BEEP! Beep! Beep!
Bunyi penggera telefon memenuhi ruangan bilik tidur tersebut. Dia mula mencari telefon bimbit miliknya sebelum penggera tersebut dimatikan. Jam pada telefon bimbit itu dilihat dengan mata kiri yang tertutup manakala mata kanan terbuka.
"Apa? Dah pukul sembilan pagi. Lewatnya aku bangun!"
Dengan pantas, tuala berwarna merah jambu yang berada di lantai diambil. Kakinya melangkah laju menuju ke bilik mandi. Mulutnya pula tidak berhenti daripada membebel dan menyalahkan diri sendiri kerana lewat bangun.
Beberapa minit kemudian, dia keluar dari bilik air. Dia menghampiri almari lalu mengambil pakaiannya. Sebagai anak kepada pemilik Zahra's Collection, dia mestilah datang awal ke butik. Walaupun dia bekerja bersama dengan mamanya, dia tidak semestinya harus datang lambat ke butik.
Wajah yang putih dan bersih daripada sebarang jerawat itu dipandang melalui cermin. Dia tersenyum saat melihat pantulan dirinya di cermin.
"Siti Airaa Syazah Binti Muhammad Aizhar, kau dah cukup cantik pagi ni. Kalau lelaki pandang kau, mesti dia orang jatuh longkang. Yalah, kau kan cantik," puji Airaa sambil menggelengkan kepalanya dengan matanya yang masih setia memandang cermin. Sebuah senyuman lebar terlakar di bibirnya. Tak salahkan nak puji ciptaan tuhan.
"Airaa, dah siap ke? Jom, kita sarapan sama-sama. Lepas tu, kita gerak pergi butik."
Airaa yang mengenali suara itu laju saja membalas.
"Ya, mama. Sekejap lagi Airaa turun."
Alhamdulillah, mamanya masih belum pergi ke butik. Bolehlah dia nak tumpang kerete. Jimat sikit belanja bulanan dia.
Beg silang yang tergantung di belakang pintu diambil sebelum dia keluar dari bilik tersebut. Satu per satu tangga dituruni dengan langkah yang penuh berhati-hati.
"Selamat pagi, papa, mama. Wah, banyaknya sarapan kita hari ni," sapa Airaa.
"Selamat pagi, anak papa. Duduklah." Encik Aizhar membalasnya sebelum menghirup kopi panas. Setiap hari, dia akan meminta isterinya untuk membancuh kopi. Seperti tidak lengkap hari Encik Aizhar jika tidak minum kopi buatan Puan Zahra.
Airaa tersenyum lalu mengangguk perlahan. Dia duduk bersebelahan dengan Puan Zahra sambil matanya terarah ke meja makan. Banyak makanan yang disediakan oleh Puan Zahra pada pagi itu.
Roti yang sudah disapukan dengan jem strawberi itu diambil. Walaupun banyak makanan yang disediakan oleh Puan Zahra, dia tetap akan makan roti kerana dia tidak biasa dengan makanan yang berat. Bukan apa, dia takut badan dia jadi gemuk.
"Mama, barang dari kilang bila nak sampai? Hari ni ke?"
"Ya, hari ni. Berkemungkinan kita akan sibuk sikit sebab nak susun barang lagi dekat butik. Dah cepat makan. Nanti lambat pula nak pergi sana," arah Puan Zahra yang sedang menatap skrin telefon bimbitnya. Sesekali dia melihat Airaa yang masih menjamu selera.
Sejak kebelakangan ini, Puan Zahra agak sibuk dengan perniagaan tudung miliknya. Maklumlah, dia merupakan usahawan terkenal dengan tudung pelbagai corak yang dihasilkan olehnya sendiri.
"Okey. Eh, papa tak pergi kerja ke hari ni? Abang mana? Tak nampak pun."
Airaa mencari figura abangnya di sekitar dapur. Selalunya sebelum dia bangun, Encik Aizhar akan pergi ke pejabat dahulu. Tapi hari ini, papanya hanya duduk di rumah. Abangnya? Mungkin dah pergi kerja kut.
"Papa ambil cuti hari ni. Airil yang ganti tempat papa."
"Kenapa papa ambil cuti? Papa sakit ke? Kalau papa sakit, kita pergi klinik sekarang juga. Airaa tak nak tengok papa sakit lagi."
Airaa mula menjadi risau. Mana tidaknya kalau lelaki itulah yang membesarkan dirinya dari kecil. Hatinya menjadi risau jika lelaki itu sakit.
"Tak adalah. Papa cuma penat sikit je. Banyak sangat kerja dekat pejabat sebab itulah papa nak cuti kejap," balas Encik Aizhar. Dia menidakkan soalan daripada anaknya itu.
"Oh, macam tu." Roti yang tinggal separuh dimasukkan ke dalam mulutnya.
"Papa, apa kata kita bercuti satu keluarga? Rasanya dah lama kita tak bercuti sama-sama, kan? Hmmm, kalau kita pergi, kita ajaklah Kak Hanis. Bolehkan, papaku sayang?"
Airaa memegang lengan Encik Aizhar dengan senyuman di bibir sebelum menyatukan kedua-dua tapak tangannya tanda merayu.
"Tengoklah nan..."
"Papa, please."
Airaa mencebikkan bibirnya seraya memandang wajah papanya dengan pandangan yang cuba untuk memujuk lelaki itu.
Encik Aizhar tidak dapat berbuat apa-apa lagi kalau anak perempuannya itu sudah meminta macam-macam. Airaa, anak bongsunya mana mungkin dia mahu mengecewakan Airaa. Mahu atau tidak, terpaksa juga Encik Aizhar mengangguk.
"Yeah. Macam ni, barulah sayang papa. Love you, papa."
Tergeleng-geleng Puan Zahra melihat gelagat anak bongsunya itu. Ada saja modal Airaa untuk mencuri perhatian mereka suami isteri. Setiap hari Airaa lah menjadi penghibur mereka berdua walaupun umur dah 26 tahun.
"Airaa, jom kita pergi butik sekarang. Abang, kami pergi dulu, ya. Assalamualaikum."
Puan Zahra bangun lalu menyalam tangan milik suaminya. Perbuatan yang mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri. Airaa hanya mengikuti langkah mamanya dari belakang.
"Papa, janji tau."
Sempat lagi Airaa berpesan kepada Encik Aizhar yang sedang bercekak pinggang itu.
"Yalah."
Encik Aizhar menghantar isteri dan anaknya melalui pandangan mata sahaja. Dia melambai ke arah kereta Honda Jazz yang sedang mengundur sebelum kereta itu hilang dari pandangannya.
**********
MATA dipejamkan dengan rapat sambil tangan naik mengurut pelipisnya yang sedikit sakit. Badan disandarkan pada kerusi yang diduduk. Kepalanya menjadi sakit disebabkan terlalu banyak kerja yang harus disiapkan. Terhenti perbuatannya apabila pintu belakang lik kerjanya dibuka dari luar.
"Hello, bro," tegur seorang lelaki yang sudah pun melabuhkan punggung di atas kerusi. Lelaki itu segak mengenakan pakaian pejabat.
"Assalamualaikum. Apa kau nak? Aku tengah sibuk ni." Tangannya mula membuat kerja yang tadinya terhenti. Dia tidak ada masa untuk melayan perangai tak matang sepupunya itu.
"Waalaikumsalam, Tengku Ayie Idlan Bin Tengku Mustafa. Patik, Tengku Iskandar ingin mengajak Tengku untuk makan. Eh, kau tak lapar ke?" tanya Tengku Iskandar kepada sepupunya, Tengku Ayie Idlan. Dia melihat sepupunya itu nampak tertekan.
"Kau tak dengar ke apa aku cakap tadi? Aku sibuk sekarang ni. Janganlah kacau."
Tengku Ayie menarik laci mejanya untuk mengambil fail. Fail tersebut diletakkan di atas meja lalu dibuka. Mulutnya tekun membaca maklumat yang terdapat di dalam fail tersebut.
"Alah, kau ni tak sportinglah. Asyik nak badmood je."
"Dah tahu tapi masih juga kau nak ajak aku."
"Banyak sangat ke kes yang kau urus tu?" soal Tengku Iskandar sebelum mengambil sebatang pen lalu diputarkan.
"Eleh, macam kau tak biasa pula kerja jadi peguam ni."
"Aku tanya je."
"Dalam tiga atau empat kes jugalah. Kenapa kau tanya?"
"Tak adalah. Sejak kebelakangan ni, aku tengok kau sibuk je. Kalau kau ada isterikan, aku rasa kesian dekat isteri kau tu. Yalah, dapat suami pun yang kaki kerja. Asyik nak kerja, kerja dan kerja."
Dengan spontan kepala Tengku Ayie mendongak memandang Tengku Iskandar. Ada saja yang mahu dibahaskan oleh sepupunya itu. Habis satu, satu.
"Kalau kau datang sini semata-mata nak bagi ceramah dekat aku, baik tak payahlah. Cukuplah mummy aku yang ceramah dekat rumah. Sakit kepala bila dengar pasal tu. Sekarang ni, baik kau keluar dari bilik aku. Lepas tu, tutup balik pintu," arah Tengku Ayie.
Mahu berdarah telinganya mendengar ceramah daripada Tengku Iskandar. Sudahlah di rumah dia kena bebel lepas tu pula dekat pejabat.
"Okey. Ceramah sikit pasal isteri, kau dah melenting. Kesiankanlah sikit dekat mummy kau tu, teringin sangat nak menantu. Sudah-sudahlah kisah 3 tahun yang lalu. Malaslah aku nak ajak kau pergi lunch. Ada sepupu tapi rasa macam tak ada."
Tengku Iskandar bangun dari tempat duduknya. Niatnya untuk mengajak Tengku Ayie kini terbantut kerana sepupunya itu sibuk dengan kerja.
"Eloklah tu. Kalau kau ada dekat sini pun, membebel je kerja kau. Kerja aku pula yang tak siap." Tangannya naik melambai-lambai ke arah pintu yang sudah tertutup.
Pen di tangannya diletakkan. Dia mengeluh seraya menyandarkan tubuh pada kerusi. Fikirannya sudah melayang mengingatkan cadangan daddynya semalam.
"Tak naklah daddy. Along banyak lagi kes yang nak kena urus dekat pejabat tu," bantah Tengku Ayie yang tidak bersetuju dengan cadangan daddynya itu.
"Daddy cuma nak kita satu keluarga bercuti. Dah lama kita tak bercuti bersama-sama. Kali ni tak ada yang terkecuali. Semua mesti ikut juga. Kerja boleh tangguh, kan?" tanya Tengku Mustafa.
Susah betul bila ada anak lelaki yang sibuk dengan kerja. Masa untuk bersama dengan keluarga pun tidak ada.
"Along, bolehlah ikut kami pergi bercuti. Please?" rayu Tengku Arin yang mula berdiri lalu duduk di samping Tengku Ayie. Berharap agar abangnya itu akan ikut bercuti dengan mereka.
"Kalau Along tak nak ikut, tak apa. Tapi minggu depan, pastikan Along akan bawa calon menantu untuk mummy. Faham?" Tengku Zainab tersenyum dengan penuh makna. Hanya itu saja jalan yang boleh membawa Tengku Ayie ikut bercuti dengan mereka.
"What, mummy! Okey. Along akan ikut bercuti tapi dengan syarat, Along tak nak dengar lagi pasal benda tu."
"Okey," jawab Tengku Zainab dengan selamba. Kenal sangat dengan perangai anaknya yang tidak mahu berkahwin.
"Yeah. Along ikut juga akhirnya. Daddy, bila dan dekat mana kita nak bercuti?"
Tengku Arin memandang daddynya. Tidak sabar rasanya setelah lama mereka tidak bercuti bersama.
"Kita akan bercuti dekat Pulau Langkawi dan pergi pada minggu depan. Jadi, silalah buat persediaan."
Tengku Arin bersorak dengan gembira. Manakala Tengku Mustafa dan Tengku Zainab menggelengkan kepala. Hanya Tengku Ayie saja yang mendiamkan diri.
Disebabkan malas untuk melayan karena keluarganya itu, dia mula mengatur langkah menuju ke bilik tidurnya.
TING!
Tersentak Tengku Ayie apabila mendengar deringan telefon miliknya. Aplikasi WhatsApp dibuka lalu mesej daripada Tengku Iskandar ditekan. Sepupunya itu mengatakan bahawa dia sudah lama menunggu di tingkat bawah.
Tengku Ayie berdiri sebelum melangkah untuk membuka pintu. Kesian pula dia dengan Tengku Iskandar yang sudah lama menunggunya semata-mata untuk makan tengah hari.
TBC
Share this novel