BAB 7

Romance Completed 157983

Dari jauh pandangan Alisa terpaku ke arah Rizqi yang sedang asyik berbual sambil tersenyum bersama seorang gadis. Tidak terlalu rapat, namun dia mengenali gadis yang bernama Zulaika itu.

Matanya terus terpaku tanpa berkelip. Melihat renungan dan senyuman Rizqi pada Zulaika, hatinya seperti ditusuk pisau. Walau tidak dapat dipastikan, tapi pandangan itu menggambarkan seribu rasa.

Jantungnya berdegup kencang, menaksirkan pandangan mata pemuda itu. Alisa cuba menafikan kata hati. Menolak kenyataan yang terbentang luas di depan mata. Tidak mahu terus melihat, dia membuka langkah membawa diri.

Alisa meramas erat-erat dadanya yang terasa sakit. Tapi rasa itu tidak juga kunjung hilang, kerana yang sakit adalah hati.

Dia terus berjalan mengikuti langkah kaki tanpa arah. Tanpa sedar air mata yang ditahan sedari tadi mengalir juga. Alisa terduduk sambil mendekapkan kepala ke lutut. Bergetar tubuhnya menahan tangisan yang semakin menjadi-jadi.

'Siapa yang kau cuba tipu, Lis?', mengenal Rizqi selama sepuluh tahun cukup untuk Alisa membaca riak di wajah pemuda itu. Zulaika...gadis itu memiliki kedudukkan yang istimewa di hati Rizqi. Walau tidak diucap renungan mata itu menceritakan segalanya.

Dia gagal sebelum sempat memulakan. Sebagai perempuan dia dapat membaca bahasa tubuh Zulaika. Gadis itu juga menyimpan rasa terhadap Rizqi. Zulaika dan Rizqi tidak bertepuk sebelah tangan, perasaan mereka bersambut.

Tidak diketahui sejak bila hubungan Rizqi dan Zulaika mula mendekat, yang pasti, kini semuanya sudah terlambat. Rasa cinta yang dibaja selama dua tahun ini layu sebelum sempat mekar sempurna.

'Aku rancang nak luahkan perasaan masa ambil result SPM nanti. Tapi terlambat juga. Aku berangan nak rasmikan status hubungan kami, sebelum sambung belajar. Tapi tak pernah aku terfikir, Rizqi akan buka ruang hatinya untuk gadis lain'. Rintih Alisa.

'Bodohnya, engkau Alisa. Kau ingat kau siapa? Rizqi anggap kau sebatas sahabat. Kalau betul dia ada perasaan dengan kau, kenapa selama ni dia tak pernah tunjukkan. Kau saja yang berlebihan mengharap, berangan-angan tinggi, lupa mencermin diri. Kau ingat Rizqi akan balas perasaan kau. Gadis yang berperwatakan kasar dan tiada lembutnya. Alisa berterusan mengutuk diri sendiri.

Dada terasa sakit, hatinya terluka, dirinya kecewa bersama emosi yang tidak terkendali. Berkecamuk, itu keadaan yang sesuai menggambarkan keadaannya sekarang.

Tanpa disedari, semua ini terlihat oleh sepasang mata. Dia menatap dengan kebinggungan. Cuba mencerna apa yang berlaku. Hatinya cuba mengagak apa disembunyikan oleh gadis itu. "Lis....kau?".

*******

Emosi yang tidak terkendali membuat Alisa memutuskan untuk pulang. Kebenaran telah dia dapatkan dari guru kelas. Perasaan yang berkecamuk ini tidak memungkinkan dia untuk berhadapan dengan Rizqi. Dia perlu mengutip kembali sisa kekuatan dan menata kembali emosinya.

Alisa pulang tanpa mengkhabarkan kepada sesiapa, hanya meminta ibunya menjemput pulang. Seusai sampai di rumah, dia terus menapak ke kamar. Badan terus direbahkan tanpa menukar pakaian. Dia hanya ingin memejamkan mata dan mengosongkan fikiran, tanpa memikirkan apa-apa.

Deringan nyaring handphone mengejutkan Alisa dari lelap. Dia bingkas bangun mencapai handpahone yang berada di penjuru katil. Melihat nama pamanggil yang tertera Alisa membisu tanpa menjawab. Dibiarkan deringan itu berhenti dengan sendiri. Dia mematikan handphone dan meletakkan kembali di atas meja.

Alisa menghala pandangan, merenung ke luar jendela. Tatapannya kosong. Entah apa yang difikirkan. Dikejutkan dengan azan Asar Alisa mengutip kembali pikiran yang sudah jauh menerawang. Mengambil tuala dan terus ke kamar mandi.

Usai menyarung baju ke tubuh, dia melabuhkan punggung di kerusi. Perut yang berkeroncong tidak dihiraukan. Dia mematungkan diri di atas kerusi. Di tangan terselit sebatang pen, namun tiada apa yang tercoret di kertas yang masih putih kosong. Sekosong hatinya.


*************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience