DARI duduk, kini tubuhnya bersandar pada dada kerusi. Jus oren yang dipesan disedut perlahan. French fries dibiarkan saja di atas meja. Moodnya benar-benar ke laut. Bosannya harus mengharungi hujung minggu tanpa Natasha.
Amira mengeluh berat. Nafas dihela kasar. Entah ke mana harus dia melangkah. Hendak kembali ke rumah, dia bosan seorang diri. Nak jalan-jalan, dia buntu mahu ke mana. Telefon bimbit digapai. Pesanan dihantar kepada Natasha.
'bila kau balik?'
Amira mengeluh lantas meletakkan telefon bimbitnya di atas meja semula. Kalau dulu, hujung minggu begini dia dan Natasha akan menghabiskan masa berdua. Kadang-kadang, Natasha tak balik ke rumah sebaliknya bermalam di rumahnya sehingga membuatkan Kayden bimbang dan sanggup membawanya pulang. Mengingat akan hal itu, dia tersenyum sendiri. Dari dulu lagi sudah nampak lelaki itu sangat mencintai sahabatnya. Hanya Natasha yang buta mata dan tuli telinga.
"Senyum sorang nampak?" tegur seseorang membuatkan Amira tersentak. Kepala dipanggung. Kaget dia melihat insan di hadapannya yang hanya santai mengenakan baju lengan pendek dan berseluar slack kelabu.
"Boleh I duduk?" soal Razif setelah sedar dirinya kini menjadi tatapan gadis itu.
Amira terkebil-kebil. Mengiyakan tidak, menafikan juga tidak. Dalam hati, dia tertanya-tanya tujuan Razif ke situ. Adakah lelaki itu sengaja stalk dia?
"Takpelah! I duduk je.." ujar Razif seraya menghenyak punggung di hadapan Amira.
Ralit wajahnya menjadi tumpuan anak mata gadis itu. Gelas tinggi yang berisi jus segera direbut dari tangan Amira. Lantas diletakkan di atas meja.
"Kenapa pandang I macam tu?"
"Sorry" ucap Amira, sedar akan kekhilafan diri. Malu beb! Jus di atas meja dipandang sekilas. Bila pulak aku letak atas meja?
"Sorang je ke?" tanya Razif lagi.
"You ada nampak sesiapa ke kat sebelah I?"
Razif tertawa kecil. Cermin mata dibetulkan.
"Mesti you bosan kan sebab Tasha takde?"
Amira tersentak sedikit. Faham benar Razif akan perasaannya.
"Orang tu dah kawen. Dah ada suami. Kenalah spend masa dengan suami. Lainlah you.."
Ayat itu tergantung saja. Pelayan datang mengambil order. Setelah Razif memesan, pelayan kembali ke dapur.
Kening Amira terangkat. "Lainlah I?" Meminta kepastian dari ayat itu.
Razif tersenyum nipis, menampakkan lesung pipit di bawah mata.
"Lainlah kalau you dah kawen!" sambung Razif. Ayat yang penuh makna.
Kali ini, giliran Amira pula yang tersenyum tipis. Senyuman pula diiringi dengan gelak tawa. Namun ketawa itu kedengaran sumbang.
"Jangan gelak kalau tak ikhlas. Dan jangan senyum bahagia kalau hanya pura-pura..." selar Razif berbaur nasihat.
Mati senyuman dan ketawa Amira serta merta. Lelaki di hadapannya itu penuh misteri. Seolah mampu memahami gelojak hatinya saja.
Perbualan mereka terhenti ketika pelayan datang membawa pesanan. Serentak itu, Razif menghulur not berwarna ungu dua keping kepada pelayan tadi.
"Saya bayar untuk dia sekali. And keep the change" kata Razif sambil menuding ke arah Amira yang ternyata tampak kaget. Pelayan mengangguk lalu berganjak pergi.
Sekelip mata saja, jus sudah dihabiskan oleh Razif. Dia berkira-kira mahu meninggalkan Amira di situ namun langkahnya terhenti tatkala gadis itu menyeru namanya.
"Yes?" Razif angkat kening.
"Temankan I.."
Berketar suara Amira meminta. Dia tidak pasti kenapa hatinya seberani itu. Namun yang pasti, ada sesuatu pada Razif yang menarik perhatiannya.
"LAMA tak nampak orang KL ni"
Kalimat Hasnul umpama sindiran saja. Dipandang wajah masam Kayden sekilas. Lelaki itu membesar bersama-samanya di kampung tersebut. Namun dari kecil lagi mereka tak pernah sekepala. Pantang berjumpa, ada saja yang nak digaduhkan!
"Kamu ni Has, kalau bercakap tak menyakitkan hati memang tak sah kan?!" tempelak Tokwan pula. Faham benar dia dengan maksud Hasnul itu. Cuma dia risau seandainya Kayden dan Hasnul bergaduh lagi.
Hasnul tersengih. "Alaa bergurau je tok! Yelah, bukan senang nak tengok orang bandar jejak ke kampung ni. Maklum jelah, dah jadi orang bandar. Kawen pulak dengan perempuan cantik"
Kayden berlagak tenang. Wajahnya penuh dengan senyuman kelat.
"Rezeki aku, Has! Dah jadi orang bandar, dapat pulak kawen dengan perempuan cantik. Tapi sekurang-kurangnya aku ni memberi pada masyarakat. Kau? Membuat rugi orang kampung je!" Kayden menyetir dengan riak bersahaja. Bukan dia tidak tahu fiil Hasnul, si kaki rempit yang pengangguran. Dari kecil lagi perangai Hasnul memang suka menyusahkan semua orang.
Berkeruh wajah Hasnul mendengar bicara Kayden. Penumbuk dikepal. Rahangnya bergerak-gerak.
"Sudahlah kamu berdua ni! Asyik nak bertekak je kerjanya" larang Pak Ali, pemilik warung itu. Dia meletakkan dua cawan kecil berisi kopi yang dipesan oleh Tokwan di atas meja.
Kayden dan Hasnul diam. Tak berani nak membuat onar di pagi hari.
"Haa Ibrahim! Bila kamu datang?" tanya Pak Ali lagi. Dia sudah menghenyak punggung di hadapan Kayden.
"Semalam Pak Ali.." sahut Kayden.
"Sorang je?" tanya Pak Ali lagi. Selalu sangat dia lihat Kayden datang seorang. Tak pernah pulak Kayden bawa isteri dia.
"Dengan orang rumah.." sahut Kayden dengan senyuman. Wajah Natasha terbit di ruangan mata.
"Laa yeke? Kenapa tak ajak singgah? Bolehlah orang kampung ni kenal-kenal dengan dia"
"Cucu menantu aku tu baru lagi dengan kampung ni. Manalah dia nak biasakan diri. Nantilah, aku suruh Ibrahim bawak dia ke warung kau ni. Masa tu, jangan pulak kau ternganga tengok dia" sampuk Tokwan pula, berbaur usikan.
Pak Ali tergelak. "Kenapa pulak? Cantik ke orangnya?"
Wajah Kayden menyenget dengan senyuman.
"Hishh mahunya tak cantik! Kalau tak cantik, takdelah cucu aku ni tergila-gila" balas Tokwan lagi. Bahu Kayden ditepuk.
Kayden tersipu. Bangga pula saat isterinya dipuji sebegitu.
"Alaa bukan sebab tu Pak Ali! Dia cantik dari dalam hati. Tu yang buat terpikat" sahut Kayden, membela diri. Sebelum dia mengahwini Natasha, wanita itu memang baik dan penyayang. Cuma hatinya terhadang oleh tembok ego. Dan ego tersebut berjaya dipecahkan olehnya.
"Yelah, memang sepatutnya begitulah! Nak cari pasangan hidup, biarlah cantik dari hati. Bukan cantik luaran saja" ujar Pak Ali, menyetujui bicara Kayden.
"Tahu pun!" sampuk Tokwan dengan tawa kecilnya.
"Haa Ibrahim, nanti kalau bawak orang rumah ke mari, Pak Ali bagi free semua order"
Melebar senyuman Kayden. "Jangan mungkir janji Pak Ali!"
Mengekek Pak Ali gelak. Dari kejauhan, dia lihat Hidayah datang dengan lenggang-lenggoknya. Senyuman manis sentiasa menghiasi wajah.
"Apa Dayah buat kat sini?" tanya Tokwan pula. Dahinya berkerut.
"Ehh abang Ib, Tokwan! Laa lepak sini rupanya" Sengaja Hidayah buat-buat kaget. Padahal dia memang tahu Kayden di situ.
"Buat apa kamu ke mari Dayah?" soal Tokwan. Pelik pula dengan sikap cucu yang satu itu. Bukan pernah Hidayah nak menjejakkan kaki ke warung seawal pagi itu.
"Sajalah Dayah nak minum sini. Tak boleh ke Tokwan?"
Hidayah sudah menghempas punggung di sebelah Kayden. Sengaja dia mengambil posisi di samping lelaki itu.
"Haishh, jaranglah aku nengok kamu keluar pagi lagi! Biasanya terperap je kat rumah. Tak pun ke kedai Adam tu bekerja"
"Ala Tokwan ni! Sekali-sekala tukar angin. Kan abang Ib?"
Kayden hanya angguk. Sejak dia tiba semalam, dia perasan sikap Hidayah agak berbeza dari sebelumnya. Adakah benar dakwaan Natasha sebelum ini? Namun tidak mungkin Hidayah menyukainya. Mereka sudah seperti adik-beradik.
"Abang Ib pesan apa?"
Sengaja Hidayah dekatkan badannya ke sisi Kayden. Harumnya! Desisnya dalam hati. Tangan Kayden di atas meja sengaja pula dia lagakan dengan tangannya.
Kayden tak selesa. Riak bersahaja Hidayah ditatap. "Dayah.."
"Ya abang Ib?" Hidayah menyahut dengan senyuman penuh di wajah.
"Kita ni kat tempat umum. Boleh tak jaga sikit perangai tu?" pesan Kayden dengan wajah serius.
Mati senyuman Hidayah. Berbahang wajahnya dengan bicara itu.
"Sorry abang Ib" ucap Hidayah, sedar akan keterlanjuran diri. Malunya menyerang tatkala ditolak secara halus oleh Kayden seperti itu.
"OPAH dan Tokma nak pergi mana?" tegur Natasha apabila melihat kedua wanita itu sudah lengkap berkasut bot.
"Nak ke sawah depan tu. Tak jauh.. depan sikit" sahut Tokma sambil membetulkan topi di kepalanya.
Mata Natasha bersinar-sinar mendengar kalimat itu. Dari duduk, dia kini berdiri di hadapan mereka.
"Tasha boleh ikut tak?"
Opah dan Tokma saling berpandangan. Riak tidak percaya memenuhi wajah keduanya.
"Kamu nak ikut ke? Ada lumpur, pacat, siput, dengan cuaca panas lagi ni. Nanti kamu tak selesa" ujar Opah pula.
Natasha tersenyum. "Alaa tak kisahlah Opah! Tasha okey je"
"Tapi nanti Ibrahim dengan Tokwan balik macam mana?"
"Haa panjang umur! Tu mereka dah sampai" ujar Tokma ketika kelibat Kayden dan Tokwan kelihatan di atas motorsikal.
"Kenapa berkumpul ni?" tanya Tokwan, hairan. Macam sedang menyambut kedatangan mereka pula.
Hidayah muncul di antara mereka dengan wajah cemberut. Tak suka diladeni seperti itu oleh Kayden. Sepatutnya dia yang membonceng motorsikal bersama Kayden. Alih-alih Kayden pula menghalang. Dia tak selesa naik satu motor dengannya. Makanya dia terpaksa mengalah dengan hanya berjalan kaki. Dia benar-benar kesal dengan sikap Kayden.
"Ni lagi sorang! Apasal monyok je muka ni?" tegur Tokma pula.
"Takde apa" sahut Hidayah lantas mengorak langkah ke dalam rumah. Saat melimpasi Natasha, wajah itu dijeling tajam.
"Nak ke mana ni?" tanya Kayden pula. Dia berdiri di sisi Natasha.
"Nak ke sawah. Ni haa, Tasha kata nak ikut. Ib izinkan ke?" Opah menyoal.
Natasha memandang suaminya di sebelah. Riak comel sengaja dipamerkan.
"Abang izinkan. Tapi abang teman jugak, boleh?"
"Kalau dah macam tu, moh ler kita pergi semua. Tinggal je Dayah kat rumah. Tahulah dia nak mencari kita nanti" saran Tokwan pula. Sudah lama dia tak ke bendang ekoran menguruskan hal-hal di kampung.
MELIHAT situasi itu, hatinya tercarik luka. Kini semua perhatian tertumpu ke arah Natasha seorang. Dulu dia yang sering dimanjai dan diutamakan, kini semuanya sudah berubah. Kesal benar dia dengan apa yang sudah terjadi.
Tangan disilang ke dada dengan bibir diketap rapat. Amarahnya bukan sedikit tetapi memuncak dengan begitu tinggi. Dia tak boleh menerima kehadiran Natasha di situ. Dia mahu keluarganya kembali tanpa harus ada Natasha.
"Benci betullah aku dengan perempuan bandar tu! Sekejap je kau dah rampas kedudukan aku sebagai cucu kesayangan kat rumah ni! Huhh!!" cemuh Hidayah dengan wajah bengis. Kapan agaknya dia bisa menghapus jejak Natasha di situ?
Khairi, posmen muda memberi salam. Hidayah memaniskan wajah. Salam disahut.Langkah kaki diatur menghampiri Khairi.
"Ada surat ke bang?"
Khairi angguk. Nama Imani Hidayah pada sekeping surat diserahkan kepada gadis itu.
"Haa? Untuk Dayah ke?" Hidayah kaget. Siapa yang mengutus surat kepadanya?
"Imani Hidayah ni kau kan?" tanya Khairi. Surat tadi sudah bertukar tangan.
Hidayah pantas angguk. Dengan penuh debaran dia membuka surat tersebut.
Khairi pamit. Hidayah menghantar dengan pandangan mata. Punggung dihenyak di atas kerusi kayu. Perlahan-lahan dia membaca isi kandungan suray tersebut.
Ada logo Universiti Putra Malaysia di atas. Hidayah mengerut dahi. Surat tawaran sambung belajar ke?
Demi membaca satu-persatu, hatinya melonjak gembira. Hidayah tidak menyangka dia akan menerima khabar baik itu. Melompat keriangan dia dengan apa yang dibacanya itu.
"Tokma!! Opah!!"
Tak sabar nak bagitahu mereka akan berita baik itu. Kini hasratnya untuk menyambung pelajaran sudah tercapai.
happy reading readers. sorry baru muncul.. ?
Share this novel