Bab 13

Romance Series 15713

"ABANG?"

"Hmmm."

"Hish, abang ni. Tengoklah saya. Saya ada nak cakap sesuatu dekat abang. Abang dengar tak?"

"Apa yang awak nak cakap, Zah?" tanya Encik Aizhar sambil menyimpan surat khabar di atas meja. Wajah Puan Zahra dipandang dengan serius. Masa orang nak baca beritalah dia nak ajak berbual. Nasib baik isteri.

"Abang rasalah, Airaa dengan Ayie tu okey tak?"

"Kenapa awak tanya macam tu pula? Saya tengok dia orang tu okey je." Encik Aizhar mancapai secawan kopi yang berasap menandakan masih panas lagi. Dia mencicipnya dengan perlahan-lahan.

"Tak adalah. Semalam, saya nampak menantu awak tu termenung dekat luar rumah. Dia orang bergaduh ke, abang?" soal Puan Zahra lagi. Dia masih memandang wajah suaminya untuk meminta kepastian.

"Awak ni ke situ pula. Kan dia orang baru je kahwin, awak jangan risaulah. Ayie kata minggu ni dia sibuk sikit sebab nak urus beberapa kes dekat mahkamah. Faham-fahamlah kerja peguam macam mana."

Puan Zahra hanya mengangguk faham. Nama pun peguam mestilah sibuk. Harapan seorang ibu hanyalah satu iaitu mahu melihat anaknya bahagia.

"Yang awak kena risaukan sekarang ni, anak lelaki awak tu." Tambah Encik Aizhar lagi. Dia meletakkan cawan tersebut di atas meja kayu.

"Airil? Kenapa pula dengan dia? Okey je Zah tengok. Tak ada masalah. Ke dia ada cakap dekat abang yang dia nak kahwin?" Puan Zahra memandang suaminya pelik. Airil dah besar, buat apa lagi nak dirisaukan? Dia lelaki lainlah macam Airaa, perempuan.

"Okey ke macam tu? Kalau dia nak kahwin, dia akan terus bagitahu keluarga Hanis. Bukannya bawa anak dara orang ke hulur ke hilir."

"Tak salah pun, abang. Dia orang dah bertunang, lainlah kalau belum lagi. Airil pun pandai jaga diri. Saya yakin dengan anak saya tu."

Encik Aizhar mengambil semula surat khabarnya. Dia bersandar pada kerusi kayu sambil kaki disilangkan.

"Orang bertunang ni banyak cabaran dia. Airil dengan Hanis pun dah lama bertunang. Apa kata keluarga Hanis bila kita tak percepatkan perkahwinan mereka. Benda elok buat apa nak dipanjangkan lagi. Jangan sampai bila dah terjadi sesuatu, baru pula tak mahu bertanggungjawab."

"Apa abang cakap macam tu? Kita sebagai ibu bapa mestilah doakan yang baik-baik untuk dia orang. Ni tak, kata yang bukan-bukan pasal anak," bebel Puan Zahra. Tidak puas hati dengan kata-kata suaminya tadi. Kata-kata tu satu doa.

"Abang saja nak ingatkan. Kalau duit dah cukup, langsungkan aje. Tak payah tunggu lama-lama. Harap tak menangislah Airil bila Hanis tu dah jadi milik orang." Encik Aizhar menggeleng-gelengkan kepalanya. Jangan terlambat sudah.

"Saya tahulah, abang. Nanti saya bagitahu dia. Kalau saya, nak je dia orang tu kahwin bulan ni. Tapi nak buat macam mana, Airil tengah sibuk."

Encik Aizhar mendiamkan diri. Faham dengan perangai isterinya yang tidak mahu kalah. Perempuan katakan.

"Abang dengar tak ni? Dah berbuih dah mulut saya ni bercakap dengan abang." Puan Zahra memandang suaminya yang tekun membaca surat khabar. Entah berita apa yang best sangat tu sampaikan apa yang dia cakap tak dipedulikan.

"Dengar. Tapi sekarang ni, saya nak awak dengar cakap saya. Lebih baik awak pergi dapur, tolong mak masak untuk malam nanti. Awak membebel pun bukannya dapat apa-apa." Cawan kopi dihirup kembali sebelum sebiji karipap dimakan.

Puan Zahra menjeling suaminya. Eh, orang tua ni. Dia halau kita pula. Puan Zahra bergerak ke arah dapur. Malas mahu berbual dengan lelaki itu. Balik-balik dia juga yang kena.

Encik Aizhar hanya menggelengkan kepala. Baru seorang dah buat kepala dia pening. Macam manalah kalau nak tambah seorang lagi.

**********

AIRAA memandang pintu bilik air untuk kesekian kali. Dia menanti suaminya keluar dari bilik air. Dia mengeluh buat pertama kali. Berapa lama lagi dia akan bertahan dengan Tengku Ayie? Dia pasti Tengku Ayie masih belum lagi mengeluarkan sikap sebenarnya.

Tengku Ayie keluar dari bilik air sambil mengelap rambutnya yang basah. Dia sudah siap berpakaian di dalam bilik air. Airaa yang duduk di birai katil itu dipandang. Takkan gadis itu tidak mahu tidur lagi? Jam dinding pun sudah menunjukkan pukul 11 malam.

"Tak tidur lagi?" tanya Tengku Ayie tapi mata tidak memandang Airaa sebaliknya memandang cermin.

"Belum lagi. Hmmm, awak. Saya nak tidur dekat mana ni?"

"Katil."

"Awak?"

"Dekat sofa."

Airaa menunduk memandang bawah. Dia bersyukur bila lelaki itu menjawab soalannya. Yang masalahnya lelaki itu menjawab dengan jawapan yang paling pendek. Soalan panjang, tetapi jawapan pendek. Mana aci macam tu.

Tengku Ayie mendekati katil untuk mengambil bantal dan selimut. Perbuatannya sempat dihalang oleh Airaa.

"Kenapa tak tidur atas katil? Ini kan katil awak."

"Kan saya dah kata yang..." Tengku Ayie bercekak pinggang. Tuala diletakkan di atas bahu kanannya. Gaya seperti seorang ayah yang sedang membebel anaknya.

"Okey-okey. Awak tidurlah dekat atas katil. Mesti badan awak tu sakitkan sebab tidur dekat lantai semalam. Tak apa saya boleh je tidur atas sofa," tutur Airaa sebelum mengambil bantal. Takut jika hatinya bakal sakit dengan kata-kata daripada lelaki itu.

"Suka hati awaklah."

Tengku Ayie meletakkan kembali bantal dan selimut. Dia duduk di birai katil. Matanya memandang Airaa yang hanya mengambil bantal. Melihat itu membuatkan hatinya menjadi tidak tenang. Airaa sanggup tidur di sofa semata-mata untuk dia. Dan dia pula tidur di atas katil.

Airaa menghampiri sofa panjang yang ada di dalam bilik itu. Nasib baiklah dalam bilik tu ada sofa, kalau tak, terpaksalah dia tidur dekat lantai.

"Hmmm, bolehlah daripada tak ada. Seronok juga tidur dekat sini." gumam Airaa perlahan. Walaupun dia tidak pernah tidur di atas lantai tapi dia tahu sakitnya macam mana. Sebab itulah dia menyuruh Tengku Ayie tidur di atas katil.

Tengku Ayie hanya memerhati tingkah laku isterinya. Airaa, seorang yang mudah tertidur bila berasa selesa dengan sekeliling. Tapi selesakah gadis itu tidur di atas sofa?

Tengku Ayie baring menghadap Airaa yang sudah lena di atas sofa tanpa ada selimut. Dia bangun semula untuk menyelimutkan Airaa. Sempat lagi dia menilik wajah berseri Airaa yang sedang tidur.

"Maafkan saya kalau awak terasa dengan kata-kata dan perbuatan saya. Tapi tolong, jangan bukakan hati awak untuk saya. Sebab saya takut saya tak dapat nak balas cinta awak. Itu semua untuk kebaikan kita berdua. Kalau awak nak berpisah, saya akan lepaskan awak. Buat apa kita nak bersama kalau hati tak boleh bersatu, kan," kata Tengku Ayie sambil mengelus pipi Airaa. Dia tak kesah kalau Airaa dengar ataupun tidak. Sekurang-kurang dia sudah luahkan apa yang terpendam. Itu yang dia mahu.

Adakah hatinya masih enggan untuk menerima kehadiraan Airaa sebagai isteri? Ataupun hatinya masih ada seorang insan yang bernama Zalikha?

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience