. Maafkan Kimi, ya mummy." Sekali lagi Tengku Akimi meminta maaf. Tangan tua itu dicium.

Tengku Zainab hanya mengangguk. Semua manusia pernah melakukan silap tapi siapa kita mahu menghukum kesalahan mereka?

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience