BAB 67

Romance Series 26775

SETELAH kejadian seminggu lepas, Emir diarahkan untuk sentiasa menemani ke mana saja Natasha pergi. Dia ditugaskan untuk melindungi Natasha sementara Eric ditugaskan untuk mencari maklumat berkenaan kejadian tersebut.

Meskipun agak kekok ditemani Emir ke mana saja, Natasha tak mampu nak melawan. Arahan daripada Kayden harus diikuti. Jika tidak, Emir yang akan menanggung akibatnya. Dan dia tidak mahu menjadi punca Emir dihukum.

"Tasha nak jumpa Amira je pun! Bukan nak ke mana-mana"

"Ye abang izinkan. Tapi Emir teman ye?"

Natasha mengeluh. Seakan tak ada privasi antara dia dan Amira jika Emir ada bersama.

Sudah seminggu sejak peristiwa itu berlalu. Dalam tempoh itu juga, belum ada apa-apa lagi kejadian pelik yang menimpa mereka. Laporan polis juga telah dibuat. Siasatan juga masih berjalan. Jadi untuk apa Kayden bertindak sejauh ini? Dia yakin, pelaku tersebut ketakutan kerana perkara ini sudah melibatkan pihak polis.

"Melawan cakap abang ke?"

Wajah serius Kayden ditatap. Sekali lagi dia mengeluh.

"Tasha takkan apa-apa. Dah seminggu kan kejadian tu?"

"Tasha.." Kayden mempamerkan riak bengisnya. Semakin Natasha degil, semakin hatinya keras.

"Bosanlah macam ni!" bentak Natasha lantas meninggalkan Kayden di situ. Dia berjalan menuju ke kereta yang sudah siap ditunggu oleh Emir. Masuk saja ke dalam kereta, mulutnya mendengus kasar.

Kayden mendekati Emir. Wajah cemberut Natasha dipandang.

"Make sure she's always okay!"

Itu pesanan Kayden kepada Emir setiap kali mereka keluar.

"TAK habis lagi kes tu?" soal Amira tatkala melihat Emir duduk tidak jauh dari mereka. Matanya melihat sekeliling, kemudian beralih ke arah mereka. Mungkin untuk memastikan tiada apa-apa yang mencurigakan. Natasha sudah menceritakan segala-galanya kepada dia. Gerun dia mendengar berita tersebut. Siapalah sengaja menempah maut dengan mensasarkan Natasha? Tidakkah mereka tahu jika Kayden itu agak bahaya orangnya?

Natasha mengeluh. Pandangannya berkalih ke arah Emir. Si pengikut Kayden yang setia dan berani mati! Satu-satunya orang kepercayaan Kayden setakat ini selain Eric.

"Entahlah! Bosanlah kena kawal selalu macam ni. Macam takde kebebasan"

"Kayden buat semua ni untuk kebaikan kau"

"Tapi aku tak suka! Dah seminggu kan, mana ada benda pelik pun"

"Kita tak tahu apa yang ada dalam kepala orang yang serang kau tu. Mungkin dia sengaja senyap seminggu ni untuk buat kau rasa selamat. Tapi once kau dah selesa, masa tu dia serang kau lagi. Tu yang buat Kayden takut kot" Amira membuat andaian sendiri.

"Hmm, entahlah!" keluh Natasha.

"Kenapa kau tak berehat je kat rumah? Kau nampak sarat dah sekarang"

Kasihan pulak dia lihat wajah pucat Natasha. Jalannya pun agak perlahan.

"Dah nak masuk tujuh bulan. Tapi aku rasa macam nak terberanak pulak"

Amira tertawa kecil.

"Kau kan mengandung kembar. Tenaga kena plus plus!"

"Yelah! Ni, kau dengan Rafik macam mana?"

Amira menjongket bahu. Kehidupannya berjalan seperti biasa. Dia dan Rafik seperti orang asing meski duduk di bawah satu bumbung.

"Takde jalan penyelesaian lagi?"

Amira mengunci mulut. Jangan tanya dia sebab dia pun tak punya jawapan yang jelas!

"Tak bolehlah macam ni terus babe! Kau tu isteri tau? Tak baik layan suami kau macam tu"

Nasihat Natasha sambil menyorotkan pandangan ke wajah itu.

"Aku rasa luculah!" getus Amira.

"Maksud kau?"

"Dulu pun kita pernah dalam situasi ni. Bezanya aku yang nasihat kau. Sekarang kau pulak ambik alih kerja aku"

Ya, Natasha setuju itu. Dulu dialah yang sering dinasihati Amira. Kini semuanya sudah berubah. Tak disangka Amira merasai pengalamannya dahulu. Bergaduh dengan suami sendiri gara-gara salah faham dan penipuan. Namun dia kini sudah bahagia. Dan seperti dia, besar harapannya jika Amira menemui kebahagiaan tersebut juga.

"Kalau aku boleh bahagia, kau pun boleh jugak.."

Jemari Amira digenggam.

"In Shaa Allah" ucap Amira dengan senyuman lebar.

"Shopping nak?" cadang Natasha. Terapi terbaik untuk melepaskan tekanan!

"Emir macam mana?"

"Tak payah risau pasal dia. Tahulah aku nak buat apa"

BERITA yang dibawa oleh Eric seakan tak mampu untuk dipercayai. Bergegas dia ke tempat tersebut dengan teka-teki bermain di fikiran.

Tiba di tempat tersebut, beberapa orang awam serta anggota polis sudah berada di sana. Garisan polis dibentang bagi menghalang sesiapa yang tidak berkenaan memasuki kawasan tersebut.

Derap kaki Kayden bergerak perlahan-lahan mendekati mayat yang terdampar di atas tanah. Nafasnya seakan sesak memikirkan gerangan tersebut. Kepala digeleng berkali-kali. Tak! Tak mungkin!

"Kay" seru Aakif, salah seorang pegawai polis yang bertugas. Dia yang mengenali Kayden kerana insiden yang berlaku sebelum ini juga merupakan salah seorang teman seuniversitinya.

Kayden mematikan langkah. Mayat tersebut berada tepat di hadapan matanya. Tanpa sedar, air matanya sudah berlinangan.

"Kau nak tengok dia?" tanya Aakif.

Kayden mengangguk lemah. Lutut rasa goyang.

Kain yang menutupi sekujur tubuh itu diselak sedikit. Melihat wajah pucat yang sudah tak bernyawa itu, Kayden hampir rebah. Terduduk di atas tanah lantas didekatkan tubuhnya ke sisi mayat.

"Ayah!! Ayahh!!"

Kayden tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kamal sudah tidak bernyawa. Selama ini dia mencari Kamal, rupa-rupanya penemuannya dikejutkan dengan mayat tersebut.

"Sabar Kay! Tabah!" ucap Aakif sambil menahan tubuh kekar itu.

"Macam mana ayah aku boleh meninggal?"

"Perkara ni masih dalam siasatan. Kami akan hantar mayat dia ke hospital. Tapi rasanya dia bukan kena bunuh. Mungkin accident atau self-accident. Kat sini ada dua CCTV. Pihak kami akan siasat perkara ni"

Kayden menyeka air matanya. Meski banyak yang telah menimpanya gara-gara olah Kamal, namun dia tetap mengasihi lelaki tersebut. Jahat macam mana sekalipun, Kamal masih ayah kandungnya.

"Tuan, kami jumpa ni tak jauh dari tempat mayat" ujar salah seorang polis. Barang tersebut diserahkan kepada Kayden.

Terketar-ketar Kayden membuka bungkusan tersebut. Pilu hatinya tatkala melihat ada empat pasang baju bayi yang cantik. Air mata yang ditahan kembali menuruni pipi.

Dipandangnya wajah Kamal lagi. Mungkinkah baju tersebut untuk bayi kembarnya?

"Kay.." Bahunya disentuh oleh Aakif.

Kayden bangkit dan mengangguk ke arah Aakif.

"Kalau ada apa-apa, aku akan maklumkan kau"

Kayden angguk lantas berjalan ke arah kereta. Masuk saja ke dalam kereta, bungkusan tersebut diselongkar lagi. Ada sebuah nota kecil di situ.

'maafkan ayah'

Pengakuan tersebut bikin hati Kayden sesak. Ya Allah! Ya Allah! Dia menyesal dengan apa yang telah terjadi. Dia dapat merasakan kekesalan yang terbit dari hati Kamal. Adakah Kamal ingin mereka berdamai?

Ada satu lagi nota kecil terselit di sebalik kotak baju. Ditariknya nota tersebut. Sekali lagi, hatinya meruntun pilu.

'untuk cucu tok ayah'

"Ya Allah! Ya Allah!!"

Terlalu sakit rasa kehilangan ini. Rasa yang tak pernah dia bersedia untuk menghadapinya. Kenapa? Kenapa harus dia diuji dengan perkara ini?

Wajah diraup kasar. Keluhan panjang terdengar. Panggilan telefon daripada Emir diterima.

"Hmm?"

Nadanya kedengaran lemah.

"Bos, puan..puan hilang!!"

SATU mall dipusing, digeledah bahkan disiasat tetapi tak ada satu pun yang mengetahui keberadaan Natasha. Dia hilang tanpa jejak.

Kebimbangan Kayden semakin menjadi-jadi. Wajah Emir yang pucat ditatap penuh bengis.

"Aku suruh kau jaga dia! Kenapa kau boleh kehilangan dia haa??!"

Tubuh Emir ditolak kasar. Jerkahannya bisa bikin jiwa mati serta-merta. Gerun benar dia melihat wajah yang sedang dilambung kemarahan itu. Kenapa dia bisa cuai? Tidak! Dia tidak cuai. Dia mengekori setiap langkah Natasha dan Amira dengan teliti. Setiap saat tak pernah hilang dari pandangan jejak kedua wanita tersebut. Tetapi bagaimana mereka bisa hilang?

Dia teringat, kali terakhir dia mengekori mereka adalah di tandas. Natasha dan Amira lolos ke dalam tandas dan sejak dari itu mereka tak pernah kelihatan.

Justeru ke mana mereka menghilang? Dia sudah menggeledah sehingga ke dalam tandas. Namun tiada jejak mereka ditemui. Hanya jeritan dan riak kaget dari segelintir wanita di situ yang kedengaran. Barangkali takut dengan kehadirannya di tandas perempuan.

"Cari dia sampai dapat! Kalau sesuatu terjadi pada isteri aku, kau akan terima akibatnya!!"

Emir mengangguk faham. Langkah pencarian dimulai lagi sekali. Beberapa orang suruhannya dibawa bersama.

"TASHA, kau tak takut ke kalau suami kau marah? Kau balik tanpa Emir"

Amira memuntahkan kebimbangan. Memang kerja gilalah saat dia bersetuju mengikut rancangan Natasha untuk kabur dari pengawasan Emir. Rancangan mereka berhasil apabila berjaya menyelinap keluar dari tandas dengan menukar penampilan. Untung saja Emir tidak perasan. Sejurus selepas itu, mereka menghabiskan masa ke tempat lain.

"Takdelah! Dia takkan marahlah. Lagipun aku kan dah balik rumah dengan selamat. Jangan risau okey?" Yakin benar Natasha memujuk Amira, mengusir segala kebimbangan dalam jiwa.

Setelah seharian keluar, mereka kembali ke rumah. Sebenarnya Amira mencadangkan agar Natasha kembali kepada Emir dan pulang bersama lelaki itu. Tetapi Natasha enggan menyetujui dan terpaksalah dia memandu ke tempat Natasha. Untung saja dia memandu keretanya. Jika tidak, entah bagaimana mereka harus pulang. Bagaimana agaknya keadaan Emir di sana? Seharusnya dia tak bersetuju dengan rancangan Natasha.

Bunyi tembakan dari arah luar menyentakkan keduanya. Cepat-cepat mereka menunduk ke lantai. Bunyi tembakan berselang seli dengan jeritan Kak Lina dan Bik Ros serta suara dari beberapa orang pengawal yang mulakan tugas mereka.

Seketika, keadaan kembali senyap. Tidak kedengaran bunyi tembakan mahupun suara sesiapa.

"Weyy apa dah jadi?!" Amira ketakutan. Tubuhnya menggigil. Adakah benar andaiannya yang diluahkan kepada Natasha pagi tadi? Saat itu, wajah Rafik mula bermain di minda.

"Aku tak tahu!" Natasha juga ketakutan. Mereka kena kepung ke?

Lama mereka berdiam diri di bawah meja makan antik tersebut sehingga suara Eric memecah kesunyian.

"Puan! Puan!!"

Eric seakan berada dalam ketakutan. Suaranya bergetar. Darah mula mengalir dari arah bahunya.

"Eric!!"

Natasha bertindak pantas dengan menghampiri Eric yang sudah lemah itu.

"Puan, larikan diri! Mereka dah kepung rumah ni"

"Haa?!"

Natasha kebingungan. Darah pada bahu Eric semakin laju mengalir. Amira mendekati lantas mengoyakkan kain meja lalu diikat pada bahu Eric.

"Ni akan hentikan pendarahan awak.." ujar Amira.

Suasana sepi kembali. Kedengaran enjin kereta semakin jauh. Mungkin penyerang tadi sudah melarikan diri.

"Puan!"

Suara gelabah Emir mengejutkan mereka. Untung saja Eric menelefon dan memberitau keberadaan Natasha di situ. Jika tidak, mahu sehari-hari mereka mencari Natasha.

Kayden berdiri tak terkutik tidak jauh dari Natasha. Wajahnya bengis, nafasnya turun naik. Pandangan matanya hanya tertumpu pada Natasha. Penumbuk digenggam. Air mata perlahan-lahan menuruni pipi. Amukannya meletus. Jiwanya rasa tercabar. Terlalu banyak yang berlaku pada hari itu.

"A...abang.."

Ada getaran pada suara itu. Ketakutan mula beraja dalam hati. Melihat Kayden tak putus-putus memandangnya, dia sedar jika dia telah melakukan kesalahan!

happy reading?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience