BAB 73

Romance Completed 157983

Laju kakinya mengatur langkah keluar dari butik yang baru dikunjungi. Tangan kiri menjinjing dua paper bag berisi baju, yang baru dibeli. Matanya tidak berkelip menatap skrin telefon di tangan. Terlalu ralit hingga tidak sengaja merempuh seorang lelaki. Untung tidak terlepas telefon dalam pegangan

"Lis..?", terpancar riak terkejut di wajah lelaki itu. Tidak sangka boleh terserempak di shopping mall. Lengan wanita itu dalam genggaman dilepaskan. Nasib baik sempat sambar sebelum tersembam. Kalau tidak cium lantai la jawabnya.

"Danii..! Kau buat apa dekat KL? Macam mana boleh ada dekat sini?", tanya Alisa dengan rasa terkejut. Senyuman di bibir sudah mengembang. Teruja dapat bertemu dengan sahabatnya tanpa dirancang.

"Aku ada kerja dekat KL. Alang-alang lalu sini aku singgah kejap beli laptop. Masa tengah busy nak buat kerja, dia pun sibuk nak melingkup", rungut Daniel. Jelas riak tidak puas hati di wajah lelaki itu. Mungkin berserabut.

"Kenapa kau beli dekat sini. Patutnya beli dekat Melaka. Senang sikit. Kalau ada problem dengan laptop tu nanti, kau kena datang sini pula", nasihat Alisa.

"Nak buat macam mana. Time aku dekat sini ada kerja penting, dia pun nak rosak juga", selamba Daniel menjawab. Malas dah nak fikir. Kalau difikir juga mahu mencarut.

"Biarlah. Lagipun aku selalu datang KL. Dah macam rumah kedua", sambung Daniel.

Melihat lelaki di hadapannya memasang wajah malas, Alisa juga malas nak membazirkan air liur menasihati lelaki itu. "Ikut kau la Dani. Aku ingatkan je", balas Alisa pendek.

"Yang kau pula...tengah shoping? Sorang je? Laki kau mana?", bertubi-tubi Daniel menyoal. Hairan melihat Alisa jalan berseorangan. Dia cukup kenal dengan Rizqi, sahabat yang satu itu. Lelaki tu mungkin kelihatan cool di luar tapi agak posesif juga. Cemburu dia pun boleh tahan.

"Riz, ada kerja nak kena settle. Tapi aku dah minta izin sebelum keluar. Bukannya main keluar je. Location pun aku share dulu. Siap ada curfew lagi. Sebelum Maghrib kena ada dekat rumah", jawab Alisa, menghadiahkan Daniel sebuah jelingan.

"Memang la ada curfew. Dah kau tu wife dia, keluar tanpa dia. Tak kan kau nak suruh Riz pesan balik sebelum pukul satu pagi pula. Buang tabiat laki kau macam tu", sengaja Daniel menyakat Alisa. Sudah lama dia tidak mengusik wanita itu. Rindu pula.

"Kalau gitu, baik tak payah pesan. Ikut pandai nak balik pukul berapa", bidas Alisa menatap tajam muka Daniel. Perangai dia langsung tak berubah. Gemar menyakat.

Melihat Alisa yang terdiam tiba-tiba, Daniel mengerutkan dahi. Mata wanita itu sudah membutang tidak percaya. Mulutnya melopong dek rasa terkejut.

Mata Alisa terus tertumpu kepada pasangan yang sedang asyik bermadu kasih, menyulam cinta. Tidak dihiraukan orang lain yang berselisih. Tidak percaya dengan apa yang dilihat, Alisa mengerdipkan mata berkali-kali. Dengan harapan semuanya hanya salah faham. Dadanya terasa sesak memandang permandangan di depan mata. Seakan tidak dapat diterima akal.

Daniel mengarahkan pandangan ke arah pasangan yang sedang asyik bergelak ketawa itu. Tak menemukan apa yang pelik. "Kau kenapa Lis? Dah macam orang nampak hantu siang-siang hari", tanya Daniel akhirnya. Tak kan nak biarkan Alisa terus mengeras di situ.

"Lis..Lis! Kau kenapa? Kenal ke couple tu", tegur Daniel sekali lagi. Nadanya sudah dikeraskan sedikit. Tangannya turut dilambai di hadapan wanita itu, bila tidak mendapat reaksi.

"Dani...kenapa kau fikir lelaki dengan perempuan tu couple. Maybe cuma kawan", akhirnya Alisa sudi membuka mulut. Perlahan dia menyoal lelaki di sampingnya.

Daniel menatap Alisa dengan wajah tidak percaya, berkerut dahinya mendengar pertanyaan wanita itu. "Kau biar betul Lis. Kalau sekadar kawan tak kan macam tu gayanya. Berpegang tangan, siap duk rangkul pinggang. Pelik sangat tu. Selama aku kawan dengan kau pernah ke aku buat perangai macam tu", tajam Daniel menyoal kembali. Matanya kembali melirik ke arah pasangan yang baru menapak masuk ke sebuah butik.

"Tu housemate aku", ujar Alisa tiba-tiba. Perlahan saja suaranya.

"Oh.., then what the problem? Dia keluar dating dengan boyfriend dia", lelaki itu tidak faham, kenapa Alisa mempermasalahkan hal itu.

"Dia dah bertunang, awal tahun depan diaorang planning nak kahwin", satu-satu Alisa menyusun kata. Wajahnya pucat tidak berdarah.

"Ohhh, tu tunang dia ke? Baguslah, mungkin diaorang keluar cari barang. Tak dak masalah pun", mudah lelaki itu membalas. Tapi dia binggung melihat reaksi Alisa yang tak keruan.

Alisa merenung tepat muka Daniel. "Masalahnya sekarang, tu bukan tunang dia. Aku kenal tunang dia", Alisa mengetap bibir, geram dengan sikap ambil mudah Daniel.

Daniel terdiam, fahamlah dia sekarang kenapa Alisa terkaku sejak tadi. Kes curang la ni. "Kau kenal tunang dia?", Daniel buka mulut bertanya.

"Kenal...Dia kawan Riz dengan Am", dengan berat hati Alisa menjawab.

"What? Kawan Riz dengan Am. Siapa?", tanya Daniel tidak dapat menahan rasa ingin tahu. Sikap sambil lewa sejak tadi sudah bertukar seratus lapan puluh darjah. Mana taknya. Ramai juga kenalan Rizqi dan Ilham yang dikenali Daniel. Nak tahu juga siapa yang kena curang ni.

"Airill...", perlahan Alisa menjawab. Berat sekali rasanya nak menuturkan nama itu. Hatinya jatuh kasihan mengingatkan wajah segak lelaki itu. Tidak faham kenapa Shima tergamak menduakan lelaki sebaik Airill.

"Airill!! Airill yang kerja satu tempat dengan Am ke? Lis, biar betul!", Daniel sudah meninggikan sedikit suaranya. Melihat Alisa mengangguk perlahan, Daniel terdiam. Mana taknya. Dia juga cukup kenal siapa Airill. Selalu je lepak sekali, keluar sekali. Kiranya berkawan rapat juga. Sekarang baru dia rasa serba salah.

"Masalahnya Dani, lelaki dengan Shima sekarang ni nama dia Hafiz, dia sepupu Airill. Aku tak faham kenapa boleh jadi macam ni", separuh putus asa suara Alisa. Hafiz! Masih segar dalam ingatan dia nama dan wajah lelaki yang menyebabkan dia dan Rizqi hampir berselisih faham.

Mendengar kata-kata Alisa, Daniel membutangkan mata kearah wanita itu. Wajahnya diraup berkali-kali. Cuba menenangkan hati. "Kau sure ke Lis? Takut silap orang nanti", tanya Daniel inginkan kepastian. Kena curang satu hal. Dah nak kahwin satu hal. Sekarang ni nak bagitau orang ketiga tu sepupu sendiri, mean saudara sendiri, lagi sakit.

"Betul la. Aku pernah jumpa dia. Riz pun kenal laki tu", tidak puas hati Alisa menjawab. Geram dengan Daniel. Kenapa ingat dia sengaja mereka cerita.

Melihat pasangan itu melangkah keluar dari butik. Daniel terus snap gambar mereka dari jauh. Namun, wajah mereka berdua jelas kelihatan.

"Kau nak buat dengan gambar tu?", muka Alisa sudah kelat. Dapat mengagak tujuan Daniel. Tapi dia sebolehnya tidak mahu mengeruhkan hubungan Shima dan Daniel yang bakal ke jinjang pelamin tidak lama lagi.

"Kau rasa?", Daniel mengangkat sebelah kening menyoal Alisa.

"Kau nak cuba buat apa Dani? Diaorang dah lama bertunang, tunggu masa je nak nikah. Kau jangan sampai rosak hubungan diaorang", pujuk Alisa. Dia juga kebinggungan. Tersepit di tengah-tengah. Antara kawan dan juga kebenaran. Tidak menyokong perbuatan Shima namun tidak juga tergamak merosakkan hubungan mereka.

"ROSAK!! Siapa yang rosakkan. Lis, just to make it clear... kau serba salah sebab yang curang tu housemate kau. Dia perempuan. Jadi naluri kau nak pertahankan dia, nak protect dia. But don't forget Lis. Kalau sebelum kahwin dah boleh curang tanpa rasa bersalah, kau yakin lepas kahwin boleh setia. Kalau lelaki curang, perempuan boleh rasa tersakiti. Tapi apa yang buat kau fikir untuk terima hakikat tunang sendiri curang tak menghancurkan hati seorang lelaki", sinis pertanyaan Daniel.

Jarang untuk Daniel berbicara setajam itu dengan Alisa. Melainkan hati lelaki itu sendiri sedang sakit.

Alisa terdiam mendengar sindiran Daniel. Tidak ada kata yang boleh mengambarkan perasaannya ketika ini. Kerana dia tahu benar kata-kata Daniel. Dia cuba menutup kesalahan Shima, kerana tidak mahu wanita itu terluka. Dia mahu yang terbaik untuk Shima dan Airill. Tapi dia lupa, semua ini tidak adil bagi Airill yang tidak langsung bersalah. Yang telah ditikam kepercayaannya dari belakang oleh tunang dan sepupunya sendiri.

"Bukan semua perempuan tak setia. Tapi kau juga kena sedar, bukan semua perempuan macam kau. Yang setia dengan perasaan sendiri bertahun-tahun, tanpa berubah", kali ini Daniel melembutkan sedikit nadanya. Tidak sepatutnya dia melepaskan emosi pada Alisa.

"Bagi aku masa Dani. Biar aku cakap dengan Shima dulu. Biar aku bagitahu Riz", ujar Alisa. Tidak lagi sambung membahas isu curang.

"Tak payah. Kau tak payah masuk campur. Pandai-pandailah aku settle. Biar aku yang cakap dengan Rill. Tak pun, nanti aku cakap dengan Riz atau Am dulu", tegas suara Daniel. Tiada ruang untuk kompromi.

"Tapi Dani, biarlah aku cakap dengan Shima dulu", pujuk Alisa. Tidak mahu menyerah.

"Untuk apa? Cuba fikir Lis, kau nak cakap apa dengan dia. Nak cakap yang kau tahu dia curang. Kalau apa-apa jadi dengan hubungan diaorang, memang dia akan salahkan kau. Sebab kau dah tahu", marah Daniel, melihat kedegilan wanita itu.

"Sekarang ni, aku tak nak kau masuk campur sebab tak nak nama kau terkait sekali. Rill tu lelaki, dia kawan kitaorang. Lagi mudah kitaorang nak bincang. Kalau kau yang sampaikan, masalah jadi rumit. Kau kawan Shima. Kau tahu dia curang, jadi kau nak buat apa? Nak pejam mata rasa bersalah, nak bagitahu Rill rasa serba salah", Daniel meraup rambutnya berkali-kali. Serabut betul perasaannya ketika ini.

*********

Hampir tiga puluh minit mata Alisa tertumpu pada layar laptop. Masih terbayang-bayang pertemuan dengan Daniel kelmarin. Hari itu, dia pulang ke rumah dengan perasaan kosong. Tidak dapat diingat dengan jelas bagaimana dia memandu pulang. Perkara terakhir dalam ingatan, hanyalah Daniel menghantar langkahnya sampai ke kereta. Sempat lelaki itu menyelit pesan untuk tidak terlalu memikirkan perkara itu.

Lamunannya terhenti dengan hilai tawa dari ruang tamu. Pasti Liyana dan Nabilah baru pulang dari makan malam. Shima pula, batang hidung tidak nampak dari petang tadi. Sekarang payah nak berjumpa dengan Syima. Keluar pergi kerja awal pagi, balik lewat malam. Sekadar untuk bersua muka juga sukar.

"Lis..Lis..", ketukan di hadapan pintu bilik memaksa Alisa bangkit dari duduk. Sebaik di buka, terpampang wajah tidak bersalah Liyana yang sedang tersengih.

"Buat apa dalam bilik dari tadi. Langsung tak keluar makan. Tu.. Yana ada 'tapau' mee goreng basah untuk Lis. Buat lapik perut malam ni", bebel Liyana sebaik melihat muka Alisa. Hairan dia, Alisa hanya berkurung dalam bilik sebaik pulang dari kerja. Setahunya, Alisa sangat mementingkan sarapan makan malam.

"Menyusahkan Yana pula. Lis, okay je. Kalau lapar Lis boleh masak maggi. Tak naklah susahkan Yana tolong beli", serba salah Alisa melihat kesungguhan Liyana. Namun langkah kaki diatur juga ke ruang tamu.

"Tak ada apa yang susah pun. Yana dengan Nab memang makan dekat situ. Sekali jalan je", laju Liyana menyangkal. Risau, buatnya Lis serba salah, siapa nak habiskan mee tu. Dia sudah kenyang. Nabilah pula sudah menonong masuk ke dalam bilik.

Alisa melabuhkan punggung di sofa berhadapan dengan tv. Liyana juga sudah mengambil tempat di sisinya, melayan drama yang tengah ditayangkan.

"Shima tak balik lagi?", tanya Alisa di sela suapan. Melihat bilik gadis itu terkunci rapat, tanpa biasan cahaya dari bawah pintu.

"Tak balik lagi...sekarang ni selalu dia balik lambat. Susah nak melekat dekat rumah. Nak nampak batang hidung dia pun payah. Tak tahulah kerja apa yang banyak sangat tu. Dah dua kali Yana sedar Shima sampai rumah pukul dua..tiga pagi", rungut Liyana. Wajah manis gadis itu sudah berkerut. Tidak tahu apa yang bermain di fikiran gadis itu.

Alisa diam tidak terkutik. Menundukkan sedikit kepala agar Liyana tidak dapat membaca riaknya. Dia tertanya-tanya sudah sedalam mana hubungan Shima dan Hafiz. Sudah sejauh mana Shima melangkah dalam hubungan terlarang itu, dengan statusnya sebagai tunangan orang.

Sedang asyik melayan perasaan, pintu utama terbuka luas. Terjengul wajah Shima di balik pintu. Riak terperanjat jelas tergambar di wajah gadis itu. Mungkin tidak menyangka mereka masih berada di ruang tamu, memandangkan jam sudah berganjak pukul dua belas tiga puluh malam.

"Korang tak tidur lagi? Besok kerja kan", tanya Shima sebaik melangkah masuk.

"Sajalah tunggu Shima. Sekarang payah betul nak tengok tuan empunya badan. Kalau boleh nampak tu macam menang lucky draw", sindir Liyana.

Kata-kata Liyana disambut dengan ketawa galak Shima. Raut wajahnya kelihatan sangat bahagia. Seperti orang angau bercinta.

"Ishh..sekarang ni Shima sibuk dengan kerja. Hujung-hujung tahun ni biasalah", dalih Shima.

"Kelmarin Shima pergi mana, lambat sangat balik", bersahaja Alisa bertanya. Seperti tidak tahu-menahu kenapa sikap gadis itu berubah.

"Kelmarin Shima keluar Airill. Dah lama tak keluar dating", selamba Shima menjawab. Langsung tiada rasa bersalah.

Mendengar jawapan Shima sisa kepercayaan pada gadis itu hancur. Nafasnya dihela berlahan. Hatinya mengeluh. Semuanya bakal berantakkan. Tapi semua ini pilihan gadis itu sendiri.

**********

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience