BAB 45

Romance Series 21222

ARUS sungai yang mengalir deras serta bunyinya sangat menenangkan hati. Kicauan burung pula kedengaran indah sedang bernyanyi riang di atas sana. Cuaca pula mendung, tetapi belum menampakkan tanda-tanda mahu turun hujan.

Pun begitu, keadaan tersebut belum mampu menenangkan sekeping hati gadis itu. Esak tangisnya jelas kedengaran, bersahut-sahutan dengan bunyi air sungai. Hatinya rasa bagaikan dirobek tatkala menerima perkhabaran tersebut. Namun yang lebih memeranjatkan, dia benar-benar rasa malu kerana orang yang dibenci dan selalu dihina rupa-rupanya yang membantu dia selama ini.

Mata yang berkaca segera digosok. Dia tak mahu menangisi akan keadaan antara mereka namun air mata yang ditahan semakin berani memunculkan diri. Akhirnya dia pasrah dan memuntahkan segala emosi di sebalik lutut yang dipeluk erat.

Hidayah hampa! Hatinya diserang rasa kesal yang bertubi-tubi. Jika dia bisa memutar waktu, dia pasti akan menjaga lisan agar tiada hati yang terluka di kemudian hari.

Perbualan di antaranya dengan Tokma kembali menerobos jendela hati dan ruang benak.

"ENGKAU ni jenis manusia tak tahu dek untung! Tak sedar diri!" jerkah Tokma sambil menunjal dahi Hidayah. Terkedu dia melihat Hidayah dengan sengaja menolak Natasha sehingga terjatuh. Yang bikin emosinya bergoncang, apabila keadaan Natasha yang terbaring dengan betis terdedah dibiarkan saja oleh Hidayah tanpa ada keperimanusiaan.

Mana pergi hati nurani dan belas ehsannya sesama manusia? Dia mendidik Hidayah dengan penuh ilmu akhirat namun kenapa Hidayah enggan mengamalkan ilmu tersebut? Itulah ciri-ciri manusia munafik dan angkuh. Berilmu tetapi tidak beramal! Dia kesal!!

"Tokma..." Hidayah tersedu-sedan. Dia sudah berlutut di hadapan Tokma meminta ampun.

Dia juga terkejut melihat Natasha tiba-tiba pengsan. Dia bukan sengaja hendak meninggalkan Natasha di situ. Dia cuma buntu dan tidak tahu hendak bertindak macam mana. Ekoran perasaan takut yang kian mendesak, dia melarikan diri namun ulahnya berjaya dihidu oleh Tokma.

Gara-gara itu, Tokma marah besar kepadanya. Dia diserkap di rumah itu dan dilarang keluar sama sekali. Tokma segera menghubungi Kayden dan memberitahu akan perkara sebenar. Setengah jam kemudian, Kayden kembali dengan wajah keruh terpamer. Belum sempat Hidayah berbicara, Kayden meluru ke arah Natasha dan mencempung tubuhnya masuk ke dalam kereta.

Masih terbayang-bayang akan jelingan tajam yang Kayden berikan kepadanya. Disebabkan itu, dia jadi takut dan nafasnya sesak. Dia tahu kegilaan Kayden seperti apa.

"Aku dah cakap kan?! Jangan diusik Natasha tu. Engkau dah tahu Ibrahim tu kalau dah marah, waras dia boleh hilang! Jangan lepas ni kau dibalasnya berganda-ganda!"

"Tokma.." Air mata sudah membanjiri wajahnya. "Tolong Dayah! Dayah takut dengan abang Ib"

"Tahu pun takut! Masa buat tak boleh fikir dulu ke?"

Hidayah diam. Wajahnya menunduk. Iya, dia terlalu mengikut perasaan. Gara-gara itu, hasutan syaitan sangat mudah memasuki benaknya.

"Aku ni kan, kalau boleh memilih, aku lebih rela pilih Tasha dari pilih kamu! Dasar cucu tak mengenang budi! Tak sedar diri!!"

Wajah yang menunduk dipanggung kembali. Tunak dia menatap wajah tegang Tokma dengan linangan air mata.Hatinya sakit apabila Tokma berkata sedemikian. Jika Kayden menolaknya, dia masih boleh menerimanya. Tetapi jika perkataan itu yang keluar dari bibir Tokma, sakitnya terasa sehingga ke hujung sana.

"Tokma..."

"Kenapa? Engkau rasa sakit aku cakap macam ni? Jadi sekarang kau tahulah rasanya sakit hati! Apa yang Tasha rasa dulu, itu yang kau rasa sekarang.."

Hidayah mengesat air mata. Dari berlutut, dia kini tegak berdiri menghadap Tokma. Apa yang istimewanya Natasha sehingga semua orang lebih memihak kepadanya?

"Kenapa? Kenapa semua orang sukakan dia? Kenapa semua orang berpihak pada dia? Dia tu cuma menumpang di rumah ni dan tak bawak apa-apa faedah pun pada kita! Dia cuma tahu tunjuk kecantikan dia tapi tak tahu buat apa-apa!! Dia tu cuma menyusahkan semua orang! Sebabkan dia, kita satu keluarga bertekak. Sebabkan dia jugak.."

Pappp!! Terteleng wajah Hidayah akibat tamparan yang diterima daripada Tokma. Dia bungkam dan hampir tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Seumur hidup, baru kali ini dia ditampar oleh Tokma. Dan tamparan itu terasa begitu berbisa!

"Kau ni kalau bercakap, memang tak fikir dua tiga kali kan??!" hambur Tokma dengan wajah bengis. Baru kali ini dia lihat sisi buruk Hidayah. Jika sebelum ini Hidayah hanya tampak ayu dan sentiasa berkelakuan baik. Tetapi tidak hari ini!

Agaknya sudah tiba masanya untuk Hidayah mengetahui kisah sebenar. Dia tak boleh terus menyembunyikan perkara ini meskipun sudah terlanjur berjanji kepada Natasha dan Kayden.

Dengan helaan nafas, Tokma menghenyak punggung di atas kerusi. Raut Hidayah yang sudah berbekas akibat tamparannya dipandang sekilas. Tubuh gadis itu tetap menegak, seolah takut dengan dirinya. Sudah mampu menjemput tenang, Tokma kembali berbicara.

"Dulu Tokma pernah warning kat kau. Jangan terlalu benci dekat orang lain. Silap haribulan, orang yang kau benci tu tolong kau dalam diam.."

Kata-kata Tokma dihadam sebaik mungkin. Dia tak berani nak berhadapan dengan Tokma kerana risau akan dikasari lagi.

"Duit dalam buku bank engkau tu.." Tokma diam. Seakan tak punya kekuatan dia nak bercerita kerana malu dengan ulah cucu sendiri. Tetapi jika terus dirahsiakan, entah apa lagi akal jahat Hidayah menghasut.

"Bukan duit Tokma. Bukan duit Ibrahim. Bukan duit Opah, bukan jugak duit Tokwan. Tapi duit dari orang yang paling kau benci!"

Mendengar itu, automatik Hidayah berpaling. Riak kaget jelas terlukis di wajahnya. Butiran mutiara jernih semakin deras memenuhi ruang wajah. Terlalu banyak hendak dilantunkan, namun entah kenapa lidahnya kelu tiba-tiba.

"Dan permohonan yang kau dapat dari universiti tu jugak atas pertolongan Natasha"

Sekali lagi, Hidayah tersentak. Kenapa dia tidak pernah diberitahu akan perkara itu?

"Tasha ada beberapa kawan pensyarah kat UPM. Dan pengarah UPM tu jugak kenal rapat dengan Ibrahim. Semua maklumat yang berkaitan dengan kau dan pelajaran kau diisi oleh Natasha sendiri. Walaupun kau sebenarnya masih tak memenuhi kelayakan mereka, tapi Tasha dan Ib berusaha untuk masukkan kau dalam UPM. Kau tahu kenapa? Sebab UPM antara salah satu kampus terbaik di Malaysia. Tasha nak kau sambung belajar di tempat yang terbaik. Lagipun kalau kau belajar kat sana, takde siapa berani buli kau sebab dalam borang tu Ib letakkan kau sebagai adik perempuan dia. Satu-satunya" jelas Tokma sambil memandang wajah Hidayah.

Hidayah terduduk di atas lantai. Berkali-kali dia menggeleng kepala. Hatinya hancur bukan kerana pertolongan tersebut. Tetapi kerana tingkahnya yang jahat dan bejat selama ini kepada mereka.

"Iya. Adik perempuan. Dia sayangkan kau sebagai seorang adik. Dia tak cakap korang adik-beradik angkat. Tapi Ibrahim selalu cakap, yang kau adik perempuan yang dia ada dalam dunia ni. Kau tahu tak, selama ni benda jahat yang kau buat kat Tasha, yang kau cakap kat Tasha, tak pernah sekalipun dia mengadu pada Ib. Kau tahu sebab apa? Sebab dia nak jaga hubungan baik korang.."

Intonasi suara Tokma mengendur. Rasa kesal itu masih berbekas dalam hati. Kenapa tidak dari dulu dia menceritakan hal sebenar? Jika tidak, pasti perkara ini tidak akan berlaku.

"Duit RM350,000 yang kau dapat tu bukan dari kami semua melainkan dari Natasha sendiri. Masa kau mengadu dengan Opah pasal kewangan kau tak cukup untuk sambung belajar, masa tu lah Natasha hulurkan bantuan. Aku tak tahu macam mana dia buat, tapi sekelip mata je duit tu masuk dalam akaun kau. Dan Tasha suruh kami rahsiakan dari kau sebab dia tahu, kalau kau tahu pasal perkara ni, kau takkan terima bantuan dia"

Hidayah tetap membisu. Hanya air mata yang menemani.

"Sebab tu aku kesal dan malu dengan dia. Kau buat macam-macam pada Tasha tanpa kau tahu dialah yang tolong kau tunaikan hasrat kau selama ni.."

Esak tangis Hidayah jelas kedengaran. Dia menyesal dan ingin membetulkan keadaan. Baru kini pertama kali, dia rasa malu berhadapan dengan Natasha.Mahukah Natasha memaafkan dia?

"Kau tahu, besar harapan dia datang kepada kita. Dia nak rasa dan tahu macam mana hidup berkeluarga. Makan bersama, gelak tawa bersama, kemas rumah bersama, tonton tv, buat semua benda bersama. Tapi harapan dia hancur berkecai bila kau mula cari masalah dengan dia. Engkau cakap apa tadi? Dia menyusahkan? Tak buat apa-apa? Ni Tokma nak tanya. Kalau dia menyusahkan, dia ada susahkan hidup kamu? Dan mana kamu tahu dia tak buat apa-apa? Selama ni kau keluar jalan-jalan dengan Melati, dia sibuk belajar masak di dapur dengan aku dan Opah. Lauk yang kau makan dua tiga hari lepas tu adalah dari dia. Dari air tangan dia!"

Tokma menghela nafas perlahan-lahan. Mengingat kembali betapa gigihnya Natasha belajar memasak, hatinya tersentuh. Natasha mungkin tak pandai masak tetapi dia cepat belajar.

"Tasha tak pernah tahu macam mana rasa ada keluarga sebab dari kecik lagi, dia kena seksa dengan keluarga dia sendiri. Ayah kandung, satu-satunya tempat untuk dia menumpang kasih dan bermanja tak pernah pedulikan dia. Kesan parut yang kau nampak di belakang dia, yang selalu kau hina adalah bukti kekejaman keluarga dia pada dia. Kau masih nak hina dia lagi? Kau masih nak benci dia lagi? Kita tak tahu kesusahan seseorang sehinggalah kita dengar dan tengok sendiri. Tasha memang menumpang..dia menumpang kasih sayang kita semua"

Tak terhitung air mata Hidayah mendengar cerita itu. Sakitnya terasa sampai ke lubuk hati. Selama ini dia begitu cemburukan wanita itu. Tetapi rupa-rupanya kehidupan dia jauh lebih baik dari Natasha.

"Ingat satu benda cu. Apa yang kita miliki kat dunia ni takkan kekal selamanya. Bila-bila masa je Allah boleh tarik. Sebenci mana pun perasaan kau pada dia, janganlah kau buat jahat lagi. Cukup dah segala derita dia selama ni.."

SETITIK demi setitik air mata itu mengalir. Mendengar dan mengetahui semua perkara berkenaan Natasha membuatkan hatinya dirundung pilu dan penyesalan. Sukar untuk dipercaya namun itulah hakikatnya.

Betapa selama ini dia begitu mencemburui Natasha. Tanpa dia sedar, jika kehidupannya jauh lebih baik dari wanita itu. Mungkin Natasha memiliki segala-galanya, tetapi Natasha kekurangan sesuatu. Hubungan kekeluargaan! Hal yang jauh lebih baik dari berjuta wang.

"Aku bersalah Ya Allah! Kenapalah aku sekejam itu?" rintih Hidayah dalam sebaknya.

Dia mahu berlutut dan memohon kemaafan dari wanita itu. Dia sedar kesalahan dan dosanya pada Natasha. Dia alpa. Gara-gara cinta, dia lupa pada dosa pahala. Hanya kerana cemburu, lisannya telah melukai sekeping hati itu. Benarlah kata pujangga, lisan itu lebih tajam berbanding mata pisau!

"KENAPA check-in hotel? Tak balik rumah Opah terus?" tanya Natasha setelah mereka masuk ke dalam kamar. Usai berurusan di hospital, Kayden terus membawanya tidur hotel. Padahal mereka masih boleh terus pulang ke kampung.

"Abang tak boleh nak hadap Hidayah buat masa sekarang. Abang takut, abang cederakan dia. Abang takkan boleh kawal baran abang kalau tengok muka dia.." luah Kayden jujur.

Buat masa kini, biarlah dia dan Natasha menjauh dari Hidayah dahulu. Dia tak mahu mencederakan gadis itu yang sudah terang lagi bersuluh berniat jahat pada isterinya.

Tubuh dibaringkan ke katil. Tangan Natasha disambar lantas dibaringkan di sisinya. Posisi mereka kini dengan Natasha membelakanginya. Leher Natasha lengannya berpaut.

"Abang tak boleh lupa apa yang dia buat pada sayang. Kalau abang naik hantu, semua syaitan dalam diri ni keluar"

Natasha tertawa kecil. Tangan Kayden yang melingkari lehernya dikucup lama.

"Tapi kita tak boleh lama kat sini. Takde bawak baju pun! Sehelai sepinggang je ni"

Kayden buat rancangan tanpa berfikir panjang. Itulah kejadiannya.

"Takpe. Bukannya abang tak pernah tengok semua pun" ujar Kayden nakal.

"Gatal!" omel Natasha lantas memukul tangan itu.

Kayden gelak. Pelukan dieratkan. Sukanya dia mencium haruman rambut Natasha itu. Semacam bau yang menenangkan.

"Abang.."

"Hmm?"

"Tasha dah tahu pasal keluarga angkat abang. Opah dah cerita"

Serentak itu, Natasha memalingkan tubuhnya menghadap Kayden. Wajah keruh Kayden dielus lembut.

"Kita akan cipta keluarga bahagia kita sendiri. Apa yang pernah jadi pada Tasha dan abang masa kecik dulu, takkan pernah dirasai oleh anak kita.."

Dahi Kayden dicium.

Kayden angguk dengan linangan air mata. Tubuh Natasha didakap erat. Dia sudah lupa pada perkara itu. Namun Natasha telah mengingatkannya. Sedikit sebanyak hatinya hancur kembali. Namun dia sedar itu adalah kenangan silam yang takkan mungkin pernah terulang lagi.

"Dia masih kat penjara" luah Kayden dengan suara sebak.

"Dia?" Natasha mengerut dahi.

"Ayah. Mungkin hukuman dia hampir tamat.." balas Kayden lagi. Ketika Natasha meleraikan pelukan, Kayden enggan memberi kerjasama. Dia hanya mahu terus berada dalam dakapan isterinya. Dapat dia rasakan jemari halus Natasha mengusap lembut kepalanya.

"I'm scared" akui Kayden.

"It's okay. Tasha ada dengan abang"

Pelukan terasa dieratkan.

Kayden membenamkan kepalanya ke dada Natasha.

"Promise?"

"I promise!"

Share this novel

rinaiium
2025-09-03 17:23:36 

tqqqqq


NovelPlus Premium

The best ads free experience