BAB 41

Romance Series 21222

PETANG itu, sengaja Natasha mengikuti Tokma dan Opah ke bendang. Kalau sebelum ini, dia hanya duduk di pondok kecil sambil memerhati keadaan sekeliling. Tetapi kali ini, dia ingin menyertai Tokma dan Opah bersawah pula.

"Yang tu, cucuk sikit kat dalam petak sawah tu" arah Opah kepada Natasha.

Natasha melakukan seperti apa yang diarahkan. Usai dengan petak pertama, dia berganjak ke petak seterusnya. Tanpa sedar, sudah banyak petak yang disiapkan.

Selesai dengan kerja itu, mereka bertiga kembali ke pondok kecil. Suka benar Tokma melihat wajah riang Natasha. Jarang dia melihat perempuan seperti Natasha meminati kerja-kerja itu. Yelah, kerjanya berat. Berlumpur, berpanas pulak tu. Natasha pula cantik berseri, mana mahunya bermain dengan lumpur dan tanah di bawah sinaran matahari. Silap-silap haribulan, boleh kena sunburn! Tetapi Natasha memang wanita luar biasa. Itu yang sangat dia kagumi.

"Seronok Tasha?" tanya Opah. Dia sudah membuka but lalu duduk bersila di atas lantai. Nasi dan pelbagai lauk-pauk sudah terhidang di hadapannya.

Natasha angguk dengan senyuman lebar di wajah. Pengalaman yang takkan sesekali dilupakan!

"Seronok Opah! Esok Tasha ikut lagi ye?"

"Boleh je. Tapi Tasha tak penat ke? Lagipun kerja ni berpanas" sampuk Tokma pula. Air teh panas dicicipi perlahan.

"Takde apalah Tokma! Tasha suka buat kerja ni. Seronok. Kalau duduk kat bandar, mana nak rasa pengalaman macam ni?" balas Natasha pula sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya.

"Yelah kan, kat bandar mana ada orang bersawah macam ni" sahut Opah pula.

Keadaan kembali sepi. Sambil menjamu selera, Natasha menjamah keadaan sekeliling. Kumpulan burung berkicauan berterbangan nun di atas sana. Riuhnya suara mereka menenangkan hati itu. Suatu saat, dia pasti bisa bebas dari keluarga yang sering menyeksanya. Berharap agar mampu membina kehidupan dan membangun keluarga baru di kampung itu.

"Tokma.. Tasha nak tanya"

"Apa dia cu?"

"Hmm.." gumam Natasha. Dia tak tahu bagaimana nak memulakan bicara.

"Tokma masih marahkan Dayah ke?"

Sebenarnya dia acapkali perasan yang Tokma sering mengelak daripada menerima kebaikan yang diberikan oleh Hidayah. Sedikit sebanyak, dia rasa bersalah dan kurang selesa dengan keadaan itu.

Soalan Natasha mengundang keluhan di bibir itu. Wajah cantik Natasha dipandang. Setelah mendengar cerita daripada Kayden beberapa bulan yang lepas, hatinya berbelas dengan nasib cucu menantunya itu. Tak selayaknya Natasha diladeni seperti itu. Traumanya dihidap dari kecil lagi. Disebabkan itulah, dia berupaya memberi sepenuh kasih sayang kepada Natasha. Dia ingin Natasha merasai hidup berkeluarga. Tetapi Hidayah pula buat kacau. Itu yang bikin hatinya terluka dan kecewa.

"Tokma kecewa dengan dia. Kami didik dia sebaik mungkin. Tapi agaknya mungkin didikan kami yang tak sampai ke hati dia" gumam Tokma. Wajahnya jelas terpancar riak kecewa.

"Mungkin dia kecewa sebab Tasha kawen dengan abang Kay" luah Natasha tanpa sengaja. Teringat kembali amukan Hidayah gara-gara dia yang dipilih menjadi isteri Kayden, hatinya yakin Hidayah memang menyimpan perasaan terhadap suaminya.

Opah dan Tokma kaget.

"Cu.. cakap apa ni?" Opah menggenggam erat jemari runcing Natasha.

"Err..." Natasha mengakui silap sendiri. Sebolehnya dia tak mahu memburukkan lagi keadaan dengan mengadu akan perkara itu.

"Takde apa Opah.."

Giliran Tokma mula menggenggam jemarinya.

"Tasha tak suka ke Ibrahim rapat dengan Dayah?"

Natasha diam. Sukar untuknya menjawab pertanyaan tersebut. Di sudut lain, dia tidak kisah jika Kayden rapat dengan Hidayah kerana mereka membesar bersama. Tetapi dalam masa yang sama, dia juga tak bisa melihat kedekatan mereka apatah lagi setelah diketahuinya perasaan Hidayah terhadap suaminya.

"Tasha cemburu ke?"

Pertanyaan Tokma bikin Natasha tersentak. Sekali lagi, dia diam tak berkutik.

"Opah dan Tokma faham perasaan Tasha. Sebab tu kami cuba sedaya-upaya untuk pastikan Hidayah tak melampaui batas. Tetapi seandainya dia melebih-lebih, Tokma izinkan Tasha ajar dia"

Senyuman di bibir Natasha melebar. Dia yakin Kayden bisa menjaga jarak. Hanya Hidayah yang masih tidak mengerti.

"Tasha tahu, Dayah baik sebenarnya. Cuma dia terlalu ikutkan perasaan. Tokma janganlah marah dia lagi. Kadang-kadang Tasha kesian tengok dia kena abai dengan Tokma"

Tokma mengukir senyum. Dia tahu, Natasha seorang yang baik. Hanya kurangnya kasih sayang menyebabkan Natasha bertingkah.

"Iye cu. Tokma tak marah dia lagi"

Natasha senyum. Satu masalah sudah selesai.

"Kamu ada berjumpa dengan orang tua Ibrahim?" tanya Opah pula.

Natasha angguk.

"Haritu masa Tasha dalam pantang, mama yang jagakan Tasha"

"Ilham dan Nirmala memang sayangkan Ibrahim walaupun bukan anak kandung dorang"

Mendengarkan omongan itu, Natasha tersentak. Serta-merta pandangannya berkalih ke arah Opah.

AMIRA bersembunyi di belakang kereta Range Rover apabila kelibat Haris dikesan di hujung sana. Dia sama sekali tidak mahu menemui lelaki itu. Baginya cerita antara mereka sudah tamat. Tidak ada yang harus dibuka kembali. Dia sudah menutup rapat-rapat pintu hatinya buat lelaki itu. Segala usaha yang dicurahkan tidak akan mampu meleburkan hatinya lagi.

Keretanya elok terparking di sisi tubuh Haris. Dahinya mengerut. Bagaimana dia mahu ke sana jika Haris seakan mengawal tempat itu? Entah milik siapa kereta tempat dia bersembunyi itu.

Suara seseorang berdehem mendebarkan hatinya. Di dalam hati dia berdoa agar orang itu bukanlah orang jahat. Peluhnya mulai menitik. Di hadapan sana, ada Haris yang sedang menunggu penuh harapan. Di belakangnya pula, ada insan yang seakan tak sabar nak menyerang. Apalah nasibnya petang itu.

"You buat apa bersembunyi kat belakang kereta I ni?"

Mendengar suara itu, hati Amira bernafas lega. Dia tahu pemilik suara itu. Sekurang-kurangnya dia tahu lelaki itu bukan orang jahat. Perlahan-lahan dia menoleh lantas tersengih.

Pandangannya jatuh pada anak mata Razif yang tunak memandangnya dengan pelbagai persoalan. Wajah Razif tampak bersahaja.

"You buat apa kat sini?" tanya Amira. Riak bodoh dipamerkan! Sekilas, dia berpaling ke arah Haris di depan sana. Lelaki itu masih elok berdiri bak patung cendana di sebelah keretanya. Aduh, macam mana dia nak balik?!

"You tengok apa?" soal Haris, turut sama mengalihkan pandangan ke arah tempat yang menjadi tumpuan Amira. Dia berdiri tepat di belakang Amira dan menyaingi ketinggian gadis itu yang separa telinganya.

"I tengok tu..." Amira menoleh dan kaget melihat wajah Razif yang benar-benar tersembul di hadapannya. Bibir mereka hampir bertemu. Wajahnya berbahang.

"You buat apa ni Razif?!" jerkah Amira lantas menolak tubuh itu menjauhinya.

Kening Razif berjungkit. Tatapan seriau Amira dipandang. "Mana ada I buat apa-apa!"

"Amira!!" Haris menjerit namanya dari jauh. Langkah kaki dihayun mendekatinya.

Amira mengeluh. Punyalah hebat dia merangka rancangan untuk bersembunyi. Alih-alih, sekelip mata saja semuanya terbongkar. Ini semua gara-gara Razif! Huhh!!

"Razif..."

Haris tersentak melihat kehadiran lelaki itu di situ. Dia kenal siapa Razif. Lelaki itu satu kampus dengannya dulu.

"Haris Ridzuan!" Razif senyum kelat. Kekasih Amira suatu ketika dulu. Gara-gara lelaki itulah, dia harus berselindung di balik perasaannya.

"You guys buat apa kat sini?"

Soalan Haris disertakan dengan riak cemburu. Dia tak pernah tahu jika Amira rapat dengan Razif.

"Ohh, aku sebenarnya..."

"Kita orang tengah date!" potong Amira sebelum sempat Razif sudahkan ayatnya.

Berkerut dahi Razif mendengar jawapan itu. Biar betul?! Tadi bukan main lagi Amira marahkan dia.

Jantung Haris bagaikan terhenti. Riak yang bersahaja berubah cemberut. Tidak mungkin semudah itu Amira menemui penggantinya.

"Ceh!!" gerutu Haris. Wajahnya tersungging senyuman sinis.

"I tahu you tipu I. Takkanlah you bercinta dengan Razif? You tahu kan, I sayang you sangat-sangat?!"

Setahu dia, Razif dikenali sebagai seorang lelaki nerd suatu ketika dulu. Tidak ada seorang gadis pun yang sudi mendekatinya. Yang dia ingat cuma Natasha menjadi temannya dahulu.

"Kenapa dia kena tipu kau? Dan kenapa kalau dia bercinta dengan aku?"

Pertanyaan Razif bikin keduanya tersentak. Amira terkebil-kebil, seakan tidak percaya jikalau lelaki itu turut serta di dalam 'permainannya'.

Haris bungkam. Razif yang kini sudah pandai melawan.

"Amira berhak bercinta dengan sesiapa yang dia rasa mampu buat dia bahagia. Dan kalau kau bukan lelaki tu, kau kena bersedia untuk kehilangan dia dan redha dengan semua ni. Lagipun kau nak terus seksa dia dalam hubungan ni? Kalau kau benar-benar sayangkan dia, kau kena ikhlaskan dia. Itu ertinya kasih sayang sebenar"

Mendengar omongan itu, hati Haris terkesan. Bicaranya mati. Wajahnya tegang. Dia tak mampu nak menidakkan omongan itu. Lantas, dia berjalan meninggalkan Amira dan Razif di situ.

"Razif, I..."

"It's okay!" potong Razif dengan memaniskan wajah. Bicara tadi benar-benar dimaksudkannya. Berharap agar Amira mengerti akan perasaannya.

Amira termangu. Kata-kata Razif seolah meninggalkan kesan di lubuk hatinya. Aura dan tingkah lelaki itu berbeza benar.

MELIHAT Natasha di hujung sana sedang terbongkok-bongkok membuat kerjanya, senyumannya sinis terukir di wajah. Opah dan Tokma pula sudah dari tadi pulang ke rumah. Kayden pula mengikut Tokwan ke pekan. Tiada sesiapa di situ kecuali dia dan Natasha.

Lantas, langkah dibuka menuju ke arah wanita itu. Jauh juga perjalanan dari pondok kecil ke tempat Natasha bersawah. Kehadirannya sama sekali tidak disedari oleh Natasha. Asyik benar dia dengan kerjanya.

Kini dia berdiri tepat di hadapan wanita itu sambil menyilang tangan ke dada. Natasha masih tak menyedari kehadirannya kerana dia sedang membelakanginya.

Hidayah tersenyum kelat. Teringat kembali ketika dia melihat belakang Natasha semalam, hatinya rasa menang. Terlalu banyak parut di belakang Natasha yang membuktikan kalau kecantikan tidak kekal lama. Natasha mungkin cantik pada wajah, namun tubuh badannya belum mampu untuk menyainginya. Secantik-cantik Natasha, tubuh badannya tetap nampak hodoh dengan parut yang sudah seperti petak sawah itu! Masakan Kayden tidak jijik dan geli dengannya?

"Dayah!"

Natasha kaget melihat gadis itu berdiri di hadapannya. Tingginya Hidayah, dia rasa sangat kecil dan kerdil di sisi gadis itu.

"Kau memang sengaja kan nak tunjuk rajin depan Opah dan Tokma? Yelah, orang bandar kan?! Bijak sangat mengipas!"

Natasha tidak mahu ambil pusing. Bicara Hidayah dianggap sebagai salah satu cara gadis itu melepas geram. Yang dia tahu, dia harus segera menyiapkan kerjanya kerana hari sudah hampir malam dan langit sudah menunjukkan tanda mahu hujan.

Hidayah menggigit bibir. Sikap cuek Natasha menambahkan kebencian dalam hatinya. Dia pandang sekeliling. Kemas dan teliti hasil kerja Natasha. Itu yang menjadikan dia semakin cemburu dan hatinya berapi-api.

"Cantik kan petak sawah ni? Tapi nampak macam parut belakang badan kau!"

Serta-merta tingkah Natasha terhenti. Dia mengalihkan pandangan dengan riak yang keruh. Bicara Hidayah dicerna sebaik mungkin. Parut belakang badan?

"Aku tahulah pasal parut kau tu! Hodoh, geli aku tengok! Kalau aku jadi abang Ib,tak ingin aku nak sentuh kau!"

"Apa makaud you Dayah?"

Suara Natasha bergetar menahan sesak di dada. Sakit hatinya mendengar kata-kata itu.

"Kau pekak ke? Tak faham bahasa?!"

Hidayah menentang tatapan tajam itu dengam berani. Jika dengan cara menyakiti Natasha akan memuaskan hatinya, itu sudah lebih dari cukup. Seminggu ini dia menahan rasa dengan wanita itu.

"Siapa yang tak faham bahasa?! You terkejarkan suami I, dah jelas siapa yang abang Kay pilih.." Natasha menyetir. Jangan harap dia akan bagi muka pada gadis itu. Sedaya-upaya dia menahan diri dari membalas Hidayah, namun gadis itu tak berhenti memprovoknya!

"Heyy!! Kau tu perampas. Kalau bukan sebab kau, abang Ib dah kawen dengan akulah!"

Bicara Hidayah mengundang tawa di bibir mungil Natasha. Entah sampai kapan agaknya Hidayah akan terus berangan-angan.

"Tolong sedar dari alam mimpi! Dalam hal ni, takde siapa yang menjadi perampas. Tapi yang tak reti bahasa, tak faham bahasa, tak tahu nak sedar diri tu adalah you! Banyak lagilah lelaki bujang kat dunia ni! Kenapa nak kejarkan suami I jugak?!"

Hati Hidayah mendongkol geram. Tak mampu menahan amarah dalam hati, tubuh Natasha yang kecil itu ditolak sehingga terjatuh ke dalam petak sawah. Habis terkena lumpur tubuh itu.

Melihat keadaan Natasha itu, hati Hidayah puas. Matanya merah menahan amarah yang membuak-buak. Bunyi guruh di dada langit semakin kuat.

"Harap muka je cantik! Tapi badan berparut, berpetak-petak macam sawah ni!! Aku harap sangat abang Ib jijik dan geli dengan kau. Tak malu ke nak tunjuk parut tu kat abang Ib?!"

Mengalir air mata Natasha dengan cacian itu. Hatinya rasa sangat perit. Fikirnya Hidayah sudah berhenti mengganggunya. Tekaannya meleset sama sekali. Dia mungkin berparut, tetapi itu tidak akan sesekali melemahkannya. Lantas laju dia bangkit dan menolak tubuh Hidayah kembali.

Hampir saja Hidayah terjatuh. Sempat dia berpaut pada dahan pokok kecil di situ. Hanya sebelah kakinya terkena bekas kaca di situ. Darah pekatnya mengalir. Tenaganya hampir hilang.

Dari jauh, kelihatan Kayden berjalan mendekati mereka. Hidayah mengambil kesempatan itu untuk menjatuhkan diri di atas sawah.

Natasha bungkam! Apa lagi rencana gadis itu?

happy reading ? marah ke dgn hidayah? hahaha

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience