BAB 57

Romance Series 21222

KAYDEN masih tergamam. Cerita Daniel sungguh tak masuk akal. Siapa Raymond? Dan siapa pula Syamir? Menurut cerita Hannah dulu, Syamirlah yang telah mengandungkan dia. Tetapi kenapa cerita Daniel berbeza? Adakah dia terlepas sesuatu yang dia tak tahu?

"Bos.."

Kayden menoleh. Emir mendekati. Dibisik sesuatu ke cupingnya.

Mengerti, Kayden mengangguk faham.

"Jom"

Kayden ajak Emir ke tempat itu. Dia harus mendapatkan penjelasan daripada Daniel mengenai semua perkara ini. Dia keliru dan membutuhkan penjelasan.

Tiba di hadapan lelaki itu, wajahnya tampak keruh. Punggung dilabuh di hadapan Daniel.

Wajah yang keruh berubah riak. Di dalam perkara ini, dia tak boleh terlalu mengikut emosi. Jika tidak, emosi Daniel juga akan terkandas.

"Aku mintak maaf atas apa yang jadi pada Hannah"

Ayat pertama yang diucapkan dengan penuh ikhlas. Selama ini, dia tidak pernah tahu mengenai hidup Hannah setelah dia memutuskan untuk menghentikan semua yang telah berlaku. Saat diberitahu berita mengenai kematiannya, dia agak terkejut.

Daniel mengeluh. Tampak sinar keikhlasan pada wajah itu. Mungkin benar Kayden menyesali perbuatannya. Dan takdir pula telah menulis jalan hidup mereka seperti ini.

"Sepanjang along hidup, dia cuma cintakan kau"

Kayden kerut dahi. Cinta? Atau nafsu semata-mata?

"Dia cari hiburan lain bila kau tak pedulikan dia. Dia selalu mengadu pada aku. Katanya,kau hanya perlukan dia di saat-saat susah. Masa tu lah Raymond datang. Raymond bagi segala-galanya pada along. Mereka seronok bersama tapi bila along susah, dia tinggalkan along.."

Tanpa sedar, setitik demi setitik mutiara jernih pada wajah itu berguguran. Sedar akan dosa besar yang dilakukan oleh Hannah, dia hanya mampu terus berdoa dan meneruskan hidup.

"Aku dan along takde sesiapa. Dari kecik, kena tinggal dengan keluarga sendiri. Along kerja
keras untuk kelangsungan hidup kami bersama. Aku tahu, hati dia dah mati tapi dia kena teruskan hidup demi aku. Bila along jumpa kau, dia rasa hatinya hidup kembali. Tapi kau layan dia macam sampah!!" herdik Daniel. Wajahnya menyeringa. Mengingat kembali kenangan itu, hatinya sangat sakit.

Kayden menghela nafas berat. Dia akui kesalahan tersebut. Jika masa mampu diputar kembali, dia takkan menjadikan Hannah sebagai sasarannya.

Emir yang berdiri di sebelah sudah gelisah. Dia baru mendapat suatu perkhabaran melalui pesanan. Bagaimana harus dikhabarkan berita itu kepada Kayden yant kini juga sedang berdepan dengan hal penting?

"Siapa Syamir?"

Tanpa basa-basi, Kayden mengajukan soalan. Tidak mahu pula dia menunda masa dengan terlalu banyak perbualan.

Daniel berdecit.

"Kau kata, kau orang kaya. Mampu upah orang untuk cari apa-apa maklumat. Takkan maklumat ni pun tak boleh cari?"

Sindiran Daniel mematikan bicara Kayden. Tajam saja anak matanya mencerlung ke arah lelaki itu. Kesabarannya hampir hilang.

"Aku tak nak buang masa. Baik kau bagitahu aku siapa Syamir. Dulu Hannah bagitahu aku yang Syamir buntingkan dia. Tapi cerita kau pulak lain. Jadi mana satu yang benar?"

Tawa Daniel pecah. Terhenjut-henjut bahunya sambil tertawa.

"Cerita aku benar. Cerita along pun benar. Tapi yang kau tak tahu satu hal je.."

"Apa dia?" tanya Kayden pantas.

"Syamir dan Raymond adalah orang yang sama!"

Getus Daniel sambil menyambung tawanya yang bersisa.

Dahi Kayden mengerut. Nafasnya turun naik.

"Kenapa dorang adalah orang yang sama? Yang tu kau siasat sendiri"

Kayden merasakan dirinya dipermainkan. Baru saja nak melayangkan tumbukan ke wajah Daniel, Emir datang menghampiri dan membisikkan sesuatu.

Tampang Emir ditatap. Rahangnya bergerak-gerak. Perkara yang paling ditakuti kini telah terjadi.

"KAU nak apa haa? Kalau kau berani cederakan kami, aku tak teragak-agak untuk tembak kau"

Tokwan sudah siap mengacukan senapang panjangnya ke arah Kamal. Dia tidak gentarkan lelaki itu. Jika Kamal berani untuk mengapa-apakan keluarganya, dia tidak akan tunduk diam.

"Kau ni pak! Relakslah! Aku datang sini sebab nak jumpa anak kesayangan aku. Mana dia?"

Kamal sudah terduduk di atas kerusi. Wajah mereka dipandang satu-persatu. Jatuh matanya pada wajah gelisah Hidayah yang sedang berpeluk erat dengan seorang wanita cantik yang bertudung putih itu.

"Kau!" Jarinya menunding ke arah Natasha yang beriak bersahaja. Dia tahu siapa wanita itu. Bahkan dia tahu segala-galanya walaupun ketika itu masih berada di dalam penjara.

"Sini!"

Natasha tak bergerak. Jemarinya erat digenggam oleh Hidayah. Jelas ketakutan pada wajah itu.

"Kau jangan nak apa-apakan cucu aku!" gertak Tokwan. Hampir saja dia mahu menembak tepat ke arah lelaki itu.

Kamal gelak. Sempat dia mengerling sekilas ke arah beberapa bodyguard Kayden di luar sana. Mereka kelihatan lemah kerana teruk dikerjakan olehnya sebentar tadi.

"Pak, kau ada nampak tak kat luar tu? Enam orang aku kerjakan sekaligus! Badan dorang lagi sasa dari kau. Setakat kekuatan tua kau tu, apa je yang aku takut? Senapang? Bukan saingan aku! Ni Kamallah! Berpuluh tahun duduk penjara. Pistol pun tunduk pada aku!"

Tokwan menelan liur. Gusar hatinya dengan bicara Kamal. Entah kenapa, tangannya jadi kaku untuk menarik senapang itu.

"Menantu! Sini"

Sekali lagi, Natasha digamit.

"Pak..pakcik nak apa dengan kak Tasha?"

Hidayah melarang Natasha. Kini Natasha disembunyikan di belakangnya.

"Kau tak payah nak menyibuklah Dayah! Aku nak tengok menantu dan bakal cucu aku!"

Serentak itu, tawa Kamal meletus.

Natasha mengerut. Lantas, tangannya naik mengusap perut sendiri.

Opah dan Tokma sudah ketakutan. Macam-macam boleh jadi jika terus berdepan dengan orang psiko seperti Kamal.

"Sinilah!"

Kamal sudah berdiri di hadapan Hidayah lantas menolak tubuh itu. Hidayah terdorong sehingga ke belakang.

"Dayah!" jerit Natasha. Tak sempat nak berbuat apa-apa, tangannya sudah direntap oleh Kamal.

Serentak itu, sebuah tembakan dilepaskan ke arah Kamal. Tepat mengena ke arah lutut kanannya. Jatuh terjelepok dia di atas lantai.

Natasha melarikan diri dan bergegas mendapatkan Hidayah.

"Pak.." panggil Kamal sayu.

"Kau mara lagi setapak, aku tembak tepat ke jantung kau. Aku bekas tentera. Aku tahu tempat mana yang mematikan" ugut Tokwan.

"Kenapa pak? Aku cuma nak jumpa anak aku"

"Anak? Anak yang kau sendiri lacurkan?!"

Bergetar suara Tokwan menahan sebak di dada. Sungguh, dia tak mahu membuka kembali cerita perit itu. Namun kegilaan Kamal harus disedarkan agar otaknya menjadi waras semula!

"Kau lacurkan cucu aku dari kecik. Kau musnahkan masa kecil dia yang sepatutnya penuh dengan warna-warni. Kau kelamkan masa depan dia. Kau bukan bapak! Kau binatang!"

"Pakk!!" Kamal berlutut menahan kesakitannya. Seumur hidup, itulah pertama kali dia merasa kecewa di atas layanan Tokwan terhadapnya. Selama ini, hanya bibir dan kata-kata Tokwan yang mencemuh namun dia tak pernah peduli. Tetapi apabila ditembak oleh bapa sendiri, baru dia rasa sakitnya menjadi seorang anak yang dikecewakan.

"Kau kecewakan aku dan mak engkau selama ni. Apa salah kami dalam mendidik kau? Apa dosa kami selama membesarkan kau? Kau buang Nilam dan kau musnahkan masa depan anak kau sendiri. Terbuat dari apa hati kau?!"

Mata Tokwan mencerlung tajam. Lagaknya hendak menerkam Kamal saja.

Kamal tertawa kecil. Seperti tiada riak penyesalan dari raut itu.

"Aku tak boleh hidup miskin. Kawen pulak dengan Nilam yang susah, hidup aku makin merana. Kenapa aku kena lahir dari keluarga yang miskin?"

Sekali lagi, bunyi tembakan bergema. Namun bukan ke arah Kamal sebaliknya tembakan itu tertuju ke atas siling. Hati Tokwan kecewa mendengar bait dari kata-kata itu. Seakan ingin ditumpaskan lelaki di hadapannya namun memegang status anak, membatalkan niatnya.

"Kau menyesal menjadi anak kami?"

Opah yang tadi diam mula bersuara. Terlalu kecewa dirasakannya dengan bicara itu.

Kamal hanya membisu. Berdepan dengan Opah membuatkan hatinya bungkam dan bicaranya kelu.

"Mak.."

"Jangan panggil aku mak! Kau menyesal hidup dalam keluarga miskin, itu umpama kau menghina kami. Semiskin-miskin kami, kami tak pernah mengemis. Sesusah-susah kami, kami masih ada nasi dan lauk terhidang di atas meja. Rezeki kami dari sumber yang halal. Kalau kau tak sudi nak berada dalam keluarga ni, kau jangan pernah datang jumpa aku lagi!"

Kata-kata Opah bikin hati Kamal terpukul dengan kekecewaan. Apabila berdepan dengan Opah, sungguh dia tak kuat. Sejahat-jahat dia, dia masih sayangkan Opah.

"Berambus!! Berambus sebelum aku tembak kau lagi!"

Senapang diacukan tepat ke wajah Kamal. Kali ini, dia tidak akan teragak-agak untuk menembak. Biar harus masuk penjara sekalipun, dia tidak kisah asalkan keluarganya selamat dan aman!

KERETA Saga berhenti tepat di hadapan keretanya, seakan sengaja menyuruh dia memberhentikan kereta.

Kayden tersentak. Apa sudah jadi? Dia tergesa-gesa untuk pulang setelah menerima khabar melalui Emir berkenaan Kamal.

Kereta Saga itu pula seolah sengaja menghalang jalannya. Lagi setengah jam dia bakal tiba di rumah. Kebimbangannya berleluasa apatah lagi memikirkan soal Natasha.

"Bos.."

Emir menggamit.

Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut. Wajah yang tentunya amat dikenali oleh Kayden. Kamal! Hatinya berdegup laju. Apatah lagi setelah melihat lelaki itu mendekatinya. Namun gayanya seakan lemah saja.

Kayden mengerut. Jangan-jangan Kamal sudah ke rumah. Tetapi kenapa dengan dia?

Cermin kereta diketuk.

Emir memandang Kayden. Buntu mahu berbuat apa. Kayden memberi arahan untuk senyap saja.

Sekali lagi, cermin kereta diketuk. Namun kali ini dengan lebih kuat. Mahu tak mahu, terpaksa juga Kayden menurut.

"Long time no see my son!" ujar Kamal dengan sengihan di wajah.

Riak Kayden bengis. Melihat tampang tersebut, memori silam kembali menerjah. Entah dari mana kekuatannya datang, berani saja dia menentang tatapan itu.

"Apa kau nak?"

Suara Kayden mendatar.

"Hei, camtu ke bercakap dengan ayah sendiri?!"

"Ayah aku cuma Ilham!"

Meletus tawa Kamal.

"Takpe. Kau boleh lupa siapa aku, tapi kau tak boleh asal usul kau dari mana"

"Kau nak apa? Aku takde masa"

"Aku nak duit! Dua juta!"

Serentak itu, mata Kayden terkalih ke arah wajah itu. Mendidih hatinya dengan permintaan Kamal. Belum apa-apa, terus saja minta duit!

"Takde!"

"Takde?! Woww! Takkan orang kaya dan terpengaruh macam kau takde duit? Satu Malaysialah kenal kau! Setakat dua juta tu, celah gigi kau je. Tak payah nak berkira dengan bapak sendiri"

Kayden diam. Seboleh mungkin dia menahan sabar di jiwa. Jika amarahnya meletus, Kamal bakal menjadi mangsa.

Tanpa banyak bicara, dia mengeluarkan sekeping cek dari dalam briefcasenya. Setelah menuliskan jumlah yang dimahu oleh Kamal, dia menyerahkan cek tersebut kepada Kamal tanpa memandang wajah itu.

Dengan riang Kamal mengambil cek itu. Dicium berkali-kali.

"Macam nilah anak bapak! Dengar kata dan menurut. Hmm, bini kau buntin kan?"

Mendengar itu, Kayden memanggung wajah. Tatapan mereka bersabung.

"Aku harap, anak kau takkan jadi mangsa aku..." ujar Kamal serentak ketawa terbahak-bahak. Niat hanya ingin menakuti si anak sahaja.

"Kalau kau berani..."

Kayden memulas kolar baju Kamal. Seinci pun jika Kamal berani menyentuh anaknya, tidak akan sesekali dia lepaskan!

"Relakslah!" Kamal menyambung sisa tawanya.

Kolar bajunya dilepaskan.

"Kau ingat, kau layak jadi bapak? Kau ada kenangan 'manis' masa kecik dulu. Macam mana ya kalau anak kau dah besar nanti. Lepas tu dia tahu pasal kegiatan kau dulu.."

Rahang Kayden bergerak-gerak. Nafasnya turun naik.

"Bini kau mungkin boleh terima kau, tapi anak kau nanti? Macam mana dia nak hadap dunia luar kalau semua orang tahu siapa bapak dia?"

"Heii!!" jerkah Kayden seraya menarik leher itu rapat. Matanya membuntang memandang wajah itu.

"Aku mungkin lahir sebagai anak kau. Tapi aku takkan benarkan anak aku jadi 'kotor' dan busuk macam kau! Kau tengoklah nanti. Dia akan bangga panggil aku papa! Dan jangan pernah kau muncul depan aku lagi. Kalau tak, sengsara hidup kau!"

Seraya itu, Kamal dilepaskan sehingga terjatuh ke tepi jalan. Cermin kereta ditutup. Dia mengarahkan Emir berjalan meninggalkan Kamal di situ. Hatinya tak tenteram. Bicara Kamal kembali menghantui.

Arghh!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience