TENGKU ISKANDAR meneguk airnya sambil memandang Tengku Ayie yang berada di hadapannya. Dia sanggup tinggalkan Amira di shopping mall semata-mata untuk sepupunya itu. Nasib baik tunangnya itu tidak merajuk dengan dia. Kalau tidak, masaklah dia mahu memujuk nanti.
"Wei, kau kata nak jumpa aku? Aku sanggup tinggalkan tunang aku dekat shopping mall tu semata-mata nak jumpa kau, kau tahu tak? Aku dah ada dekat sini, depan mata kau lagi. Tapi kau buat tak tahu je."
"Hmmm." Jari Tengku Ayie masih bermain di skrin telefon miliknya. Dia tidak mempedulikan kata-kata Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar yang melihat itu hanya mampu menahan marah. Nasib baik sepupunya kalau tak, sudah lama wajah itu ditumbuknya.
"Dahlah aku nak balik. Lebih baik aku tidur daripada tengok muka kau yang macam ayam berak kapur ni. Bye."
"Yalah-yalah, aku tak main telefon dah." Telefon segera diletak di atas meja. Takut sepupunya itu benar-benar pulang.
"Kenapa kau ajak aku jumpa ni?" soal Tengku Iskandar dengan memandang Tengku Ayie.
"Saja, bosan," balas lelaki itu.
Tengku Iskandar tersenyum sinis apabila mendengar balasan daripada Tengku Ayie. Bosan? Boleh pula lelaki itu bosan dekat rumah. Straw minumnya dimain-mainkan.
"Haih, isteri dah ada kut dekat rumah takkanlah bosan lagi. Lainlah orang bujang macam aku ni. Baru je nak dating dengan tunang, dah ada orang ganggu," kata Tengku Iskandar. Dia mengerling ke arah sepupunya yang tiba-tiba senyap itu.
Lima minit berlalu, keadaan tetap sama. Senyap. Tinggal beberapa orang sahaja yang berada dalam kafe tersebut.
"Kau kenapa senyap je?"
Perlahan-lahan Tengku Ayie mengangkat kepalanya untuk memandang Tengku Iskandar. Dia sekadar menggeleng kepala.
"Tak, kau tak boleh tipu aku, Tengku Ayie Idlan. Kenapa, kau takut jatuh cinta dekat dia kalau kau duduk dalam rumah je selalu?" Sekali lagi senyuman sinis terlakar di bibir Tengku Iskandar.
Tengku Ayie melepaskan keluhan berat.
"Taklah. Kebelakangan ni, kepala aku asyik terfikirkan Zalikha je. Susah sangat aku nak buang wajah dengan sikap dia dan lebih teruk lagi, kenangan kami. Otak aku ni dah serabut."
Dia meraup wajahnya hingga kebelakangan. Kadang saat dia duduk berdua dengan Airaa, dia seakan-akan ingat segala kenangan bersama bekas kekasihnya, Zalikha.
"Kau tak cuba ke belajar cintakan Airaa ataupun terima dia sebagai isteri kau? Ramai orang kata bercinta selepas nikah ni, lebih elok. So, saranan aku, kau terimalah Airaa dalam hidup kau. Automatik, kau boleh lupakan bekas kekasih kau tu."
Tengku Ayie menggelengkan kepala lagi. Tidak, dia tidak mampu untuk terima sebab dia takut jika cintanya bertepuk sebelah tangan. Cukuplah kejadian masa lalu itu menghukum dirinya.
"Kau sebenarnya takutkan kalau cinta kau bertepuk sebelah tangan. Bro, move on please. Itu cuma masa lalu kau je tapi Airaa, masa depan kau. Aku rasa tak haram pun kalau kau orang bercinta. Kau ingat isteri kau tu tak ada perasaan ke? Entah-entah Airaa dah lama sukakan kau," bebel Tengku Iskandar. Dia sengaja menyelitkan perasan Airaa dalam bebelannya. Berharap supaya Tengku Ayie lebih terbuka hati.
"Dia sukakan aku? Tak, kut. Kami kahwin baru dua bulan, takkan cepat sangat dia sukakan aku. Memandai-mandai je kau ni," ujar Tengku Ayie sambil membetulkan duduknya. Rasa benci, marah dan gembira pun ada kalau Airaa memang sukakan dia. Dia langsung tidak faham dengan perasaan sendiri.
"Aku rasa kau lupa sesuatu ni, bro. Hati kita ni milik Allah. Allah akan hadir perasaan cinta walau sekejap mana pun kau orang berjumpa. Kau juga pernah kata dekat aku yang kau jatuh cinta pada pandang pertama dekat Zalikha. Tak mustahil untuk Airaa jatuh cinta dekat kau sedangkan kau orang berdua duduk dalam satu rumah dan satu bilik lagi."
"Kau rasa dia betul ke sukakan aku?" tanya Tengku Ayie. Mata tepat memandang wajah sepupunya untuk mendapatkan jawapan.
"Entahlah. Kenapa kau tanya aku? Kau siasatlah sendiri. Isteri kau bukan isteri aku," jawab Tengku Iskandar dengan bengang.
"Aku peguam bukannya detective."
Tengku Ayie meneguk airnya. Serabut otaknya bila berhadapan dengan Tengku Iskandar. Dia ingat berjumpa dengan lelaki itu bolehlah menenangkan fikirannya. Tapi dia silap, menambahkan serabut ladi ada lah.
**********
"NANTI kemaskan barang-barang awak."
Airaa mengerutkan dahi. "Kemas barang? Nak pergi mana?"
"Kita pindah pergi rumah baru esok. Saya dah lama beli rumah tu sebab dekat dengan pejabat. Tapi saya tak selalulah tinggal dekat sana."
Tengku Ayie berdiri daripada duduknya sebelum menuju ke pintu. Dia mahu memberitahu mummy dengan daddynya tentang hal itu.
"Rumah baru? Tapi kenapa saya tak tahu pun pasal rumah tu?" tanya Airaa seraya merenung belakang badan suaminya. Nampak sangat dia tidak penting bagi lelaki itu.
"Perlu ke?"
Mendengar soalan sinis daripada lelaki itu membuatkan hatinya sakit. Airaa menundukkan kepala. Dilihat semua jarinya yang yang bermain antara satu sama lain. Sampai bila suaminya terus bersikap seperti itu?
"Awak nak saya kemaskan baju awak? Saya bo..." Belum habis Airaa berkata, Tengku Ayie sudah bantahan.
"Tak perlu. Saya ada tangan untuk buat semua itu. Awak kemaskan je baju-baju awak," bantah Tengku Ayie. Tombol pintu segera dipulas sebelum ditutup kembali.
Dia bersandar pada dinding bilik mereka sambil menyentuh dadanya. Sakit? Ya, sakit saat berkata seperti itu kepada isterinya. Dia yakin hatinya sudah mula suka kepada Airaa tetapi dia perlu tahu sama ada itu ikhlas ataupun tidak.
Dia harus menguji isterinya namun bagaimana caranya? Sedangkan kata-katanya tadi cukup membuatkan hati isterinya. Takut gadis itu akan keluar dari bilik mereka, dia turun ke bawah menuju ruang tamu.
Terasa sebelah sofa tenggelam, Tengku Mustafa memandang Tengku Ayie yang duduk di sebelahnya.
"Along belum tidur lagi? Airaa mana?" soal Tengku Mustafa. Dia berganjak sedikit untuk memberi ruang kepada anaknya itu.
Tengku Ayie memandang siaran televisyen yang memaparkan cerita aksi. Patutlah daddynya belum tidur lagi.
"Tak boleh tidurlah, daddy. Airaa ada dekat atas. Mummy mana?"
"Mummy kamu ada dekat dapur. Daddy suruh mummy buatkan air kopi sebab nak layan cerita ni. Along nak?"
Tengku Ayie menganggukan kepala sambil matanya tak lepas daripada memandang televisyen.
"Nab, buatkan lagi satu air kopi untuk Along."
Setelah itu, figura Tengku Zainab kelihatan sambil membawa dulang yang berisi air coffee dan biskut.
"Mana Airaa?" soal Tengku Zainab. Ruang kosong di sebelah suaminya diambil. Tengku Mustafa berada di antara Tengku Zainab dan Tengku Ayie.
"Dekat atas. Dah tidur kut," ujar Tengku Ayie sambil mencicip kopi yang panas buatan mummynya.
Tengku Zainab hanya meng'oh'kan saja.
Keadaan menjadi senyap dalam beberapa minit disebabkan mereka terlalu fokus melihat filem yang bertajuk Polis Evo 2 itu. Filem yang dibintangi oleh Zizan Razak dan Shaheizy Sam.
"Mummy, daddy, sebenarnya Along nak cakap sesuatu."
Tengku Ayie membetulkan posisi badannya sebelum menghadap Tengku Zainab dan Tengku Mustafa. Sesekali matanya memandang mummy dengan daddynya.
"Along nak pindah rumah."
Pasangan suami isteri itu berpandangan sesama sendiri. Biar betul? Nak pindah rumah.
"Lah, kenapa Along nak pindah pula? Elok je mummy tengok Along dengan Airaa dekat sini. Lagi pun kalau Along pergi kerja, siapa nak temankan Airaa dekat sana? Duduk sini je lah Along," pinta Tengku Zainab dengan harapan anaknya itu akan terus tinggal di rumah mereka.
Tengku Ayie menghembus nafas berat.
"Tak bolehlah mummy. Tempat kerja Along dekat dengan rumah tu. Airaa pun kata dia nak kerja dengan mama. Mummy janganlah risau."
"Along..." Tidak sempat Tengku Zainab berkata, Tengku Mustafa sudah memintas.
"Bila nak pindah?"
"Esok, daddy."
Tengku Mustafa hanya mengangguk. Namun tidak pada Tengku Zainab.
"Kenapa cepat sangat nak pindah, Along ? Mummy belum puas lagi dengan menantu mummy tu. Airaa je yang selalu teman mummy berbual dekat rumah ni."
Filem Polis Evo 2 sudah tidak menarik di mata Tengku Zainab. Sekarang ini, dia mahu penjelasan daripada anak sulungnya itu.
"Awak ni, mestilah dia orang nak privasi. Kalau dalam rumah ni, tempat mana je yang ada privasi," balas Tengku Mustafa kepada isterinya. Tengku Zainab hanya menjeling dia sebelum memandang televisyen.
Tengku Ayie buat-buat ketawa. Nak privasilah sangat. Dia cuma mahu menguji sama ada Airaa sukakan dia atau tidak. Mahu memukul gadis itu? Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk melakukan seperti itu walaupun dia membenci kaum wanita.
TBC
Share this novel