KELUHAN berat termuntah jua dari bibir itu. Macam agak sukar untuk dipercaya dengan cerita yang dibawa oleh Rafik namun di dunia ini tiada apa yang mustahil bukan? Lagipun, lelaki itu sudah menunjukkan segala bukti bagi membenarkan ceritanya.
Jadi bagaimana harus dia menyangkal semua kebenaran tersebut? Wajarlah selama ini Amira jarang menghubunginya. Jika mereka berbual sekalipun, Amira tidak pernah membangkitkan isu rumah tangganya atau membuka apa-apa aib berkenaan Rafik.
Taat sungguh Amira sebagai seorang isteri. Segala keburukan dan kisah silam Rafik tidak pernah dia wara-warakan kepada sesiapapun, termasuklah dirinya.
Kasihan Amira! Pasti sahabatnya itu sangat memerlukan dia detik ini. Namun dia juga tak bisa hendak keluar sesuka hati. Masih ada Marisa yang juga turut sama memerlukannya.
Nombor Amira didail. Lama dia menunggu panggilannya bersambung. Namun hampa yang bertandang. Hanya suara operator penuh kemesraan menyambut panggilannya.
"Dia busy kot!" keluh Natasha seraya meletakkan telefon di atas meja.
Kepala yang terasa pening dipicit-picit. Serentak itu, matanya terkatup rapat.
"I rasa I dah sayang pada Amira. Tapi I dah buat kesilapan yang takkan boleh dapatkan kemaafan dari dia"
Kata-kata tersebut kembali terngiang-ngiang di cupingnya. Lantas, matanya tercelik kembali.
Terlalu banyak yang diceritakan oleh Rafik kepadanya, termasuklah perihal gadis bernama Sofya dan sejauh mana hubungan mereka berlanjutan. Jika dia di tempat Amira, bisakah dia menerima semua itu? Jawapannya pasti tidak! Mana mungkin dia mahu berkongsi kasih dengan wanita lain.
"Sayang.." seru si suami dengan suara manja. Laju saja punggungnya mendarat di sebelah sang isteri.
"Kenapa duduk kat luar ni? Sejuk ni tau?"
Ruangan balkoni yang dipenuhi dengan bunga-bungaan itu meraih perhatiannya. Dari tadi dia menunggu Natasha namun isterinya tak kunjung tiba.
"Tasha nak cakap dengan Amira"
"Dapat?"
Natasha menggeleng. Rasa nak terbang ke utara sana untuk mendapatkan sahabatnya itu. Memeluknya dan berkongsi masalah seperti yang biasa mereka lakukan suatu ketika dulu.
"Dia busy kot? Dia kan doktor. Nak kena attend patients.."
"Tapi takkanlah 24 jam kat hospital?"
"Maybe she is on call? Hospital kan tempat orang sakit, tempat emergency. Kita tak boleh nak jangka benda ni berlaku bila"
Natasha diam. Ada benarnya juga kata-kata Kayden. Takkan dia nak terjah Amira kat tempat kerja? Hari pun dah larut malam. Kayden pasti tak memberi izin untuknya keluar di waktu begini. Tapi tak salah mencuba kan?
"Abang, Tasha..."
"No!" Suara keras Kayden kedengaran mencantas ayatnya. Mengerti benar dengan akal fikiran si isteri. Takkan semudah itu dia nak lepaskan Natasha keluar malam-malam begini.
Haaa kan dah cakap?! Natasha mengeluh lantas menyandar tubuh ke dada kerusi. Arghh stress!
"Abang tak sukalah Tasha ikut campur hal dorang. Pandai-pandailah dorang uruskan. You are now pregnant. Abang tak nak benda ni jejaskan kesihatan Tasha dan baby kita"
"Tapi dia kawan Tasha. My best friend since ages ago"
"Abang tahu"
"No you don't!" bentak Natasha dengan linangan air mata menuruni pipi.
Kayden tersentak. Kecil hati dengan kelakuan Natasha yang membentaknya.
"Kenapa cakap tinggi dengan abang?"
Seboleh mungkin Kayden mengawal suaranya. Namun tingkah Natasha menguji kesabarannya. Gara-gara perkara yang menimpa rumah tangga Amira, hubungan mereka terjejas.
"Sorry" ucap Natasha sambil menunduk wajah. Dia terlepas nada. Bukan kehendaknya namun dia tak boleh jika membelakangkan Amira.
Helaan nafas kedengaran. Sesudah menenangkan diri, Kayden tarik lengan Natasha. Sekejap saja, tubuh itu duduk di atas ribanya.
"Abang nak kita hidup tenang tanpa ada masalah. Yang sekarang ni pun dah bertimbun masalah datang"
Sejujurnya Kayden tak pernah bersetuju dengan keputusan Natasha untuk menjaga Marisa di rumah mereka. Dia bukannya apa, dia masih tak boleh menerima apa yang telah dilakukan oleh Marisa terhadap Natasha suatu ketika dulu. Segala kesakitan Natasha gara-gara perbuatan Marisa dahulu masih terbayang jelas di matanya. Makanya sejak Marisa dipindahkan ke dalam rumah mereka, tidak pernah sekalipun dia melawat atau bertanya khabar. Namun semuanya dipendam saja kerana dia tak mahu Natasha merajuk dengannya. Dia sayangkan Natasha melebihi segalanya. Jadi segala keputusan itu harus terpaksa diikuti meski hatinya tak rela.
"Tapi dia kawan Tasha. Takkan Tasha nak tinggalkan dia masa dia susah?"
"Tapi berkawan pun ada batasnya. Kalau lepas ni dorang ada masalah lagi, takkanlah sayang nak tolong jugak?"
"Ni bersangkut-paut dengan masa depan hubungan dorang bang. Kalau Amira mintak cerai macam mana?"
"Maksudnya Amira wanita yang bijak"
"Abang!" rungut Natasha.
"Kenapa?"
Riak bersahaja dipamerkan oleh wajah itu.
"Abang nak sokong penceraian ke? Tahu tak, cerai adalah perkara halal yang Allah benci"
"Ya sayang. Abang tahu. Tapi kalau dah terseksa dalam hubungan tu, kenapa masih nak bertahan?"
"Macam mana abang tahu dorang terseksa? Kita tak tahu lagi perasaan dorang macam mana. Dan satu lagi, abang ingat tak kes kita dulu? Tasha pernah mintak cerai banyak kali sebab Tasha cakap Tasha tak mampu nak bahagia dengan abang. Tapi apa abang buat?"
Kali ini, bicara Natasha benar-benar membisukan Kayden. Masakan dia lupa pada peristiwa tersebut. Sehingga hujung nyawa pun dia tak mahu melepaskan Natasha. Dia cintakan Natasha dan dia yakin mereka bisa bahagia. Dan kini, dugaannya tepat belaka.
"Dan masa kes kita dulu, Amira yang banyak bagi nasihat pada Tasha. Dia suruh Tasha terima abang dan belajar mencintai abang. Dia tak pernah pun suruh atau hasut Tasha bercerai dengan abang. Sebaik mungkin, dia suruh Tasha berdamai dan berbincang dengan abang. Dia tak nak Tasha jadi isteri derhaka hanya sebab kesalahan abang. Sekarang takkan Tasha nak biarkan dia merana dan hubungan dia musnah? Amira pun berhak bahagia sebab dia pernah percaya yang suatu hari nanti Tasha akan bahagia"
Kelu lidah Kayden. Bungkam dengan kenyataan yang keluar dari bibir isterinya. Begitu mulia sekali hati Amira selama ini. Justeru, takkanlah dia harus menyokong keputusan isterinya itu? Amira memang berhak bahagia tetapi mungkin bukan di samping Rafik. Dia berhak mendapatkan seorang lelaki yang jauh lebih baik.
"Tapi tak semestinya kalau dia bahagia, dia kena pertahankan rumah tangga dia? Mana tahu dia boleh bahagia tanpa meneruskan hubungan ni dengan Rafik? Lagipun, kita sendiri dah dengar dari pengakuan Rafik kan? Yang dia ada skandal dengan perempuan nama Sofya"
"Tu sebelum dia kawen dengan Amira. Sekarang dia dalam usaha nak putuskan hubungan dengan perempuan tu"
Kayden tersenyum kelat. Wajah cantik Natasha ditatap. Semakin ditatap, semakin matanya menggila. Tak jemu dia memandang wajah cantik itu.
"Kenapa sayang obses sangat dengan Amira? Hmm?"
Terdiam sejenak Natasha dibuatnya. Obses? Dia?
"Mana ada obses! Tu tandanya sayang. Tasha sayangkan Amira. Selama ni, dia je yang ada di sisi Tasha. Dia yang tak pernah langsung tinggalkan Tasha.."
Membayangkan kembali suka duka mereka harungi bersama sebelum ini, sayu hatinya. Amira sanggup melakukan apa saja hanya untuk memastikan dia bahagia dan rasa diperlukan. Amira adalah tempat di mana dia merasakan hidupnya sebuah keluarga.
"Sebab tu Tasha nak tolong dia. Tasha tak boleh nak lepas tangan atau tinggalkan dia selepas kebaikan yang dia buat selama ni pada Tasha"
Kayden mengeluh. Sejujurnya dia lebih suka jika Natasha tidak masuk campur langsung di dalam perkara ini memandangkan itu adalah hal rumah tangga Amira. Namun mengenangkan kebaikan Amira terhadap hubungan membaik mereka, dia jadi serba salah. Dia bukannya apa, dia tak mahu Natasha tertekan lantaran isterinya itu kini sedang hamil. Dia hanya mahu Natasha sentiasa positif dan bahagia.
"Susah kan nak lenturkan hati Airis Natasha yang keras ni? Degil pulak tu!"
Hidung mancung Natasha dicuit. Bicara Natasha tak mampu dilawan lagi.
Natasha tersengih. Senang hati dengan pelakuan Kayden terhadapnya.
"Tapi sayang kena janji sesuatu. Jangan mendesak Amira. Sayang cuma nasihat dia. Yang selebihnya biarlah dia sendiri yang membuat keputusan"
"Iye bang"
Dahi Natasha dikucup. Dia percayakan janji Natasha.
"WOWW! Dayah masaklah. Sedapnya bau"
Air liur Natasha tertelan. Haruman masakan Hidayah sangat menggoncangkan perutnya. Tidak dinafikan gadis itu memang jaguh memasak. Bahkan ketika mereka di kampung, dia selalu curi-curi merasai masakan gadis itu.
Hidayah tersenyum bangga. Puas hati dengan pujian yang diberikan oleh Natasha kepadanya.
"Akak duduk sini"
Natasha ditarik sehingga ke hadapan kerusi. Kemudian tubuh kecil itu didudukkan di situ.
"Biar Dayah masak. Nanti abang bising kalau tengok akak kat sini"
Hidayah masih teringat semalam. Ketika dia dan Bik Ros menyediakan makan malam, Kayden memarahi mereka kerana membiarkan Natasha membantu mereka. Kayden tak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada Natasha. Trauma kerana keguguran Natasha beberapa bulan lalu memaksanya menjadi lebih tegas. Dia hanya mahu Natasha berehat dan membiarkan pembantu rumah yang bekerja. Masalahnya, kakak iparnya itu memang degil. Walaupun sudah dimarahi berkali-kali, semakin galak pula dia ke dapur. Seolah sengaja menguji kemarahan suaminya.
"Abang tu risau sangatlah! Akak bukan nak terberanak pun" rungut Natasha. Kadangkala dia rimas pula dengan sikap terlalu risau si suami. Bukannya dia tak pandai menjaga diri.
Hidayah tertawa kecil. Padanlah tu! Seorang bengis, seorang lagi degil!
"Abang tu risau. Walau macam mana sekalipun akak cakap yang akak tak apa-apa, abang takkan percaya. Dia kalau boleh nak kita je dengar dia" sahut Hidayah.
Sambil bercakap, laju pula tangannya menyiapkan makanan di atas meja. Tak disedar segalanya sudah siap terhidang.
Kerusi ditarik lalu punggung dilabuh di situ. Mihun goreng putih siap dicedok ke dalam pinggan Natasha. Ayam masak blackpepper turut sama disajikan.
"Tapi abang sayangkan akak. Dayah boleh nampak tu. Akak orang pertama dalam hidup dia"
Terimbau kembali saat dia mencuba mendapatkan Kayden, hatinya diserang sesal yang bukan sedikit. Berdosanya dia kerana pernah punya niat untuk meruntuhkan rumah tangga mereka. Kerana itulah, dia kini hanya ingin menjadi adik perempuan terbaik kepada mereka berdua.
"Akak tahu" sahut Natasha penuh bangga.
"Amboi!!" tempelak Hidayah dengan tawa kecilnya.
Tawa itu disambut oleh Natasha. Seketika, suasana kembali sunyi. Kedua mereka sedang menikmati makanan.
"Oh ya. Yang kat dalam bilik tamu tu adik akak ke?"
Hidayah baru teringat akan kehadiran Marisa. Dia selalu nampak Natasha ke sana.
"Aah. Dia ada sakit"
"Sakit apa?"
Natasha tersenyum hambar.
"HIV"
Hidayah terpempan. Namun tidak pula dia kaget menerima berita itu. Segala cerita mengenai Marisa sudah didengarinya melalui Kayden tempoh hari. Agaknya itu adalah balasan daripada Allah di atas dosanya terhadap Natasha. Kerana cerita itu, dia insaf dan tidak berani mahu berbuat jahat kepada sesiapa. Balasan Allah datang dalam segala bentuk. Dan dia tidak mahu menjadi antara hambaNya yang mungkar.
"Itu mungkin cara Allah nak cuci dosa dia"
Bicara Hidayah mematikan tingkah Natasha. Wajah Hidayah ditatap penuh pertanyaan.
"Abang dah cerita semua kat Dayah"
Natasha angguk. Faham maksud Hidayah.
"Tapi sanggup ea akak nak jaga dia? Lepas apa yang dia buat pada akak selama ni?"
Sajalah Hidayah bertanya. Nak juga dia tahu hati Natasha itu macam mana. Walaupun sebenarnya dia tahu Natasha memang seorang wanita yang baik.
Senyuman manis tersungging di wajah itu. Siapalah dia nak terus menghukum sesama manusia? Dia pun banyak dosa. Cuma Allah masih melindunginya.
"Akak tak nak berdendam. Akak nak hidup aman dan berdamai dengan takdir. Dulu akak selalu tertanya-tanya kenapa Allah uji akak macam ni. Rupanya sebab nak bagi akak lebih kekuatan untuk hadap hari mendatang. Lagipun dia je keluarga yang akak punya selain dari papa. Dan satu lagi, akak harap apa yang akak buat ni akan baikkan hubungan kami. Lagipun, manalah tahu dengan kebaikan ni, akak akan dipermudahkan urusan bersalin nanti"
Natasha mengusap perutnya. Tersenyum melihat benih Kayden yang kian membesar di dalam sana. Bukti cintanya pada sang suami.
Hidayah bangga dengan cara pemikiran Natasha. Dendam dibalas kebaikan. Ternyata kebaikanlah yang menang. Banyak pengajaran yang diperolehinya melalui kejadian ini. Dia bersyukur masih diberi peluang tersebut.
"Tapi akak tak takut ke? Dia kan kena HIV. Kalau akak selalu dekat dengan dia.."
"HIV tak berjangkit melalui sentuhan.." tegas Natasha, seraya membetulkan tanggapan Hidayah. Dia tak mahu Hidayah ataupun sesiapa di dalam runah tersebut geli dengan Marisa.
Hidayah menelan liur. Wajah dan suara tegas Natasha bikin dia senyap.
"Akak tak nak Dayah ataupun siapa-siapa dalam rumah ni geli dengan Marisa. Kita kena bagi sokongan pada dia.."
"Maafkan Dayah kak. Dayah cuma tanya. Takde maksud apa-apa"
"Ye akak faham. Tapi lain kali kalau Dayah nak buat atau cakap apa-apa, kena fikir dulu. Takut nanti ada yang tersinggung"
"Iye kak"
"Okey. Hmm, esok nak ikut akak tak?"
"Pergi mana?"
"Akak nak jumpa Amira. Kawan akak. Abang pasti takkan benarkan akak pergi sorang. Sebab tu akak ajak Dayah. Nak?"
"Mestilah nak! Tapi akak kena belanja makan tau? Dayah tak boleh takde makanan"
Meletus tawa Natasha. Badan kurus tapi selera bukan main besar! Dayah Dayah!!
"Yelah"
happy reading? komen korang banyak membantu kiki..tq korang?
Share this novel