Bab 53

Romance Series 15713

TENGKU ISKANDAR mendekati Tengku Ayie yang berada di atas katil tersebut. Dia berdiri di sisi katil sebelum menjeling sedikit untuk melihat siapa wanita yang berada di sebalik selimut itu namun tidak kelihatan.

"Weh, Ayie! Kau bangunlah! Ayie!" kata Tengku Iskandar sedikit kuat seraya memukul bahu lelaki itu. Sumpah! Dia tidak percaya ini yang sepupunya itu lakukan.

Airaa sudah jatuh terduduk dengan matanya yang tidak lepas memandang Tengku Ayie. Dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Rasa marah, kecewa, sedih, semuanya bercampur. Tapi rasa yang menguasai dirinya kini ialah marah. Marah kerana lelaki itu bersama wanita lain.

Tengku Ayie bangun dari tidurnya dengan mata yang tertutup. Suara Tengku Iskandar membuatkan tidurnya terganggu. Dia masih dalam keadaan mamai. Tangan kanannya naik mengusutkan rambut bahagian belakang.

"Apa ni, Is? Aku nak tidurlah. Aduh, kau ni. Kacau aku je nak tidur," ujar Tengku Ayie sebelum menyandarkan tubuhnya pada kepala katil. Tangannya beralih ke mata sebelum digosok dengan perlahan.

Airaa bangun dari duduknya. Dia mendekati Tengku Ayie yang tidak menyedari kehadiran dirinya. Air matanya mengalir akibat kecewa dengan sikap lelaki itu. Lelaki yang dia mahu sehidup semati. Lelaki yang dia mahu menjadi pemimpinnya. Lelaki yang dia mahu menjadi bapa kepada anak-anak. Namun lelaki itu 'tidur' bersama wanita yang dia sendiri tidak tahu.

Pang!

Wajah Tengku Ayie terteleng ke kanan. Pedih dia rasakan pada pipi kirinya selepas menerima tamparan itu. Dia menyentuh pipinya yang sakit dengan mata yang terpejam rapat.

"Apa ni Is, kenapa kau...."

Tengku Ayie membuka mata sebelum terkaku melihat kehadiran Airaa yang sedang berdiri di hadapannya. Air mata wanita itu mengalir laju. Bagaimana isterinya boleh berada di situ? Dan kenapa wanita itu menangis?

Pandangan mata Tengku Ayie jatuh melihat selimut yang menutupi dirinya. Selimut diselak perlahan. Dia masih memakai seluar namun bajunya sudah hilang entah ke mana. Dia membulatkan mata apabila terpandang wanita yang berada di sisinya. Wajah wanita itu tertutup di sebalik selimut dan hanya rambut yang kelihatan.

"Sa... sayang, abang boleh explain benda ni."

Tengku Ayie terkedu melihat bahu Airaa yang terhinjut-hinjut.

"Sampai hati awak buat saya macam ni. Saya ikhlas cintakan awak tapi ini balasan awak untuk saya. Kalau awak nak sakitkan hati saya, bunuh saya saja."

Airaa menangis seraya memukul dada Tengku Ayie. Sakit yang dia rasakan. Terasa Tengku Ayie mempermainkan cintanya selama ini. Cinta yang dia beri hanya untuk lelaki itu. Lelaki yang sudah mencuri hatinya pada pertemuan pertama mereka. Jijik sangatkah cintanya kepada lelaki itu sampaikan dia harus diduakan? Benarlah orang kata, habis madu, sepah dibuang.

"Sayang...," ucap Tengku Ayie. Dia cuba menangkap tangan Airaa daripada terus memukul dirinya. Dia sendiri tidak tahu macam mana dia boleh berada di dalam bilik itu. Dan siapa wanita yang berada sebelahnya.

"Jangan panggil saya sayang kalau awak tak sayangkan saya. Saya bukan mainan untuk awak mainkan. Awak buat saya macam ni sebab nak balas dendam, kan. Dendam awak pada Zalikha tapi saya mangsanya. Awak benci pada wanita termasuk saya, kan."

Airaa menuding jari kepada dirinya sendiri. Sakit. Lebih sakit rasanya bila diduakan. Dia bukan binatang yang tidak ada perasaan. Dia cintakan lelaki itu setulus hati tapi ini yang dia dapat?

"Ta... tak, sayang. Tak."

Tengku Ayie menarik Airaa masuk ke dalam pelukannya. Dia menguatkan pelukan tersebut apabila Airaa meronta-ronta untuk dilepaskan. Dia tidak sanggup mendengar apa yang isterinya katakan. Dia berani bersumpah kerana apa yang Airaa katakan adalah tidak benar. Dia tidak jadikan isterinya sendiri sebagai mangsa. Bagaimana mungkin dia mahu menyakiti Airaa kalau dia benar-benar cintakan wanita itu.

"Awak dah mabukkan saya dengan cinta palsu awak. Awak bagi cinta tapi sebenarnya itu racun. Racun yang mampu menghancurkan hati saya. Siapa saya dalam hati awak, Tengku Ayie Idlan?"

Airaa berusaha untuk meleraikan pelukan tersebut. Dia tidak sanggup berada dalam pelukan orang yang menghancurkan hatinya. Lelaki yang mulutnya penuh dengan kata-kata manis namun hatinya dipenuhi dengan rencana yang jahat.

Tengku Arin mahu mendapatkan kakak iparnya tapi dihalang Tengku Iskandar. Tengku Iskandar takut jika Tengku Arin terlibat, mungkin boleh menimbulkan lagi masalah. Dengan melihat keadaan Airaa seperti itu, dia pasti wanita itu cukup tertekan.

Pang!

Airaa terlepas dari pelukan Tengku Ayie selepas memberi tamparan kepada lelaki itu. Air matanya semakin banyak berguguran. Mengapa dia terlalu lemah bila berhadapan dengan lelaki itu? Sebab cintakah dia menjadi lemah?

"Awak boleh tidur dengan mana-mana perempuan tapi ceraikan saya dulu. Saya tak sanggup nak bagi cinta saya dekat orang yang tak pandai nak hargai. Awak layan saya dengan baik tapi ada agenda di sebaliknya."

Airaa mengundur beberapa langkah. Ikutkan hati, mahu saja dia membunuh lelaki itu kerana telah menghancurkan segala impiannya. Impiannya yang mahu hidup bahagia bersama orang yang tersayang. Namun dia lemah kerana rasa cintanya kepada lelaki itu cukup kuat berbanding dengan rasa marah. Tapi hatinya sakit. Sakit bila lelaki yang berada di hadapannya itu telah menghancurkan hati miliknya.

Airaa melihat wanita yang berada di sisi Tengku Ayie sedang mengeliat. Mungkin tidur wanita itu terganggu disebabkan suaranya. Tengku Ayie juga menoleh ke arah wanita tersebut. Wajahnya jelas terkejut apabila melihat wajah wanita itu.

"A... A... Aqilah."

Airaa menggeleng-gelengkan kepalanya. Rupanya ada gunting dalam lipatan apabila melihat kawan perempuan kepada suaminya. Ya Allah! Patutlah suaminya itu kerap balik lewat ke rumah. Teringat dia yang Tengku Ayie pernah berkata bahawa mereka hanya berkawan.

"Abang dengan Aqilah tu cuma kawan je. Tak lebih pun dari itu. Abang tolong dia uruskan satu kes."

Kawan? Kawan apa sampai macam ni sekali? Kawan sebilik? Sekatil? Lepas tu tolong uruskan kes. Kes apa? Kes penceraian mereka? Airaa menggeleng-gelengkan kepalanya. Terasa sakit mula menghimpit ruangan hatinya. Beginikah perasaan seorang isteri bila mendapat tahu yang suaminya curang?

Aqilah laju menyandar pada kepala katil dengan selimut yang menutup badannya selepas mencerna apa yang sudah berlaku. Tangannya menggenggam kuat selimut tersebut. Matanya terlihat satu tompokan merah di bahagian hujung katil. Tergeleng-geleng kepalanya melihat itu.

"Yo... you buat apa dekat I, Ayie? Kenapa you ada dekat bilik I sekarang ni? Kenapa kau orang ada dekat bilik aku ni?" soal Aqilah sebelum pandangannya jatuh melihat Airaa yang sedang berdiri dengan air yang tidak berhenti mengalir.

"Aqilah, tolong bagitahu dia orang yang kita tak buat apa-apa pun dalam bilik ni. Kita..."

"Cukup! Tak perlu nak jelaskan lagi! Bukti dah ada depan mata. Awak tak perlu nak tipu saya!" jelas Airaa dengan memandang Tengku Ayie. Dia melihat setitis air mata Tengku Ayie jatuh. Mungkin dulu dia masih ada rasa kasihan terhadap lelaki itu tapi tidak kini. Hatinya sudah tertutup buat lelaki yang bernama Tengku Ayie. Andai dengan bercerai boleh menyelesaikan masalah di antara mereka, dia sanggup.

Airaa memegang rantai yang berada di sebalik tudungnya. Otaknya berpesan agar mendengarkan penjelasan daripada suaminya dahulu namun hatinya cukup membantah. Kerana apa yang keluar dari mulut lelaki itu akan lebih menyakiti dirinya. Lelaki itu akan menipu dirinya.

"Rantai ni..."

Tengku Ayie menggelengkan kepala dengan perlahan. Dia seakan tahu apa yang bermain di minda wanita itu. Satu saja dia mahu. Biar dia dipukul atau dibunuh, asalkan wanita itu tidak membuka rantai yang dia beri. Kerana rantai itu menjadi saksi penyatuan cinta mereka.

Melihat gelengan daripada Tengku Ayie, Airaa tahu bahawa lelaki itu tidak mahu dia menanggalkan rantai tersebut. Tapi hatinya sakit apabila membayangkan bagaimana lelaki itu memilih rantai tersebut. Rantai tersebut dipilih oleh wanita yang sekarang berada di sisi suaminya. Katakan pada dia, hati isteri mana yang tidak sakit bila rantai tersebut dipilih oleh wanita lain dan bukan suaminya!

Airaa memejamkan matanya. Dengan sekali rentap, rantai itu sudah tertanggal dari lehernya. Dia tahu kenapa lelaki itu memilih huruf A kerana nama Aqilah juga dimulakan dengan huruf A. Sungguh dia bodoh kerana tidak memikirkan tentang itu.

Hati Tengku Ayie terasa disiat-siat saat rantai yang dia beri telah pun tertanggal dari leher isterinya. Andai dia boleh mengundurkan waktu, dia mahu duduk saja di rumah. Melihat Airaa yang menangis membuatkan hati lelakinya sakit. Dia menunduk wajahnya seraya menahan tangisannya yang hampir pecah. Biarlah dia dikatakan lemah, dia sudah tidak peduli lagi.

Airaa menggenggam rantai tersebut. Rantai yang selalu diusap sejak sebulan yang lalu. Dia sangat gembira apabila Tengku Ayie memberikan dia hadiah. Namun perasaan gembira itu tidak bertahan lama. Mengapa? Mengapa dia harus diuji seperti ini? Bukan ini yang dia mahukan!

Airaa mendekati suaminya sebelum rantai tersebut dicampakkan ke dada Tengku Ayie. Dia tidak mahu memakai barang yang bukan miliknya. Dia tidak mahu digelar sebagai pencuri.

Mata dipejamkan. Betapa sakitnya bila dia mengharap sebuah kebahagian namun kesedihan pula yang muncul. Begitu sakitnya sebuah pengharapan. Mengharap sesuatu yang pastinya bukan miliknya.

Tengku Arin terkejut melihat perbuatan kakak iparnya itu. Sampai macam tu sekali perubahan pada diri Airaa. Di mana kakak iparnya yang selama ini lemah lembut?

Tengku Ayie turun dari katil sebelum melutut di hadapan isterinya. Kepalanya masih menunduk. Tidak kuat untuk bertentangan mata dengan wanita itu. Mata yang selalunya memancar rasa cinta, kini dengan jelas mata itu memancarkan kesakitan. Kesakitan yang sudah lama dipendam tanpa rasa mahu diluahkan.

Tangan Airaa cuba untuk genggam. Dia menarik nafas lega apabila isterinya tidak menolak. Dapat dia rasakan tubuh Airaa yang sedikit menggigil. Mungkin menahan tangisannya supaya berhenti.

"Abang... abang minta maaf, sayang. Apa yang sayang nampak bukan macam yang sayang sangkakan. Abang tak tahu pasal benda ni. Tolong, percayakan abang, sayang."

Tengku Ayie merapatkan tangan Airaa ke wajahnya. Dia tahu dia sudah melukakan hati isterinya. Dia tidak terfikir pun perkara tersebut bakal terjadi. Wajahnya berubah menjadi merah akibat menahan tangisannya. Hatinya pedih sejak wanita itu mengguna perkataan saya-awak.

Airaa tersenyum sinis sebelum menggelengkan kepalanya. Dia belum buta lagi untuk menilai apa yang dia lihat tadi. Lagi-lagi bila dia terpandang tompokan merah itu. Sakitnya hanya dia yang rasa. Suaminya telah menghancurkan maruah seorang wanita yang bernama Aqilah.

"Saya dah nampak bukti, awak. Bukti yang menunjukkan segala-galanya. Awak nak saya percayakan awak? Kepercayaan saya pada awak dah hancur dan awak sendiri yang hancurkan kepercayaan tu."

Airaa mengundur beberapa langkah. Dia sudah tidak kesah dengan pandangan orang lain terhadap dirinya. Orang lain takkan pernah rasa sakit yang dia alami.

"Saya maafkan awak tapi dengan syarat."

Dengan pantas Tengku Ayie mendongakkan kepalanya. Bagilah dia syarta macam mana sekali pun, dia tetap akan patuhi. Semuanya untuk meraih sebuah kemaafan yang nilainya sangatlah mahal.

Airaa memandang tepat ke dalam anak mata Tengku Ayie. Dia tahu apa yang dikatakannya nanti bakal melukakan hati Tengku Ayie. Tapi dia harus lakukan juga kerana hatinya turut terluka.

"Kahwin dengan Aqilah dan ceraikan saya."

Tusss!

Bagaikan ada petir yang menyambar pangkal hati Tengku Ayie. Dia menggelengkan kepala. Tidak! Tidak mungkin dia mahu melepaskan Airaa. Baginya, melepaskan wanita itu akan membuatkan dirinya menyesal seumur hidup. Dia tidak mampu hidup tanpa wanitu itu di sisinya. Kalau Airaa tinggalkan dia, siapa yang akan menjaga pakaian, makan dan minumnya nanti? Dia boleh lakukan semuanya syarat yang Airaa beri tapi tidak untuk berkahwin dengan Aqilah dan menceraikan Airaa.

Air mata Airaa menitiskan saat dia mengatakan perkara tersebut. Selama dia bersama Tengku Ayie, tidak pernah pun dia terfikir mahu berpisah. Inikan pula untuk bercerai. Tapi dia mahu lelaki itu bertanggungjawab dengan apa yang terjadi kepada Aqilah. Dia mahu suaminya berkahwin dengan Aqilah namun dia tidak sanggup untuk hidup bermadu.

Airaa melangkah keluar dari bilik tersebut. Membawa sekeping hati yang telah pun hancur akibat perbuatan seorang insan yang dia cintai. Lelaki yang mampu membimbing dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selama beberapa bulan yang lalu, dia berusaha untuk mendapatkan lelaki itu sehinggakan dia masuk hospital disebabkan mahu meraih kasih sayang. Tapi ini balasan Tengku Ayie untuk dirinya. Di mana kedudukannya dalam diri lelaki itu? Di dalam hati ataupun sekadar di tapak kaki?

Tengku Ayie yang mahu mengejar isterinya telah dihalang oleh Tengku Iskandar.

"Bagi masa untuk dia bertenang, Ayie. Dia terkejut sangat tu. Kau bagi dia ruang untuk berfikir."

Tengku Ayie menggeleng laju. Airaa masih perlukan dia. Dia tetap dengan keputusannya.

"Aku tak buat semua ni, Is. Aku tak buat semua ni tapi kenapa Airaa tak nak dengar penjelasan aku? Kau percayakan yang aku tak buat semua ni?" soal Tengku Ayie dengan tubuhnya yang sudah melorot ke bawah namun masih sempat ditahan oleh Tengku Iskandar.

Tengku Iskandar hanya mengangguk perlahan. Dia tiada jawapan untuk soalan daripada sepupunya itu. Terlalu sukar untuk dia percaya. Dia harus mencari kebenarannya supaya rumah tangga sepupunya itu kembali utuh.

Tengku Arin menggenggam tangannya membentuk penumbuk. Dia memandang tajam ke wajah Aqilah yang menangis teresak-esak di atas katil. Laju dia mendekati wanita itu sebelum satu tamparan diberikan.

Pang!

"Kau memang tak ada maruahkan, perempuan! Sanggup kau hancurkan rumah tangga abang aku untuk kebahagiaan kau! Kau tu perempuan tapi janganlah murah sangat!" kata Tengku Arin sebelum menunjal kepala Aqilah sehinggakan terhantuk pada kepala katil. Sungguh dia geram dengan perempuan yang terlalu murah. Dia listkan wanita itu sebagai perempuan tak ada maruah.

Rambut Aqilah yang serabai itu ditarik ke belakang. Terlihat wanita itu mendesis kesakitan.

"Kalau jadi apa-apa sesuatu yang buruk dekat kakak ipar aku tu, kau orang kedua yang aku cari."

Tengku Arin berdiri daripada duduknya apabila Tengku Iskandar mula bersuara. Ikutkan hatinya, habis wanita itu dikerjakannya. Mata Tengku Arin menatap tajam figura abangnya yang sedang memakai baju.

"Along ingat, kalau jadi apa-apa dekat akak, adik takkan maafkan Along."

Baru saja Tengku Ayie mahu membalas, telefon miliknya berdering menandakan ada panggilan yang masuk. Dia mengambil telefon tersebut sebelum diangkat.

"Waalaikumsalam, ya saya suami dia. Kenapa encik guna telefon isteri saya ni?" tanya Tengku Ayie dengan sebelah tangan mencekak pinggangnya. Panas hatinya apabila lelaki lain menggunakan telefon Airaa.

Mendengar balasan daripada lelaki itu membuatkan Tengku Ayie menoleh ke arah Tengku Iskandar dan Tengku Arin. Wajahnya jelas kerisauan.

"Accident?"

**********

TENGKU AYIE menyandarkan badannya pada dinding hospital sambil matanya merenung pintu wad tersebut. Dia jadi tidak senang duduk apabila memikirkan keadaan isterinya. Badannya dibongkokkan dengan siku yang menongkat di paha. Hatinya tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT agar Airaa dalam keadaan baik.

Kedengaran beberapa tapak kaki yang melangkah ke arah dirinya. Dia menoleh ke kanan untuk melihat siapa yang datang. Air liurnya ditelan dengan perlahan saat terpandang wajah bengis milik abang iparnya.

Tengku Ayie berdiri dari duduknya. Melihat wajah bengis Airil, tahulah dia yang lelaki itu sedang marah. Terlihat juga kerisauan pada wajah Puan Zahra dan Encik Aizhar yang berlari anak menuju ke arah dirinya.

Buk!

Satu tumbukan tepat mengena pipi kiri Tengku Ayie sehinggakan dia terjatuh ke lantai hospital. Dia yang tidak tahu akan mendapat tumbukan itu hanya meringis kesakitan. Dia tidak mahu membalas tumbukan tersebut kerana takut mengeruhkan lagi keadaan.

Tengku Iskandar segera menahan Airil daripada terus menyakiti sepupunya itu. Sebab itulah dia tidak mahu pulang ke rumah dulu. Dia pasti Airil akan marah kepada Tengku Ayie. Dengar saja suara lelaki itu dari corong telefon tadi, dia tahu Airil betul-betul sayangkan Airaa. Dah nama pun adik-beradik, mestilah ada perasaan sayang.

"Itu untuk kau sebab kau dah buat adik aku macam tu," ujar Airil dengan dadanya yang berombak kuat. Dengan penuh kesabaran dia datang ke hospital apabila mendapat panggilan yang Airaa kemalangan. Satu-satunya adik yang dia ada.

Tengku Ayie berdiri dengan wajah yang ditundukkan. Terasa dirinya kerdil apabila berdepan dengan lelaki itu. Hati kembali sebak. Kalaulah dia batalkan tadi perjumpaan tersebut, mungkin semua itu tidak akan terjadi.

Tengku Iskandar melepaskan pegangan pada bahu Airil apabila melihat lelaki itu mahu duduk.

"Apa kau dah buat dekat adik aku, hah? Airaa, satu-satunya adik aku. Aku sayangkan dia lebih daripada nyawa aku sendiri. Tolonglah kalau kau tak mampu nak jaga dia, lepaskan dia. Aku ada untuk jagakan dia," kata Airil dengan nada yang perlahan. Air matanya cuba untuk ditahan. Dia risaukan keselamatan adiknya. Macam mana kalau terjadi sesuatu yang tidak diduga? Kuatkah dia?

Tengku Ayie hanya mendiamkan diri. Dia tahu salahnya kerana mengabaikan tanggungjawab yang diberikan kepada dirinya. Dia lalai dalam melaksanakan amanah bapa mentuanya. Sungguh dia kecewa dan kesal dengan diri sendiri.

"Airil, jangan cakap macam tu, nak. Mungkin dah takdir untuk Airaa. Airil kena reda dengan apa yang berlaku ni. Tak boleh tuduh Ayie sesuka hati," tutur Puan Zahra yang duduk bersebelahan dengan Encik Aizhar. Ibu mana yang tidak risau apabila mendapat panggilan yang anaknya kemalangan. Tangannya mengusap belakang tubuh miliknya suaminya.

Tengku Ayie mendongakkan wajahnya untuk memandang ibu dan bapa mentuanya. Kelihatan Encik Aizhar yang duduk di kerusi namun tangan lelaki itu terletak di dada. Dada Encik Aizhar turun naik mungkin disebabkan terkejut mendengar berita itu.

Dia menghampiri bapa mentuanya itu. Terbit rasa bersalah dalam hatinya. Andai dia dapat menahan Airaa daripada keluar dari bilik itu, mungkin perkara tersebut tidak berlaku. Perlahan-lahan Tengku Ayie melutut di hadapan Encik Aizhar.

"Ayie minta maaf, pa. Ayie gagal nak jaga anak papa. Sepatutnya Ayie jaga dengan betul amanah yang papa bagi dekat Ayie. Ayie dah hampakan papa dengan sikap lalai Ayie. Kalau papa nak pukul Ayie pun papa pukullah. Sebab Ayie dah buat anak papa macam tu."

Terhinjut-hinjut bahu Tengku Ayie menahan tangisannya. Argh! Dia suami tak guna. Sebab dia lah, Airaa masuk hospital. Sebab dia, Airaa menanggung kesakitan. Kesakitan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengubati dan menyembuhkannya.

Terasa bahunya diusap perlahan, dia mengangkat wajahnya. Wajah tenang yang dipamerkan oleh Encik Aizhar membuatkan hati Tengku Ayie diserang rasa bersalah. Begitu tenangnya wajah seorang bapa walaupun anaknya sedang dirawat di dalam wad tersebut. Bagaimana reaksi bapa mentuanya jika dia lah punca masalah berlaku? Dan apa yang terjadi di hotel tadi? Masihkah dia diterima sebagai menantu dalam keluarga itu?

"Papa tak marah dekat kamu, Ayie. Papa tahu apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah SWT nak uji hamba-Nya untuk jadi tabah dan kuat. Cuma papa nak tahu macam mana Airaa boleh kemalangan. Kamu berdua gaduh ke?"

Soalan daripada Encik Aizhar itu menyentakkan Tengku Ayie. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus dia berikan. Patutkah dia berbohong ataupun berkata benar tentang apa yang terjadi di hotel tadi?

TBC

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience