DARI tadi dia duduk menghadap jendela yang memberikan pemandangan indah kepada sepasang anak matanya. Kolam kecil dan air birunya kelihatan sungguh menenangkan hati yang entah dari kapan sedang berkocak hebat.
Kunjungan anak dan menantunya tempoh hari membawa berita yang memeritkan. Walaupun dia mahu menidakkan setiap kata-kata tersebut, namun hatinya masih tak pernah tenang.
Ternyata, terlalu banyak yang berlaku di luar sana yang terlepas dari pandangannya. Anak yang dikasihi meski bukan lahir dari darah dagingnya kini terlantar sakit dan tak berdaya. Sedangkan si anak yang sentiasa dibenci dan dimanfaatkan pula membayar rasa sakit dengan kebaikan yang tiada taranya. Ya Allah! Inikah balasan di atas dosa dan keangkuhannya yang dahulu?
Keluarganya berpecah-belah hanya gara-gara sifat tamak dan dengki yang meraja di hati. Angkara nafsu juga, segala yang dimiliki punah dalam sekelip mata.
Apa yang dia punya saat ini? Dia tak punya apa-apa! Melainkan ego yang meninggi dan rasa kesal yang tak berkesudahan.
"Papa, Tasha merayu. Taubatlah dan akui kesalahan papa. Tasha akan sentiasa jadi anak yang baik untuk papa walaupun papa buang Tasha. Sebab papa keluarga yang Tasha ada selain Marisa saat ni"
Terngiang-ngiang bait kata itu di cupingnya. Meski dia menolak dan dingin, Natasha masih merayu dan rapuh di hadapannya. Perut Natasha yang kian membesar hanya mampu ditatap dari ekoran mata. Meski tangannya mahu naik mengusap, namun ego tetap berkeras menghalangi.
Siapa kata dia tak gembira dengan berita kehamilan Natasha? Siapa kata dia tak bersyukur? Bahkan hampir setiap hari dia menjerut rasa dengan tindakan sendiri. Tangisannya tak pernah kering untuk anak bernama Airis Natasha! Baru kini dia tahu erti rindu dan penyesalan.
Foto yang pernah ditinggalkan Natasha suatu ketika dulu ditatap kembali. Itulah kali pertama dia membuka hati merenung foto tersebut setelah penyesalan datang berkali-kali. Terbit senyumannya tatkala melihat riak bahagia pada wajah Natasha dan Nilam di dalam foto tersebut. Emosinya tak mampu ditahan lagi. Kali ini, dia rapuh. Egonya terhapus. Air matanya turun satu-persatu. Gara-gara pentingkan diri dan tamakkan harta, senyuman pada dua wajah itu lenyap.
"Maafkan abang Nilam! Maafkan abang!!"
Wajah Nilam diusap dalam tangisan. Jika dia bisa mengembalikan waktu, pasti dia tidak akan bertindak semborono.
"Maafkan abang!"
MARISA duduk bersandar di kepala katil. Setelah menelan beberapa pil dan diberikan suntikan, dia hanya ingin berehat dan lebih selesa mengurung diri di dalam bilik.
Bukannya dia tak tahu cara berterima kasih, tetapi dia malu untuk berhadapan dengan Natasha. Setelah kekejaman dan penderitaan yang diberikan kepada Natasha selama ini, dia tidak layak untuk mendapatkan kebaikan daripada wanita itu.
Air mata yang bertakung perlahan-lahan menuruni pipi. Terlalu banyak kekejaman yang dilakukan kepada Natasha. Sehingga ke hari ini, dia masih tidak bisa memaafkan diri sendiri.
Pernah dia terfikir untuk melarikan diri dari Natasha tetapi ke mana hala tujunya? Dia tak tahu mana Miranda dan Ariffin berada. Tidak mungkin dia mampu menjejaki mereka dengan keadaannya yang lemah itu. Namun untuk terus berada di situ, hatinya diserang pilu yang bertalu-talu. Malunya masih menebal terhadap Natasha.
Pintu kamar diketuk membuatkan dia segera menyeka air matanya. Terdengar suara Natasha meminta izin untuk masuk. Dia tak menjawab, sebaliknya hanya membiarkan Natasha memasuki kamar.
Dari ekor mata, dia lihat Natasha membawa dulang berisi bubur dan air kosong. Pandangannya jatuh pula pada perut Natasha yang membesar. Berapa bulan agaknya?
Fizikalnya juga sudah berubah. Dari badannya yang kecil dan kurus, kini Natasha nampak sedikit berisi. Penampilannya yang bertudung dan bajunya juga labuh turut memeranjatkan Marisa. Ketika pertama kali bertemu di hospital tempoh hari, dia hampir tidak percaya itu adalah Natasha. Bahkan tutur katanya juga lebih sopan dan semakin lembut. Begitu jauh cinta merubah manusia. Seperti dia yang mencintai Hardi suatu ketika dulu, sehinggakan tubuh badan sanggup diserahkan.
"Aku dah masak bubur. Aku kurang tahu kegemaran kau. Jadi aku masak bubur dulu. Nanti kau boleh bagitahu aku, kau nak makan apa. Aku akan sediakan"
Marisa hanya mendiamkan diri. Dia lihat Natasha sudah meletakkan dulang ke tepi. Bubur ditiup perlahan-lahan bagi menghilangkan kepanasannya. Setelah itu, dia menyuapkan ke dalam mulutnya.
"Makanlah. Kau tak makan dari tadi. Nanti badan kau lemah" pinta Natasha.
Tangan Natasha yang dari tadi di hadapannya hanya direnung saja. Segan diladeni sebegitu baik oleh insan yang pernah dilukai hati dan masa kecilnya. Ya Allah! Bagaimanakah dia begitu tega memperlakukan Natasha seperti itu?
Raut wajah Natasha yang tampak ikhlas ditatap lama. Dulu wajah itulah yang dibenci sehingga dia tega melakukan berbagai cara untuk mencelakakannya. Hati Natasha yang rapuh kian disakiti dengan merebut perhatian dan kasih sayang daripada Ariffin. Dan dia berhasil tatkala Ariffin lebih mengutamakannya dan membiarkan Natasha sendirian.
"Hmm?" gumam Natasha sambil mencuba menyuap Marisa.
Air mata yang mengalir dihapus sebaik mungkin. Tatapan mata Natasha dialihkan daripada pandangannya. Dia tak sanggup untuk terus menatap mata tulus itu.
"Kau tak nak aku suap ke? Kau nak makan sendiri?" tanya Natasha lagi, membuat andaian sendiri.
Marisa masih senyap. Melihat kepada keikhlasan Natasha, dia benar-benar tak sanggup untuk terus berhadapan dengannya.
Natasha merasakan perutnya sakit. Diletakkan bubur di atas katil sambil cuba menenangkan diri.Perutnya mengeras.
Marisa mengerut dahi. Apa sudah jadi? Dia nak beranak ke?Dilihatnya Natasha menghela nafas dalam-dalam sambil cuba menenangkan diri.
Tanpa sedar, tangan Marisa digenggam oleh Natasha. Anehnya, Marisa hanya membiarkan saja. Umpama melihat Natasha sedang bersalin di hadapannya.
"Huuu..." keluh Natasha lantas menghela nafas lega. Kesakitan itu sudah beransur-ansur hilang.
Pegangannya membuatkan dia tergamam seketika. Entah kenapa, genggaman tersebut seolah-olah mengalir kekuatan dari dalam.
"Perut aku mengeras. Babies..." ujar Natasha walaupun Marisa tidak berkata apa-apa.
Babies? Marisa mengerut dahi. Dia hamil anak kembar?
"Anak saudara kau ni kembar. Aku happy sangat bila doktor bagitahu aku hamil kembar. Dulu aku miscarriage tau? Mungkin Allah nak gantikan anak aku tu dengan yang kembar sekarang ni" cerita Natasha dengan wajah yang girang. Tangannya naik mengusap perut sendiri.
Marisa sembunyi senyum. Benar dugaannya. Natasha mengandungkan anak kembar. Dalam hati, dia tumpang gembira dengan perkhabaran itu.
"Kau marahkan aku ke?"
Soalan Natasha menyentakkan Marisa. Serta-merta anak matanya bertemu dengan anak mata Natasha. Mencari jawapan kepada soalan itu di sebalik matanya yang lembut.
"Kau tak bercakap dengan aku sejak dari hari pertama kita jumpa.."
Terdengar keluhan dari bibir itu. Egonya sudah menurun dengan memulakan perhubungan baru dengan Marisa. Dia tidak tahu bagaimana penerimaan Marisa namun dia harapkan yang sama dari adik tirinya itu.
"Takpelah! Aku faham. Mungkin kau tak selesa dengan aku.." Natasha membuat andaian sendiri.
"Tapi stay dengan aku tau? Aku nak jaga kau sampau bila-bila. Itu je cara untuk aku lupakan dendam kita yang lalu. Aku tak tahu apa yang kau rasa tapi aku harap kau nakkan benda yang sama dari aku"
Jemari Marisa digenggam erat. Menyalurkan rasa sayang melalui bahasa badan dengan harapan Marisa dapat merasai dan menerimanya.
"KENAPA termenung jauh ni?"
Pinggang Natasha diraih rapat ke sisi. Bibirnya berlabuh di dahi isteri tercintanya itu.
"Tasha fikir pasal Marisa"
"Kenapa dengan dia?"
Tunak matanya merenung pipi Natasha. Semakin montel saja, bikin dia geram.
"Dia tak nak bercakap dengan Tasha"
Suara Natasha sebak. Seolah menahan tangisan dari tadi.
"Maybe she needs time?"
Natasha senyap. Mungkin ada benar dugaan suaminya. Tetapi dia terseksa melihat kesenyapan Marisa. Tak sudikah gadis itu menerima kebaikannya?
"Atau dia masih segan dengan kita?"
Bicara itu membuatkan Natasha memandang wajah suaminya. Dia ingin penjelasan.
"Mungkin dia masih rasa segan di atas apa yang dia pernah buat pada Tasha dulu. So bila Tasha buat baik pada dia, dia malu nak terima. Hubungan sayang dengan dia kan tak pernah baik dari kecik lagi. Untuk dia terima kebaikan sayang dan semua benda baru ni, mungkin sulit sikit untuk dia"
Kata-kata Kayden seolah ada benarnya. Andaian itu diterima dengan harapan suasana hatinya akan pulih dan hubungan mereka membaik.
"Okey. Tasha percayakan abang"
Tangan kekar Kayden diraih lantas dibawa ke bibir. Dia sudah rasanya semua lengkap. Hanya berharap Ariffin dan Marisa mahu menerimanya kembali.
"Tapi katakanlah suatu hari nanti dorang tak nak terima Tasha, apa Tasha kena buat bang? Tasha kena merayu lagi ke?"
Suara sebak itu sungguh memilukan hati Kayden. Betapa rindunya Natasha pada sesuatu yang dinamakan 'keluarga'. Kasih benar dia melihat wajah itu.
"No sayang. Kalau dorang tak nak terima kasih sayang dan kebaikan sayang, sayang kena berundur. Masih ada banyak lagi orang yang sayangkan Tasha. Dorang yang rugi sebab buang Tasha jauh-jauh. Jangan mengemis kasih sayang orang yang hatinya penuh ego dan angkuh. Orang macam tu tak nampak kasih sayang kita, dan dia juga takkan pernah nampak kasih sayang dari Allah"
Nasihat tersebut dihadam sebaik mungkin. Ada benarnya kata-kata Kayden tetapi kenapa hatinya tetap rasa kekurangan? Tapi dia sudah terbiasa. Dari kecil diabaikan oleh orang tersayang. Kenapa kini dia harus merasa terluka sedangkan itulah penemannya sedari kecil lagi?
"Tasha dah biasa dari kecik. Jadi Tasha janji akan biasakan diri lagi dari sekarang"
Sebak ditahan dengan suara yang penuh getar. Sedar diri dengan keadaan yang tak pernah memihak kepadanya, dia pasrah sahaja.
"You still have me. Don't forget that"
Hidung Natasha dilagakan bersama hidungnya.
"Jangan selalu anggap diri tak berguna. Sebab ada abang yang sentiasa perlukan sayang. Okey?"
Natasha mengangguk kepala.
"Nak" Kayden muncungkan bibir.
Natasha gelak. Namun laju saja dia mendaratkan bibirnya di situ.
Panggilan telefon mematikan tingkah asmara keduanya. Mahu tak mahu, terpaksa juga Kayden melepaskan isterinya.
Tak lama kemudian, Natasha kembali dengan wajah riang.
"Abang, Dayah datang! Yeayy Tasha ada kawan!!"
Tak menyempat, dia terus laju meninggalkan Kayden di situ.
"Sayang.."
Belum sempat meninggalkan pesan untuk berhati-hati, Natasha sudah berlalu mendapatkan Hidayah di laman rumah.
Kayden mengeluh dengan tingkah sang isteri. Masaklah dia! Kehadiran Hidayah akan membuatkan dia tak wujud di mata Natasha. Tiba-tiba cemburu merajai ruang hati.
Kini, dia harus bersaing untuk merebut perhatian dan kasih sayang dengan Hidayah.
Sabar jelah! Hu hu
Share this novel