PINTU wad dibuka dari dalam sebelum Tengku Sofea yang merawat Airaa keluar. Keluar saja dari wad tersebut, dirinya terus diterpa oleh keluarga Airaa dan tidak lupa juga Tengku Ayie. Dia terus menghela nafas panjang.
"Fea, macam mana dengan Airaa? Apa yang dah jadi dekat dia?" soal Encik Aizhar setelah berdiri di hadapan gadis itu. Baru saja niatnya mahu tidur namun bunyi pintu yang dibuka terus membatalkan niatnya itu.
"Alhamdulillah, Airaa dah melepasi tahap kritikal. Fea nak bagitahu sesuatu, harap uncle dan yang lain dapat bertenang. Ada hentakan yang kuat terkena pada kepala Airaa. Mungkin disebabkan terhantuk pada satu benda yang keras. Tangan sebelah kanan terseliuh dan dia kekurangan darah."
Puan Zahra menekup mulutnya apabila mendengar kata-kata Tengku Sofea. Air matanya tiba-tiba mengalir.
"Allahu-Akbar," ucap Encik Aizhar dengan nada yang terkejut. Dia ingat kecederaan yang menimpa Airaa tidaklah teruk. Selama Airaa berada di bawah tanggungjawabnya, tiada apa-apa pun yang terjadi kepada wanita itu. Tapi bila tanggungjawab itu sudah beralih, macam-macam pula yang terjadi kepada anak perempuannya.
Airil segera memaut bahu mamanya. Takut Puan Zahra jatuh jika tidak dipegang. Dia juga sedih apabila mendengarkan itu semua.
"Airaa mungkin akan sedar dalam jangka masa yang lama. Mungkin dua minggu, sebulan atau setahun. Esok, dia akan dipindahkan ke wad biasa. Buat masa sekarang, tak ada pelawat yang dibenarkan untuk melawat Airaa disebabkan keadaannya yang belum baik sepenuhnya. Fea harap uncle dan aunty dapat bersabar," ucap Tengku Sofea sebelum pandangannya jatuh kepada Tengku Ayie. Ada sesuatu yang dia mahu katakan kepada lelaki itu.
Airil membawa Puan Zahra duduk dahulu. Dia mengusap perlahan belakang tubuh mamanya apabila wanita itu sudah memeluk dirinya. Puan Zahra menangis di dada Airil.
Encik Aizhar pula menghela nafas berat. Dia duduk bersebelahan dengan Puan Zahra. Mata dipejam. Dia tidak mampu membayangkan keadaan anaknya seperti mana yang Tengku Sofea katakan. Terasa dirinya tidak layak bergelar bapa. Dia gagal dalam menjaga amanah Allah SWT.
"Ayie, ikut aku sekejap. Aku nak bagitahu sesuatu dekat kau."
Tengku Ayie yang bercekak pinggang itu hanya menganggukan kepala. Dalam fikirannya, mungkin ada sesuatu yang Tengku Sofea mahu katakan. Dia mula mengikuti langkah doktor itu sebelum berhenti apabila terdengar sesuatu.
"Ingat apa yang papa kata tadi Airil. Papa tak nak dia datang jumpa Airaa lagi, sama ada Airaa dalam hospital atau dah keluar nanti," pesan Encik Aizhar kepada Airil namun sempat didengari oleh Tengku Ayie.
Tengku Ayie terus menyambung langkahnya. Pintu yang ada nama Tengku Sofea dibuka perlahan. Hatinya berdebar, mungkin risau dengan apa yang bakal gadis itu katakan. Harapnya bukan berita negatif tentang isterinya. Cukuplah dia dengar tadi itu membuatkan rasa bersalahnya semakin menebal.
Terlihat Tengku Sofea yang memandangnya dengan pandangan yang tajam. Gadis itu berdiri di belakang kerusi dan membelakangi dirinya. Dia cuma berdiri di hadapan meja dengan menundukkan wajah.
"Kenapa Airaa boleh jadi macam tu?" tanya Tengku Sofea dengan penuh dingin seraya badan di. Dia mahu tahu punca yang menyebabkan rakannya kemalangan. Mahu gugur jantungnya tadi bila melihat Airaa diusung ke dalam bilik kecemasan. Nasib baiklah semalam dia yang bertugas. Dapat juga dia merawat keadaan Airaa.
Tengku Ayie menghela nafas panjang. Patutkah hal di hotel itu diceritakan kepada Tengku Sofea? Kalau tadi Airil menumbuknya dan Encik Aizhar memberikan dia amaran, mungkin gadis itu akan membedahnya kalau tahu hal sebenar.
"Nak tercabut jantung aku bila tengok Airaa sampai hospital semalam. Sempat lagi dia mengadu sakit dekat aku. Kau? Kau dekat mana masa tu? Kau orang bergaduh ke?" soal Tengku Sofea kepada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Tuhan saja yang tahu macam mana perasaannya malam tadi.
Tengku Ayie menunduk setelah mendengar soalan doktor perempuan itu. Tidak pernah pun dia terfikir isterinya akan jadi seperti itu. Allahu-Akbar! Dia sebagai suami kepada wanita itu turut berasa sakit. Sakit bila mendengar keadaan isterinya. Andai dia mampu menggantikan jasad itu, dia sanggup. Lebih baik dia yang tersakiti daripada wanita yang dia sayangi terlantar sakit.
Tengku Sofea menyeluk poket baju doktor yang masih dia pakai. Sebentuk cincin dikeluarkan dari poket tersebut. Cincin emas diletakkan di atas meja kerja. Betul-betul di hadapan Tengku Ayie.
"Sebelum Airaa tak sedarkan diri, dia sempat bagi aku cincin ni. Dia suruh aku bagi cincin ni dekat kau."
Tengku Sofea memandang Tengku Ayie yang tampak terkejut. Lelaki itu mendekati mejanya lalu cincin tersebut diambil secara perlahan. Terlihat tangan lelaki itu sedikit menggigil.
"Dia kata cincin ni bukan untuk dia. Dia nak, kau bagi cincin ni dekat seseorang yang istimewa dalam hati dan hidup kau," sambungnya lagi apabila lelaki itu hanya mendiamkan diri.
Tengku Ayie menggelengkan kepalanya. Tak mungkin! Airaa tak mungkin berkata seperti itu. Dia kenal isterinya. Wanita itu sangat suka akan cincin tersebut. Lagi-lagi cincin itu adalah cincin perkahwinan mereka. Tanpa sedar, air mata lelakinya sudah pun menitis.
"Tak, Fea! Tak mungkin dia cakap macam tu. Aku kenal isteri aku, Fea."
Perlahan-lahan Tengku Ayie jatuh. Lututnya bertemu dengan lantai hospital itu. Mata yang kabur dek kerana air matanya tetap memandang cincin tersebut.
"Aku tak tipu, Ayie. Airaa sendiri yang cakap benda tu dekat aku. Sebab itu aku nak tanya kau. Kenapa Airaa jadi macam tu?"
Tengku Ayie menggelengkan kepalanya sekali lagi. Argh! Kenapa keadaan harus begini?
"Aku sayangkan dia, Fea. Aku cintakan dia. Tak ada perempuan lain, Fea. Dia lah yang paling istimewa dalam hati dan hidup aku. Aku tak sanggup nak berpisah dengan dia. Kau faham tak."
Dia menunduk memandang lantai. Tidak menyangka yang cincin itu bakal terpisah dengan pemiliknya. Setelah rantai, cincin pula yang dipulangkan. Selepas ini apa? Hati? Cinta? Tidak semua benda isterinya harus pulangkan. Cukuplah saja rantai yang dikembalikan. Tak mungkin dia mahu cintanya dipulangkan semula. Baginya biarlah wanita itu mengambil cinta dan hatinya.
"Dah tu, kenapa kau tak jelaskan pada dia? Terus terang?"
"Dia tak nak dengar penjelasan aku. Aku dah minta untuk jelaskan semuanya pada dia tapi dia tetap tak nak. Dia kata bukti dah ada depan mata. Kau tolong aku, Fea."
Tengku Sofea mengurut pelipisnya. Sebelah tangannya menekap pada permukaan meja itu untuk menampung tubuhnya. Boleh pitam dia jadinya.
"Aku bukan tak nak tolong kau. Aku rasa lebih baik kau minta tolong dengan Allah. Minta supaya bila Airaa sedar nanti, dia nak dengar semuanya. Allah yang pegang hati kita ni. Sebelum tu, kau ada tanya tak dekat diri kau kenapa semua ni jadi?"
Tengku Ayie mendiamkan diri dengan tangisannya yang masih tersisa.
"Ini semua ujian daripada Allah. Allah SWT turunkan ujian untuk kau supaya kau tak lupa untuk merayu kepada-Nya. Dia nak kau tahu yang Dia selalu ada untuk dengar setiap rintihan kau. Dan kau kena sedar benda tu."
Tengku Sofea sudah bercekak pinggang. Rasanya dia sudah boleh menjadi ustazah. Berceramah kepada orang lain bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk mendengar semua masalah dan luahan yang terpedam di hati.
Kerusi ditarik keluar sebelum melabuhkan punggungnya. Penatnya masih belum lesap lagi sejak petang tadi.
Seakan tersedar sesuatu, Tengku Ayie berdiri. Cincin tersebut digenggam erat. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi.
"Terima kasih, Fea. Kau dah sedarkan aku," ucap Tengku Ayie sebelum beredar dari situ.
Kakinya melangkah menuju ke surau hospital. Dia mengadu kepada orang yang dekat dengannya seperti sepupunya, Tengku Iskandar. Sehinggakan dia lupa yang Allah SWT lebih dekat daripada orang lain.
**********
DENGAN malas kakinya melangkah masuk ke dalam rumah banglo itu. Ikutkan hati, mahu saja dia pergi ke rumah rakannya. Tapi memandangkan rumah banglo itulah yang paling dekat, jadi dia batalkan saja niat di hatinya.
Badan dihempas pada sofa yang dibeli dari luar negara itu. Dia masih mengantuk dan mahu menyambung tidurnya. Beg tangan yang terletak di atas meja kaca itu diambil sebelum telefon bimbit miliknya dikeluarkan.
Butang on dihidupkan lalu skrin telefonnya menyala. Jam telefon dipandang sekilas.
Pukul 10 pagi.
Dia terus menyambung tidurnya. Peduli apa dia. Dia penat, jadinya dia mahu tidur. Matanya terpejam rapat walaupun merasakan ada orang yang menuruni tangga rumah itu.
"Woi, kau pergi mana semalam? Daddy aku call, kau tak jawab pun."
Dia tetap memejamkan matanya. Tidak peduli dengan orang yang sedang berkata kepada dirinya. Ada dia kesah?
"Diana, bila mummy kamu sampai rumah? Daddy tak perasan pun."
Dato Darwin menuruni tangga lalu melangkah mendekati anak dan isterinya itu. Sofa yang berhadapan dengan Aqilah itu diduduk seraya matanya memandang wanita yang sedang tidur itu.
Diana menjulingkan matanya ke atas. Mati hidup semula pun dia takkan panggil perempuan yang pernah menjadi rakan baiknya itu dengan panggilan 'mummy'. Entah, dia rasa Aqilah memang tak layak dengan daddynya.
"Diana tak tahu, daddy. Diana turun lepas tu nampak dia dah dekat sofa ni. Dia baru sampai kut," katanya lalu memeluk tubuh.
"Dah, apa kata Diana bangunkan mummy. Cakap daddy nak cakap sesuatu," arah Dato Darwin sebelum memandang jam di tangannya.
Diana menyumpah serana kepada Aqilah. Daddynya pun satu. Kenapa mesti dia juga yang kena bangunkan? Kenapa bukan daddynya sendiri saja?
"Weh, Aqilah. Bangunlah, daddy aku nak cakap sesuatu ni. Kau bangunlah."
Badan Aqilah digoncangkan dengan kuat apabila wanita itu seakan tidak mahu bangun. Dah mati agaknya.
"Janganlah bangunkan mummy macam tu. Cuba panggil elok-elok," celah daddynya.
Sekali lagi dia menjulingkan matanya ke atas. Baginya, perempuan seperti Aqilah tak sesuai untuk berlembut. Makin lembut layanan diberikan kepada wanita itu, semakin naik lemaklah jadinya.
"Tapi daddy..."
"Diana nak daddy potong belanja untuk bulan ni ke? Kenapa susah sangat nak dengar cakap daddy?"
Dato Darwin menyelak muka surat baru pada surat khabar tersebut. Matanya tertumpu pada kertas itu tapi dia dengar bagaimana anak perempuannya itu cuba untuk membangunkan isterinya.
"Mummy bangunlah. Daddy nak cakap something dekat mummy. Mummy bangunlah sebelum Diana ambil air lepas tu siram dekat mummy," ujar Diana dengan sedikit keras dan juga tiada keikhlasan. Manalah dia mahu berkata dengan yang lembut.
Akhirnya, Aqilah mengeliat kecil di atas sofa itu. Sebelum dia bangun, sempat lagi dia mengusutkan rambutnya. Dengan malas dia bangun lalu memandang tajam Diana.
"Kau boleh tak jangan ganggu tidur aku. Aku nak tidur pun tak senang," marah Aqilah kepada Diana sebelum beralih memandang suaminya yang duduk di hadapan.
"You pun sama juga. You tahu tak yang I ni mengantuk, so I nak tidur. Okey?"
Aqilah kembali baringkan tubuhnya ke sofa. Sungguh dia tiada masa untuk berbual dengan keluarganya itu.
"I nak you temankan I outstation dekat Johor nanti. Ada benda yang I nak settlekan dekat sana. Lepas lunch, I ambil you and kita gerak dari sini. Pastikan you dah prepare barang-barang you."
"What!"
Dato Darwin masih menumpukan perhatiannya pada surat khabar itu. Sudah lama agaknya dia tidak membaca surat khabar. Mungkin disebabkan dia sibuk di pejabat, jadi dia tiada masa untuk membaca.
Aqilah kembali duduk denga tegak. Harap dia salah dengar dengan apa yang Dato Darwin itu katakan.
"I malas nak ulang balik, Aqilah. Once I dah cakap, memang tak ada yang kedua kalinya."
Aqilah mendengus kuat sebelum mula berdiri. Sempat kakinya dihentak kuat ke lantai. Dia memang tak mahu ikut ke mana Dato Darwin pergi. Yang dia mahu hanya duit. Tapi bila suaminya sudah berkata seperti itu, dia sudah tiada peluang untuk larikan diri.
Diana mencebikkan bibirnya seraya matanya tekun memandang Aqilah menuju ke tingkap atas. Kenal sangat dengan rakannya itu.
"Diana rasa kenapa muka mummy macam tu? Merah semacam."
Surat khabar diletakkan di atas meja. Neck tie yang tersarung di leher dibetulkan.
"Entah. Period kut," balas Diana dengan menjungkitkan bahu. Dia pun terkejut melihat pipi Aqilah yang sedikit berwarna merah.
Dato Darwin bangun lalu menghampiri pintu. Namun dia berhenti di tepi anak gadisnya itu. Dia berdeham.
"Daddy nak Diana siasat apa yang dah berlaku semalam sampaikan mummy jadi macam tu. If Diana dah dapat puncanya, daddy bagi double untuk duit belanja bulan ni."
Diana terus mengangguk laju. Siapa je yang tak nak double? Bukan senang Dato Darwin nak bagi double.
"Aip, aip daddy."
Dato Darwin terus melangkah ke pintu untuk pergi ke pejabat walaupun sudah pukul 10 pagi. Dia perlu selesaikan sesuatu kerja sebelum bertolak ke Johor nanti.
Diana menutup pintu lalu bergerak menuju ke tingkap atas. Sekarang dia sudah ada misi.
TBC
Share this novel