ARIFFIN menderu nafasnya dengan kasar. Buntu otaknya memikirkan punca kehilangan bahan bukti tersebut. Jika bukti itu jatuh ke tangan orang yang salah, maka tamatlah riwayat hidupnya! Setahu dia, sudah sehabis baik dia menyembunyikan bukti-bukti tersebut. Lantas, di manakah ianya menghilang?
Marisa dan Miranda yang duduk di sofa dikerling tajam. Seingat dia, hanya mereka berdua yang mengetahui kewujudan bukti tersebut. Jadi sudah pastinya ada di antara mereka yang berbuat khianat.
"Siapa?" tanya Ariffin dengan suara yang ditahan-tahan. Berdiri di hadapan kedua wanita itu, hatinya membuak-buak dengan rasa geram dan marah.
Marisa ketakutan. Tubuhnya menggigil halus. Suara Ariffin yang perlahan itu sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat.
Miranda menentang pandangan si suami. Riaknya juga berubah keruh. Dia tak faham maksud Ariffin.
"Apa maksud you?"
Nafas yang berat ditarik paksa. Menyeringa riaknya dengan kelakuan mereka yang menikus di sofa itu.
"Hanya kita bertiga saja yang tahu kewujudan bukti tu. So sudah jelas ada antara kamu berdua yang khianat. Sekarang, baik bagitahu aku, siapa punya kerja?"
Riak Ariffin bengis. Selagi dia tak mendapat tahu gerangan yang berkhianat, selagi itulah dia tak akan berhenti mendesak!
"You dah gila ke apa?! Bukti tu umpama nyawa I jugak tahu tak? Takkanlah I nak khianat pulak?"
Amukan Miranda bikin Ariffin senyap. Ada benarnya kata-kata isterinya itu. Dia mengeluh panjang. Kini tatapannya tertumpu pada wajah tegang Marisa.
"Mar..."
"Bukan Mar pa! Mar tak tahu apa-apa. Mar tak berani" Marisa sudah menggeleng kepala berkali-kali. Serentak itu, peluh mulai memenuhi wajahnya. Sial punya Natasha! Tunggulah nasib kau!
"Kalau bukan kamu, bukan jugak mama, habis tu siapa? Takkan papa pula?" Ariffin menggerutu. Kepala yang tidak gatal digaru jua. Atau sebenarnya ada orang luar yang berkhianat? Tetapi siapa?
Marisa menelan liur. Dalam hati, dia berharap agar Ariffin akan mempercayainya. Setelah itu, barulah dia akan berusaha mencari ke mana hilangnya bukti tersebut.
"Okey, takpe! Kali ni, papa lepaskan kamu berdua. Tapi ingat, kalau papa tahu ada antara kamu yang menipu dan menghilangkan bukti tu, papa akan kerjakan cukup-cukup!"
Usai Ariffin berlalu dengan wajah bengisnya, nafas yang ditahan Marisa tadi terhela jua. Sakitnya menahan sesak nafas ini. Dia tidak boleh membayangkan dirinya dikerjakan dengan teruk oleh lelaki itu.
"Gila ke apa papa kamu tu? Takkanlah kita nak jahanamkan dia pulak? Dia tak fikir ke? Kalau dia jatuh, kita pun kena sama! Huh!!" cemuh Miranda dengan riak tak puas hati.
Marisa diam. Sebutir bicara Miranda sebenarnya tidak masuk ke telinganya. Dia masih dihantui oleh perasaan takut.
"Mar, dengar tak mama cakap ni?!"
"Dengar ma!"
Miranda mengerut dahi melihat wajah pucat anaknya. Marisa kalau buat salah, begitulah keadaannya. Atau jangan-jangan...
"Ma, Mar masuk bilik dulu. Mar nak rehat"
"Yelah!"
Dari jauh, Miranda memerhatikan saja tingkah Marisa yang semacam itu. Hatinya mulai tak tenang. Dia harus mencari tahu dengan segera.
DARI tadi, Kayden mencari bayang-bayang Natasha namun tidak kelihatan. Dari dalam rumah sehinggalah ke luar, dia tak nampak Natasha di mana-mana. Dahinya berkerut. Mana dia pergi? Dia yakin Natasha tidak pergi jauh. Dengan tempat yang sunyi dan hanya ada mereka berdua saja, ke mana Natasha mahu melarikan diri?
Kayden naik ke bilik semula. Langkah dihayun menuju ke balkoni. Dari atas itu, barangkali dia dapat melihat Natasha. Di setiap penjuru dia meneliti namun Natasha tetap tak kelihatan. Tatkala matanya tertancap pada buaian di hujung sana, dia mengecilkan mata. Bibirnya memaniskan senyuman. Rasanya dia dah jumpa Natasha.
Laju saja derap kakinya menuruni anak tangga di balkoni yang bersambung terus dengan tingkat bawah. Tak sabar nak ketemu isterinya. Entah apa lagi telatah Natasha yang bikin dia tercuit hari ini.
Perlahan-lahan dia menghampiri si isteri yang berbaring di atas buaian. Dia kaget melihat Natasha yang sedang lena di situ. Tak sanggup nak membangunkan isterinya, ditatap lama wajah itu. Natasha hanya menggunakan singlet berwarna merah dan dipadankan dengan skirt pareo yang berwarna putih. Skirt itu terbelah di bahagian tepi yang menampakkan paha dan betisnya yang putih melepak itu.
Kayden senyum. Ralit dia menatap wajah si isteri.
"Cantiknya dia!" puji Kayden. Dia lihat ada bunga mawar merah sedang tumbuh mekar tidak jauh dari buaian itu. Dipetik sekuntum lantas diselitkan ke sisi kanan telinga isterinya. Tampak anggun Natasha dengan riasan bunga mawar itu.
Tak mampu menahan diri, dia dekatkan wajahnya hampir dengan wajah Natasha. Ditiup-tiupnya wajah itu, sekadar untuk bermain. Namun tanpa disedar, Natasha terbangun dan kaget melihat tingkah Kayden. Dia menjerit ketakutan dan tidak mampu mengimbangi dirinya sehingga terjatuh ke atas pasir pantai itu.
Tingkahnya membuatkan Kayden ketawa terbahak-bahak. Dia memegang perutnya dek kerana lucu dengan gelagat isterinya.
"Apa you ni?! Pervert?" getus Natasha dengan riak masam.
"Eihh hello! I bukan pervert tau? You tu terkejut tiba-tiba kenapa?"
Natasha memuncungkan bibir. Suka benar Kayden mengenakannya. Agaknya hidupnya tak lengkap jika tak kenakan dia! Bunga mawar di tepi telinga terjatuh ke atas ribanya.
"Mana tak terkejutnya?! I tengah tidur, you buat macam tu apasal?" omel Natasha. Dia masih terduduk di atas pasir itu.
"Sorrylah! You cantik sangat. I hampir tak mampu nak kawal diri" akui Kayden jujur. Suaranya mengendur.
Natasha menelan liur. Dalam hati, dia rasa bangga dipuji oleh suaminya.
"Bangunlah! You nak duduk situ?"
"Tolong I!" Natasha menghulur tangan, meminta bantuan Kayden.
Tanpa berfikir panjang, laju saja Kayden menarik tangan isterinya. Namun belum sempat berbuat apa-apa, Natasha mengenakannya dengan melarikan tangan dari disambut oleh Kayden. Natijahnya, Kayden juga terduduk di atas pasir itu, bersebelahannya. Natasha gelak. Padan muka! Kenakan dia lagi!
"You kenakan I?" tanya Kayden dengan nafas tercungap-cungap.
"Seronok tak?" sindir Natasha dengan riak sinis.
"Seronok! Tapi lagi seronok kalau..." jeda Kayden lalu menggeletek pinggang Natasha.
Natasha ketawa kegelian. Dia turut membalas tingkah Kayden. Terguling-guling Kayden di atas pasir itu.
"I give up! Tasha!!"
"Haa buat lagi!" Natasha menyudahkan tingkahnya.
"Dahlah! I nak jalan sana" ujar Natasha lantas meninggalkan Kayden di situ.
NATASHA berjalan menuju ke pergigian air. Ada kalanya kakinya terkena air. Kayden mengejar dari belakang. Sekejap saja, dia sudah berdiri di sisi isterinya.
"Seronok main air?" tanya Kayden.
Natasha angguk. Pertama kali dia rasa tenang dari ditekan atau didesak oleh orang lain.
"I feel so great!" Natasha mendepakan tangan sambil memejam mata. Sengaja dia biarkan angin menampar lembut pipi dan tubuh badannya.
Kayden hanya memerhati. Jika Natasha gembira, dia juga merasakan hal yang sama.
"Thanks bawak I sini! Pertama kali dalam hidup I rasa I tenang. I tak didesak untuk buat sesuatu yang I tak suka"
Senyuman manis Natasha hadiahkan buat si suami.
Kayden angguk lantas membalas senyuman isterinya. Dan pertama kali juga, mereka berpandangan dalam tatapan anak mata yang sukar untuk ditafsirkan.
"You suka tempat ni?" tanya Kayden.
"Suka!" jawab Natasha. Dia betah tinggal di situ. Kalau boleh, dia nak terus tinggal di situ tanpa harus berhubung dengan dunia luar.
"I pun suka!" balas Kayden lalu memercikkan air pantai ke arah Natasha.
"Hey Kayden! I basahlah!!" gerutu Natasha. Sebaik mungkin dia berusaha mengelak namun Kayden dengan pantas menarik tangannya. Didakap tubuh itu dari arah belakang. Natasha gelak. Dia mencuba mengelak lagi namun Kayden lebih pantas bertindak.
Tubuh Natasha yang kecil itu dicampakkan ke dalam air pantai yang elok saja beralun lembut itu. Habis basah badan itu dibuatnya. Natasha mendengus. Tingkah Kayden dibalas dengan hal yang sama. Akibatnya, kedua mereka sudah lencun. Mereka saling berpandangan lantas memuntahkan tawa masing-masing.
Melihat Kayden yang sudah terduduk di atas air itu, Natasha pantas memanjat ke arah belakang suaminya. Seolah memahami, laju saja Kayden berdiri dan menggendong tubuh kecil itu dari arah belakang.
Gigi air diselusuri bersama. Asyik saja Natasha memeluk erat leher suaminya. Matahari di hujung sana hampir nak terbenam. Cantik benar pemandangannya.
"Betul ke you suka tempat ni?" Pertanyaan tadi Kayden ulang lagi.
"Suka! Tempat ni tenang. Jauh dari manusia. Kalau boleh, I nak duduk sini lama"
Kening Kayden bertaut. "Aik, hari tu bukan main lagi protes tak nak duduk sini!"
Natasha menghela nafas halus. Terasa helaan itu di hujung telinga Kayden. "Tu dulu! Seminggu yang lepas. Now, I dah jatuh cinta dengan tempat ni!"
Kayden senyap. Ralit dia menggendong tubuh isterinya sambil berjalan di gigi air.
"Tempat ni je? Dengan I tak?" duga Kayden. Sengaja nak lihat sejauh mana perasaan isterinya itu.
"Jangan nak mengada tanya soalan tu ye?!" Kedua belah pipi Kayden dicubit. Sengaja pula dia mengelak. Biar Kayden terus meneka dan menduga.
"Bijak betul you mengelak!" Kayden gelak dengan bicara dan tingkah isterinya.
"Kay..."
Tersentak Kayden tatkala Natasha memanggilnya begitu. Namun dia senang. Sudah ada sedikit perubahan. Itu bermakna Natasha sudah mula selesa dengannya.
"Hmm?" Kayden menggumam.
"You ada kampung?"
"Ada.I anak jati kampung! Kenapa?"
Jawapan Kayden buat Natasha tersentak. "Serius?"
"Aah! Serius. Kenapa?"
"Taklah! You nampak macam sangat kebandaran. So I ingat you bukan orang kampung atau maybe you tak suka kampung"
Tergelak Kayden dengan pemikiran isterinya. Dialah manusia yang paling suka kampung. Dekat kampung sangat seronok. Berbeza dengan bandar. Kampung baginya lebih tenang daripada bandar yang sentiasa sibuk dengan manusia.
"I paling suka duduk kampung. Best! Suasana kampung tak macam bandar. Kampung lebih tenang, lebih seronok. Lagi-lagi pada musim perayaan atau bulan puasa.."
Teringatkan kampung, hatinya rindu pada Opah, tokwan, tokma. Dah lama rasanya dia tak menjenguk mereka.
"Yeke? I tak pernah pergi kampung. Sebab I membesar kat KL. Dan I tak tahu pun macam mana suasana kampung"
Bicara Natasha buat Kayden kaget. "Seriuslah you tak pernah duduk kampung?"
"Aah!" Bersungguh benar Natasha meyakinkan suaminya. "Dari kecik lagi I memang membesar kat KL. Puasa dan raya pun kat KL"
Pelukan pada batang leher Kayden diperketatkan. Entah kenapa dia suka dekat dengan lelaki itu.
Kayden tersentap. Kasihan benar dia dengan nasib isterinya itu.
"Nanti I bawak you balik kampung I. Nak tak?"
Wajah Natasha bercahaya. Matanya bersinar-sinar. Sukanya dia mendengar rancangan Kayden itu. Dapat dia bayangkan keseronokan berada di kampung.
"Betul ni? You tak tipu?"
"Ye sayangg! I tak tipu. Nanti I bawak you bercuti kat kampung I"
"Yeaayy!!" Natasha bersorak gembira. Tanpa sedar, tanpa dipinta, laju saja bibirnya hinggap pada pipi suaminya. Kayden tersentak. Dia tak menyangka akan menerima kejutan itu dari isterinya. Biasanya Natasha akan melakukan itu apabila dipinta saja.
"Siapa je ada kat kampung?" tanya Natasha sekaligus mematikan angan-angan Kayden.
"Family belah mama. Ada Opah, tokwan, tokma, Dol, Bara, Hidayah"
"Siapa Dol, Bara?"
Kayden tergelak sendiri mengingatkan dua nama itu. Nama yang diberi oleh tokwan kepada dua ekor sapinya.
"Sapi-sapi tokwan. Dia yang bagi nama tu. Sapi tokwan besar dah.Tunggu masa nak disembelih je lagi"
"Hidayah pulak siapa?" Mendengar nama cantik itu, hati Natasha diserang cemburu. Mesti orangnya cantik juga.
"Hidayah tu cucu tokma. Tokma tu adik tokwan. Tokwan pula suami kepada opah" Kayden menjelaskan salasilah keluarganya.
"You rapat dengan Hidayah?"
"Rapat! Kita orang membesar bersama. Tapi I dah anggap dia macam adik I sendiri. I tua sepuluh tahun dari dia"
Natasha diam. Entah kenapa hatinya rasa lain macam.
"Errr dia cantik?"
Berdebar hati Natasha menunggu jawapan suaminya. Siaplah, kalau kata Hidayah tu cantik, dia mogok sebulan!
"Cantik, tapi you lagi cantik!" puji Kayden. Memang itu kebenarannya. Natasha jauh lebih cantik dari Hidayah.
Natasha sembunyi senyum. Nasib baik Kayden puji dia. Kalau tak, dia benar-benar mogok!
"Kenapa you tanya? Rasa tergugat? Cemburu?"
"Jangan nak perasannn!!" getus Natasha. Walhal dalam hati dia memang rasa begitu.
Kayden gelak. "You janganlah risau! I memang rapat dengan Hidayah tapi takdelah sedekat tu. Hubungan kita orang dah macam adik-beradik. Lagipun I takde perasaan kat dia"
"Tapi biasanya kan, dalam hal ni, jangan-jangan Hidayah tu ada hati pada you"
"Ehh merepeklah you ni! Ada perasaan pun tak guna. I kan dah jadi suami you..."
Hati Natasha penuh debar. Kayden memang bijak mencuri debarannya.
"Tasha, pegang I kuat-kuat!" Kayden memberi arahan.
Natasha kaget. "Haa kenapa pulak?"
"I nak drift ni. Cepat! Kalau you jatuh, I tak nak bertanggungjawab!" Sengaja Kayden mengusik. Dia sudah bersedia dengan 'enjinnya'.
Laju saja Natasha memeluk erat batang leher suaminya. Serentak itu, Kayden berlari sepantas kilat. Membuatkan Natasha gerun dan pelukannya semakin erat.
Gelak tawa diiringi sinar bahagia terpancar pada wajah keduanya. Saat itu hati Natasha sudah terbuka sedikit untuk kehadiran Kayden. Dan Kayden, penuh harapan agar Natasha mahu menyambut huluran cintanya.
Hujan mula membasahi bumi. Dan keduanya asyik ditimpa hujan.
Share this novel