BAB 24

Romance Completed 157983

Alisa menggenggam erat slip keputusan SPM yang berada di tangannya. Setinggi-tinggi syukur diucapkan dalam hati memperoleh keputusan seperti yang diharapkan. Dia memeluk tubuh Ain yang berada di sampingnya. Keputusan Ain terbilang cemerlang walaupun tidak sebagus Alisa.

"Lis gempak la result kau", ujar Ain sambil melompat-lompat kecil.

"Alhamdullilah. Tapi tak boleh lawan result Riz dengan Am", jawab Alisa sambil ketawa.

"Dani punya result pun gempak juga, aku je yang kurang berbanding korang", balas Ain dengan wajah yang sedikit suram.

"Ain kau kena bersyukur dengan apa yang Allah bagi. Keputusan kau tu dah kira cemerlang", nasihat Alisa.

"Jom Lis, kita berkumpul dengan kawan-kawan yang lain. Ambil gambar sebagai kenangan hari last dekat sekolah. Tak tahu bila nak jejak sini lagi", ujar Ain dengan rasa sebak yang bertandang tiba-tiba.

Terus Alisa rangkul tubuh Ain. Sungguh Alisa faham perasaan Ain. Di sinilah tempat jatuh bangun, tempat menimba ilmu, tempat yang mengajar mereka erti cinta dan persahabatan, tempat terukirnya memori suka dan duka, nangis dan tawa. Inilah tempat yang mendewasakan mereka. Tempat yang menyimpan seribu rahsia.

Alisa melepaskan pelukkan dan menggenggam erat tangan Ain, mengatur langkah ke arah rakan-rakan yang telah mewarnai hidupnya sebagai seorang pelajar. Diukir senyuman yang paling manis di bibir.

************

Alisa berdiri menghadap pepohon besar yang berada di sebelah kanan pintu pagar sekolah. Pohon yang menjadi saksi ramainya pelajar melangkah pergi meneruskan perjuangan yang lebih mencabar dalam hidup.

"Lis, sorry lambat", ucap Rizqi menghulur maaf.

Alisa menoleh memandang wajah Rizqi. Hari ini diikutkan perancangannya, Alisa ingin meluahkan perasaan yang disimpan lebih tiga tahun kepada Rizqi. Dia ingin hubungan mereka melangkah lebih jauh. Dia juga berimpian untuk menjadi suri di hati Rizqi suatu hari nanti. Tapi langkahnya terlambat. Ruang hati pemuda itu telah diisi terlebih dahulu oleh gadis lain.

Alisa menatap lama wajah Rizqi. Wajah pemuda yang telah menghuni hatinya selama tiga tahun. Yang telah menemani harinya hampir sepuluh tahun. Di setiap langkahnya ada sosok itu, di sisi. Dalam setiap lipatan kenangan yang tercipta ada wajah pemuda itu.

Sekarang dia ingin melangkah pergi. Kenangan ini akan menjadi pengalaman yang akan menemaninya. Dia tak akan belajar melupakan tapi dia akan belajar menerima dengan ikhlas. Jika sudah tertulis ada jodoh di antara mereka tidak akan ke mana. Namun, jika bukan dia jodoh yang tertulis walau dikejar ke hujung dunia tetap tidak akan pernah bersatu.

Jujur Alisa tidak pernah menyesal mencintai Rizqi selama ini. Rasa cinta ini dianggap sebagai satu anugerah yang tidak ternilai. Walau tidak berbalas tapi Alisa besyukur dihadirkan rasa itu dalam hati. Kerana dari situ dia belajar erti cinta.

"Rizqi, dari hati aku yang paling dalam aku sayang sangat dengan kau. Demi Allah, rasa sayang yang hadir tu ikhlas. Aku doakan yang terbaik dalam hidup kau, semoga setiap langkah kau berada dalam rahmat Allah. Semoga dipermudahkan untuk kau capai semua keinginan dan impian kau. Kalau kau terjatuh suatu hari nanti, aku doakan kau tak kenal erti putus asa", ucap Alisa panjang lebar bersama air mata di akhir ucapannya.

Inilah permulaan bagi Alisa mengajar hatinya untuk ikhlas. Walaupun harapan ingin bersama sudah musnah. Sebagai sahabat Alisa mendoakan kebahagiaan Rizqi, walau bukan bersama dia.

Mendengar kata-kata Alisa mata Rizqi berkaca. Setiap bait itu terasa begitu dekat di hati. Seolah ada rasa yang disembunyi di sebaliknya. Dia menatap wajah Alisa lama, mencari anak mata gadis itu. Dia melihat rasa sayang yang amat besar. Senyuman dan air mata yang menemani gadis itu seolah menyimpan seribu rasa. Dia keliru, tidak mampu membaca hati gadis di depannya.

"Aku pun sayang sangat dengan kau. Kau pun tahu. Masa juga tak akan mampu mengubah rasa sayang aku dekat kau selagi Allah yang tak membalikkan perasaan tu. Aku titipkan nama kau dalam setiap doa aku Alisa", ujar Rizqi menatap tepat wajah Alisa.

Senyuman yang t indah Alisa ukirkan menyambut kata-kata Rizqi. 'Aku tetap bersyukur Ya Allah andai kau hadirkan dia dalam hidupku hanya sebatas sahabat kerana sebesar itu rasa cinta yang Engkau tanamkan dalam hatiku untuknya".

***********

6 TAHUN KEMUDIAN

"Zu, awak tetap dengan pendirian awak? Tak ada langsung ke peluang untuk kita", lirih kedengaran suara Rizqi.

Zulaika membisukan diri membuang pandangan ke samping. Tidak kuat untuk menatap wajah pemuda yang menghiasi segenap hatinya. Dia mencintai lelaki itu sepenuh hati. Tak ada siapa dapat menyangkal hakikat itu. Namun takdir berkehendak lain.

"Enam tahun saya tunggu awak, saya setia dengan awak. Tak pernah terdetik walau sikit dalam hati saya untuk duakan awak. Zu... macam ni ke awak nak hubungan kita berakhir. Awak hancurkan perasaan saya setelah awak beri segunung harapan", luah Rizqi tidak dapat menahan rasa kecewanya.

"Rasa cinta saya pada awak tak pernah berkurang. Tak akan hilang ditelan waktu. Riz saya tak akan mengemis kemaafan dari awak. Sebab saya yang hancurkan hati awak, saya yang musnahkan harapan dan impian yang kita angankan bersama. Saya akan terima kalau awak bencikan saya. Tak akan maafkan saya, tapi saya nak awak tahu rasa cinta saya pada awak tulus", ujar Zulaika bersama air mata. Saksi betapa terluka hatinya kerana menyakiti perasaan Rizqi.

"Apa yang boleh saya buat untuk halang awak. Awak wanita pertama yang bertahta dalam hati saya. Yang saya impikan untuk menjadi suri hidup saya. Kenapa Zu...kenapa selepas enam tahun?", serak suara Rizqi menahan rasa hiba.

"Riz, saya tak mampu menolak keinginan umi dan abi saya. Mereka syurga saya, nyawa saya. Menyakiti hati mereka seolah saya menoreh dan menikam hati saya sendiri. Setitis air mata mereka menyentuh tanah terasa bergegar dunia saya. Hancur harapan mereka serasa musnah perasaan saya. Saya cintakan awak, tapi saya tak kuat untuk melukakan hati umi dan abi saya", perlahan jari Zulaika menyapu air mata yang setia menemani.

"Rizqii... saya minta maaf, saya betul-betul minta maaf. Jangan ditambah lagi luka di hati awak. Saya turut merasa sakitnya. Lupakan saya, dan kejarlah bahagia awak. Mengenali awak adalah hal terindah dalam hidup saya.Terima kasih untuk enam tahun yang awak berikan untuk saya", ujar Zulaika seraya bangun dan melangkah pergi tanpa menoleh lagi.

Berkali-kali air mata itu disapu, namun tidak juga kering. Dia tidak kuat untuk terus menatap wajah kekasih hatinya. Suram riak yang terukir di raut itu menghiris perasaannya. Dia impikan lelaki itu sebagai imamnya. Namun hancur punah semua harapan. Dia kini bakal bergelar suri di hati lelaki lain.

Sejak Zulaika melangkah pergi, Rizqi hanya membatukan diri. Berkali-kali dia meraup wajahnya. Rasa sesak, sakit, perit, marah, kecewa, benci tidak juga kunjung hilang. Tidak tahu kepada siapa harus dia lepaskan rasa amarah yang bergelojak dalam diri. Ingin rasanya menjerit sekuat hati melepaskan rasa sakit dalam dada.

Angin sejuk malam itu juga tidak mampu menyejukkan hatinya. Malam ini menjadikan hatinya sedingin salju sebeku ais. Masanya seolah terhenti di detik ini. Serasa hilang sudah rasa cintanya terhadap sosok wanita bergelar Zulaika. Yang tega menghancurkan perasaannya.


**************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience